PAGE
▼
Khamis, November 03, 2011
Pasangan terlanjur tipu tarikh nikah
Elak kandungan ditakrif anak tidak sah taraf
KUALA TERENGGANU: Ramai pasangan terlanjur di negeri ini dikesan sanggup menipu tarikh pernikahan mereka bagi mengelak anak sedang dikandung ditakrifkan sebagai anak tidak sah taraf.
Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyalahi hukum syarak, malah menyebabkan keturunan sesebuah keluarga itu tidak sah, malah tergolong dalam zina. Malah, katanya, ada beberapa kes Mahkamah Syariah mengesan tindakan pasangan menipu tarikh pernikahan ketika mendaftarkan perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara.
"Ada kes pasangan terlanjur sehingga sudah dua bulan mengandungkan anak, kemudian pergi bernikah di Thailand kerana tidak mahu menanggung malu. Apabila pulang ke sini dan mahu mendaftarkan pernikahan itu, mereka menipu kononnya tarikh pernikahan di Thailand berlangsung pada 1 Januari dan dimasukkan ke dalam sijil nikah dari negara berkenaan, sedangkan mereka sebenarnya bernikah pada 1 Mac. Perkara seperti ini juga banyak membabitkan golongan VIP kerana mereka hanya perlu membayar sejumlah wang untuk mendapatkan sijil nikah kosong dan meletakkan tarikh tertentu seperti yang dikehendaki," katanya ketika ditemui di pejabatnya.
Beliau berkata, penipuan tarikh perkahwinan akan memberi kesan terhadap nasab keturunan, terutama sekiranya membabitkan pendaftaran perkahwinan apabila si wanitanya sudah hamil sebelum pernikahan.
"Perkiraan anak tidak sah taraf dibuat bermula dari tarikh perkahwinan, sehinggalah anak itu hendaklah dilahirkan tidak kurang enam bulan dari tempoh pernikahan. Sebagai contoh, seorang wanita itu sudah mengandung dan kebiasaannya orang mengandung selama sembilan bulan, tetapi wanita itu pula hanya mengandung enam bulan dua hari. Mengikut hukum syarak, anak ini boleh dibinkan kepada bapanya dan bukan anak luar nikah. Tetapi, jika anak itu lahir kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan, maka anak itu tidak sah taraf," katanya.
Justeru, adalah sangat penting untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meletakkan simbol khas di dalam MyKad sebagai tanda seseorang itu khususnya wanita, adalah anak tidak sah taraf, bagi memelihara keturunannya selepas bernikah dengan lelaki pilihan.
"Ini kerana, apabila seseorang itu mahu berkahwin, dia tidak lagi menggunakan sijil kelahiran (yang tercatat status anak itu sebagai anak tidak sah taraf) dan hanya menggunakan MyKad saja. Jadi, apabila hanya mengguna MyKad, ia bergantung kepada keikhlasan ibu bapa itu sendiri terutama yang mempunyai anak tidak sah taraf untuk mendedahkan kebenaran sebelum bernikah."
"Jika dia anak tidak sah taraf, maka permohonan untuk bernikah menggunakan wali hakim di mahkamah perlu dibuat.. kalau itu berlaku Alhamdulillah, tetapi kalau ibu bapa itu buat diam saja dan tidak memberitahu hal sebenar bahawa anak itu tidak sah taraf, itu yang menjadi kebimbangan kita kerana dia berkemungkinan dinikahkan oleh lelaki yang 'kononnya' adalah bapanya," katanya.
99 nama untuk bin, binti anak luar nikah
KUALA TERENGGANU: Pasangan terlanjur yang malu meletakkan bin atau binti Abdullah pada nama anak mereka boleh memilih 99 nama Allah atau Asmaul Husna untuk menggantikan nama berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata ramai yang tidak tahu perkara itu menyebabkan mereka malu menggunakan bin Abdullah dalam sijil kelahiran anak tidak sah taraf, bagi mengelak anak itu dikesan tidak sah taraf.
"Inilah perkara yang ramai tidak tahu. Anak tidak sah taraf bukan saja perlu dibin atau dibintikan dengan Abdullah, tetapi boleh menggunakan 99 nama Allah antaranya Abdul Rahim, Abdul Razak, Abdul Malik, Abdul Aziz dan Abdul Latif. Jika mereka membuat pilihan ini, bukan saja makna nama itu lebih indah dan mulia, tetapi dapat mengelak daripada keturunan tidak sah apabila sewenang-wenangnya meletakkan nama individu lain sebagai bapa kepada anak luar nikah," katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan BHarian kelmarin mengenai ramai pasangan terlanjur di negeri ini dikesan sanggup menipu tarikh pernikahan bagi mengelak anak sedang dikandung ditakrifkan sebagai anak tidak sah taraf. Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyalahi hukum syarak, malah menyebabkan keturunan sesebuah keluarga itu tidak sah, malah tergolong dalam zina.
Mengikut perangkaan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tahun lalu sejumlah 623 pendaftaran anak tidak sah taraf dicatatkan di seluruh negeri ini, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh, berkata tindakan pasangan terlanjur menipu tarikh pernikahan adalah tidak beretika, kerana kesan daripada tindakan itu sangat dahsyat dan merosakkan keturunan.
"Sekiranya bapa yang tidak sah mewalikan pernikahan anak tidak sah taraf, kesannya amat dahsyat dan berpanjangan. Jika pernikahan anak (tidak sah taraf) itu tidak sah, maka sepanjang keturunannya sehingga ke anak cucu tidak sah dan berada dalam zina. Malah, dalam pembahagian harta pusaka, anak tidak sah taraf juga tidak layak menerimanya," katanya.
"Jangan hanya kerana malu dan mahu menutup kesilapan sendiri yang berzina hingga melahirkan anak, soal keturunan anak ini diambil mudah. Sudahlah kita melakukan dosa zina, ditambah pula dengan penipuan yang memusnahkan keturunan ini, ingatlah balasan Allah," katanya ketika dihubungi.
Laman-Seri : Daripada Abu Hurairah katanya, telah bersabda Rasulullah SAW, "Tiga perkara persungguhan terbilang sungguh dan gurauan terbilang sungguh iaitu nikah dan talak dan rujuk."
Petikan : BHarian 01/11/2011 dan BHarian 03/11/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...