“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Ogos 14, 2009

Kembalilah kepada Allah SWT


Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...

Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Kesedaran untuk kembali kepada Allah SWT setelah melakukan sesuatu kesalahan merupakan suatu anugerah. Bukan semua orang boleh berbuat demikian, melainkan dengan satu kesedaran yang digerakkan oleh Allah SWT yang penuh dengan sifat kasih sayangnya. Tanpa perlu mengira apa kesalahan yang dilakukan, kesedaran penyesalan dan taubat ini harus disuburkan tanpa rasa jemu.

Tidak salah untuk menyebutkan bahawa setiap insan ada buat salah. Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa setiap manusia ada melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Pernahkah anda melakukan kesilapan? Jika anda sedar yang anda telah melakukan sesuatu kesilapan, pernahkah timbul rasa kesal dalam diri dan bertaubat kepada Allah? Walaupun anda telah bertaubat, namun rasa gelisah masih menghantui diri, takut penyesalan tidak diterima. Kegelisahan itu sedikit sebanyak mengganggu rutin hidup seharian. Di bawah ini dipaparkan dua peristiwa yang boleh dijadikan pedoman oleh semua insan yang sedar tentang kelemahan diri serta ingin kembali kepada Allah SWT demi mengharap keampunan dan redha-Nya.

Seorang sahabat bernama Said bin Khudri menyebutkan bahawa Rasulullah SAW menceritakan kisah bagaimana seorang pembunuh kejam telah dibalas dengan balasan baik setelah bertaubat bersungguh-sungguh daripada perbuatan kejinya. Lelaki itu sangat kejam. Dia telah membunuh 99 orang. Selepas membunuh mangsanya yang ke 99, timbul rasa kesal dan ingin bertaubat dan meninggalkan kekejaman yang dilakukannya itu.

Bagi mendapat kepastian sama ada taubatnya akan diterima atau tidak, dia berjumpa dengan seorang alim bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang hasrat murninya itu. Dengan penuh pengharapan, dia bertanya kepada orang alim itu, “Tuan, saya telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Bolehkah saya bertaubat?”

Orang alim itu terkejut mendengar pengakuan lelaki itu. Dengan suara marah, orang alim itu menjawab, “Apa kamu membunuh 99 orang, baru sekarang hendak bertaubat?”

Apabila mendengar kata-kata orang alim itu, lelaki itupun mengeluarkan pedang lalu membunuhnya. Maka genaplah seratus orang telah menjadi mangsa perbuatan kejamnya. Namun hasrat ingin bertaubatnya masih terus membara. Dia meneruskan perjalanan mencari orang alim bagi mendapatkan penjelasan. Akhirnya beliau bertemu dengan seorang alim yang lain pula.

Pintu taubat sentiasa terbuka

Dia bertanya, “Tuan, saya telah membunuh seratus orang. Bolehkah saya bertaubat daripada kesalahan saya itu?” orang alim itu dengan tenang menjawab, “Siapakah yang dapat menghalang saudara daripada bertaubat? Keluarlah saudara daripada kampung di mana saudara tinggal sekarang kerana ia kampung yang rosak. Pindahlah ke kampung yang lebih baik.”

Mendengar nasihat orang alim itu, lelaki itupun berhijrah dari kampung asalnya dan pergi ke kampung yang dimaksudkan. Namun, semasa dalam perjalanan, dia menemui ajalnya. Waktu itu dia belum pun sampai ke tempat yang hendak ditujuinya. Maka malaikat pembawa rahmat datang berebut-rebut untuk mengambil rohnya. Tiba-tiba datang iblis dan berkata, “Aku lebih berhak atas roh lelaki ini kerana dia tidak pernah ingkar kepadaku ketika melakukan dosa-dosanya.”

Malaikat rahmat menjawab, “Dia sudah bertaubat daripada semua kesalahannya itu.”

Dalam perebutan itu akhirnya keputusan memihak kepada malaikat pembawa rahmat. Ini kerana apabila diukur jarak antara tempat dia menemui ajal dengan kampung yang rosak dan kampung yang baik, dia berada pada jarak yang lebih hampir dengan kampung yang baik daripada jarak dengan kampung yang rosak. Dengan itu Allah SWT telah mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

Amalan taubat amatlah dituntut. Pintu taubat sentiasa terbuka. Oleh itu bersegeralah bertaubat atas segala kesilapan yang telah dilakukan. Dengan sifat Maha Pengampun-Nya, insya Allah permohonan hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh akan diperkenankan-Nya.

