“Apa hal aku nak pergi tempat dia? Aku lebih tua daripada dia, jadi dialah yang kena datang jumpa aku. Lagipun aku lebih kaya daripada dia, jatuhlah standard aku kalau aku yang pergi menghadap dia.”
Selalu benar kita dengar ungkapan ini, jika pun tidak terlahir secara nyata, ia sekadar berbisik dalam hati. Walaupun sekadar berbisik dalam hati, tetapi kenyataan ini jelas menyerlahkan sifat takbur, bongkak, sombong dan angkuh individu. Ini sudah tentunya bukan sifat yang harus menjadi cermin peribadi seorang muslim. Sifat takbur, bongkak, sombong dan angkuh jelas asalah sifat yang dibenci dan diharamkan Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong takbur.” (Surah an-Nahl [016], ayat 23)
Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya agar tidak bersifat takbur melalui hadis-hadis baginda. Antara sabda Rasulullah daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. bahawa baginda SAW bersabda yang maksudnya, “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari kesombongan dan tidak akan masuk neraka orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari iman.” (Hadis riwayat Muslim, Ibnu Mas’ud dan Ibnu Majah)
Dari Abu Salmah bin Abdur Rahman, Abdullah bin Amr dan Abdullah bin Umar berjumpa di Shafa. Kedua-dua bergandingan lalu Ibnu Amr Berlalu dan Ibnu Umar berdiri menangis, mereka bertanya, “Mengapa engkau menangis, hai Abi Abdurrahman?” Dia berkata, “Itu!”, yakni Abdullah bin Amr. Ia mengira dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang hatinya ada kesombongan sebesar biji sawi, Allah akan membanting mukanya ke Neraka.”
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang menyombongkan dirinya (takbur) di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka (yang bersifat demikian) jika melihat tiap-tiap ayat (Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk (hidayah), mereka tidak mahu menempuhnya (tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui), tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya (mengambilnya sebagai jalan yang dilalui). Yang demikian itu, adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya.” (Surah al-A’raaf [007], ayat 146)
Juga sabda Rasulullah SAW lagi dalam hadis Qudsi yang bermaksud, “Allah berfirman, sifat kesombongan itu kain selendang-Ku dan sifat kebesaran itu kain sarung-Ku. Maka sesiapa merampas dari-Ku salah satu daripada kedua-duanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam neraka jahanam dan tidak Aku pedulikan dia lagi.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan lain-lain)
Kita seharusnya menjauhi sifat-sifat tercela kerana Islam amat melarang umatnya bersifat seperti sombong, takbur, riak, keras kepala, suka tamak dan sebagainya kerana semua sifat-sifat ini boleh menyeret seseorang itu ke dalam neraka. Seperti yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bukankah aku telah memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakannya untuk kebaikan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sombong! Memang tidak seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT memiliki sifat sombong di hadapan Allah SWT kerana kita adalah ciptaan-Nya. Sungguh tidak ada apa-apa kehebatan pun pada kita jika hendak dibandingkan dengan kebesaran Allah SWT. Cukuplah seseorang itu dikatakan sombong jika menolak kebenaran dan suka merendahkan orang lain.
Cerita tentang kesombongan, takbur, selalu membanggakan diri adalah sebuah kisah yang lebih tua jika dibandingkan dengan permulaan kehidupan manusia di muka bumi ini. Ia berlaku ketika Iblis enggan bersujud pada makhluk bernama Adam disebabkan rasa penciptaan dan statusnya yang lebih baik. Allah melihat tingkah dan sikap Iblis ini dengan firman-Nya, “Hai Iblis, apakah yang menghalang mu untuk bersujud kepada yang telah Ku ciptakan. Apakah kamu menyombongkan diri (takbur) atau kamu merasa termasuk orang-orang yang lebih tinggi?” Iblis terus menjawab, “Ya Allah, aku (memang) lebih baik jika dibandingkan dengan Adam. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan Adam, Engkau ciptakan dari tanah.” Mendengar jawapan Iblis yang sombong, Allah berfirman, “Keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir.”
Lahir batin
Ulama berpendapat, sifat takbur terbahagi kepada dua, iaitu takbur batin dan takbur lahir. Takbur batin adalah perilaku seseorang yang digerakkan oleh hati. Tidak kelihatan dari luar, kadangkala diperlihatkan melalui lisan atau mungkin dalam jelingan mata yang ber‘nada’ menghina. Contohnya, orang yang rasa dirinya serba pandai akan menutup dirinya daripada sebarang pandangan dan kritikan, malah pendapat orang lain tidak dipandang sebelah mata pun. Orang lain pada matanya semuanya bodoh belaka.
