Mereka yang hilang
Gadis Melayu paling ramai dilapor hilang
Kuala Lumpur : Purata 10 orang hilang sebulan, kebanyakkannya pula membabitkan gadis Melayu! Lebih membimbangkan, kes yang dilaporkan sejak tiga tahun lalu turut termasuk remaja semuda usia 12 tahun.
“Kalau mereka hilang kerana lari ikut kawan, teman lelaki atau wanita, kita tidak boleh buat apa-apa kerana mereka sudah dewasa dan boleh membuat keputusan sendiri. Kita cuma bimbang mereka jadi mangsa jenayah,” kata Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin.
Usah biar terlalu bebas
Majoriti kes orang hilang yang dilaporkan kepada polis dalam temoh dua tahun sejak 2010 adalah gadis Melayu yang semakin membimbangkan dengan peningkatan ketara pada purata 10 kes sebulan kebelakangan ini.
Purata terbaru itu dicatatkan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini (2011), berbanding 6.7 kes sebulan sepanjang tahun 2010. Lebih membimbangkan, sebahagian besar kes dilaporkan sejak tiga tahun lalu membabitkan remaja semuda usia 12 tahun hingga lewat 20-an berbanding orang dewasa berusia lebih 30 tahun.
Analisis ke atas 385 kes orang hilang yang dilaporkan Bukit Aman dalam tempoh lebih 10 tahun bermula 2001, mendapati jumlahnya meningkat mendadak tahun 2010 berbanding hanya 25 kes pada 2008 dan 28 kes pada tahun berikutnya (2009).
Tahun lalu (2010), 81 kes dilaporkan atau purata 6.7 kes sebulan, namun rekod kes tertinggi dalam tempoh 11 tahun itu dikhuatiri pecah tahun ini berikutan 70 kes atau purata 10 kes sebulan sudah dilaporkan hanya dalam tempoh tujuh bulan pertama.
Agak mengejutkan daripada 151 kes orang hilang sejak 2010 hingga Julai lalu, sebahagian besar membabitkan Melayu dan Bumiputera dengan 84 kes. Daripada jumlah itu, 60 kes membabitkan wanita dan 24 kes membabitkan lelaki, sebahagian besar punca kerana mengikut teman lelaki atau wanita, melarikan diri daripada masalah keluarga atau sekadar mahu berseronok.
Bagi tempoh sejak dua tahun lalu, Sabah mendahului senarai dengan 30 kes orang hilang, diikuti 12 kes di Kelantan, masing-masing 5 kes di Kedah, Johor, Perak dan Kuala Lumpur serta 1 kes di Melaka, Putrajaya, Sarawak, Terengganu, Labuan dan Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk bakri Zinin ketika mengulas isu itu mengingatkan ibu bapa atau penjaga serta ahli keluarga supaya segera membuat laporan polis selepas anak mereka hilang dalam tempoh 48 jam kerana bimbang ia mempunyai hubung kait dengan jenayah.
Apa pun punca mereka hilang termasuk melarikan diri kerana masalah keluarga, Bakri berkata, ibu bapa perlu terus memantau pergerakan anak remaja bagi mengelak terjerumus dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
Kalau mereka hilang kerana lari ikut kawan, teman lelaki atau wanita, kita tidak boleh buat apa-apa kerana mereka sudah dewasa dan boleh buat keputusan sendiri. Kita cuma bimbang mereka jadi mangsa jenayah, misalnya kes rogol.
“Jika mereka hilang kerana diculik atau disembunyikan secara paksa, ia akan jadi kes polis. Bagi remaja bawah umur, ibu bapa punya kuasa penuh mengawal mereka,” katanya yang menyifatkan senario ramai remaja dan wanita Islam hilang pula sebagai subjektif.
Sambil mengingatkan ibu bapa atau penjaga mendidik anak menjaga batasan agama serta adat ketimuran, beliau berkata, ada kes membabitkan remaja ditemui tinggal dan hidup bebas bersama teman lelaki tanpa ikatan perkahwinan.
“Jangan biarkan mereka terlalu bebas, kalau sudah terjebak dengan dadah, masalah sosial, masa depan gelap dan ketika itu sudah terlambat. Polis hanya menguatkauasakan undang-undang dan mencegah jenayah. Tugas mengawal anak tanggungjawab keluarga, kita akan bantu secara keseluruhan,” katanya.
Daripada senarai kes orang hilang dilaporkan, beberapa individu dipercayai sudah ditemui semula tetapi kereka dan keluarga tidak melaporkan kepada polis memnyebabkan nama masih tersenarai di Bukit Aman, sedangkan laporan mengenai orang dicari sudah ditemui harus dibuat bagi membolehkan polis menutup fail.