Itu kes yang berlaku di zaman dahulu ; diceritakan oleh Rasulullah SAW. Pada zaman hidup Rasulullah, ada juga berlaku peristiwa yang hampir serupa. Ada seorang wanita yang hidupnya bergelumang dengan dosa berzina dan membunuh. Dia akhirnya sedar akan kesalahannya dan ingin kembali kepada cara hidup yang diredhai Allah SWT. Sungguhpun begitu, dia berasa bingung sama ada dirinya akan diampuni Allah SWT ataupun tidak. Dia sedar dosa-dosanya terdahulu amat berat dan takut-takut taubatnya tidak diterima. Perasaan itu bermain-main dalam pemikirannya sehingga hidupnya tidak tenteram.

Pada suatu malam, ketika sedang duduk mengenangkan nasib dirinya, wanita itu ternampak seorang sahabat karib Rasulullah SAW iaitu Abu Hurairah. Abu Hurairah dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari masjid. Tanpa berlengah, wanita itu pergi mendapatkan Abu Hurairah dan bertanya kepadanya, “Wahai Abu Hurairah, saya telah melakukan dosa besar kepada Allah. Adakah pintu taubat masih terbuka bagi orang seperti saya?” Abu Hurairah bertanya, “Apakah dosa besar yang kamu lakukan?” wanita itu menjawab, “Saya pernah berzina sehingga melahirkan anak lelaki, kemudian saya bunuh anak itu kerana malu.”

Mendengar jawapan itu, Abu Hurairah terus berkata, “Habislah kamu, tidak ada pengampunan bagi orang seperti kamu, kesalahan kamu amat besar.” Mendengar kata-kata sahabat baik Rasulullah SAW itu, wanita itu amat sedih mengenangkan nasib dirinya. Betapa besar dosanya kepada Allah SWT hingga tidak akan diampunkan lagi.

Tiba-tiba Abu Hurairah terfikir, “Aku telah menjatuhkan hukum kepada wanita tadi, sedangkan Rasulullah SAW masih hidup. Mengapa aku tidak merujuk masalah itu kepada baginda dahulu.”

Pada keesokkan harinya, Abu Hurairah mendapatkan Rasulullah SAW dan mengadu apa yang berlaku malam sebelumnya. “Wahai Rasulullah, malam tadi saya bertemu dengan seorang wanita yang datang meminta fatwa daripadaku tentang kesalahan dirinya. Dia banyak melakukan dosa besar dan ingin bertaubat. Lalu saya mengatakan bahawa dosa-dosanya tidak akan diampunkan Allah SWT.”

Tebus kesalahan

Mendengar kata-kata Abu Hurairah itu, Rasulullah SAW bersabda, “Di manakah pertimbangan kamu tentang firman Allah SWT: Dan mereka tidak menyembah selain Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan kecuali atas alasan yang betul dan tidak pula berzina. Barang siapa melakukan perkara yang ditegah, mereka akan mendapat balasan atas kesalahannya. Akan digandakan untuknya azab seksa pada hari kiamat dan mereka kekal di slam azab itu dengan penuh kehinaan, kecuali orang-orang yang menyesal dan memohon ampun dan percaya serta taat kepada Tuhan dan mengerjakan amalan kebaikan, makan Tuhan akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan. Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (QS al-Furqaan [025], ayat 68~70)

Selepas mendengar teguran Rasulullah SAW, Abu Hurairah rasa bersalah pada dirinya. Dia bertindak secara melulu tanpa usul periksa hingga menghampakan wanita itu untuk kembali ke jalan Allah SWT. Dia rasa bersalah terhadap wanita itu dan ingin menebus kembali kesalahannya semalam.

Abu Hurairah beredar bagi mendapatkan wanita itu. Dia pergi ke bandar Madinah, bertanyakan orang awam yang lalu-lalang. Akhirnya dia bertemu dengan wanita itu setelah seharian mencari, lalu menyampaikan pesanan Rasulullah SAW bahawa pintu taubat sentiasa terbuka untuknya dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Apabila wanita tersebut mendengar penjelasan Abu Hurairah, hatinya terharu sambil menitiskan air mata tanda kegembiraan. Dia berkata, “Saya ada sebuah dusun dan saya ingin dermakan dusun itu kepada fakir miskin.”

Sesungguhnya kasih sayang Allah dan sifat pengampunan-Nya maha luas. Mohonlah keampunan tanpa perlu ada rasa ragu dan jemu. Basahi lidah dengan kalimah istighfar berserta amal soleh demi mencari keredhaan-Nya. Mudah-mudahan kita kembali kepada-Nya dalam keadaan ‘putih bersih’ seperti mana dulu kita dilahirkan.

Renung-renungkan!

Sumber : RMJ-MW

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails