~ gambar hiasan ~
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
TEKANAN perasaan atau stres sudah menjadi lumrah kehidupan masyarakat hari ini. Tekanan perasaan boleh berlaku sama ada di rumah, di tempat kerja mahu pun ketika memandu di jalan raya. Tekanan perasaan yang sederhana adalah baik kerana ia mendorong seseorang menjadi lebih bermotivasi dan cergas. Namun, tekanan perasaan keterlaluan boleh mengganggu emosi, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, malah menyebabkan seseorang mudah diserang penyakit seperti gastrik, sakit jantung dan penyakit saluran pernafasan.
Cara seseorang itu mengendalikan tekanan perasaan akan menentukan sejauh mana mereka dapat menjalani kehidupan dengan sempurna serta bebas daripada tekanan perasaan melampau. Kita percaya dalam kehidupan yang semakin mencabar tidak semua orang berupaya dan mampu menguruskan tekanan perasaan mereka dengan baik.
Kajian oleh syarikat media dan maklumat, Nielsen berpangkalan di Amerika Syarikat mendapati wanita lebih mudah mengalami tekanan perasaan berbanding lelaki. Kajian itu juga mendapati wanita Malaysia berada pada kedudukan ke-16 dengan 44% wanita, termasuk dalam kumpulan itu. Daripada lebih 27 juta penduduk Malaysia ketika ini, seramai 13.5 juta adalah wanita. Kajian itu dijalankan antara Februari hingga April lalu membabitkan 6,500 wanita di 21 negara dengan wanita di India mendahului senarai dengan 87% mengalami tekanan perasaan.
Walaupun kajian itu tidak menggambarkan emosi keseluruhan wanita di negara ini, namun sekurang-kurangnya ia menjadi petunjuk mengenai keadaan yang berlaku. Hasil kajian itu, mendapati wanita lebih mudah terdedah kepada tekanan perasaan. Antara faktornya mereka mencurigai suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, anak tidak berjaya dalam pelajaran dan tidak bekerja. Justeru, wanita perlu mencari pendekatan terbaik dan sesuai untuk menangani tekanan emosi supaya ia tidak menjadi semakin serius. Kita memahami wanita di mana-mana negara, termasuk di negara ini mempunyai tanggungjawab berat, terutama mereka yang berkerja.
Di samping tumpuan terhadap kerjaya di pejabat, mereka juga turut memikul tugas sebagai isteri dan ibu di rumah. Di sinilah pentingnya peranan ahli keluarga, terutama suami agar menjaga perasaan isteri dan tidak mencetuskan sebarang keadaan yang boleh menyebabkan tekanan perasaan terutama rasa curiga dalam hubungan rumah tangga.
Kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga boleh tergugat sekiranya isteri yang menjadi ibu kepada anak tidak dapat mengawal tekanan perasaan. Amat penting setiap anggota keluarga mempunyai sifat saling mempercayai, persefahaman dan permuafakatan kerana ia bukan saja dapat mengekalkan kemesraan, malah mampu menghindari perasaan curiga dan cemburu.
Sumber : BHarian 21/07/2011
Capaian entry berkaitan :
* Wanita Malaysia di tangga ke-16 paling tertekan
* Tips menangani tekanan (stress)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...