Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Tiada satu perkara pun yang terlepas dari penghujung. Kalau kita lihat setiap permainan pasti ada tiupan wisel penamat. Setiap cerita pasti ada penghujungnya. Begitulah kehidupan kita, ada kalanya kita gembira dan sentiasa mahu gembira tetapi hakikatnya ia tidak mungkin berlaku.
Begitu juga kesedihan dan kesengsaraan, perkata yang ditakuti oleh manusia, pasti juga ada penghujungnya. Mungkin ada yang berkata, apakah penghujungnya mungkin boleh jadi perubahan yang diminta atau kematian yang diduga? Ada kegembiraan yang berakhir dengan kekecewaan dan ada juga yang berakhir dengan kematian, begitulah juga sebaliknya.
Secara mudah, jika kita lihat arus perjalanan hidup ini, setiap perkara ada kadarnya tersendiri. Kita perlu menempuh sesuatu yang sudah ditulis untuk kita pada kadar yang tertentu. Kita tidak mampu lari dari kadar setiap perkara dan perlu kita ambil perhatian, bahawa tiada satu pun di dunia ini kekal, bahkan dunia ini juga sudah ada kadar kehidupannya di sisi Allah SWT.
Ia persis sebuah episod drama yang bersiri. Ada kalanya kita mahukan drama tersebut berakhir dengan baik, namun dek kerana waktu yang singkat, ia disambung pada episod akan datang. Hidup kita juga begitu, tidak lari dari kadar waktu sesuatu perencanaan yang telah ditetapkan Allah Taala untuk keseluruhan hambanya. Hal yang paling mudah untuk kita lihat adalah perkahwinan.
Tiada sesiapa yang menafikan, semua pasangan mendambakan sebuah perkahwinan yang bahagia lagi berkekalan. Namun hakikatnya, tidak semua begitu dan kita perlu menerima fakta ini dan mungkin ianya telahpun terjadi dalam kehidupan kita.
Perkahwinan acap kali dilihat sebagai sebuah bahtera di lautan yang kelihatan indah lagi mengasyikkan. Apabila kita melihat bahtera tersebut, maka kita teruja untuk menaikinya, sebagaimana orang lain yang menaikinya.
Kita teruja melihat bahtera lalu menaikinya tanpa kita sedari kita sudah terlepas pandang akan lautan yang bakal kita rentasi. Kita terlepas pandang gelora lautan yang boleh jadi membahayakan bahtera atau mungkin boleh
Percintaan yang indah belum dapat menentukan kebahagiaan rumahtangga kerana perkahwinan itu sendiri mempunyai kadarnya yang telah ditetapkan Allah SWT. Apa yang berlaku dalam rumahtangga sebenarnya hanyalah atur cara untuk mencapai kadar yang telah ditetapkan Allah SWT. Ianya perlu ada kerana setiap perkata perlu ada sebab untuk berlaku. Kadangkala kita terlupa bahawa perkahwinan adalah medan untuk melatih diri kita untuk lebih bersedia menghadapi hari muka.
Maka jangka waktu setiap latihan itu perlu ada dan selepas itu, sama ada kita akan terus diserapkan ke dalam perkahwinan itu atau mungkin kita terpaksa berpisah untuk pergi ke satu lagi episod dalam hidup yang telah disuratkan.
Tiada apa yang kekal
Kita perlukan kekuatan untuk pergi ke satu episode lain dalam hidup kerana di sana ada lagi perencanaan Allah SWT untuk kita. Mungkin sewaktu latihan pertama kita tidak dapat mengenali siapa diri kita yang sebenar atau kita mengambil latihan secara sambil lewa. Namun, apabila latihan tamat dan kita arahkan untuk pergi ke unit yang baru, maka kita perlu untuk menguasai semua jenis latihan yang dilatih pada episod lalu agar kesilapan yang sama tidak berulang.
Perkahwinan itu sama seperti satu latihan dalam hidup. Kita mungkin melihat sesebuah perkahwinan itu perlu kekal tetapi kita lupa tiada yang kekal di dunia ini. Kita diberikan perpisahan supaya mungkin kita tidak merasakan kesedihan jika berlaku kematian.
Kita diberikan perpisahan supaya kita lebih sedari tentang kesilapan diri yang mana sewaktu dalam perkahwinan kita tidak mengambil kesilapan itu sebagai sesuatu yang harus diperbaiki. Apabila perpisahan berlaku, kita mungkin mula terjaga dari lena, kita mungkin mula nampak arah tuju hidup dan kita mungkin lebih berdikari dan matang. Maka setiap episod itu ada kadar yang ditentukan Allah SWT dan tiada satu pun episod yang tidak membawa kebaikan melainkan kita tidak mahu melihat akan kebaikannya.
Apabila berlaku perpisahan dek sampainya kadar, kita perlu menerima seadanya dan penerimaan itu kita manifestasikan dengan melihat kepada pakej kebaikan yang telah dilakukan oleh bekas pasangan kita.
Tinggalkan apa yang buruk pada episod yang lepas dan jangan dibawa ke episod yang baru kerana jika ia berlaku, maka kita sebenarnya mengulangi satu episod yang belum habis kadarnya. Ternyata nanti ianya akan lebih membebankan emosi dan merosakkan bahtera yang baru.
Kita hanya perlu ambil pengalaman pada masa lalu sebagai satu formula di masa depan dan bukan mengambilnya dengan emosi yang bakal membakar diri secara perlahan. Kita perlu akur dengan kadar ketentuan yang disuratkan Allah SWT dan bersangka baiklah kepada-Nya atas apa jua suratan yang diberikan kepada kita.
Apa yang benar-benar pasti, Allah SWT sentiasa mahu memberi yang terbaik untuk sekalian hamba-Nya, cuma terpulang kepada kita sebagai hamba untuk melihat pemberian itu dari sudut mana yang kita inginkan.
Semoga Allah merahmati kehidupan kita. Amiin.
Sumber : Ðr Azhar Sarip MW#1419
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...