Assalamualaikum warahmatullah,
Alhamdulillah, dalam entry yang lepas, kita telah melihat tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, hari ini mari kita refresh tanggungjawab kita terhadap anak-anak kita pula.
Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”
Antara bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian, terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak soleh yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.
Islam adalah agama yang sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa.
Antara hak anak dalam Islam ialah :
Pertama : Hendaklah mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar memilih wanita yang solehah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kedua : Hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.”
Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ketiga : Hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.
Keempat : Seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.
Kelima : Hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya.
Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang
Keenam : Memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.
Ketujuh : Memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.
Kelapan : Memberi pendidikan agama yang cukup. Bercakap mengenai hak pendidikan anak-anak, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai enam perkara yang disenaraikan seperti di bawah :
1. Mencontohi pendidikan Allah dan Rasul
Anak adalah amanah yang mesti dicorak menurut perintah dan kehendak-Nya untuk menjamin kesejahteraan dan kebahagiaannya di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (Islam; suci bersih). Maka ibu bapanya lah yang bertindak menjadikan ia Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Muslim dan Baihaqi)
Untuk memelihara dan mempertahan fitrah itu, maka anak itu hendaklah disirami dengan ajaran kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW, satu-satunya pendidikan yang terjamin mampu menyelesaikan masalah manusia.
2. Keadilan
Keadilan hendaklah diratakan kepada anak-anak. Sifat adil itu sangat hampir dengan takwa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah di antara anak-anak kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada Anas r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berbuat adillah di antara meraka (anak lelaki dan anak perempuan).” (Hadis riwayat Bazzar)
3. Memberi dan memperlihatkan kasih sayang
Sungguh menghairankan apabila ada orang yang beriya-iya menyambut kelahiran anak, namun tidak tahu dan tidak mahu mengasihani mereka. Maha suci Allah yang menegur dan menyindir sifat manusia yang keras hatinya. Allah membandingkannya dengan sifat binatang yang masih tahu mengasihani anaknya, sekalipun ia binatang pemangsa.
Seorang Arab Badwi menanyai Rasulullah SAW, “Apakah engkau menciumi mereka (anak-anak), (sedangkan) kami tidak pernah berbuat demikian (kepada anak-anak kami).” Rasulullah SAW pun bersabda, “Apakah engkau tidak takut nanti Allah akan mencabut perasaan kasih dan sayang dari hatimu?” (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Aisyah r.a.)
4. Menyediakan benteng ketahan dan ilmu
Ðalam menghadapi cabaran keimanan dan krisis moral hari ini, ibu bapa harus mempersiapkan jiwa dan minda anak-anak dengan ilmu dan pedoman yang mencukupi supaya mereka selamat daripada dibawa arus deras kehidupan dunia dan sejahtera daripada tersesat dalam hutan kehidupan. Mereka perlukan ilmu untuk kesejahteraan dunia dan kesejahteraan akhirat.
Sayidina Umar al-Khattab r.a. berkata, “Sesungguhnya anak-anak kamu itu dijadikan untuk generasi lain daripada generasi kamu, dan jadikan mereka untuk menghadapi zaman yang lain dari zaman yang kamu hadapi sekarang ini.”
5. Menyajikan contoh teladan (role model)
Tidak ada pendidik yang boleh dianggap Berjaya tanpa menjadikan dirinya sebagai contoh teladan kepada anak-anak didiknya. Anak-anak berhak diperlihatkan dengan contoh te4ladan dan lain-lain akhlak serta kebaikan. Ðari situ mereka akan belajar menjadi seperti yang dicontohkan (bukan sekadar apa yang dicakapkan) oleh ibu bapa.
6. Berjiwa murabbi (pendidik)
Ibu bapa yang bersifat pendidik ialah ibu bapa yang hebat dan luar biasa. Itulah sebenar-benar ibu bapa. Pendidik ialah insan mulia yang kuat kemahuan, pantang menyerah kalah kerana cisi dan misinya yang suci.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Semoga Allah memberikan kasih sayang kepada orang tua yang mendidik anaknya untuk berbakti kepada dirinya.” (Hadis riwayat Abu asy-Syeikh)
Kesembilan : Menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.
Demikianlah antara hak-hak anak yang digariskan dalam Islam.
Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Saidina Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh dijadikan teladan kerana berlakunya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.
Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang dikatakan derhaka itu. Khalifah Umar mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya. Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: “Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.
“Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran.”
Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran.”
Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu.”
Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya. Kita sebagai ibu bapa bukan saja diwajibkan memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anak. Malah lebih dari itu, sebagai ibu bapa, kita wajib mendidik dan memberi pelajaran agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Ayuh! Marilah kita berperanan menjadi ibu bapa yang melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia.
Sumber : Ust Zahazan di BHarian 17/04/2011, Anis Oktober 2010 dan tambahan sendiri.
Capaian entry berkaitan :
# Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa
Salam......Mohon dikongsikan sebahagian daripada yg ada di sini untuk disampaikan kepada yg lain.....
BalasPadam- silent_flute@hotmail.com