PAGE

Sabtu, Oktober 01, 2011

Lelaki malu papar kasih sayang


Tidak guna berselindung di sebalik ego

KALAU anaknya demam, ibu pasti bercekang mata menjaga hingga pulih. Walaupun penat menjalankan tugas harian, kerisauan terhadap anak menyebabkan ibu lupa segala lelah. Jika suami pula lesu dan tidak bertenaga, si isteri jugalah yang akan bergegas ke klinik mahu pun farmasi untuk mendapatkan ubat atau vitamin bagi mengembalikan kesegaran suaminya.

Jika rakan karibnya mengalami masalah, wanita akan sentiasa melapangkan masa untuk mendengar apatah lagi menghulurkan ‘bahu’ sebagai tempat untuk melepaskan kehancuran hati. Betapa sensitif wanita terhadap kebajikan individu yang tersenarai dalam hidup mereka. Mereka juga dikatakan lebih memahami dan mudah memaafkan walau masalah yang dilalui terlalu perit untuk ditelan.

Hati wanita juga dikatakan begitu halus, hingga mereka mampu merasakan kegembiraan juga kesedihan insan lain tanpa melakukan komunikasi. Hanya menggunakan pandangan mata kasar, mereka lazimnya mampu meleraikan teka-teki yang bermain dalam kotak pemikiran. Mungkin, itulah antara kelebihan yang dianugerahkan Tuhan.

Berbeza dengan lelaki, mereka kelihatan lebih tegas dan kasar dalam mengetuai kehidupan sekaligus keluarga mereka sendiri. Sukar melihat seorang lelaki menitiskan air matanya. Hanya perubahan air muka saja dapat menunjukkan perasaan yang sedang dialami kaum Adam itu apatah lagi ingin melihat mereka memanjakan atau menunjukkan kasih sayang yang dipendam.

Mungkin juga adat dan tradisi pembesaran menjadikan lelaki lebih tabah dan berkeras dalam setiap perkara dilalui berbanding dengan wanita yang lazimnya dikaitkan dengan kelembutan.

Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berpendapat, lelaki tidak seharusnya terasa egonya tercabar dalam menunjukkan kasih sayang mereka terhadap pasangan atau termasuk keluarganya. Perasaan yang dimiliki boleh dibuktikan menerusi kelakuan dan ia adalah lebih romantis serta dihargai kerana ia bukanlah perkara yang memalukan atau melanggar didikan agama yang dianuti.

Dr Mohd Fadzilah berkata, sebalik perasaan malu atau hilang ‘macho’, perasaan sayang yang dibuktikan menerusi perbuatan juga adalah satu cara terpuji dan berlandaskan sunnah Nabi, yang tidak segan silu untuk membantu isterinya dalam menyelesaikan tugasan rumah, begitu juga menunjukkan kasihnya dengan memegang dan membelai.

“Tiada salahnya jika merendahkan ego dan menunjukkan kasih sayang kita terhadap keluarga mahu pun pasangan. Tapi jangan pula melebihi batas, takut nanti meluat pula pada pandangan umum. Nabi sendiri sanggup meluangkan masa yang ada untuk membantu isterinya memandang tenaga yang dimiliki lelaki lebih berbanding wanita.”

“Ini secara tidak langsung dapat meringan beban tugasan yang dijalani pasangan dan merapatkan hubungan cinta antara dua pihak. Menunjukkan kasih sayang menerusi tindakan membelai atau memanjakan tidak menjadikan lelaki itu dayus atau dipandang lemah, bahkan membuatkan mereka lebih dihargai dan disanjungi keluarga,” jelasnya.

Menurut Dr Mohd Fadzilah lagi, mungkin lelaki dilihat jarang atau susah menunjukkan maklum balas menunjukkan sensitiviti mereka kerana didikan psikologi yang dibawa tidak mengajar lelaki untuk berlembut dan merendahkan keegoan mereka.

“Berbeza dengan wanita, sudah menjadi sifat semulajadi mereka untuk lebih prihatin dan membuktikan pengorbanan dan juga kemanjaan secara spontan. Lelaki pula agak malu untuk memberitahu apatah lagi menunjukkan mereka juga sebenarnya sensitif dan ingin dimanjakan atau memanjakan.”

“Persekitaran dan cara bawakan diri di Asia mungkin agak berbeza dengan barat yang sememangnya terkenal dengan sikap romantis mereka terhadap pasangan dan keluarga. Kita di sini, jauh lebih kekok dan janggal untuk menunjukkan apa yang dirasai bahkan lebih suka berdiam bagi menjaga imej sendiri,” jelasnya.

