PAGE

Isnin, Jun 06, 2011

Adab di masjid

Makmurkan masjid tanggungjawab orang beriman

Assalamualaikum warahmatullah,

Kecoh perbincangan ‘meja empat segi’ pada suatu pagi (beberapa bulan lepas) semasa bersarapan pagi, gara-gara kenyataan seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh yang membuat kenyataan, menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah.

Menurut laporan, beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka. Walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini. Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid. Ini adalah satu-satunya kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan baginda, kata pendakwah itu hari ini ketika diminta mengulas keghairahan umat Islam ketika ini menjadikan masjid sebagai tempat akad nikah kerana menganggap ia lebih berkat. Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin. Berita ini dipetik di Bernama.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah tidak salah kerana perkara itu sah dilakukan di mana-mana sahaja. Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata Islam mengharuskan akad nikah dilakukan di masjid. Beliau berkata tiada halangan mana-mana pasangan Islam untuk melangsungkan perkahwinan di masjid, malah lebih digalakkan lagi kerana ia boleh memberi manfaat dalam bidang pengurusan.

Laman-Seri tidak berniat untuk mengulas kisah bernikah di masjid, kerana telah disebut ianya harus kerana ada maslahat umum seperti memudah urusan Imam. Namun dari satu sudut yang negatif tidak berapa cantiknya, kita dapat lihat satu realiti, ramai pasangan pengantin dan juga rombongan yang mengiring tidak menutup aurat dengan sempurna terutama kaum wanita, ini termasuklah pengantin wanita itu sendiri. Kebanyakan ahli rombongan juga ada yang memakai pakaian yang ketat lagi jarang, bersolek secara berlebihan (tabarruj) dan sebagainya. [Rujuk : Adab berpakaian menurut Islam]

Mungkin ramai yang tidak menyedari, terdapat adab ketika berada di masjid dan adab ini wajar kita praktikkan jika kita bercadang untuk ke masjid. Setiap Muslim perlulah memelihara adab yang disyariatkan berkaitan masjid. Apakah adab yang perlu diketahui oleh orang Islam dan bukan Islam mengenai masjid? Antara adab-adab masjid ialah :

1. Semasa berangkat ke masjid
  • Pakai pakaian yang sopan dan bersesuaian tatkala memasuki masjid. Sunat memakai bau-bauan yang diharuskan. Bagi wanita tidak dibenarkan berlebih-lebihan dalam mengenakan wangi-wangian.
  • Sebelum ke masjid hendaklah membaca doa ke masjid seperti diajar Nabi SAW, antaranya: Allahummaj’al fi qalbi nuran, wafi bashari nuran, wafi sam’i nuran, wa’an yamini nuran, wa’an syimali nuran, wa’an amami nuran, wa’an khalfi nuran, wafi ‘ashabi nuran wafi lahmi nuran, wafi sya’ri nuran wafi basyari nuran (yang bermaksud: Wahai Tuhanku, jadikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada penglihatanku, cahaya pada pendengaranku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiriku, cahaya di sebelah mukaku, cahaya di sebelah belakangku, cahaya pada uratku, cahaya pada dagingku, cahaya pada darahku, cahaya pada rambutku, dan cahaya pada kulitku.)
2. Ketika berada di kawasan masjid
  • Membuka kasut dan masuk dengan mendahulukan kaki kanan. Masuk ke dalam masjid hendaklah mendahulukan kaki kanan dan keluar dengan mendahulukan kaki kiri.
  • Ketika masuk masjid, Rasululah mengajar kita membaca doa, “Ya Allah, bukakanlah untukku pintu Rahmat-Mu.”
  • Memberi salam kepada sesiapa yang berada didalam masjid, sekira tiada orang dalam masjid tersebut maka ucapkanlah: “Selamat ke atas kami dan atas hamba Allah yang soleh.”
  • Sebelum duduk, tunaikan solat dua rakaat solat tahiyyatul masjid apabila masuk masjid.
  • Jangan sembahyang di tempat yang boleh mengganggu orang ramai daripada memasuki masjid seperti di muka pintu.
  • Duduk dalam masjid dengan menghadap kiblat. Jangan bermundar-mandir dalam masjid, ingatlah anda sedang berada di rumah Allah, maka duduklah dengan penuh perasaan tawaduk serta banyakkan berzikir dan bertasbih.
  • Berniat iktikaf selama duduk di dalamnya.
  • Memelihara kebersihan masjid dan tidak mengotorinya.
  • Jangan berbual dalam masjid mengenai hal keduniaan.
  • Jangan meninggikan suara dalam masjid sama ada berzikir atau membaca al-Quran. Tidak melakukan perkara tidak disukai syarak seperti bernyanyi, bertanyakan barang-barang yang hilang dan seumpamanya.
3. Ketika hendak meninggalkan masjid
  • Mohon ampun dan bimbingan Allah agar selamat selama di luar.
  • Berniat untuk datang kembali.
  • Mendahulukan kaki kiri sambil berdoa: “Aku berlindung dengan nama Allah Yang Maha Agung dengan Zat Yang Maha Mulia dan kekuasaanNya yang qadim dari syaitan yang terkutuk.”
  • Memberi salam kepada orang yang masih tinggal di masjid.
  • Jangan mengambil atau membawa pulang barang kepunyaan masjid untuk kegunaan sendiri kerana segala peralatan masjid diwakaf dan ia untuk kegunaan awam.