Walaupun mengakui kes orang hilang di negara ini masih terkawal, Bakri menegaskan perkata itu tidak boleh dibiarkan meningkat serta pelu dicegah termasuk melalui cara meningkatkan hubungan di kalangan ahli keluarga.
Terjebak cinta maya lelaki hidung belang
Kes lari daripada keluarga turut dipengaruhi faktor keasyikan remaja melayari internet secara keterlaluan hingga terpengaruh dengan apa yang dipaparkan dalam alam maya selain faktor tarikan warga asing yang pandai menabur janji manis memikat gadis tempatan.
Kebanyakan gadis yang terjebak dengan 'cinta maya' akan mudah menjadi mangsa kepada lelaki yang dipercayai hanya menggunakan meraka untuk berseronok atau menjerat dengan tujuan tertentu seperti dijadikan keldai dadah.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, berdasarkan pengalaman mengendalikan banyak kes seperti itu, kebanyakan gadis menyorokk hubungan mereka daripada pengetahuan keluarga kerana bimbang tidak direstui.
Pemangsa akan menggunakan kesempatan itu untuk mendorong kepada perlakuan tidak bermoral hingga ada yang melahirkan anak luar nikah atau ikut kekasih lari ke negara mereka. Mereka akan terjebak dengan janji manis bahawa nasib akan terbela bila berkahwin.
“Berdasarkan statistik kes gadis yang diselamatkan kerana ikut kekasih ke luar negara, bekun ada suami warga asing rujuk semula dengan isteri atau ke Malaysia cari isteri mereka. Kita juga pernah selamatkan seorang gadis dari rumah sakit jiwa di sebuah negara. Dia dirawat di situ kerana terlalu tertekan selepas suami curang, kahwin lain,” katanya.
Bagi kes warga asing yang bijak memikat gadis tempatan untuk tujuan rksploitasi bagi kegiatan haram, Khairun berkata, mereka biasanya akan memilih mangsa yang terdesak akibat masalah kewangan atau menghadapi krisis keluarga.
Beliau menasihatkan gadis yang masih di peringkat awal menjalin hubungan dengan warga asing atau lelaki dikenali melalui alam maya, tampil mendapatkan pandangan mana-mana pihak termasuk biru berkenaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik bagi mengelak tersilap membuat keputusan.
“Kalau takut dimarah keluarga, kita boleh bantu. Luahkan perasaan dan kita akan bagi perspektif kies secara jelas supaya meraka tidak menyesal. Perkata asas dalam sesuatu hubungan ialah dapatkan restu keluarga kerana ia akan memudahkan urusan dan menyelesaikan banyak masalah,” katanya.
Tekanan hidup punca utama remaja lari dari rumah
Kuala Lumpur: Sebanyak 49% atau 185 daripada 379 kes membabitkan remaja seawal usia 8 tahun lari dari rumah disebabkan mereka tidak mampu menanggung tekanan hidup.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata melalui kajian dijalankan terhadap 379 remaja yang pernah lari dari rumah pada tahun 2010 menunjukkan mereka mengakui bahawa tekanan menyumbangkan kepada faktor utama, selain 105 kes membabitkan pengaruh kawan, ingin bebas (55), bergaduh dengan keluarga (41), bosan (38) dan kurang kasih sayang (35).
“Kajian ini dijalankan terhadap remaja berusia antara 8-18 tahun yang lari buat pertama kali dari rumah dengan 80% responden adalah remaja Melayu. Saya menyifatkan fenomena ini masih boleh dikawal kerana purata kes 10 remaja hilang dalam sebulan itu masih rendah berbanding populasi 6 juta remaja di negara ini. Bagaimanapun ia tetap membimbangkan kerana jumlah itu boleh bertambah selaras dengan peningkatan kes perceraian ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Berita Minggu semalam mengenai purata 10 orang hilang sebulan, kebanyakkannya membabitkan gadis Melayu termasuk remaja semuda 12 tahun.
Sehubungan dengan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin mengingatkan ibu bapa atau penjaga serta ahli keluarga segera membuat laporan polis selepas anak hilang dalam tempoh 48 jam kerana bimbang ia ada hubung kait dengan jenayah.
Mohamed Fadzil berkata kecenderungan remaja untuk lari semula beberapa kali selepas pulang ke rumah juga tinggi dengan 80 kes disebabkan terpengaruh dengan kawan, tekanan (64), ingin bebas (53), bosan (36), takut (33) dan bergaduh (32).