Berlandaskan pengalaman membesar dalam keluarga yang agak rapat dan mesra, Fun Ng yang juga seorang kakitangan industri teknologi maklumat memberitahu bapanya adalah seorang lelaki yang paling disanjungi dan dihormati kerana sikap tanggungjawab bapanya.

Jelasnya, bapanya adalah seorang yang sangat penyayang dan penyabar. Dia juga menunjukkan kasih sayangnya menerusi kelakuannya begitu juga secara lisan. Biarpun penat bekerja seharian, bapanya akan pastikan dirinya meluangkan masa bersama anak sebelum mereka masuk tidur.

Menyambung kata-kata, wanita itu memberitahu walaupun sudah berusia 28 tahun, bapanya masih mencium dahinya setiap kali dia pulang ke kampung dan mereka juga masih meluangkan masa menonton televisyen bersama begitu juga bersantai di tempat kegemaran mereka.

“Mungkin saya boleh katakan diri ini sebagai bertuah kerana memiliki bapa sepertinya. Dia amat memanjakan kami dan dia tidak pernah cuba berselindung di sebalik keegoannya sebagai ketua keluarga. masih ingat betapa cemasnya ketika saya demam, dia yang bercekang mata menjaga sehingga saya pulih sepenuhnya.”

“Ayah juga jauh lebih sensitif, dia akan menangis selepas menghukum kami atas kesalahan yang dilakukan. Kelembutannya menjadikan kami adik beradik sangat takut untuk melukakan hatinya. Sikapnya juga mengajar kami erti kasih sayang dan keutuhan kekeluargaan.”

“Lain pula ceritanya untuk ibu saya. Dia agak tegas dan garang, lazimnya di waktu kanak-kanak dulu jika sedikit kesilapan berlaku, rotan akan terus hinggap ke paha. Biarpun kami kami menangis tersedu-sedu tidak dihirau bahkan lagi dimarahi ibu. Dia juga sukar dibawa berbincang berbanding ayah yang sentiasa sudi mendengar dan berbincang dengan kami dalam apa juga bentuk perbualan,” jelasnya ketika ditemui.

Cerita yang dikongsi Rohaidah Mat Rahman pula berbeza. Pengalamannya membesar dalam keluarga yang diuruskan ibunya tanpa bantuan ayah yang tegas dan garang membuatkan dia agak fobia untuk menjalinkan hubungan walaupun kini sudah berusia 30 tahun.

Wanita yang juga seorang pendidik itu berkata, dirinya masih tidak mengerti mengapa bapanya perlu terlalu keras terhadap keluarga kecil yang dibinanya itu.

“Dari kecil lagi, bapa tidak pernah memanjakan kami dan saya tidak ingat bila dia mencium saya apatah lagi memangku saya. Walaupun saya anak tunggal dalam keluarga, saya tidak diberikan layanan istimewa olehnya. Ayah jarang bercakap apabila berada di rumah, tapi dia ramah melayan rakannya apabila dia melepak di luar. Dia juga tidak pernah memuji atau meluangkan masa bersantai dengan saya, apatah lagi datang ke sekolah untuk mengambil penyata rekod saya walaupun keputusan saya cemerlang. Dia juga jarang sekali bergelak ketawa dengan telatah saya.”

“Riak wajahnya sentiasa serius. Mungkin itu caranya untuk menunjukkan sikap pembimbing keluarga dan juga seorang bapa supaya saya tidak mengambil kesempatan terhadap kedudukan saya sebagai anak tunggal dalam keluarga,” katanya.

Menurutnya lagi, sepanjang pembesaran ibu yang banyak berkorban dan membuktikan kasih sayang itu wujud dalam institusi kekeluargaan. Ibunya juga teman karibnya dan tempat untuk dia mengadu serta berkongsi setiap detik manis atau pahit.

“Sehingga kini, saya masih takut untuk menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana teman lelaki, memandangkan pengalaman dilalui saya menjadi igauan ngeri. Saya tidak mahu anak saya kelak melalui pengalaman serupa.”

“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan bapa dengan caranya menunjukkan ketegasannya, mungkin padanya itu terbaik untuk memastikan keutuhan sistem kekeluargaan terjamin. Tapi, alangkah manisnya jika dia boleh berlembut dan cuba untuk mendekati kami dengan menunjukkan sikap romantis serta penyayang kepada kami,” katanya menamatkan perbualan.

Laman-Seri : Contohilah sunnah Nabi SAW dalam menjalinkan hubungan dengan anak-anak anda, jangan sampai anak sendiri merasakan anda orang asing dalam hidupnya...




Sumber : BHarian 24/09/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...