PAGE

Selasa, Ogos 23, 2011

Manusia perlu bijak hadapi pilihan takdir

Hitam atau putih...?

Assalamualaikum warahmatullah,

Entry ini diusahakan setelah membaca perbincangan tentangnya di egrup yang saya sertai. Ia berkisar tentang penjelasan Surah an-Nuur ayat 26 yang bermaksud, “Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).”

Persoalan yang dibangkitkan daripada ayat ini ialah, “Bagaimana dengan Isteri Nabi Luth? Dan juga di sekeliling kita kadang ditemui yang isterinya baik, suaminya suka curang?”

Tidak dinafikan, jawapan standard seorang ustaz akan menjelaskan begini : Bunyi ayat tersebut adalah rujukan dasar dan keadaan dasar lelaki baik untuk wanita baik dan sebaliknya. Jika terjadi kisah yang tidak demikian ada beberapa kemungkinan, iaitu, adanya hikmah ilahiyah yang Allah inginkan, misalnya isteri Nabi Lut. Salah satu hikmahnya adalah suami baik tidak ada jaminan menshalihkan isterinya. Semua kehendak Allah. Boleh jadi orang yang kita lihat baik tidak benar-benar soleh (baik). Pada dasarnya dia tidak baik, sehingga mendapat pasangan yang tidak baik. Atau Allah sedang menguji orang baik ini dengan pasangan yang tidak baik.

Jawapan sebegini sebenarnya mampu mengundang rasa tidak puas hati kepada si penanya. Tidak mustahil ada yang menyatakan diri mereka baik, tetapi mengapa mereka mendapat pasangan yang buruk benar akhlaknya. Lantas, ada yang mempersoalkan dimanakah ‘janji’ Allah yang terdapat di dalam ayat al-Quran yang disebutkan di atas?

Memetik kata-kata seorang sahabat Khairani Darus [kbdarus@yahoo.com], jawapan standard sebegini tidak mustahil akan menyebabkan kaum muslimin lemah. Kita telahpun meletakkan mind set, kita perlu berserah kepada takdir, perkara yang tidak jelas (grey spot), sedangkan dalam kehidupan kita, ‘no such thing as a grey spot, either black or white’. Bila kita terlalu berserah kepada takdir, maka kita akan selesa dengan kehidpan ala kadar dan mudah mengalah dengan memberi jawapan seperti ‘sudah setakat itu saja rezeki aku’ atau ‘sudah suratan takdir aku begini’ dan seumpamanya. Kita sendiri yang meletakkan diri dalam ‘comfort’ zone dan tidak mahu berusaha untuk mendapatkan situasi yang lebih selesa.

Sebenarnya, persoalan tentang ayat ini telahpun dikupas dalam entry Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja?. Semoga kita diberi kefahaman yang lebih dalam untuk ayat yang selalu dipersoalkan ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya soalan berkaitan dengan takdir dan usaha manusia. Jika memang benar Allah telah mentakdirkan segala sesuatu terhadap manusia, maka apakah erti penilaian Tuhan terhadap usaha manusia?

Manusia perlu bijak hadapi pilihan takdir

Apakah yang dimaksudkan dengan takdir? Kalimah takdir diambil daripada kata qaddara yang antara lain bererti memberi qadar atau ukuran. Jika kita berkata: “Allah mentakdirkan”, itu bererti “Allah memberikan kadar atau ukuran atau batas tertentu dalam diri, sifat dan kemampuan makhluk-Nya.”

Segala sesuatu sama ada kecil atau besar ditetapkan oleh Allah takdir baginya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 2 yang bermaksud, “(Allah) yang menciptakan segala sesuatu lalu Dia menetapkan atasnya Qadar (ketetapan) dengan sesempurnanya.”

Dalam surah Yasin ayat 38, Allah SWT berfirman: “Matahari beredar di tempat peredarannya. Demikian itulah takdir/ukuran yang ditentukan oleh (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Peristiwa-peristiwa yang terjadi di alam semesta ini, sama ada dari sudut kejadiannya, dalam kadar/ukuran tertentu, pada tempat dan waktu tertentu, itulah yang dinamakan takdir termasuk manusia. Peristiwa-peristiwa itu berada dalam pengetahuan dan ketentuan Tuhan.

Manusia mempunyai kemampuan terbatas sesuai dengan ukuran yang diberikan Allah kepadanya. Makhluk manusia sebagai contoh tidak dapat terbang. Ini adalah suatu takdir/ukuran batas kemampuan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Manusia tidak mampu melampauinya kecuali jika dia menggunakan akalnya untuk mencipta sesuatu alat. Namun begitu, akalnya juga mempunyai ukuran/batas yang tidak mampu dilampaui. Manusia tetap berada di bawah hukum-hukum Allah sehingga segala yang kita lakukan pun tidak terlepas dari hukum-hukum yang mempunyai kadar dan ukuran tertentu.

