Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kita baru saja reda dengan komen seksis Bung Mokthar Radin terhadap pemandu wanita yang entah ada entah tidak akan statistik yang menyokong komennya. Rujuk Kecoh dicuit Bung. Kita percaya Bung Mokhtar pasti mempunyai alasan kukuh mengeluarkan kenyataan sensitif seperti itu. Isu ini mengundang kontroversi kerana membabitkan jantina di mana kaum wanita mula mempertahankan hak mereka dengan menyatakan ia kenyataan tidak berasas.
Namun bila diteliti sehalusnya, ternyata Bung Mukhtar sesedap rasa mengeluarkan komen yang boleh Laman-Seri kategorikan sebagai 'cakap ikut emosi', kerana statistik kemalangan jalan raya yang melibatkan kaum lelaki TERNYATA jauh lebih tinggi dibandingkan kaum wanita. Saya cuba bersangka baik dan beranggapan Bung Mokthar dihimpit oleh seorang pemandu wanita ketika dalam perjalanan ke Parlimen, sebab itulah beliau sungguh marah dan sanggup melontarkan komen tidak berasas. Ha ha ha...
Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan bilangan pemandu lelaki yang terbabit dalam nahas jalan raya 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita. Menurut Ketua Pengarah MIROS, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya 1,351.74 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, dan ini membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita. Pada masa sama, jumlah pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan bertambah daripada 26.4% pada 2006 (berbanding lelaki 73.6%) dan meningkat 29.7% pada 2009.
Hah, tang mana pula dikatakan wanita memandu sambil lewa di jalan raya dan membahayakan orang lain serta menyumbang peningkatan kadar kemalangan?
Baru-baru ini, komen seksis Ibrahim Ali pula telah mencetuskan kemarahan kaum wanita di seluruh negara. Ketua Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata komen tersebut tidak wajar datangnya dari seorang ahli parlimen. Katanya, adalah mengejutkan apabila ahli parlimen Bebas Pasir Mas itu menyamakan wanita sebagai bahan mainan seks. Menurut Ivy, Ibrahim Ali menggunakan agama untuk menjustifikasikan pendiriannya itu kerana daripada komen itu, ia menunjukkan Ibrahim menjunjung ketuanan lelaki.
Menurut Tenaganita pula, sentimen sedemikianlah yang menjadi salah satu punca berlakunya penyeludupan manusia di negara itu. Memetik kata penyelaras kanan Tenaganita, Aegile Fernandez, jika setiap lelaki percaya, adalah hak mereka untuk melakukan seks dengan isteri pada bila-bila masa, atau jika tidak, mereka cari di tempat lain, maka itulah sebabnya mengapa industri seks berkembang dan berlakunya kes-kes penyeludupan manusia.
Saya melihat komen Ibrahim Ali tersangatlah 'bangang' tahap MORON bagi seorang lelaki muslim. Maaf ye, kasar banyak bunyinya, tetapi sebagai seorang muslim yang sepatutnya SEDAR dan AMBIL TAHU akan tugas dan tanggungjawab sebenar seorang suami sebagai PEMIMPIN tidak akan mengeluarkan kenyataan MORON sebegini. Apa sudah jadi dengan ahli parlimen Malaysia? Adakah anda sudah sangat terdesak merai publisiti hingga sanggup MEMPERBODOHKAN diri sendiri? Nyatalah, kedua-dua ahli parlimen ini bercakap mengikut emosi... kasihan sungguh!
Apa-apapun saya sangat-sangat setuju dengan pandangan Tuan Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) iaitu, suami sepatutnya FAHAM tanggungjawab berat wanita urus rumahtangga dan mengasuh anak. Memang menarik sungguh apabila membaca kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa isteri tidak bertanggungjawab menjadi punca suami melakukan hubungan sulit yang didakwanya, ada masanya bila suami ‘ada keinginan’ tetapi pulang ke rumah, isteri kata tunggu kerana ‘sedang masak’ atau ‘sedang bersiap untuk ziarah saudara-mara’. Dalam Islam, menurut Ibrahim Ali lagi, seorang isteri sepatutnya menghentikan apa yang sedang dilakukan untuk memenuhi tuntutan si suami, KERANA tidak mendapat layanan isteri, ada suami pergi ke tempat sulit untuk memuaskan nafsu serakah mereka.
Kita tidak pasti adakah kajian berkaitan yang pernah dijalankan bagi menyokong penemuan ini. Ibrahim Ali perlulah kemukakan statistik berkaitan, sebelum kita dapat mengambil pendirian dalam hal ini. Bagaimanapun, pada pandangannya memang ada sedikit kebenaran kenyataan Presiden PERKASA itu khususnya tanggungjawab isteri melayan keinginan dan kehendak suami. Memang ada di kalangan ulama sudah disepakati mengenai tanggungjawab isteri terhadap suami ini. Nas al-Quran dan hadis juga banyak boleh dikutip bagi menyokong hujah ini.
Persoalan juga timbul dari kenyataan itu, adakah kebanyakan suami begitu rendah imannya melakukan larangan Allah semata-mata kerana isterinya tidak mahu memenuhi tuntutannya? Tidak ada jalan lainkah yang diajar agama bagi menangani masalah sebegini?
