PAGE
▼
Isnin, Jun 06, 2011
Konsep ithar bantu umat Islam baja kemanisan iman
Penerapan nilai murni dalam kehidupan boleh lonjak prestasi kerja, organisasi cemerlang
SETIAP manusia memiliki naluri pelbagai dan berbeza-beza. Tetapi, semuanya menginginkan yang terbaik dalam kehidupan dan ia dituntut dalam Islam. Allah menganugerahkan nikmat dan memudahkan manusia memperoleh kejayaan, kebahagiaan dan keberkatan dalam hidup.
Firman Allah bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan melimpahkan kepada kamu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin?” (Surah Luqman, ayat 20)
Bagi mengharapkan kebaikan dunia dan akhirat serta mengelakkan azab, Rasulullah SAW mengajak umatnya menadah tangan berdoa bermaksud: “Wahai Tuhan kami, berikan kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan jauhkan kami daripada azab api neraka.”
Doa adalah senjata Mukmin dan diingatkan supaya tidak sombong untuk bermunajat kepada Yang Maha Esa di samping berusaha meraih hasanah (kebaikan). Malah, umat Islam digalakkan menjadi peneroka dalam merebut kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum masa suntuk, kaya sebelum fakir, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan Ibn Abi Syaibah)
Kelima-lima perkara ini iaitu sihat, masa, kaya, muda dan hidup adalah nikmat asas kejayaan yang perlu direbut kerana manusia sering leka sehinggalah ia hilang daripada genggaman dan kawalan.
Sabda Rasulullah ini juga peringatan untuk membakar semangat supaya berebut-rebut menjadi ‘tangan yang di atas’, iaitu tangan yang memberi, menghulur, membantu bahkan menjadi tangan sifatnya lebih baik daripada ‘tangan di bawah’ iaitu menerima.
Sejarah membuktikan pada zaman Saidina Umar ibn al-Khattab dan Umar ibn Abd Aziz, tiada golongan fakir miskin untuk diagihkan harta zakat disebabkan saling membantu.
Firman Allah maksudnya: “Dan bagi setiap umat ada kiblatnya yang menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebajikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian pada hari kiamat. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Sejarah Islam juga mencatatkan kejayaan hijrah Rasulullah SAW dan pembukaan kota Madinah kerana adanya golongan peneroka kebaikan ini. Baginda menamakan mereka sebagai kaum Ansar bermaksud orang yang membantu.
Kemurahan hati dan pengorbanan golongan Ansar kepada golongan berhijrah dari Makkah (Muhajirin) bukan saja meliputi keperluan asas yang dihajati seperti penginapan, harta, isteri dan modal berniaga tetapi juga apa yang mereka sendiri hajati.
Keikhlasan mereka berkorban semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah dipuji dan digambarkan dalam firman Allah bermaksud: “Dan orang (Ansar) mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)
Pengorbanan kaum Ansar menimbulkan kecemburuan kaum Muhajirin kerana pengorbanan itu kaum Ansar mendapat ganjaran pahala berbanding Muhajirin. Sebagai kaum yang baru berhijrah mereka tidak mempunyai apa-apa untuk diberi.
Lalu, Rasulullah SAW mengajar kaum Muhajirin mengucapkan penghargaan dan mendoakan kaum Ansar sebagai balasan atas pengorbanan itu. Dengan cara ini, tiada kaum tercicir dalam perlumbaan mengejar kebaikan.
Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya bertajuk Iman dan Kehidupan, mengetengahkan konsep ithar daripada kisah ini, iaitu pengorbanan mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sebagai baja memperoleh kemanisan iman.
Justeru jika konsep ithar ditekan dan diterapkan dalam kehidupan, bekerja atau pengurusan organisasi, akan menjadi nilai tambah yang boleh melonjakkan prestasi, membuahkan kecemerlangan bahkan kualiti kerja dan perkhidmatan.
Maka lahir pelbagai nilai terpuji seperti ringan tulang, pemurah, tidak sombong, tiada hasad dengki, mudah bekerjasama serta kerja secara sukarela dan tidak bergantung kepada arahan semata-mata.
Selain itu, ia menguatkan rasa berterima kasih, menghargai dan mendoakan demi kebaikan sesama individu, pekerja dan majikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila aku perintahkan kepadamu dengan sesuatu perintah, maka laksanakan dengan semampumu.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Penulis, Sharifah Hayaati ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Sumber : BHarian 28/05/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...