Kekangan masa jadikan makanan segera sajian utama di rumah
SEORANG menteri Kabinet pernah mengadu mengenai kerenah anaknya yang ‘mengada-ngada’, mengeluh apabila pendingin hawa kereta rosak dalam perjalanan balik dari sekolah, bersama pemandunya. Menteri terbabit pada mulanya rasa cemas apabila mendapati banyak panggilan telefon anaknya tetapi gagal dijawab kerana telefon bimbit dimatikan ketika sedang menghadiri mesyuarat di pejabat.
“Saya terpaksa keluar dari bilik mesyuarat untuk membuat panggilan dan terkejut, alasan anak saya membuat panggilan ‘kecemasan’ ialah kerana kepanasan dalam kereta, sedangkan pemandu saya dah beritahu akan menghantar kereta ke bengkel selepas menghantar anak saya ke rumah,” katanya.
Itulah hakikatnya dan itulah juga senario zaman sekarang kerana anak-anak sudah berasa selesa hidup dalam keadaan kemewahan, bukan seperti zaman ayah atau datuk, nenek mereka dulu.
Malah, kesibukan ibu bapa terutama apabila kedua-duanya bekerja juga menyebabkan anak ‘dididik’ untuk makan di luar termasuk membeli nasi bungkus dan nasi lemak. Burger dan hotdog juga menjadi kegemaran selain nuget dan minuman dalam tin, turut disediakan di dalam peti sejuk untuk makanan anak, takut kelaparan bila balik dari sekolah.
Pada hujung minggu, dibawa pula anak ke restoran makanan segera seperti KFC dan McDonalds’, untuk memenuhi kehendak anak semata-mata selain kegemaran menjamah nasi lemak yang bagaikan satu kewajipan terutama bagi orang Melayu.
Apakah benar kata orang, didikan manja dari segi makanan di rumah inilah menjadi puncanya murid lebih cenderung untuk mengambil makanan yang tidak sihat di kantin sekolah? Apakah benar kata orang, jika murid tidak suka makan sayur dan buah-buahan di sekolah, maknanya dia tidak diasuh untuk makan makanan berkhasiat seperti itu di rumah?
Peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti. Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6% pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah.
Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar.
Berikutan itu, makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan. Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar.
Begitu pun, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung menu makanan berkhasiat yang sesuai dijual di kantin sekolah termasuk nasi lemak secara bergilir kerana belum ada perbincangan dengan semua pihak berkaitan setakat ini. Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan tidak akan membuat keputusan mendadak sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk pengusaha kantin, sebaliknya mengambil kira pelbagai aspek dan akan memberi masa berpatutan kepada pengusaha mengubah suai menu mereka.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO) pula mahu Kementerian Kesihatan menarik semula keputusan menetapkan jualan nasi lemak dua kali seminggu mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Sebenarnya, peranan untuk mengelakkan kegemukan pelajar sekolah tidak harus terbatas kepada kantin atau pengurusan sekolah semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dipikul bersama termasuk pakar pemakanan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi nasihat kepada pelajar serta keluarga mengenai menu seimbang.
Sekolah cuma sebahagian masa mereka di situ kerana banyak masa diluangkan di luar sekolah dan menjadi tanggungjawab keluarga membimbing anak mereka supaya tidak mengambil makanan terlalu berlemak dan kandungan zat kurang.
Apabila meneliti maklum balas daripada pelayar versi online akhbar ini mengenai jualan nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu di kantin sekolah, mereka bagaikan berbelah-bahagi. Misalnya, bagi jawapan ‘Wajar kerana pelajar akan memakannya setiap hari’ dipersetujui sekitar 25.3% atau 1,626 pelayar manakala jawapan ‘Tidak wajar kerana bukan setiap hari pelajar memakannya’ menerima respons 31.28% atau 2,005 pelayar. Jawapan ‘Wajar kerana ia punca obesiti’ dipersetujui 13.25% (849 pelayar) dan jawapan ‘Tidak wajar kerana ia bukan punca obesiti’ dipersetujui 30% (1,929), sehingga tengah hari semalam.
Ini bermakna, majoriti tidak bersetuju dan mereka berpendapat adalah tidak wajar 70 jenis makanan termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya di kantin sekolah.
Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan.
Pelajar adalah ibarat kain putih yang boleh diwarnai. Mereka akan makan apa saja yang kena dengan selera tanpa mengira sama ada makanan berkenaan berkhasiat atau tidak. Di sinilah peranan guru untuk mendidik dengan teori amalan makanan sihat dan di rumah pula, ibu bapa mengamalkannya untuk hidangan anak.
Sumber : BHarian 30/04/2011
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Sabtu, April 30, 2011
Ibu bapa abai menu sihat punca anak gemuk
Susunan :
Bawang Goreng
pada
4/30/2011 10:55:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...