PAGE

Sabtu, Oktober 01, 2011

Zulhijjah bulan pelengkap sistem ibadat ummah


Naik haji penuh dengan pengajaran, suntik semangat masyarakat Islam seluruh dunia

SYAWAL bulan meraikan kemenangan sudah pun melabuhkan tirainya, kini Zulkaedah menjelma dengan suasana yang mampu mencetuskan pemikiran, menggerakkan hati keinsafan serta membangkitkan semangat beramal apabila melihat jemaah haji mula berlepas ke Tanah Suci.

Kewajipan Zulhijjah ini bakal melengkapkan rukun Islam yang kelima dan diari setahun amalan umat Islam. Ibadah haji penuh dengan pengajaran bukan saja kepada bakal jemaah, malah semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Semangat tinggi jemaah haji walaupun dalam keadaan ada yang bertongkat, berkerusi roda, sudah berusia dan uzur atau masih muda, meninggalkan anak masih kecil serta ahli keluarga memerlukan semata-mata menunaikan kewajipan serta pengabdian, mampu menyuntik semangat kita semua.

Maha Suci Allah yang panggilan-Nya tidak mengira usia, rupa, jantina, kekuatan, pangkat mahupun darjat. Hakikatnya, yang mereka hajati walau jauh beribu batu dan dengan segala macam ujian yang akan ditempuh adalah rahmat, keampunan dan keredaan-Nya.

Sememangnya perjalanan itu suatu pengembaraan ujian seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perjalanan atau bermusafir itu adalah sebahagian daripada azab (penderitaan).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Dengan sebab itulah, kejayaan bermusafir dalam ibadat haji dan mengambil roh daripada ibadat itu iaitu pengorbanan diraikan pula dengan Aidiladha. Namun, di sebalik itu ada faktor dorongan atau tarikan luar biasa yang menyebabkan Tanah Suci tidak pernah lengang dan sunyi. Justeru, pengamatan terhadap kelebihan terkandung dalam Zulhijjah yang bakal tiba, mengukuhkan semangat beramal pada akhir tahun dalam takwim Islam.

Allah memberikan pelbagai keistimewaan dan kelebihan Zulhijjah antaranya, kemuliaan 9 Zulhijjah iaitu hari Arafah. Kelebihan itu pula terletak pada penilaian dan ganjaran Allah yang menjadi faktor dorongan luar biasa untuk beriman, beramal dan berakhlak.

Justeru, jika dikaji dengan mendalam, kita akan mendapati Allah menganugerahkan bagi umat Islam dengan aturan sistem, proses penilaian dan ganjaran yang tiada tolok bandingnya.

Pertama, sistem penilaian dan ganjaran Allah itu Maha Adil meliputi setiap yang baik di sisi-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105)

Kedua, penilaian-Nya Maha Menyeluruh sehinggakan tiada apapun yang terkecuali seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8)

Ketiga, penilaian-Nya Maha Halus dan akan dicatat.

Keempat, penilaian dan ganjaran Allah sesuai dengan kemampuan hamba-Nya. Oleh sebab itu, hukum wajib menunaikan haji itu hanya disyaratkan kepada mereka yang berkemampuan dari sudut material, kesihatan mahupun keselamatan diri atau ahli keluarga yang ditinggalkan.

Kelima, penilaian dan ganjaran itu memberikan kepuasan. Bahkan, semakin tinggi darjat dan kesukaran melaksanakan sesuatu kewajipan itu semakin tinggilah ketenangan dan kepuasan diperolehnya.

Keenam, ganjaran Allah Maha Tinggi meliputi sesuatu yang tidak boleh diberi oleh makhluk serta amat dihajati atau diingini manusia termasuklah ganjaran suci daripada dosa dan dijanjikan syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara fasik, nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim)

Ketujuh, dalam penilaian dan ganjaran-Nya, Allah SWT menyediakan suasana persekitaran penuh dengan rahmat dan keberkatan khasnya di Tanah Suci Makkah.

Beginilah istimewanya sistem penilaian dan ganjaran Allah SWT yang menjadi pendorong keimanan hamba-Nya. Justeru, prinsip dan bentuk asas dalam sistem ini dijadikan panduan dalam mewujudkan dorongan dan kepuasan bekerja hari ini, walaupun dalam pelbagai keterbatasan manusia.

Namun, apa yang sangat mustahak untuk diambil pengajaran adalah usaha mengambil pertimbangan yang seadil-adilnya dalam mengatur sistem penilaian dan menyediakan imbuhan serta penghargaan yang wajar dan setimpal.

Ia mestilah diusahakan sebaiknya oleh manusia dalam segenap urusan mereka bagi membuahkan kepuasan kerja dan keberkatan bagi pekerja serta majikan.

Penulis, Sharifah Haayati ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.




Petikan : BHarian 01/10/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...