Apabila takbur batin bersarang di dalam hati, tidak mustahil akan terbentuk takbur lahir. Ini dilahirkan melalui perbuatan dengan kalan mendongak, menghentak kaki atu tangan bercekak pinggang. Apabila bercakap, dia sahaja yang betul. Kalau hendak menegur orang, hanya dengan orang yang dirasakan setaraf atau lebih tinggi daripadanya.
Sifat orang takbur dan sombong :
- Tidak sanggup untuk merendah diri
- Tidak dapat meninggalkan perasaan hasad dengki dan dendam
- Tidak selalu benar kata-katanya
- Tidak sabar dan pemarah
- Tidak mahu dengar nasihat, suka mengumpat, ejek dan menghina orang
Punca takbur
Seseorang itu jadi takbur kerana rasa dirinya lebih tinggi, lebih ilmu, lebih pandai dan lebih mulia daripada orang lain. Dia merasakan dirinya sempurna dalam segala hal. Ulama berpandangan terdapat tujuh keadaan yang membawa pada takbur, iaitu kerana dirinya banyak ilmu, kuat beribadat, takbur kerana keturunan, kerana kecantikan yang dimilikinya, kerana harta, kerana memiliki kekuatan dan kerana ramai pengikut.
Orang yang banyak ilmu memang biasa terdedah pada sifat takbur kerana dia diperdaya syaitan apabila dia mengaku dirinya lengkap dan berilmu tinggi. Mungkin kerana ilmu itu bukan ilmu yang hakiki. Ilmu hakiki adalah ilmu yang benar yang dapat mendekatkan diri dengan tuhan dan sedar bahaya jika ilmu tidak diamalkan. Jika dia berilmu benar, dia sepatutnya rasa takut, rendah diri, bukan angkuh dan sombong di muka bumi Allah SWT.
Ilmu pengetahuan yang dapat menolak dan menghilangkan sifat takbur adalah dengan mengenali diri sendiri dan mengenali Allah SWT. Jiwa belum bersih walaupun diri penuh berilmu, jadi langkah seterusnya untuk membersihkan hati adalah dengan menerima nasihat, bertaubat, tingkatkan ilmu dan ketakwaan. Jangan jadi seperti orang jahil yang menerima ilmu, tidak sekadar menghafaz dan menambah takbur dalam hati.
Kuat ibadat
Orang yang banyak beribadat juga sering diuji sehingga menjadi takbur. Antaranya mereka beribadat untuk mendapatkan perhatian atau pujian dan merasa dirinya seorang saja yang mendapat hidayah Allah dan menganggap orang lain semuanya jahil dan akan masuk neraka.
Sakit hati kerana diri dianiaya atau disakiti? Lazimnya, kita akan mendoakan keburukan pada orang berkenaan, biar Allah timpakan dia azab padanya! Cubalah bersikap sebaliknya, contohi Rasulullah SAW yang sering mendoakan orang yang bersikap sombong terhadapnya agar orang itu diampuni dan beroleh hidayah Allah SWT. Kadang-kala apabila orang yang sombong itu ditimpa malapetaka selepas dia menganiaya kita, mulut kita langcang berkata, “Itulah sombong sangat. Baru padan muka, dia ingat dia boleh main-main dengan aku!” Orang sombong yang mendapat pembalasan itu sudahlah pasti keadaannya, sekarang kita pula hendak mengikut jejak langkahnya? Itu sama sekali bukan sikap yang terpuji!
Tawaduk
Lawan kepada sifat takbur, sombong adalah merendah diri, disertai dengan hormat-menghormati, tiada perasaan tinggi rendah, hina atau mulia. Sifat tawaduk sudah ditunjukkan Rasulullah SAW melalui amalan baginda dalam kehidupan sehariannya. Antaranya, Rasulullah SAW begitu sederhana dalam makan minum, berpakaian, berkenderaan dan lain-lain. Di rumah, baginda uruskan sendiri kerja rumah seperti memerah susu, menampal kasut, menjahit pakaian yang koyak dan makan bersama-sama pembantu.
