PAGE

Sabtu, Oktober 01, 2011

Eksklusif : 32 mati setiap hari


Penyakit jantung, strok punca kematian 11,812 orang sepanjang 2010

Kuala Lumpur : Sebanyak 11,812 kematian akibat sakit jantung dan strok direkodkan tahun lalu (2010) di negara ini dengan purata kematian 984 kematian sebulan atau 32 pesakit meninggal dunia setiap hari.

Agak mengejutkan, jumlah kematian akibat penyakit pembunuh utama negara itu meningkat lebih sekali ganda berbanding 5,549 kematian pada 2005 dan terus meningkat kepada 7,597 pada 2008.

Perangkaan Kementerian Kesihatan sejak enam tahun lalu itu menimbulkan persoalan adakah negara menuju ke arah masyarakat tidak sihat kerana penyakit berkenaan berpunca daripada amalan pemakanan dan gaya hidup kurang sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, menyifatkan peningkatan kes penyakit kardiovaskular dan penyakit tidak berjangkit (NCD) lain adalah serius dan perlu diberikan perhatian semua pihak.

“NCD seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi, kanser boleh menyebabkan komplikasi teruk jika tidak dikesan awal dan membabitkan kos rawatan tinggi serta membebankan semua pihak. Langkah bijak menanganinya dengan hidup aktif dan makan makanan sihat,” katanya.

Selain menjadi pembunuh utama di Negara ini, penyakit jantung dan strok punca kepada 35% kematian pra matang (kematian bagi individu kurang 60 tahun) di negara ini.

Antara faktor risiko penyebab penyakit jantung adalah darah tinggi, kegemukan, paras kolesterol tinggi, diabetes, faktor keturunan/genetik dan kurang bersenam.

Hassan berkata, seramai 144,459 pesakit dimasukkan ke hospital kerajaan kerana penyakit kardiovaskular tahun lalu (2010) berbanding 130,948 pesakit pada 2005. Doktor menyarankan setiap individu berumur 30 tahun ke atas melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi langkah pencegahan awal dengan individu mempunyai sejarah keluarga mengidap kencing manis, darah tinggi atau mengalami kegemukan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan seawal berumur 20 tahun.

Pengarah Perubatan Yayasan Jantung Malaysia (YJM), Datin Dr Liew Yin mei, berkata pemeriksaan kesihatan bagi mengukur tekanan darah, paras kandungan gula, kolesterol, indeks jisim badan (BMI) dan mengukur lilit pinggang yang berkait rapat dengan lemak vesera, iaitu lemak yang berkumpul di perut, hati dan buah pinggang, akan membantu mencegah penyakit kronik.

Laman-Seri : Ada yang melihat angka ini sebagai biasa kerana maklumlah ia penyakit orang lama, tak boleh elak, nasib dan takdir semata-mata tanpa menyedari antara penyebab utama yang membawa kepada gejala itu ialah natijah kepada sikap kita sendiri yang mudah berseronok dengan nikmat sementara tanpa menghiraukan musibah yang bakal menimpa baik diri mahupun orang lain.

Walaupun tidak dinafikan ada sebilangan kecil pesakit yang menderita bukan akibat tabiat yang mereka sedari bahayanya, secara majoritinya statistik penyakit ini disumbangkan oleh gaya pemakanan yang berlebihan, mengikut nafsu, tidak bertertib dan berdisiplin mengikut ajaran agama dan adat budaya.

Amalan pemakanan yang sihat serta hidup yang lebih seimbang baik dengan senamannya, amalan kehidupan beragama yang boleh mengurangkan tekanan dan stres, merokok adalah antara penyebab utama yang mencampakkan manusia bukan saja kepada senarai panjang kanser yang diketahui bahkan ia juga mendominasi faktor penyebab penyakit metabolik termasuklah serangan penyakit jantung dan angin ahmar.

Mencegah lebih baik daripada mengubati....





Sumber : BHarian 26/09/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...