PAGE

Isnin, Jun 20, 2011

Kahwin tanpa restu orang tua, rumahtangga sukar bahagia


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Anda tentu pernah mendengar ungkapan, ‘cinta itu buta’. Kadang-kala, akibat terlalu asyik leka dilamun cinta, mata, hati dan akal manusia menjadi ‘buta’ akibat tertipu dengan nafsu sendiri. Ya, atas nama cinta yang membara, ada pasangan yang sanggup mengenepikan perkara paling utama dalam sesebuah perhubungan iaitu meminta restu orang tua. Bila pilihan pasangan tidak disukai dan hubungan dibantah, mereka yang buta dek kerana cinta ini bertindak lari kerana tetap mahu bersatu dengan cinta hati mereka.
Nasi lemak buah bidara,
sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Meskipun dapat hidup bersama (berkahwin di sempadan dan sebagainya), sering juga kita mendengar hubungan yang sebegini tidak berpanjangan. Ada yang mengaku tidak beroleh kebahagiaan. Ada saja dugaan dan derita yang merintangi rumahtangga. Ada juga yang tegar menuduh ahli keluarga ‘dengki’ dan menghantar sihir supaya mereka tidak bahagia. Namun semuanya berbalik kepada satu perkara yang mereka lupa, iaitu restu orang tua.

Jika dimulakan tanpa restu kedua-dua orang tua, maka perkahwinan itu sukar bahagia, apatah lagi jika ditentang mereka. Dalam hal ini, tiada istilah jalan pintas. Cinta tanpa restu ibu bapa sememangnya akan membuat kehidupan pasangan menjadi sukar, kecuali setelah ibu bapa redha dengan perkahwinan tersebut. Hanya mereka yang tabah dan sabar sahaja yang dapat melepasi halangan demi halangan yang mendatang. Namun bagi mereka yang sedang berhadapan dengan cabaran ini, jangan pula anda lakukan perkara yang sama. Masih ada cara untuk anda meraih restu ibu bapa.

Punca tidak direstui

Terdapat pelbagai alasan mengapa ibu bapa tidak merestui penyatuan anak dan pasangan hidup pilihan mereka. Ada kalanya alasan tersebut munasabah dan ada juga alasan yang langsung tidak boleh diterima atau tidak masuk akal. Antaranya seperti bakal suami atau isteri berasal dari negeri yang jauh, latar belakang pendidikan tidak setaraf, usia yang lebih muda atau terlalu tua dan sebagainya. Selidiklah punca mengapa ibu bapa tidak bersetuju dengan pilihan anda. Jika anda telah mengenal pasti yang calon pasangan anda tidak patut menerima penolakan daripada ibu bapa, anda perlulah berusaha sedaya upaya anda untuk meyakinkan ibu bapa yang anda telah menemui jodoh anda.

Jika tak direstui

Kesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. Hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa.

Kalau ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat. Perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.

Sering kita terbaca kisah rumahtangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya.

Cuba kita renung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas pilihan ibu bapa. Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa.

Apabila ibu bapa diam

Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak menyuarakannya secara terus-terang kerana tidak mahu melukakan hati anak. Begitu sekali ibu bapa cuba untuk menjaga hati anak. Biar hati mereka terguris dengan tindakan anak, namun untuk mereka melukakan,tidak sekali. Adapula anak yang terlebih ajar, sanggup menegking ibu bapa, memarahi ibu bapa kerana tidak setuju dengan pilihan mereka. Sudahlah berkahwin tanpa restu, memarahi pula jika mereka balik, tidak mendapat layanan ibu bapa.

Sepetutnya, si anak hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka. Walaupun diam ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui pilihannya. Katanya, lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya, mereka akan iringi dengan nasihat dan kata-kata semangat.

Tapi jika tiada respons atau hambar saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka. Terdapat ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar meredhainya.

Bagaimana meraih restu orang tua?

Kali ini Laman-Seri kongsikan perkara yang boleh anda usahakan untuk meraih restu ibu bapa anda.

1 – Buktikan bahawa pilihan tepat

Apabila ibu bapa menyatakan bantahan terhadap teman hidup atau bakal pasangan anda, janganlah terus mempertikaikan bantahan mereka dengan cara yang kasar, marah-marah, membentak-bentak, merajuk atau sebagainya.

Cubalah cari ruang dan peluang untuk berbincang masalah ini dengan suasana tenang dan penuh kekeluargaan. Berusahalah untuk menjernihkan suasana yang keruh. Mungkin selama ini mereka salah faham atau salah mengerti sikap pasangan hidup anda.

Berfikirlah dengan terbuka dan yakinlah bahawa perasaan anda pada pasangan anda adalah tepat. Tunjukkan juga bukti bahawa pilihan anda tepat dengan cara memberi peluang ibu bapa mengenali menantu mereka. Selain itu, anda sendiri pandai-pandailah menonjolkan kebaikan si dia pilihan hati anda.

2 – Tunjukkan keteguhan cinta

Ada ibu bapa yang enggan merestui niat suci si anak mendirikan rumahtangga kerana bimbang mereka akan mengabaikan orang tuanya kelak. Selain itu ibu bapa juga mungkin menentang kerana perasaan cemburu terhadap pasangn hidup yang anda pilih. Cemburu kerana kasih sayang anda bakal dilebihkan kepada dirinya berbanding mereka sebagai orang tua.

