~ sekadar gambar hiasan ~
Perbuatan dengan bantuan jin boleh pesong akidah
ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.
Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82)
Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.
Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)
Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.
Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.
Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.
Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.
Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.
Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.
Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.
Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.
Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.
Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.
Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.
Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.
Penulis, Muhammad Asyraf ialah juara Imam Muda musim pertama terbitan Astro Oasis
Petikan : BHarian 13/09/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...