KUALA LUMPUR: Curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja antara faktor ramai wanita di negara ini mengalami tekanan perasaan.
Bagi yang bekerja pula, ada yang menghadapi tekanan kerana terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapat pengiktirafan majikan berbanding lelaki kerana persepsi lelaki lebih berupaya memegang sesuatu jawatan.
Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim, berkata wanita terlallu mementingkan kesempurnaan berbanding lelaki sehingga ada yang memandang serius persepsi orang lain terhadap diri dan keluarga, berbanding lelaki yang lebih tenang dan tidak mudah dikuasai emosi.
“Jika tidak dibendung, tahap tekanan perasaan semakin meningkat sehingga menyebabkan ada yang tidak mampu mengawal perasaan dan bertindak di luar jangkaan,” katanya.
Beliau mengulas kajian syarikat media dan maklumat, Nielsen di Amerika Syarikat mengenai golongan paling tertekan di dunia yang dilaporkan di media kelmarin. Wanita Malaysia pada tangga ke-16 dengan hasil kajian mendapati 44% wanita termasuk dalam kumpulan ini.
“Apabila prestasi anak merosot, wanita cenderung untuk memarahi anak atau berleter kerana rasa bertanggungjawab, sekaligus meningkatkan tekanan perasaan, berbanding bapa yang lebih tenang memberi nasihat.”
“Wanita juga berusaha sedaya upaya menyelamatkan hubungan walaupun sudah tiada harapan. Jika keluarga bahagia, mereka sendiri mencetuskan tekanan termasuk curiga terhadap suami,” katanya.
Kajian antara Februari hingga April lalu membabitkan 6,500 wanita di 21 negara dengan wanita di India mendahului senarai berkenaan dengan 87%. Sebanyak 13.5 juta daripada lebih 27 juta penduduk di negara ini adalah wanita.
Bagaimanapun, Dr Wan Halim yang juga perunding konflik keluarga hampir 40 tahun, berkata, kedudukan ke-16 itu agak baik dan menunjukkan wanita negara ini bijak menangani tekanan, berbanding di India dengan wanitanya menghadapi masalah ekonomi yang teruk termasuk membayar wang hantaran perkahwinan dan ada dianggap membawa sial.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fazil Che Din, pula berkata, wanita di negara membangun seperti Malaysia amat mementingkan kerjaya, terutama selepas peluang diberi untuk mereka memegang jawatan yang dahhulunya dikuasai kaum lelaki.
“Wanita terpaksa berusaha dua kali ganda mendapat separuh pengiktirafan yang diberikan kepada lelaki kerana masih wujud persepsi wanita tidak boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik daripada lelaki,” katanya.
“Wanita dididik untuk sentiasa bertanggungjawab sejak kecil dan mereka suka mengambil tanggungjawab itu.” Datin Paduka Rakibah Abd Manap ~ Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor.
“Wanita perlu bijak tangani tekanan dan tidak terlalu pentingkan kerjaya sehingga mengabaikan kesihatan fizikal dan emosi.” Loke Yim Pheng ~ Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan.
Enggan dicerai punca ramai wanita tertekan, ada pasangan sanggup tinggal berasingan hingga mati
Hidup berasingan dengan suami kerana tiada keserasian serta mahu mendapatkan hak penjagaan anak walaupun tidak mampu adalah antara yang sering dihadapi wanita sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan perasaan.
Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman, berkata berdasarkan pengalaman mengendalikan kursus konflik keluarga sejak 40 tahun lalu, ramai wanita yang enggan menerima kenyataan rumah tangga mereka sudah tidak boleh diselamatkan tetapi tidak mahu diceraikan.
“Ada kes wanita yang tinggal berjauhan dengan suami selama 20 tahun kerana tidak sanggup diceraikan. Ada yang sampai meninggal dunia hidup berasingan.
“Bagi kes seperti ini, saya sering nasihatkan mereka terus tinggal berasingan jika kedua-dua pihak tidak mahu berkahwin lain apabila bercerai. Wanita juga jangan terus terlalu berusaha memperbaiki hubungan itu,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Semalam, Berita Harian melaporkan mengenai faktor yang mendorong wanita di Malaysia mengalami tekanan perasaan termasuk curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja, selain wanita bekerja yang terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapatkan pengiktirafan majikan, berbanding lelaki.
Dr Wan Halim berkata, ada juga kes ibu tunggal yang mengalami tekanan perasaan bertahun-tahun akibat dipukul suami dan selepas suaminya meninggal dunia, dipukul pula anaknya.
“Jika isteri dipukul suami, mereka mesti cuba melawan kerana jika tidak, anak akan melihat ibunya tidak kisah dipukul. Saya simpati melihat golongan yang datang meluahkan perasaan seperti sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup,” katanya.
Beliau juga berkata, ibu tunggal yang tidak mampu menjaga anak perlu melepaskan hak penjagaan kepada suami kerana keinginan untuk menuntut hak itu walaupun berdepan kekangan kewangan menyebabkan tekanan perasaan yang kronik.
Pakar nasihat kawal emosi elak gila
Tekanan perasaan jika tidak dikawall dengan baik boleh menyebabkan gangguan kepada sistem saraf sehingga mendorong seseorang menjadi gila.
Wanita perlu peka terhadap gangguan emosi sementara yang dialami sebelum menjadi gangguan kekal yang menyebabkan mereka mengalami gejala neurosis termasuk sukar tidur dan menggeletar.
Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fadil Che Din berkata, individu tertekan meluahkan perasaan melalui perbuatan termasuk melepaskan marah kepada orang yang rapat, memukul atau menendang sesuatu, malah melakukan amalan spiritual termasuk membela hantu.
“Ada lima pola tindak balas pemikiran manusia dan jika sampai ke tahap empat dan lima, boleh menyebabkan wanita memusnahkan diri untuk meraih perhatian dan simpati, malah lebih teruk jika meluahkannya kepada orang lain seperti mendera anak atau mencederakan suami,” katanya.
Dr Mohd Fadzil yang juga pakar kaunseling dan psikologi berkata, berbanding lelaki, wanita lebih mudah mendapatkan khidmat pakar psikiatri jika berdepan tekanan perasaan kerana berfikiran terbuka.
Sementara itu, pakar psikologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman berkata, wanita perlu bijak mencari ruang menghilangkan tekanan dan tidak takut melepaskannya dengan cara yang betul, termasuk melalui aktiviti seperti bersukan dan keluar bersama rakan.
“Jika suami melarang isteri keluar rumah untuk bersukan, cuba berbincang dengannya. Begitu juga jika majikan meminta kita melakukan sesuatu yang mustahil, cuba luahkan pandangan dan jangan takut jika kita benar,” katanya.
Sumber : BHarian 20/07/2011 dan BHarian 21/07/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...