PAGE
▼
Khamis, Oktober 13, 2011
Ketabahan Siti Hajar jadikan pengajaran
MENGUNJUNGI Kota Suci Makkah al-Mukaramah bagi melaksanakan ibadah haji pasti meninggalkan impak cukup bermakna buat jemaah khususnya muslimah. Banyak pengajaran dan renungan boleh diambil apabila pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan ibadah.
Antara rukun haji ialah saie antara Bukit Safa dan Marwah sempena peristiwa terjadi kepada Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim yang berulang-alik antara kedua-dua bukit itu dengan hasrat mencari sumber air minum buat puteranya, Ismail.
Siti Hajar yang ditinggalkan suaminya di suatu lembah kering kontang berdua dengan anaknya begitu tabah dan setia terhadap Nabi Ibrahim. Dia menerima apa saja diputuskan suaminya sebagai keputusan dan ketetapan terbaik serta bersikap reda.
Justeru, apabila melakukan saie, jemaah sewajarnya mengingati kembali kepayahan dilalui Siti Hajar dalam usaha mencari minuman untuk anak kecilnya, seorang diri tanpa rasa takut kerana percaya Allah bersamanya.
Kecekalan wanita tabah ini yang memiliki iman serta takwa perlu menjadi pendorong khususnya kepada muslimah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah serta mengerjakan ibadah saie dengan kesabaran.
Berbalik kepada peristiwa Siti Hajar, dikisahkan selepas tujuh kali berulang-alik antara kedua-dua bukit itu, timbul rasa putus asa di hatinya, lantas kembali ke tempat anaknya ditinggalkan dan terkejut apabila melihat kawasan di kaki Ismail memancut keluar air.
Dengan wajah berseri, lantas beliau memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa sambil berusaha menakung kawasan terbitnya air itu bagi membolehkannya mengambil untuk diberikan kepada anaknya.
Ini yang dikatakan berkat usaha bersungguh-sungguh tanpa putus asa sambil bertawakal sepenuh hati kepada Allah. Benar janji Allah setiap kesusahan akan diakhiri dengan kemudahan. Benar juga apabila hamba bertawakal, Allah akan limpahkan kurniaan-Nya dari jalan yang tidak disangkakan.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerahkan diri (tawakal) kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memeliharanya).” (Surah at-Talaq, ayat 3)
Selain itu, sifat sabar akan menghasilkan kebaikan atau kemudahan. Kesulitan dan kesusahan satu mekanisme Allah menguji hamba-Nya sama ada benar-benar beriman atau cepat berpaling daripada ajaran agama.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 155)
Kisah Siti Hajar juga mengajak wanita khususnya isteri untuk menilai ketaatan serta kesetiaan mereka kepada suami. Siti Hajar reda dengan keputusan diambil Nabi Ibrahim kerana yakin sebagai suami yang bertanggungjawab, baginda tidak akan mensia-siakan isteri serta anaknya.
Kesetiaan isteri kepada suami jangan pula membuta tuli hingga membiarkan diri mereka dianiaya suami tidak bertanggungjawab. Kedua-dua suami isteri perlu melaksanakan tugas serta memelihara tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing.
Melihat perkembangan terkini, masalah yang membelenggu institusi keluarga hari ini berpunca daripada sikap mementingkan diri sedangkan jika pasangan saling bertolak ansur serta memahami keperluan pasangan masing-masing, masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.
Kehidupan kita juga tidak boleh dipisahkan daripada tuntutan agama yang menyediakan panduan bagaimana hendak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu, bapa serta anak.
Banyak kisah sejarah yang diceritakan atau diangkatkan bukan sekadar untuk dikenang tetapi dinilai serta diambil sebagai pengajaran kerana tindakan dan kesilapan berlaku adalah proses pembelajaran kepada generasi seterusnya.
Banyak lagi rukun haji yang mengandungi maksud tersirat mengajak umat Islam untuk berfikir dan mengambil iktibar daripada sejarahnya. Malah, kesedaran itu bukan untuk jemaah yang berada di Tanah Suci tetapi untuk seluruh umat Islam di dunia ini.
Petikan : BHarian 13/10/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...