Demikianlah adab-adab di masjid yang perlu kita praktikkan. Kita lihat beberapa masjid yang besar, namun jemaahnya sangat menyedihkan. Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubah ayat 19 yang bermaksud: “Dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa usaha memakmurkan masjid mempunyai kedudukan di sisi Allah. Allah SWT dengan tegas menyatakan bahawa tugas memakmurkan masjid Allah hanya dilaksanakan oleh orang yang beriman. Maka orang yang tidak memakmurkan masjid bererti bukanlah orang yang benar-benar beriman.

Satu hadis yang menjelaskan mengenai keutamaan membangun masjid iaitu diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Usman, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang membangun sebuah masjid untuk mencari keredaan Allah SWT, nescaya Allah SWT membangun untuknya sebuah rumah dalam syurga.”

Bagi persoalan bagaimana cara untuk kita memakmurkan masjid? Antara cara yang dapat disenaraikan termasuk:
  • Mendirikan masjid di tempat dirasakan perlu untuk memudahkan umat Islam mendirikan jamaah. Hukum melaksanakan perkara ini adalah fardu kifayah.
  • Membantu dan menyokong masjid yang sudah didirikan.
  • Memuliakan masjid dengan tetap melakukan ibadat di dalamnya, menyebut Allah di dalamnya, sentiasa tetap didirikan solat berjemaah, mengadakan program ilmu seperti tazkirah, kuliah ilmu dan seumpamanya.
  • Menjaga adab dalam masjid seperti yang sudah diterangkan di atas.
Bagi mereka yang dilantik menguruskan masjid, hendaklah melakukan perkara yang memberi kebaikan kepada masjid seperti memperbaiki masjid, memastikan azan sentiasa dikumandangkan setiap kali masuk waktu solat, memastikan solat berjemaah sentiasa didirikan, ‘mewangikan’ masjid dan memasang lampu sekadar perlu lebih-lebih lagi setiap kali hari raya, menambah pendapatan wakaf masjid dengan berlaku jujur dan ikhlas dalam menjaga harta itu.

Pada masa sama, hendaklah menjaga kebersihan dan keselamatan perkakas masjid, manakala pegawai masjid, imam, muazzin, tukang bersih dan seumpamanya hendaklah menjalankan tugas yang telah ditetapkan untuk mereka.

Wallahua’lam.




Dioleh-semula dari : Ustaz Zahazan Mohamed di BHarian 05/06/2011 dan tambahan sendiri.

