PAGE

Selasa, September 13, 2011

Bertarung emosi

DARI kiri, Nur Nazatul Najwa Abdullah, Wan Fakhrunisa Fitriyah Wan Mohd Fishool dan Mohammad Qayyum Omar dari Sekolah Kebangsaan Kampung Panggas mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan bagi menghadapi peperiksaan UPSR hari ini di pusat pemindahan bencana, Dewan Kampung Panggas Besar setelah rumah mereka dinaiki air akibat hujan berterusan yang berlaku semalam dan mengakibatkan banjir di beberapa kawasan sekitar Perlis. - Foto Eizairi Shamsudin


Ibu bapa juga perlu beri sokong anak yang menduduki peperiksaan

KETIKA ini murid Tahun Enam sedang bertarung emosi menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini sehingga Khamis ini. Persiapan sejak sekian lama itu menjadi bekalan untuk dicurahkan di atas kertas peperiksaan.

Sama ada anak boleh menjawab dengan mudah atau sebaliknya, keputusan peperiksaan saja yang bakal menjadi kayu pengukurnya. Selepas anak-anak berhempas pulas menelaah pelajaran, apa pula sokongan perlu dilakukan ibu bapa dalam usaha membantu?

Kaunselor Berdaftar yang juga Pensyarah Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Hushim Salleh, berkata ibu bapa boleh membantu anak supaya bersedia melangkah ke dewan peperiksaan dengan lebih tenang dan yakin. Katanya, persekitaran rumah tangga yang harmoni dan tidak menyesakkan fikiran sepanjang masa turut menyumbang kepada ketenangan.

“Anak yang sedang menghadapi peperiksaan sememangnya mengalami tekanan daripada pelbagai sudut sama ada ketika usia kanak-kanak atau remaja. Tekanan boleh wujud dalam dirinya sendirinya atau faktor luaran seperti tekanan akibat keinginan memenuhi kemahuan ibu bapa untuk berjaya atau pihak sekolah yang mahu mencatat keputusan baik muridnya.

“Justeru ibu bapa elakkan anak, daripada menambah tekanan itu dalam bentuk memberi arahan keterlaluan, membebel atau mengungkit-ungkit kesalahan lampau anak. Apa yang lepas biar berlalu. Apa yang diperlukan anak saat ini ialah ketenangan melangkah ke dewan peperiksaan dan menjawab peperiksaan. Ini kerana secara lahiriah, gangguan psikologi boleh menghilangkan fokus mereka,” katanya.

Beliau berkata, mengenai persiapan perlu dilakukan ibu bapa dalam membantu memberi sokongan kepada anak, memasuki musim peperiksaan termasuk peperiksaan akhir tahun serta peperiksaan penting pelajaran peringkat rendah hinggalah menengah.

Katanya, ibu bapa digalakkan bersama anak berbincang perkara berkaitan peperiksaan. Bagi ibu bapa bekerja, memohon cuti juga antara cara terbaik di lakukan, bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi mereka terhadap anak.

“Kalau sebelum ini anak ke sekolah menaiki kenderaan awam atau bas sekolah, ada baiknya sekiranya ibu bapa menghantar serta menjemput anaknya dari sekolah sebagai sebahagian daripada sokongan moral.”

“Bagi ibu bapa pula, kalau ada masalah rumah tangga pula cuba elakkan daripada bergaduh kerana suasana tidak harmoni itu, boleh memberi kesan kepada anak. Peperiksaan juga boleh menjadi alat membalas dendam anak. Saya pernah berhadapan kes di mana seorang kanak-kanak yang menduduki UPSR mengatakan dia berharap mendapat 5D, ‘biar padan muka orang tuanya’. Anak kecil fikirannya tidak matang, dia tidak pandang masa depan, oleh itu ibu bapa perlu matang menjaga emosi anak kerana anak selalu menyangka ibu bapa tidak sayangkan mereka lagi sekiranya berlaku konflik dalam rumah tangga, biarpun hakikatnya ibu bapa sayangkan mereka,” katanya.

Hushim turut menjelaskan supaya aspek pemakanan dipandang berat oleh ibu bapa. Selain menyajikan makanan berkhasiat, ia turut menjamin kebersihan. Makanan seperti sup, kismis serta kurma antara makanan terbaik untuk menguatkan ingatan.

“Dari aspek keagamaan pula, ibu bapa perlu memperbanyakkan solat sunat serta membaca al-Quran. Sebetulnya ibu bapa ada hubungan istimewa dengan anak yang digelar ‘bisikan kalbu’. Dalam beberapa kes saya kendalikan, ada ibu yang memberikan sokongan kepada anaknya dengan membaca Yassin di surau pejabatnya.

“Alhamdulillah anaknya dapat menjawab dengan baik, sungguhpun pada peringkat awalnya anak itu tidak begitu menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan. Sebetulnya doa dan amalan baik itu sentiasa mendapat ganjarannya. Ingatan ini saya panjangkan lantaran saya lihat hari ini ‘sentuhan jiwa’ antara ibu bapa itu tidak begitu kukuh. Boleh jadi tidak ada masa atau tidak lagi percaya kepada amalan seperti saya katakan itu, sedangkan ia amat berkesan dalam memperkukuh rohani anak,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagaimana orang tua-tua dulu memberikan sokongan kepada anak dengan ‘membuat air yasin’ serta membuat jamuan di surau atau mengirim doa kejayaan anak kepada jiran tetangga yang ingin ke Makkah, tetapi hari ini perkara seperti itu semakin kurang dilakukan ibu bapa sedangkan iaboleh menjadi penguat serta sokongan emosi anak.

INFO: Panduan hadapi peperiksaan

* Elak tekanan berlebihan. Elakkan membebel, mengarah atau mengungkit kesilapan anak.

* Elak pergaduhan antara suami isteri kerana anak yang tertekan berpunca daripada ibu bapa yang berhadapan tekanan.

* Jaga pemakanan anak. Sebaiknya ibu masak sendiri, elakkan makan luar kerana ia lebih sihat serta bersih. Selain mengelakkan keracunan makanan atau sakit perut, yang mana nyata boleh menjejaskan kesihatan seterusnya tumpuan menjawab peperiksaan.

* Digalakkan mengambil makanan berbentuk sup, elakkan bergoreng, berjeruk dan berminyak.

* Ibu bapa digalakkan banyakkan berpuasa, solat sunat serta mengaji.

* Kuatkan semangat anak dengan memerlukan, memberikan kata-kata perangsang selain meniup ubun-ubun kepala dengan selawat ke atas nabi.



Petikan : BHarian 13/09/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...