Dalam memperkatakan tanggungjawab isteri ini kita sebenarnya tidak boleh lari daripada meneliti tanggungjawab suami juga. Jika ingin mengambil Islam sebagai autoriti, kita mesti mengambil secara keseluruhan dan bukan dalam kompartmen tertentu saja.
Memang benar isteri perlu berhenti daripada membuat perkara lain sekiranya suami mempunyai keinginan untuk bersama isterinya. Memang benar juga isteri perlu berhias untuk suami dan melayan suaminya. Tetapi, realitinya isteri itu turut dibebankan dengan tanggungjawab lain yang tidak perlu sebenarnya dipikul isteri. Urusan rumahtangga dan anak secara eksklusif digalas isteri.
Dalam Islam tugasan menyediakan makan minum suami sebenarnya bukan tanggungjawab hakiki isteri. Tetapi isteri sekarang bukan saja dibebankan dengan tanggungjawab memasak malah menjaga anak dan ramai juga yang berkerja bersama-sama membantu suami meningkatkan ekonomi keluarga. Semua ini sebenarnya tanggungjawab suami yang perlu menyediakannya. Suami sepatutnya menyediakan pembantu rumah. Begitu juga halnya mengasuh anak. Sekiranya semua ini disediakan oleh suami, pada masa itu, isteri wajib menuruti apa saja kehendak suami.
Dalam Islam apabila seseorang itu diberikan sesuatu keistimewaan ia bukan datang begitu saja. Ia sebenarnya juga disertakan dengan tanggungjawab. Lebih banyak keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang disertakan. Setiap suami harus sedar tanggungjawab ini dan tidak hanya memikirkan hak dan keistimewaan diberikan kepada mereka saja.
Sebagai seorang manusia, isteri juga mempunyai perasaan dan kelemahan. Sudah pasti isteri yang pulang dari bekerja itu berasa letih dengan kerja di pejabat. Adalah amat tidak munasabah sekiranya isteri ini juga selepas pulang dari kerja dibebankan lagi dengan pelbagai tugasan lain sedangkan si suami duduk menonton televisyen ataupun beristirehat saja. Sebagai ketua keluarga suami perlu menjaga kebajikan keluarganya. Suami akan dipersoalkan kelak sekiranya gagal mentadbir keluarganya dengan baik.
Kita percaya jika suami isteri mengambil neraca Islam sebagai panduan keharmonian rumahtangga mereka, sudah pasti tiada seorangpun akan teraniaya dalam keluarga. Malah isu mengadakan hubungan sulit dengan orang lain juga tidak akan timbul kerana hubungan suami isteri itu disulami dengan sulaman akhlak budi pekerti dan ketakwaan.
Keengganan isteri melayan suami bukan tiket kepada suami untuk berlaku curang. Islam mengajar bagaimana mendidik isteri nusyuz atau derhaka kepada perintah sah suaminya. Pada awalnya suami hendaklah menasihati isteri supaya tidak derhaka kepada suaminya. Sekiranya masih berdegil maka hendaklah diasingkan tempat tidur antara suami dan isteri dan sekiranya isteri itu masih berdegil ingkar kepada arahan suaminya dibenarkan kepada suami itu memukul isterinya bagi tujuan mengajar. Bagaimanapun pukulan itu hendaklah tidak mencederakan isteri dan tidak boleh dipukul pada bahagian tertentu seperti muka dan bahagian sulit. [NB: Ada perbincangan mengenai hal ini di entry Benarkah Islam membolehkan suami pukul isteri?]
Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk sebelah kiri lelaki. Tulang rusuk ini begitu dekat dengan hati sebagai simbolik wanita itu hendaklah dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada tulang di kepala untuk dijunjung ataupun tulang kaki untuk dipijak. Begitu indahnya kejadian wanita dijadikan Allah untuk kita fikirkan bersama.
Berbalik kepada kenyataan Ibrahim tadi, adalah disarankan, tidak kira suami ataupun isteri perlu melihat dalam diri mereka sendiri terlebih dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain melakukan apa-apa kesilapan ataupun menjadi penyebab berlakunya gejala sosial. Mendakwa orang lain menjadi penyebab kepada perlakuan salah seseorang yang lain amat tidak adil. Sebaliknya kita hendaklah melihat kepada diri sendiri sebelum mengatakan orang lain bersalah.
Laman-Seri : Janganlah jadi seperti bangau yang menyalahkan ikan yang tidak timbul kerana itulah badannya kurus! Jika inilah minda ahli parlimen yang mewakili kita, bagaimana pula minda rakyat marhein di luar sana???
HENTiKAN SiKAP BANGAU-MEMBANGAU!
Rujukan : Zainul Rijal Abu Bakar di BHarian 11/04/2011.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Rabu, April 13, 2011
Tidak dilayan isteri bukan alasan untuk curang
Susunan :
Bawang Goreng
pada
4/13/2011 10:08:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
komen penulis lebih memihak kepada kaum hawa sahaja..
BalasPadam