Hanya kerana hukum itu cukup banyak dan kita diberi kemampuan memilih, tidak seperti matahari dan bulan sebagai contoh. Maka kita dapat memilih yang mana di antara takdir atau ukuran-ukuran yang ditetapkan oleh Allah itu sesuai dengan kita. Pilihan adalah hak kita. Sebagai contoh ketika di Syam (yang dimaksudkan dengan Syam iaitu Syria, Palestin dan sekitarnya) berlaku wabak. Umar bin al-Khattab yang ketika itu mahu berkunjung ke sana, lalu membatalkan rancangannya. Ketika itu tampil seseorang bertanya: “Apakah kamu lari dari takdir Tuhan? Umar menjawab: “Saya lari dari takdir Tuhan ke takdir-Nya yang lain.”

Berjangkitnya penyakit adalah berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya. Bila seseorang tidak menghindari daripadanya, dia akan menerima akibatnya. Akibat yang menimpa itu juga dinamakan takdir. Bukankah Tuhan telah menganugerahkan kemampuan untuk memilih?

Syurga dan neraka adalah akibat daripada pilihan manusia masing-masing. Bukankah Allah menegaskan dalam surah al-Balad ayat 10 yang bermaksud: “Kami telah memberikan petunjuk kepadanya (manusia) dua jalan (baik dan buruk).” Begitu juga dalam surah al-Kahfi ayat 29 yang bermaksud: “Katakanlah, kebenaran bersumber dari Tuhanmu, maka siapakah yang ingin (beriman), silakan beriman. Dan siapakah yang ingin (kufur), silakan kufur.”

Pilihan itulah yang dinilai Allah dan atas dasarnya, Allah menetapkan balasan dan ganjaran. Allah mengetahui segala sesuatu berlaku, sama ada sebelum, sedang dan akan berlaku. Tetapi pengetahuan ini tidak ada kaitan dengan pilihan manusia. Jika seorang pelajar yang diketahui malas dan tidak akan lulus ujian, apakah pengetahuan guru itu menyebabkan ia tidak lulus? Tentu saja tidak. Begitulah pengetahuan Allah yang meliputi segala sesuatu.

Takdir bukan alasan

Berbalik kepada persoalan takdir ini, mari kita lihat pula situasi berikut :

Situasi 1 – “Saya berzina bukan kehendak saya tapi kehendak Allah. Allah dah takdirkan saya berzina sebab itu saya berzina. Kalau Allah tak benarkan, takkanlah saya nak berzina.”

Situasi 2 – “Isteri yang mengadu mengenai kesilapan suami sama seperti tidak percayakan qada dan qadar Allah. Allah dah takdirkan mengenai jodoh dan semua yang berkaitan dengannya. Kenalah terima dengan redha dan sabar. Barulah menepati konsep percaya kepada qada dan qadar.”

Situasi 3 – “Saya tak pernah berniat nak bercinta dengan suami puan. Suami puna pun bukanlah termasuk kategori lelaki pilihan saya. Tapi dah takdir tentukan saya bercinta dengan dia, saya tak boleh nak buat apa-apa.”

Meneliti ketiga-tiga penyataan yang dikongsikan di atas, anda tentu faham apa yang hendak diketengahkan di sini. Ya, ketiga-tiga situasi di atas terlalu mudah meletakkan kesillapan yang mereka lakukan kepada takdir Allah. Umum mengetahui, Allah SWT memang berkuasa dan berkehendak atas segalanya. Setiap yang berlaku adalah kehendak-Nya dan ketentuan takdir-Nya, tetapi takdir bukan alasan untuk anda menjadi hamba yang sesenang hati melakukan kesilapan kemudian menjadikan takdir sebagai alasan.

Aniaya diri

Mengapa takdir tidak boleh dijadikan alasan? Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...” (Surah ar-Ra’d ayat 11).

Ayat ini jelas menjadi bukti, biarpun segalanya adalah ketentuan-Nya dan berlaku dengan kehendak-Nya, setiap perbuatan tersebut mempunyai kaitan dan puncanya adalah diri kita sendiri. Logiknya, jika setiap perbuatan tak elok, buruk, keji dan menyalahi norma-norma kehidupan manusia atau menyalahi syarak boleh dipersalahkan kepada takdir, mengapa perlu diwujudkan hukuman bagi kesalahan tersebut?