Capaian entry berkaitan :
* Adab berpakaian menurut Islam

5 ulasan:

  1. Raden Sallehuddin [peoplelinkrsg@yahoo.com]12 Jun 2011 pada 1:53 PTG

    Salam...dan Salam Sejahtera. Pada pandangan saya secara peribadi dan berdasarkan pengalaman mengikuti akad nikah adik saya di mesjid besar di johor bahru..sy percaya ianya banyak mendatangkan kebaikan sebenarnya..terutama apabila majlis tersebut duselang selikan dengan ucapan2 yg dapat memberikan keinsafan dan pengajaran yang amat bermakna bukan sahaja kpd bakal pengantin tetapi kepada para hadirin yang hadir. Cari cara supaya semua orang dapat mencari cara memakmurkan masjid..bukan untuk menidakkan majlis diadakan.

    Wallahualam.

    Radin Sallehuddin bin Radin Abdul Rahman on mobile via BlackBerry®
    RSG Risk Wealth Management.

    BalasPadam
  2. [shahir74@yahoo.com]14 Jun 2011 pada 9:19 PTG

    Paling 'best' bila tgk kelakuan dan cara berpakaian para jurugambar upahan pengantin ketika upacara akad nikah di dalam masjid... Sungguh 'sopan dan berakhlak'...

    Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

    BalasPadam
  3. Khairani Darus [kbdarus@yahoo.com]14 Jun 2011 pada 9:21 PTG

    Asalnya pasangan pengantin diakadnikahkan di rumah pengantin perempuan. Tapi byk kes bakal pengantin kena "pelbagai ilmu hitam" : sehingga x dpt lafaz akad.

    So, bila dibuat di masjid, mereka yg berniat buruk pd pasangan pengatin tak dpt nk tabur ilmu hitam mereka yg dibekalkn oleh bomoh dlm bentuk, kapur barus, tanah liat, katak hitam la, dll/.
    jadi, kalu buat kt msjid, rumah allah, setan dan bomoh2 tersebut surrender.

    itu, asal punca sebenar.

    Tapi, pabila akad diadakan di masjid, ramai yg ikut rombongan tu,yg tak hormat masuk dlm masjid. sperti bawa kasut/selipar dlm masjid, mungkin ada yg berhadas besar(tak mandi wajib, masih tak mandi junub ke, masih datang bulan -bagi pompuan,).walaupn mereka ni semua dtg naik mercedes.

    BalasPadam
  4. Hamden [mrlabiu@yahoo.com]14 Jun 2011 pada 9:22 PTG

    Benar pendapat mika. MASJID ialah tempat berjumaah iaitu bersolat. Ia mestilah bersih. Wanita yang berhadas tidak dibenarkan duduk dalam masjid. Saya fikir elok tempat AQAD-NIKAH diresmikan di rumah mempelai sahaja. Balik kepada asal.

    BalasPadam
  5. Rahim Yahaya [rahimsaja@yahoo.com.sg]14 Jun 2011 pada 9:24 PTG

    Ini teman setuju Yop pendapat bukan pendapatan mika ... bernikah dalam masjid ... cuba fikirkan selepas nikah ada upucara membatalkan air sembahyang.. entah budaya mana dia org ikut.... kekadang siap cium dahi pengantin di dalam masjid... Tok Iman pun sama naik tak nak tegah...

    Sekarang lagi mengarut darihal Pertunangan dah macam kahwin siap pakai sedondong dan ada pula mini pelamin.. Yang lelaki nya tergedik gedik nak ikut sama rombongan Pertunangan... entah la zaman iman Muda kut.....

    tak tau la apa nak jadi orang Melayu yang dah mula lupa Budaya Melayu ....

    UMNO yang memperjuangkan Melayu kena la jaga tatacara ini kalau nak memertabatkan Melayu yang berbudaya... Kena ada juga la Biro Kebudayaan didalam UMNO .. jangan dok melalak aja kena jaga juga kebudayaan dan adat istiadat Melayu... Kalau benda gini pun tak boleh nak jaga ... tak tau la....

    Kalau budaya dan Adat Melayu tak dijaga maka hilang la Melayu ...Bukan dasar Politik aja boleh melenyap kan Melayu ....

    ABDUL RAHIM YAHAYA

    ﻡﻜﻴﻠﻋ ﻢﻼﺴﻠﺍ

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...