PAGE

Jumaat, Jun 24, 2011

Sejak bila kita jadi tuhan?


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Pernahkah anda dengar kisah seorang yang ingin bertaubat setelah membunuh 100 nyawa? Kisahnya begini : Ðahulu ada seorang lelaki Bani Israil yang telah membunuh 99 nyawa. Namun, Allah SWT telah mencampakkan hidayah ke dalam hatinya. Ðia bertanya tentang orang yang paling berilmu di atas permukaan bumi. Lalu ditunjukkanlah seorang rahib (ahli ibadah). Ðia lantas pergi berjumpa pendeta itu, lalu dikemukakan pertanyaan, “Adakah taubatku diterima?” Pendeta itu pantas menjawab, “Tidak!” Akibat terlalu marah dengan jawapan tersebut, sang pendeta dibunuhnya. Maka, genaplah 100 nyawa yang mati ditangannya.

Kemudian dia bertanya lagi tentang orang yang paling berilmu di atas pemukaan bumi. Lalu ditunjukkan seorang yang berilmu (ulama’) seraya menyatakan bahwa dirinya telah membunuh 100 nyawa, apakah masih ada taubat baginya. Tatkala itu, orang yang berilmu itu menyatakan bahawa siapakah yang menghalangi antara dirinya dengan taubat? Katanya lagi, “jika kamu ingin bertaubat, tinggalkanlah desa ini. Pergilah ke desa di mana penduduknya mengamalkan ajaran yang benar dan berakhlak mulia kerana di sana ada sekelompok manusia yang menyembah Allah Ta’ala. Maka sembahlah Allah bersama mereka, dan janganlah engkau kembali kembali ke kampungmu, kerana ia adalah kampung yang jelek.”

Ketika dalam perjalanan taubatnya, Allah telah mencabut nyawanya, menimbulkan perselisihan antara malaikat rahmat dan malaikat azab sama ada untuk memasukkannya ke syurga atau neraka. Malaikat rahmat berkata, “Ðia (bekas pembunuh) ini telah datang dalam keadaan bertaubat lagi menghadapkan hatinya kepada Allah Ta’ala.” Malaikat adzab berkata, “Orang ini sama sekali belum mengamalkan suatu kebaikan.” Lalu mereka (para malaikat itu) pun didatangi oleh seorang malaikat dalam bentuk seorang manusia. Mereka (para malaikat) pun menjadikannya sebagai hakim.

Allah mewahyukan kepada desa yang ingin ditujunya supaya mendekat dan sebaliknya kepada tempat tinggal lamanya. Malaikat (yang menjadi hakim) berkata, “Ukurlah antara dua tempat itu; ke mana saja lelaki itu lebih dekat, maka bererti dia ke situ.” Mereka mengukur jarak sang pembunuh dengan kedua-dua desa itu. Ternyata lelaki itu lebih dekat ke negeri yang dia inginkan. Akhirnya malaikat rahmat menggenggam (ruh)nya. [mafhum HR Bukhari dalam Kitab Al-Anbiyaa’, bab: Am Hasibta anna Ashhaba Kahfi war Roqim (3283), Muslim dalam Kitab At-Taubah, bab: Qobul Taubah Al-Qotil Wa in Katsuro qotluh (2766), Ibnu Majah dalam Kitab Ad-Diyat, bab: Hal li Qotil Al-Mu’min Taubah (2622)]

Hadis ini adalah hadis yang sahih dari Rasulullah SAW ketika baginda menceritakan sebahagian di antara berita-berita ghaib orang-orang Bani Isra’il. Berita ini baginda terima melalui wahyu dari Allah, bukan dari kitab Taurat atau Injil. Hadis ini banyak mengandung mutiara hikmah yang terpancar dari wahyu Allah Ta’ala. Para ulama telah mengeluarkan hikmah, dan faedah-faedahnya dalam kitab-kitab hadis.

Lihatlah betapa luasnya keampunan Allah terhadap hamba-Nya. Setiap kali hamba-Nya ikhlas memohon ampun, pintu taubat-Nya sentiasa terbuka. Biarpun setiap kali ia tergelincir dari taubatnya, Allah SWT akan tetap menerimanya selagi ia berusaha untuk kembali kepada-Nya.

Ringan bicara, beratnya terasa

Kita tahu Allah itu al-Ghaffar, Maha Pengampun yang amat sangat, tetapi, kita sering terlupa. Lihatlah sikap pendeta yang terbunuh akibat tersilap menghukum, begitulah sikap kebanyakan kita hari ini. Terlalu mudah dan pantas menjatuhkan hukuman berdasarkan emosi sehingga membunuh keinginan manusia kembali ke rahmat Allah SWT. Ringannya lidah mengungkapkan, “Rosak akidah kamu!”, “Kamu bukan lagi muslim!”, “Kamu kafir, sesat!”, “Allah tidak akan mengampunkan kamu!” Sedarkah kita, berat yang ditanggung akibat lidah yang tidak dijaga ini?

Ketahuilah, Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi dalam hadis yang lain pula yang bermaksud, “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis-hadis ini sebagai peringatan kepada sesiapa yang merendahkan orang lain seakan tidak mendapat rahmat, maka nantilah kebinasaan Allah buatnya.

Sikap prejudis dan buruk sangka seakan sudah menjadi liang-liang roma manusia. Hatta, para sahabat pernah memperkatakan perihal dosa dan keimanan Malik bin Ðukhsum lalu Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada seorang pun yangmengucapkan syahadah, bahawa tiada tuhan selain Allah, dan aku Rasulullah, yang masuk neraka atau dimakan api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Lakukan tugas kita sahaja

Selaku Muslim, kita yang seharusnya mencorak dakwah agama agar masyarakat lebih MESRA dengan Islam. Jadikan ia bukan hanya untuk orang-orang masjid dan surau sahaja, bahkan untuk semua anak-anak jalanan, muda-mudi di pusat hiburan dan di pentas pemerintahan.

Ðakwah itu memanglah sakit, mana ada dakwah yang sedap? Kalau hendak sedap, dalam masjid ada air cond sajalah tempatnya. Tapi itu setakat cakap, yang dicakapkan pula pada golongan yang sudah memang kaki masjid, sudah tentu memang yang baik-baik belaka, berdakwah di kalangan orang yang memang sedia ‘balik’… eh… Jadikanlah kisah “Ustaz pun boleh fed-up?” satu teladan untuk kita.

Ði saat kita berada dalam kemanisan rahmat-Nya, berusahalah menjadi guider kepada manusia yang ingin kembali mencari cinta Allah agar semua Muslim seiring menuju ke syurga. Kita tidak pernah dilantik menajdi wakil Tuhan dalam menentukan syurga neraka bagi manusia lain. Pentas-pentas ilmu bukan untuk dicanang azab neraka dan seksa-Nya semata-mata, lalu melupakan Allah itu Maha Peampun dan Pengasih.

Ðaripada Abu Musa r.a., katanya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Allah Azza wa Jalla membentangkan tangan-Nya di malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang berdosa di siang hari, dan membentangkan tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari, sehingga matahari terbit dari barat.” (Hadis riwayat Muslim)

Lalu, adakah wajar kita mengambil-alih tugas-Nya?

Renung-renungkan....




Sumber : Irsyadi Abu Bakar, iLUViSLAM#66

Capaian entry berkaitan :
* Ustaz pun boleh fed-up?
* Lakukan kerja kita, jangan lakukan kerja Tuhan
* Siapalah kita di sisi Allah?
* Sentiasalah menginsafi diri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...