PAGE

Sabtu, Oktober 01, 2011

Mendidik anak mengawal ego



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kanak-kanak lazimnya suka kepada sesuatu yang membawa kepada kegembiraan. Semua yang terhidang di hadapannya dianggap barang permainan yang boleh memenuhi keperluan dirinya untuk bergembira.

Tempoh kanak-kanak belajar juga banyak dikaitkan dengan permainan. Sifat mereka yang sentiasa ingin mengetahui sebenarnya membantu dirinya untuk menjadi dewasa. Namun, dalam perincian kehidupan, tidak semua yang membawa kepada gembira dan kepuasan itu baik untuk mereka.

Ego terbentuk apabila semua keinginan dan kehendak dipenuhi tanpa sebarang kesukaran dan batasan. Apabila ini berlaku, anak-anak akan belajar memahami bawa tiada apa yang boleh menghalang segala kehendaknya dan semua yang dikehendakinya adalah betul.

Impaknya, anak-anak ini akan membentuk personaliti yang tidak boleh bertoleransi, mementingkan diri sendiri dan tidak mahu bekerjasama. Lebih parah, mereka tidak mahu mendengar dan mengambil kira pendapat orang lain.

Peranan ibu bapa sangat penting untuk menyahkan sifat ego daripada terus menguasai anak-anak. Baik dari segi pentarbiahan berterusan mahupun contoh teladan. Anak-anak perlu diberitahu dan dimaklumkan pendidikan moral dan ditanamkan konsep iman di dalam dirinya. Iman yang subur dalam diri anak-anak boleh menjadikan mereka manusia yang ihsan dan merendah diri kepada manusia lain dan penciptanya.

Ada suatu ketika, seorang sahabat, Sahal bin Tusi menceritakan sewaktu dia berusia 13 tahun, dia melihat bapa saudaranya bersolat di tengah malam. Apabila melihatnya, pakciknya bertanya, “Tidakkah kamu mengingati Allah?” Sahal bertanya, “Bagaimanakah caranya?”

Lalu pakciknya menyuruhnya menyebut, “Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menyaksikanku. Ulang sebanyak tiga kali.” Setelah mengamalkannya beberapa malam, pakciknya menyuruhnya menambah kiraan hingga tujuh kali.

Setelah beberapa tahun mengamalkannya, pakciknya meminta Sahal menambah lagi kepada 11 kali dan mengamalkannya sehingga akhirat. Sahal pun mengulangnya setiap malam dan dapat merasakan kemanisan khalimah tersebut.

Setahun kemudian, pakciknya memberitahunya, “Wahai Sahal, sesiapa yang merasakan Allah sentiasa bersamanya, melihat dan menyaksikan segala perbuatannya, tidak akan melakukan maksiat. Maka jauhilah maksiat.” Sahal mengikut nasihat itu dan akhirnya menjadi ulama yang soleh.

Ðasari dengan iman

Apa yang berlaku ini membuktikan apabila anak-anak faham makna iman, mereka akan terus berpegang kepadanya dan sekaligus meruntuhkan perasaan ego dalam diri mereka. Ðasari hidup mereka dengan iman yang teguh, sebelum menjinakkan diri mereka dengan kefahaman dan nilai-nilai budi pekerti yang baik. Pasti usaha ke arah itu akan lebih mudah, insya Allah.

Peranan ibu bapa sebagai model kepada anak-anak juga turut membantu anak-anak menghilangkan rasaa ego. Tunjukkan kepada mereka sifat kita yang sentiasa tolong-menolong dan bertoleransi dalam sesuatu perkara. Wujudkan giliran dalam melaksanakan kerja rumah antara mereka adik-beradik dan galakkan mereka untuk berkongsi apa yang mereka miliki.

Bercakap secara berterus-terang membantu si kecil memahami kehendak kita sebagai ibu bapa untuk membantu mereka membentuk peribadi yang baik disukai dan diteladani oleh masyarakat. Oleh itu, banyakkanlah bercakap dengan mereka dan mengajak mereka berbincang dalam apa jua hal. Meraka akan rasa sangat diperlukan dan lebih memahami.

Anak-anak juga suka menjadi perhatian ibu bapa mereka dan gemar dipuji. Gunakan kekuatan itu untuk terus mendidik mereka mengurangkan ego. Pujilah anak kita apabila dia sanggup berkongsi dengan orang lain dan tegurlah dia jika dia bersikapp mementingkan diri sendiri dan sukar bertoleransi.

Setelah itu, tunjukkan cara yang betul. Elakkan marah kerana dengan meninggikan suara boleh menyebabkan mereka jauh daripada kita, biarlah ini menjadi pilihan yang terakhir dalam mendidik anak-anak.

Akhirnya, ibu bapa sangat besar peranannya dalam pembentukkan anak-anak. Untuk meruntuhkan ego mereka, kita terlebih dahulu perlu periksa adakah kita tergolong dalam mereka yang tebal egonya?




Sumber : Nurul Asiah Fasehah Muhammad (Pensyarah USIM) di MW#1428

Capaian entry berkaitan :
* Berhemah didik anak degil
* Menangani karenah anak
* Melayan anak kecil yang suka bertanya
* Etika berbicara dengan anak-anak
* Panduan berkomunikasi dengan anak
* Kain Putih Apa Coraknya?
* Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...