Oleh itu cubalah untuk memberi pemahaman kepada ibu bapa anda sebaik sahaja anda mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Katakan kepada mereka, walaupun setelah berkahwin, anda mempunyai keutamaan lain dalam hidup namun tanggungjawab dan juga kasih sayang pada ibu bapa tidak sesekali diabaikan. Yakinkan mereka bahawa anda akan memperoleh kebahagiaan yang tidak ternilai sekiranya mereka menyayangi pasangan hidup anda seperti mereka menyayangi diri anda juga.

3 – Nyatakan pada masa yang sesuai

Jangan sesekali menyatakan rancangan besar anda pada masa yang salah. Antaranya ketika keadaan keluarga sedang bergolak. Begitu juga ketika keluarga dalam kemurungan. Jawapan yang diterima mungkin sesuatu yang tidak menyenangkan anda. Sebaliknya, pilihlah masa yang sesuai untuk mengumumkannya. Sebagai contoh, ketika hati kedua orang tua anda sedang gembira meraikan sesuatu. Ingatlah, keputusan yang tepat dan menyenangkan boleh anda perolehi bila anda berada di masa dan situasi yang tepat juga.

4 – Usahakan untuk lebih mengenali

Sebagai anak, anda sudah tentu dapat membaca reaksi ‘tidak suka’ dari wajah ataupun perlakuan ibu bapa anda. Oleh itu, sebaik sahaja signal seperti itu dapat anda tangkap dan baca, cubalah berbuat sesuatu.

Paling baik adalah dengan cara mendekatkan mereka dengan pasangan anda. Ajak dirinya ketemu denganorang tua lebih kerap agar mereka dapat saling mengenali dengan lebih dekat lagi. Ðekatkan mereka sebelum ibu bapa membentuk persepsi mereka terhadap pasangan anda. Ini kerana jika persepsi serong sudah terbentuk, adalah lebih sukar untuk anda mengubahnya.

5 – Saling memberi sokongan

Apa pun yang terjadi, berpegang teguhlah pada komitmen anda berdua. Anda berdua memang perlu mendengar pendapat orang lain, tetapi pada akhirnya, keputusan tetap di tangan anda kerana andalah yang akan menjalani kehidupan bersama.

Komitmen anda, rasa saling menghormati, serta komunikasi akan membantu anda dalam mengatasi persoalan dalam keluarga. Jangan terbelenggu dengan tekanan perasaan atau stres sehingga mampu menggoyahkan hubungan anda berdua.

6 – Bantuan orang tengah

Cuba cari orang tengah yang boleh bekerjasama untuk menyampaikan hasrat anda kepada orang tua. Orang tengah yang dimaksudkan boleh jadi mereka yang lebih tua atau lebih kurang sebaya ibu bapa anda. Anda boleh melantik ibu atau bapa saudara anda (adik-beradik ibu atau bapa) sebagai jururunding atau jurucakap bagi pihak anda. Orang tengah yang dicadangkan perlu ada kemahiran untuk membantu, bukan mengeruhkan lagi keadaan.

7 – Berdoa

Banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar dibukakan pintu hari ibu bapa anda untuk menerima pilihan hati anda. Ði samping itu, anda juga boleh melakukan doa dan solat istikharah meminta petunjuk daripada Allah SWT sama ada pilihan anda tepat atau sebaliknya.

Tips ambil hati

Jangan hanya berharap pada bakal suami atau isteri sahaja untuk meraih restu orang tuanya, jika anda benar-benar telah tekad untuk hidup bersama dengan pasangan anda, anda sendiri juga perlu turut berusaha meraih restu orang tuanya. Antara yang boleh dilakukan ialah :

1 – Tonjolkan kelebihan

Meskipun diri tidak disenangi oleh bakal mertua, namun jangan menyimpan dendam dan rasa benci terhadap mereka. Teruslah bersabar dan berusaha memenangi hati mereka. Hormati pendirian mereka, tetapi selain itu, tonjolkan kelebihan yang anda miliki. Siapa tahu hati bakal mertua cair dengan masakan anda yang enak atau penampilan anda yang menawan hati mereka.

2 – Sentiasa sopan dan hormati mereka

Hormati orang tua dan bersikap sopan dengan mereka walau dalam apa jua keadaan. Ringan-ringankanlah mulut bertanya khabar, menyapa, bersalaman setiap kali bertemu dengan mereka. Jangan sesekali meninggikan suara tatkala berbicara dengan mereka atau mempamerkan wajah yang masam mencuka di hadapan mereka.

3 – Berikan hadiah

Tiap kali berkunjung ke rumah orang tuanya, jangan pula hanya berlenggang kangkung kosong. Tiada salahnya anda membawa buah tangan, boleh jadi makanan kegemaran ataupun apa-apa saja yang difikirkan logik untuk dijadikan buah tangan. Tidak salah melabur wang untuk menambat hati mereka, memang berbaloi sebenarnya.

Semoga bermanfaat...




Sumber : MW#1434 dan KePuncakMahligai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...