Mengapa perlu ada penjara dan ada yang menjadi banduan? Tidak perlulah hukum pencuri atau pembunuh, sebab Allah yang takdirkan mereka mencuri atau membunuh. Begitukah? Mencuri akan menyebabkan kerugian harta orang lain. Membunuh akan menyebabkan penderitaan orang lain. Berbeza dengan kes kecurangan pasangan, pengabaian tanggungjawab dalam perkahwinan dan menjadi orang ketiga dalam hubungan suami isteri. Tidak merugikan sesiapa dan tidak menganiayai sesiapa. Benarkah begitu?

Mari kita lihat satu per satu situasi yang dinyatakan di atas.

Situasi 1 : Kes zina

Suami atau isteri yang berzina telah menghina pasangannya. Kenapa memilih untuk berzina, sedangkan anda mempunyai pasangan yang halal untuk melampiaskan nafsu anda? Penghinaan tersebut amat menyakitkan hati dan mewujudkan kekecewaan yang sukar diubati. Bukan hanya kecewa tetapi penzinaan tersebut membuka ruang kepada penyakit kelamin yang boleh memberikan penganiayaan kepada pasangan anda.

Konsep percayakan qada dan qadar pula bukan menafikan hak anda untuk hidup bahagia di dunia ini. Ingatlah! Hamba yang beruntung ialah mereka yang bahagia hidup di dunia dan mampu mengecap bahagia di akhirat juga. Mereka yang rugi pula ialah mereka yang gagal bahagia di dunia dan sukar pula untuk bahagia di akhirat. Untuk mengecapi bahagia di akhirat bukan bermaksud perlu redha membabi buta tanpa berusaha mempertahankan hak sendiri untuk mengecapi bahagia di dunia.

Islam mengiktiraf lima hak sendiri yang perlu dipertahankan dan diisytiharkan sebagai syahid jika berdepan kematian ketika mempertahankannya iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Situasi 2 : Pasangan tidak bertanggungjawab

Berdepan dengan pasangan yang gagal melaksanakan hak anda bererti hak anda dalam agama, akal, keturunan, harta dan nyawa telah dikhianati. Agama tentukan anda mempunyai hak. Bila hak tersebut gagal dipenuhi, ia boleh memberikan anda tekanan yang boleh mengganggu mental (akal) anda, merosakkan harta anda kerana anda perlu mengorbankannya bukan pada tempat yang sepatutnya, mengancam keturunan anda yang berhadapan dengan tekanan disebabkan kecuaian pasangan dan jika anda hilang pegangan, ia boleh mengganggu keselamatan nyawa anda.

Fahami konsep redha yang syariat tetapkan. Terima takdir-Nya dan berusaha untuk keluar daripada ujian yang diberikan-Nya. Bertahan tanpa berusaha untuk keluar daripada zon yang tidak selesa bukan redha, sebaliknya BODOH dan menganiaya dengan menzalimi diri sendiri.

Situasi 3 : Bercinta dengan suami orang

Anda sebenarnya yang berhak membuat pilihan sama ada mahu bercinta dengan lelaki bujang ataupun lelaki yang telah berkahwin. Sekiranya anda telah terjatuh longkang cinta dengan suami orang, bukankah anda mempunyai pilihan untuk menarik diri? Jika anda memilih untuk mengundur diri, ia juga takdir Allah. Namun anda masih berdegil untuk meneruskan percintaan dengan suami orang. Memanglah ia juga takdir Allah, tetapi ia tidak akan berlaku jika anda tidak meneruskannya. Bermakna, apa yang berlaku adalah disebabkan pilihan yang anda buat, BUKAN paksaan dari Allah Taala! Apa-apapun, menjadi orang ketiga pula tidak salah jika anda masuk dengan cara terhormat, jangan menganiayai hak orang lain dan paling penting, jangan menguasai sebelum memiliki!

Ingatlah! Setiap suruhan malah larangan yang Allah SWT tentukan menerusi ayat-ayat-Nya dan al-Hadis nyata berhikmah dan bermanfaat jika benar-benar dipraktikkan dalam hidup seharian. Hidup kita tak lama, jangan sangka yang muda akan panjang hayatnya. Maut menundang tidak memberi amaran. Kelapa muda pun boleh gugur ke bumi. Jangan bongkak melawan Dia jika secawan air panas menggelegak pun tak mampu anda tangani!

Semoga kita sama-sama berusaha mensucikan hati dan diri ketika Ramadan yang mulia ini masih berbaki!



Kompilasi diubah-suai dari sumber : Ustaz Zahazan di BHarian 26/06/2011, egrup SIM dan Suzana Ghazali MW#1448.

Capaian entry berkaitan :
* Beriman kepada qada' dan qadar Allah SWT
* Lelaki baik cuma untuk perempuan baik saja?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...