Pada masa sama, remaja yang cenderung untuk melarikan diri dari rumah kebiasaannya mempunyai ciri seperti mempunyai mempunyai keyakinan diri yang rendah (60%), pengetahuan agama yang kurang dan pengaruh luaran yang tinggi (56%).
“Mahu hidup bebas, mewah dorong saya lari rumah”
Seorang remaja yang ditemui semula selepas dua bulan dilaporkan hilang, mengakuui dia sebenarnya melarikan diri kerana dorongan untuk hidup bebas dan menikmati keseronokan seperti rakan yang mampu hidup mewah walaupun asalnya juga daripada keluarga kurang berada.
Noor Syuhada Rabudin, 16, dilaporkan hilang pada 30 Mei lalu dari rumahnya di Flat Sri Melaka, Cheras, tetapi keluarganya belum membuat laporan memaklumkan gadis berkulit hitam manis dan kelihatan bersikap agak lurus itu sudah ditemui semula.
Dia tidak berninat meneruskan persekolahan, mengaku menyesal perbuatannya kerana terlalu ingin hidup bebas hingga sanggup bekerja sebagai pembantu tukang masaik di sebuah kedai di Pendang, Kedah dengan pendapatan lebih RM1,000 sebulan yang disifatkan memang menyeronokkan dan mampu bermewah.
“Memang saya merancang berkongsi pendapatan dengan ibu, tapi tak sempat kerana ditahan polis ketika saya sedang menyiapkan wang pos untuk dihantar kepada keluarga,” kata anak ketujuh daripada sembilan beradik itu yang mengaku terpengaruh dengan gaya hidup mewah dan bebas wakan yang juga jirannya.
Ibunya, Hashimah bakar 44, menyifatkan kepulangan Noor Syuhada ke pangkuan keluarga, dua minggu sebelum ramadan lalu sebagai hadiah terbaik tetapi terkilan dengan tindakan anaknya mengikut rakan tanpa memikirkan masa depan termasuk mengabaikan pendidikan.
Ibu tunggal itu berkata, selepas anaknya hilang, dia berusaha mengesan termasuk bertanyakan jiran, membuat laporan polis dan mencari di rumah kenalan rapat anaknya sebelum menemui nota dalam bilik Noor Syuhada mengesahkan gadis itu melarikan diri, tetapi turut memburukkannya termasuk dituduh mendera dan mengongkong anak sendiri.
“Jentik dia (Syuhada) pun tak pernah apatah lagi mendera. Saya yakin nota itu ditulis rakan Syuhada kerana dia tahu saya tak suka mereka berkawan,” katanya yang memaklumkan polis mengenai nota terbabit sebelum soal siasat ke atas rakan baik Noor Syuhada membawa kepada pendedahan lokasi gadis berkenaan.
Dalam kes Erra 14 (bukan nama sebenar) yang hilang dari rumahnya di Cheras selama dua minggu sebelum pulang semula ke pangkuan keluarga, puncanya melarikan diri kerana trauma dan tidak selesa tinggal di rumah selepas didakwa dirogol jiran berusia 16 tahun, awal tahun lalu.
Anak ketujuh daripada 13 beradik itu memang selalu menghilangkan diri, tetapi biasanya tidak lama kerana dia akan pulang semula ke rumah selepas dua atau tiga hari, namun kehilangan selama dua minggu dalam kejadian terbaru menyebabkan keluarganya bimbang dan terus melaporkan kejadian kepada polis.
Kakak mangsa, Azwin 21 berkata, adiknya berubah sikap selepas kejadian rogol itu danselepas keluarga sedar nasib malang yang menimpa, mereka berharap Erra dapat melupakan seketika detik hitam berkenaan menjelang Syawal yang akan tiba.
Walaupun hidup susah dan terpaksa bersesak dalam rumah sempit, tiga bilik dikongsi 13 beradik, Azwin tidak menganggap itu halangan menikmati kegembiraan Aidilfitri kerana apa yang penting, semua adik beradik dapat berkumpul dan selagi mampu berusaha membantu bapa yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
INFO :
Jumlah kes orang hilang | |||
2011 (Jan~Julai) | 70 | 2006 | 4 |
2010 | 81 | 2005 | 41 |
2009 | 27 | 2004 | 67 |
2008 | 25 | 2003 | 0 |
2007 | 48 | 2002 | 10 |
Petikan : BHarian 11/09/2011 dan BHarian, 12/09/2011 (Isnin)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...