Bagaimana untuk menghilangkan sifat takbur? Caranya adalah dengan ilmu pengetahuan dan mengamalkannya sekali. Ilmu pengetahuan yang dapat menilai dan menghilangkan sifat takbur adalah dengan mengenali diri sendiri dan mengenali Allah SWT. Apabila sudah kenal diri sendiri dan kenal Allah, itu akan menyedarkan dirinya bahawa dia layak sama sekali untuk memiliki sifat takbur. Sebaliknya dia akan rasa diri wajib merendah diri kerana insaf bahawa dirinya begitu kecil, kerdil di sisi Allah SWT, dan sifat kebesaran itu hanya layak untuk Allah semata-mata.
Panduan Imam Al Ghazali supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh
- Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.
- Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.
- Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.
- Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.
- Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.
- Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan didalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.
Cermin diri membentuk keperibadian mulia
- Senyum itu tanda kemesraan, diberi kepada manusia dianggap sedekah. Ketawa itu lambang kelalaian. Selalu dilakukan hati akan mati. Dibuat di hadapan manusia menghilangkan maruah diri.
- Setiap kesalahan yang dilakukan jadikanlah pengajaran, insaflah ini tanda kelemahan diri, kesalilah keterlanjuran itu dan berazamlah tidak mengulanginya lagi.
- Syukur nikmat dan sabar di dalam ujian amat mudah diucapkan tetapi amat sulit dilaksanakan.
- Kesenangan dan kemewahan selalunya membawa kepada kesombongan dan kelalaian. Kesusahan dan penderitaan itu, selalunya membawa kekecewaan dan putus asa, kecuali orang yang mukmin.
- Di antara tanda-tanda orang-orang yang sombong itu cepat melahirkan sifat marah, suka memotong percakapan orang, suka bermujadalah yakni bertegang leher, nampak di mukanya rasa tidak senang jika ada orang yang lebih darinya di satu majlis, bercakap meninggikan suara, pantang ditegur, tidak ada tanda-tanda kesal di atas kesalahan.
- Orang yang sudah hilang sifat marah - dayus, cepat melahirkan sifat marah - lemah mujahadah. Orang yang ada sifat marah tapi dapat disembunyikan kecuali di tempat-tempat yang munasabah inilah manusia normal.
- Tahu diri kita hamba itu adalah ilmu, merasa diri kita itu hamba itu penghayatan, yang kedua inilah akan lahir sifat tawaduk, malu, khusyuk, takut, hina dan lain-lain lagi sifat kehambaan.
- Jika kita mengingati dosa, kita tidak nampak lagi kebaikan kita, apatah lagi untuk dibanggakan.
- Lahirkan kemesraan kita sesama manusia kerana itu adalah haknya tapi jangan putus hati kita dengan Allah SWT, ini adalah hak-Nya pula.
- Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.
Milik Dia
Fahami dan hayati firman Allah SWT yang bermaksud, “Binasalah hendaknya manusia (yang engkar) itu; betapa besar kekufurannya? (Tidakkah dia memikirkan) dari apakah Allah menciptakannya? Daripada setitis air mani, Allah menciptakannya lalu dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik dan buruk) dipermudahkan Dia kepadanya (untuk menimbang dan mengambil masa satu yang ia pilih). Kemudian Dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur, kemudian apabila Dia menghendaki, Dia membangkitkannya kembali (hidup semula).” (Surah ‘Abasa [080], ayat 17-22)
Daripada firman Allah SWT itu, difahami bahawa manusia bermula daripada tiada, kemudian Allah ciptakan dia daripada bahan yang kotor (tanah), kemudian air mani, lalu menjadi pula segumpal darah, kemudian menjadi seketul daging, dicipta pula tulang-belulang yang dibungkus oleh daging itu. Ayat ini menggambarkan kejadian manusia berlaku secara bertahap, tidak terus jadi sempurna sebaliknya dengan proses, sehingga Dia sempurnakan bentuk manusia dengan nyawa dan kehidupan.
Kesimpulannya, manusia ini asalnya tiada. Apabila hidup, manusia masih miskin dan kekurangan. Allah yang memberikan segala-galanya; ilmu, harta, kekuatan dan segala nikmat lain. Nikmat itu bukanlah percuma, sebaliknya mesti ‘dibayar’ dengan berkhidmat semula kepada Allah dan berbuat baik kepada semua makhluk Allah yang lain.
Oleh itu jika ada niat mahu menyombong diri, takbur, angkuh dan bosan tidak tentu fasal, ingatlah semula; siapalah kita di sisi Allah SWT. Segala yang kita miliki ini adalah milik Dia yang abadi.
Capaian entry berkaitan :
Sumber : Nur, iLUViSLAM & tambahan sendiri
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...