PAGE
▼
Khamis, November 03, 2011
Perjuangan tuntut pengiktirafan homoseksual, lesbian tiada faedah
BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor baru-baru ini memberi amaran Malaysia mungkin akan menghadapi gelombang politik baru yang memperjuangkan hak sama rata.
Bagi beliau, ‘gelombang hak asasi manusia’ ini memandang remeh setiap dasar yang dipersetujui bersama serta mempersoalkan hal diterima masyarakat majmuk di Malaysia sebelum merdeka seperti kontrak sosial dan prinsip jus soli (kewarganegaraan).
Malah katanya, individu dan kumpulan yang memperjuangkannya menganggap hak asasi manusia ini sebagai satu agama atau doktrin baru dunia yang perlu disebarkan.
Pihak yang menentang gelombang ini pula akan dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan hakiki yang mereka perjuangkan atas nama kebebasan hak asasi manusia.
Namun, kebebasan yang mereka tuntut ini jelas sekali membahayakan masyarakat dan negara kerana ia bukan saja bertentangan dengan agama dan fitrah hidup manusia, malah mampu meruntuhkan negara, institusi keluarga dan agama. Ternyata, apa yang disuarakan Abdul Rahim itu ada asasnya kerana ketika ini, sedang berlangsung satu program khas bagi mengiktiraf kewujudan golongan homoseksual, lesbian, gay dan hubungan bebas antara jantina di negara ini.
Program dikenali Seksualiti Merdeka 2011 bertemakan ‘Jangan Takut Walaupun Menjadi Songsang’ berlangsung di ibu negara selama dua minggu bermula kelmarin dan berakhir 13 November ini. Program itu boleh disifatkan sebagai mahu menghalalkan perkara yang haram itu menuntut hak sama rata dianugerahkan kepada golongan gay, lesbian, pengamal hubungan seks bebas dan homoseksual. Bagi pengamal budaya seks songsang ini, penganjur menyeru mereka supaya tidak berasa takut atau janggal dengan amalan itu, sebaliknya perlu berjuang untuk mendapat pengiktirafan masyarakat.
Jelas sekali, program berkenaan amat bertentangan dengan Perlembagaan yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, di samping menghina institusi Raja, selaku Ketua Agama Islam dan simbol perpaduan serta Ketua Utama Negara.
Program yang dijadualkan dirasmikan pemimpin pertubuhan haram BERSIH, Datuk S Ambiga itu juga sebenarnya menghina Islam dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam serta masyarakat berbilang bangsa dan anutan agama di negara ini. Penganjuran program itu membuktikan ada usaha terancang pihak tertentu untuk mengajak masyarakat mengiktiraf kegiatan tidak bermoral dilakukan manusia songsang. Justeru, pihak berkuasa di negara ini sewajarnya mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program ini kerana ia bertentangan dari sudut agama dan moral.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata program berkenaan ternyata tidak mendatangkan faedah kepada rakyat sama ada dari sudut moral, kemajuan dan agama.
“Ia hanya mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat jika budaya songsang ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas. Program ini patut dicegah daripada awal. Dalam suasana masyarakat majmuk, bermoral dan bertamadun, saya faham masyarakat menolak perkara ini yang ternyata tidak mendatang faedah. Selain bertentangan dengan budaya timur dan nilai murni masyarakat kita, program itu juga haram di sisi Islam. Saya juga percaya agama lain tidak bersetuju dengan program ini kerana ia merosakkan nilai moral dan bertentangan dengan fitrah manusia,” katanya.
Difahamkan, pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan terhadap penganjur kerana program itu diadakan di dalam kawasan persendirian. Abdul Shukor turut berkata, program itu bertentangan dengan konsep wassatiyyah yang mahu diterapkan dalam kehidupan masyarakat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia menyogok konsep liberal melampau.
Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim menegaskan, pihak berkuasa perlu bertegas menghalang program berkenaan daripada terus berlangsung kerana ia tertakluk di bawah undang-undang.
“Kegiatan seks songsang dan bebas ini tertakluk kepada undang-undang Kanun Keseksaan (liwat) dan Enakmen Syariah Negeri. Berdasarkan latar ini, kita kesal kerana pihak penganjur tidak sensitif dan bertindak meneruskan agenda mereka. ABIM mendesak pihak berwajib mengambil tindakan tegas menyiasat perkara ini secepat mungkin,” katanya.
Mohamad Raimi menambah, pihaknya menyedari penganjuran program bagi menyokong kewujudan golongan songsang ini begitu bersemarak pada Oktober lalu dan bulan ini.
“Platform kebebasan hak asasi manusia harus dipandu oleh nilai agama dan budaya masyarakat serta perlu disesuaikan dengan sosio-budaya masyarakat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan perjuangan berkaitan isu hak asasi manusia perlu berpandukan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Kaherah yang falsafahnya selari dengan nilai agama dan moral masyarakat beragama.
Petikan : Anwar Patho Rohman di BHarian 03/11/2011
Polis haram Seksualiti Merdeka ~ BHarian 04/11/2011
BalasPadamKUALA LUMPUR: Polis mengharamkan semua aktiviti dalam penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 bagi menuntut kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang gay dan lesbian, termasuk yang diadakan secara tertutup, berikutan bantahan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya akan menghentikan semua aktiviti dalam program yang sepatutnya berlangsung Selasa lalu hingga 13 November ini, atau tindakan tegas diambil termasuk menahan penganjur dan peserta. Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu berniat melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 27A(1)(C) Akta Polis.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti lebih 10 penganjur membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan memanggil mereka bagi membantu siasatan termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan yang dijadual merasmikan program itu pada 9 November ini.
“Sehubungan itu, mulai hari ini (semalam) kita akan menghentikan apa juga acara dalam program berkenaan, kita beri amaran kepada penganjur dan peserta supaya bersurai dan jika berdegil, tindakan tegas akan diambil termasuk menahan sesiapa saja yang terbabit. Kita akan panggil semua selepas ini kerana kertas siasatan sudah dibuka. Kepada sesiapa yang bercita-cita nak hadir, lupakanlah,” katanya kepada pemberita di Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.
Program Seksualiti Merdeka diadakan setiap tahun sejak 2008 bertujuan menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Bertemakan ‘Queer Without Fear’, program berkenaan diadakan di The Annexe Gallery Pasar Seni di sini.
Antara penaja dan penyokong program berkenaan termasuk Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dengan beberapa aktiviti dirancang seperti bengkel, perbincangan, pameran dan persembahan.
Khalid berkata, pihaknya menerima dua laporan polis selain mendapat maklum balas pelbagai pihak yang mengecam penganjuran program berkenaan termasuk NGO dan pertubuhan berkaitan agama Islam serta agama lain.
“Polis bertanggungjawab memastikan keselamatan negara dan bila ada ancaman kepada ketenteraman awam, kita perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian tidak diingini. Penganjur sepatutnya berfikir terlebih dulu, adakah acara dianjurkan diterima semua golongan masyarakat, malah saya percaya majoriti masyarakat tak boleh menerima homoseksual dan lesbian, jadi janganlah kita nak mengagungkan perkara seperti ini,” katanya.
Khalid kesal kerana Majlis Peguam tidak memberikan nasihat yang betul terhadap penganjur berkaitan pelanggaran undang-undang negara berhubung penganjuran program seperti itu.