PAGE

Rabu, Mei 04, 2011

Misteri gaun Kate


MESKIPUN hampir seminggu Duchess of Cambridge, Kate Middleton bergelar permaisuri hati pewaris takhta Britain, Putera William dalam perkahwinan penuh gilang gemilang yang disaksikan kira-kira dua bilion orang di seluruh dunia, cerita mengenai masih hangat diperkatakan.



Busana pengantin menyamai baju pelakon Grace Kelly semasa perkahwinannya dengan Putera Rainer

Fesyen gaun pengantin berwarna putih gading diraja Britain dipakai Kate itu juga menjadi perbualan. Pemerhati berpendapat gaun berwarna putih gading itu mengingatkan kita kepada gaun pengantin yang pernah dipakai pelakon Grace Kelly semasa perkahwinannya dengan Putera Rainer dari Monaco pada 1956.

Tahukan anda, pembikinan gaun itu yang turut dilakukan sekumpulan wanita yang berusia 19 hingga 70 an itu bekerja secara sambilan menghasilkan renda sesuai dengan gaun itu. Studio menghasilkan renda itu turut menggunakan tenaga pelajar yang bukan saja dari United Kingdom tetapi juga Jepun, China, Amerika, Thailand dan Jerman.

Dikatakan seramai 12 orang yang bekerja keras menyiapkan renda itu terpaksa membasuh tangan mereka setiap 30 minit untuk memastikan renda dan benang sentiasa putih bersih, selain jarumnya pula diganti setiap tiga jam bagi memastikan ia bersih dan tajam.





Rekaan renda itu dan prosesnya dipengaruhi renda tradisional Carrickmacross yang berasal dari Ireland pada 1920 an. Kerja membuat renda itu menggunakan fabrik kain kapas halus serta tegang dengan latar belakang yang bersih serta dikait dengan benang tali yang halus.

Rahsia pembuatan gaun itu diteruskan walaupun ia sudah dilihat lebih dua bilion orang di seluruh dunia sehingga ia dibongkar tiga hari selepas perkahwinan itu. Malah, sebelum itu, selepas beberapa bulan spekulasi mengenai gaun pengantin berkenaan, akhirnya terjawab Jumaat lalu dan dunia terpukau menyaksikan keanggunan Kate Middleton keluar dari kereta klasik Rolls Royce Phanton V1 dan memasuki gereja Westminster Abbey untuk upacara perkahwinan gilang-gemilang.

Rahsia mengenai rekaan pakaian pengantin diraja itu disimpan kemas sejak beberapa bulan lalu.


Malah, penyulam yang bekerja keras menghasilkan sulaman indah dan anggun itu turut tidak mengetahui yang hasil kerja tangan mereka bakal digunakan dalam perkahwinan diraja sehingga saat terakhir menjelang majlis gilang-gemilang itu.

Akhbar The Telegraph melaporkan Sarah Burton, pereka pakaian Middleton, terbang ke New York, Ahad lalu bagi mengelakkan diri daripada tumpuan media, tetapi kumpulan wanita yang terbabit menceritakan kejayaan menghasilkan gaun yang memukau setiap mata yang memandang.

Pengarah Kreatif di Alexander McQueen, Burton dipilih untuk mereka gaun pengantin perkahwinan paling gemilang dalam dekad ini dengan gaya zaman pertengahan berlengan panjang yang dipenuhi renda.

Skirt pula daripada kain satin sutera organza putih gading. Burton mengambil alih firma fesyen avant garde pakaian pengantin selepas pengasasnya yang juga pereka terkemuka Alexander McQueen mati akibat membunuh diri tahun lalu.

Pereka gaun pengantin terkemuka Vera Wang memberitahu CNN, “Ia seperti yang saya jangkakan, tidak begitu melampaui kemodenan fesyen dan tidak lapuk apabila dirakamkan,” katanya.

Berbeza dengan gaun Grace Kelly yang rendanya penuh hingga ke leher, pakaian Middleton mendedahkan lehernya dengan kain renda berbentuk V pada lehernya. Malah, jika dibandingkan dengan layah yang digunakan ibu William, Puteri Diana semasa perkahwinannya pada 1981, layah yang dipakai Middleton lebih sederhana panjangnya iaitu 2.7 meter.

Gaun memaparkan pinggang dan pinggul yang tampak ‘simple’ yang mengekalkan tradisi korset Victoria dan antara ciri rekaan firma Alexander McQueen yang menekankan fizikal langsing pengantin perempuan.

Menurut sumber, Middleton sudah mendapat idea yang jelas mengenai gaun perkahwinannya sebelum William mengajaknya berkahwin. Beliau meminati gaun anggun yang pernah dipakai Puteri Grace Kelly semasa berkahwin dengan Putera Rainer. Gaun itu dipamerkan di Muzium Victoria & Albert, April lalu. Burton meminta Royal School of Needlework (RSN) menghasilkan rekaan renda yang unik. Setiap motif sebesar duit siling lima pence, dijahit setiap dua hingga tiga milimeter.

Pembuatan renda untuk gaun pengantin itu dibuat di studio RSN di Hampton Court Palace, tetapi pasukan penyulam itu tidak mengetahui mana pengantin yang bakal menerima hasil kerja mereka. Ketua Pegawai Eksekutif RSN, Susan Kay-Williams berkata, pihaknya tidak mengetahui siapa pereka pakaian itu sehingga saat akhir sebelum orang ramai mengetahuinya. Kay-Williams masih mengunci mulut mengenai jumlah mereka yang terbabit dalam projek itu dan bila ia dimulakan dan gaun itu siap.

Anne Butcher, 44, dari Sandhurst, Berkshire, berkata : "Kami seronok kerana pengalaman seumur hidup ini. Kami bekerja dalam satu kumpulan dan gembira dengan penerimaan orang ramai mengenainya.”

Keanggunan Duchess of Cambridge itu lebih terserlah apabila turut memakai tiara dibuat oleh Cartier, yang dipinjam daripada Ratu Elizabeth. Menurut sumber, tiara itu adalah hadiah moyang William, George VI kepada isterinya dan kemudian diberikan kepada anak perempuannya yang juga Ratu Britain.

Pengantin perempuan yang turut melepaskan rambut panjang yang didandan James Pryce dan memakai sepasang anting-anting berlian, hadiah daripada ibu bapanya.




Sumber : BHarian 04/05/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...