PAGE
▼
Isnin, Ogos 22, 2011
Jatuh cinta di bulan Ramadan
Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Selama ini kita sibuk mengamalkan segala petua-petua untuk menghangatkan cinta pada pasangan, namun pernahkah kita bertafakur bagaimana mencintai Allah SWT? Tidakkah Yang Maha Mencinta itu lebih utama untuk didekati? Malangnya, kita hanya fokus mendekati pasangan sahaja. Tidakkah Yang Maha Lembut dan Pemurah itu lebih layak untuk dipersembahkan kesetiaan? Tetapi kita lebih berghairah untuk membuktikan setia kepada si dia. Padahal, tanda orang beriman adalah mereka yang sangat dalam cintanya kepada Tuhannya.
Biasanya kita hanya berasa dekat kepada Allah SWT saat ditimpa musibah dan sungguh hamba yang luar biasa sahaja yang tetap mengingati Allah SWT saat dia bergembira. Ramai yang khusyuk ketika tidak terlalu disibukkan hal dunia, tetapi susah bagi kita tetap menangis kerana Allah pada saat kita sibuk memanjang seharian mengejar dunia. Apabila terjadi konflik dengan pasangan, cuba anda bertanya apakah puncanya kerana anda jauh dari Allah SWT? Jawabnya mesti ya, kerana hati yang jauh dari Tuhan menjadi keras, berpenyakit dan merosakkan diri dan orang lain.
Sekian lama kita menjejaki belantara dunia ini, kita akan keletihan dan tertekan tanpa kekuatan dari Allah SWT. Oleh itu Allah SWT menyediakan bulan Ramadan ini khas bagi mereka yang mahu jatuh cinta lagi. Ramadan menyediakan pakej istimewa bagi orang mukmin yang mahu mendalami makna cintanya kepada Allah SWT.
Apakah persediaan untuk jatuh cinta lagi kepada Yang Maha Mencinta setelah lama kita melupakan-Nya?
1 – Hati yang bersyukur
Kita tidak akan pernah merasa bahagia dengan harta, pangkat, kecantikan, kedudukan, ilmu dan kemasyhuran tetapi yang membuat kita bahagia hanya satu, iaitu rasa syukur dalam setiap keadaan. Bukankah ramai orang yang berduit dan cantik tidak bahagia jika dia tidak bersyukur? Orang yang bersyukur membuat syaitan tidak senang duduk hinggakan dia bersumpah kepada Allah SWT : “Aku akan mendatangi mreka dari muka dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Ðan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan daripada mereka yang bersyukur.” (Surah al-A’raf ayat 16)
Mengapa syaitan bersumpah hendak menjahanamkan manusia dengan cara melupakan daripada rasa syukur kepada Allah SWT? Kerana rasa syukur itu memancing cinta dari langit. Kalau anda ada seorang anak yang pandai berterima kasih, selalu mengingati jasa ibu bapanya, membalas kebaikan kita dengan kebaikan yang lebih baik, bukankah mustahil anda tidak sayang dan cintainya? Begitu pula halnya hubungan kita dengan Allah, siapa yang paling banyak bersyukur dialah yang layak untuk cinta-Nya.
Saat berpuasa semua orang yang ikhlas akan gembira dengan ibadahnya, bukannya merungut dan mencari alasan tidak produktif kerana puasa. Syukur ketika berpuasa digambarkan dengan rasa seronok melebihkan ibadah dan cepat menangis bila kenangkan kebaikan-kebaikan Tuhan. Badan lebih cergas melawan rayuan syaitan dan nafsu jahat yang menghalang-halangi ke jalan Allah SWT. Sikap kita lebih terkawal, bertenang saat diuji, mengalah ketika diprovokasi dan akal lebih cemerlang dari emosi.
Ketika itu melimpahlah cinta dari langit jatuh ke dasar hati orang mukmin. Tergambar jelas di wajah mereka bekas-bekas syukur yang memancarkan kegembiraan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Ðua kegembiraan bagi orang berpuasa, ketika dia berbuka dan ketika dia bertemu Tuhannya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
2 – Takut dan harap kepada Allah SWT
Jika seharian kita tidak memiliki rasa takut dan harap kepada Allah SWT, maka hari itu pasti menjadi hari yang bruruk, penuh dosa dan kelalaian. Takut danharap tidak lahir begitu saja tanpa tafakur, berfikirlah tentang Allah supaya kita merasainya. Siapakah yang boleh menjamin hari ini dia akan selamat dari mara bahaya? Anak-anak dan keluarganya terjaga dari musibah, hartanya dilindungi, jiwa dan maruahnya diperlihara dari kejahatan manusia? Hanya pada Allah kita meminta pertolongan dan kepada-Nya kita takut dan berharap.
Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud, “Jagalah Allah, nescaya Ðia akan menjagamu. Peliharalah Allah (dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) nescaya kamu akan mendapatkan-Nya di hadapanmu… Ketahuilah sekiranya umat ini berhimpun untuk memberikan kebaikan kepadamu, nescaya mereka tidak boleh memberinya kecuali apa yang telah ditetapkan kepadamu dan apabila mereka berhimpun hendak memberi kemudharatan kepadamu, nescaya tidak boleh mereka melakukannya melainkan apa yang sudah ditetapkan Allah kepadamu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)
Cukuplah rasa syukur dipadukan dengan takut dan harap kepada Allah membentuk jiwa hamba yang layak menerima cinta Allah dan dicintai manusia lainnya. Mari bersyukur, takut dan harap kepada-Nya setiap hari di bulan suci ini.
Sumber : Ðr Juanda Jaya, MW#1446
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...