PAGE

Isnin, Mei 02, 2011

Ilmu takluk pasangan kaki maksiat



“Akulah queen di rumah. Suami sudah pun menyerahkan kunci harta di bawah bantalku, anak-anak senyapkan saha dengan duit dan hiburan di luar, 4 orang wanita Indon telah menjadi pakar ‘ibu segera’ untuk anak-anakku. Mak dan pak mentua tak sanggup lagi nak memanjat pagar rumah kerana aku bukan mudah diancam gelaran ‘derhaka’.”

“Aku bebas menikmati hidupku tanpa kongkongan sesiapa, tetapi kadang-kadang hatiku merintih juga mengenangkan dosa-dosa akibat terlalu mengejar kepuasan nafsu dunia. Sudah berapa banyak aku membelanjakan wang untuk lelaki-lelaki simpananku. Membayar ketagihanku pada kelab-kelab wanita jalang, kegilaan fesyen dan kemilau perhiasan.”

“Sebenarnya aku rasa kecewa kepada suami yang bebas lepas menyorok perempuan di mana saja, seolah-olah aku mahu membalas sakit hatiku dengan melakukan juga perbuatan terkutuk sebegitu.” Demikian luahan seorang isteri. Dia kemudian bertanya, “Bagaimana hendak menakluki jiwa kami yang sentiasa memberontak, derita kerana dosa tetapi masih sudi menikmati maksiat setiap saat?”

1 – Tunggu peringatan Tuhan

Jika tidak ada seorang insan pun yang mampu mencegah anda dari berbuat maksiat, maka tunggulah datangnya peringatan Allah kepada diri anda. Ia boleh datang dalambentuk musibah, ujian dan seksaan yang didatangkan untuk menyedarkan diri kita sebagai manusia yang lemah dan memerlukan kuasa Allah. Ahli maksiat telah lama lupa kepada Tuhan mereka, disebabkan mereka memiliki segal;a-galanya. Ada tubuh badan yang sihat dan kuat, harta yang cukup untuk keselesaan diri bahkan lebih dari cukup, kerjaya yang kukuh, anak-anak yang menceriakan hati dan bermacam-macam lagi kenikmatan dunia yang lain-lainnya.

Tetapi seandainya tubuh badannya diserang penyakit, hartanya dirampas, kerjayanya hancur, anak-anaknya mati atau menderhaka, barulah diri mencari pertolongan Tuhan, bertaubat dan tersedar.

2 – Cinta dunia dan lupa mati

Penyakit yang dideritai isteri dan suami ini berpunca dari cinta dunia dan lupa mati. Jika semua orang tahu bilakah masanya roh dicabut dari jasad mereka, sudah tentu mereka akan bersedia untuk mengadapi hari yang di janjikan itu. Tetapi begitulah Tuhan mencuba kita, siapakah yang paling bijak memilih, nikamat dunia tetapi azab selamnya atau susah sekejap untuk syurga yang kekal.

Mati memberi peringatan yang paling berkesan untuk manusia, kalau hati sedang sakit, pergilah berziarah ke kubur supaya anda kembali ingat ke situlah semua manusia akan berakhir. Kecantikan yang dibanggakan, harta dan takhta yang dicintai, wanita dan anak yang disayangi, semuanya akan ditinggalkan.

Hanya amal soleh yang akan menemani di akhirat nanti. Jika anda mendengar azan, mungkin itu panggilan Tuhan yang terakhir untuk kita. Kemudian kita akan disolatkan, memakai kain kapan dengan muka pucat mengharapkan kasihan Allah Taala.

Tiba-tiba kubur memanggil dengan seramnya, cacing-cacing kelaparan menanti selonggok mayat yang tidak berdaya, lenyap sudah kejelitaan yang dulu dibangga-banggakan. Hilang sudah puji-pujian manusia yang pernah didengari, kini bertukar menjadi tangisan rasa kasihan orang kepada kita.

Suami pula sudah bersiap sedia mencari pasangan baru, anak-anak yang rindu tidak mampu kita balas dengan rindu yang sama. Kerana diri telah menjadi mayat yang kata-katanya tidak dapat didengari, tangisannya tidak dapat dirasai, sendirian menunggu nasib akibat perbuatan dahulu.

3 – Takut kepada Allah

Mengapa manusia ingkar dan berpaling dari Tuhannya? Padahal Allah SWT mencukupkan segala keperluannya. Tidakkah mereka malu, makan, minum dan udara kehidupan yang semuanya ditaja itu mereka balas dengan berbuat dosa? Tiada sesiapa yang paling sabar dan sayang kepada kita melainkan Allah SWT.

Sepanjang usia yang kita lalui,berapa banyakkah ketaatan yang kita zahirkan berbanding dengan kederhakaan kepada Allah SWT? Tetapi kesabaran dan sayang-Nya tidak terbatas kepada semua makhluk,

Takut kepada Allah sama seperti benih yang ditanam dengan baik di dalam jiwa manusia. Kita mesti membajainya dengan ilmu kerana boleh jadi rasa takut itu akan mati dan lenyap dalam hati jika seseorang itu terlalu sibuk dengan perasaan takut yang lain. Sebagai seorang isteri dan ibu, tentu saja banyak perkara yang anda takuti, takut suami marah, takut anak sakit, takut wang tak cukup, takut pada bos, takut cepat tua, takut gemuk, takut poligami suami buka branch baru, takut mentua, takut ceplos dan serba-serbi takut yang lain-lainnya.

Jika semua rasa takut itu bermaharaja-lela dalam hati anda, boleh jadi anda akan kehilangan rasa takut kepada Allah. Suburkanlah perasaan takut kepada Allah melebihi takut-takut lain yang hanya merugikan diri sendiri. Jika anda sudah berjaya memiliki rasa takut kepada Tuhan, insya-Allah tiada sesiapa dan apa pun lagi yang boleh membuatkan anda merasa takut. Anda rasa berani menghadapi cabaran hidup kerana Allah bersama anda.

Inilah nasihat kepada para pelaku maksiat, tidak kira sama ada anda seorang suami ataupun seorang isteri. Mendengar nasihat adalah lebih baik daripada menunggu Allah datang memberi peringatan.

Mudah-mudahan bermanafaat.




Rujukan : Dr Juanda Jaya MW#1384

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...