PEKERJA asing membanjiri sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Kehadiran puluhan warga asing dari pelbagai negara seperti Afrika, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang melepak di sekitar Puduraya setiap hari tanpa mengira waktu, bukan saja merimaskan orang ramai, malah menakutkan warga tempatan terutama wanita yang bekerja atau berkunjung ke kawasan berkenaan.
Tinjauan BHarian kelmarin mendapati warga asing membanjiri kawasan sekitar Kotaraya dan Puduraya tanpa sebarang aktiviti dan berkumpul di kawasan tumpuan awam sehingga menyebabkan warga tempatan pula berasa seperti berada di negara asing.
Pekerja kedai serbaneka beroperasi 24 jam, Aisyah Yunus, 23, berkata kebanyakan warga asing berkenaan terutama dari Afrika dan Bangladesh gemar menghabiskan masa dengan melepak di depan kedai tempatnya bekerja bermula petang hingga dinihari, menyebabkan beliau takut kerana sering diusik. Beliau berkata, kehadiran warga asing di situ bukan perkara baru, menyebabkan warga tempatan sendiri takut untuk keluar sendirian.
“Mereka selalu berkumpul beramai-ramai pada Jumaat petang hingga lewat pagi di depan kedai saya bekerja dan sering bergaduh sesama sendiri, menyebabkan saya takut terutama apabila terpaksa bekerja sehingga lewat pagi. Warga asing dari Bangladesh dan Afrika paling ramai di sini. Ada sesetengahnya cuba berkomunikasi dengan saya dalam bahasa mereka tetapi apabila saya tidak memahaminya, mereka akan memarahi saya. Sebagai wanita, memang menakutkan apabila saya terpaksa berdepan situasi ini dan berharap pihak berkuasa bertindak menyekat mereka daripada berkumpul beramai-ramai sehingga lewat pagi,” katanya.
Maryam Adnan, 32, yang baru tiba untuk menghabiskan cuti umum di sini, turut melahirkan rasa terkejut dengan kehadiran warga asing yang ramai di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dan tidak selamat kepada warga tempatan.
“Saya tidak sangka pusat tumpuan ibu kota Kuala Lumpur dipenuhi warga asing sehingga menyebabkan saya pula terasa seperti berada di Bangladesh. Kehadiran mereka yang melepak secara berkumpulan di bawah pokok, kawasan lapang dan tempat meletak kereta memang cukup menggerunkan.
“Sebagai rakyat negara ini, saya memang tidak selesa dengan kehadiran mereka yang gemar merenung golongan wanita dan cuba bercakap dalam bahasa tidak difahami. Saya rasa tiada jaminan keselamatan apabila wanita seperti saya keluar berjalan-jalan di sini,” katanya.
Sehubungan itu, Maryam mahu pihak berkuasa seperti polis termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tindakan sewajarnya termasuk memantau kehadiran warga asing di tengah bandaraya demi keselamatan warga tempatan.
“Paling menyakitkan hati apabila warga asing ini berani mengusik wanita tempatan tanpa segan silu termasuk ibu yang membawa anak. Jadi, rondaan lebih kerap serta pemeriksaan dokumen perjalanan mereka wajar dilakukan, selain mengenakan peraturan tidak membenarkan mereka berkumpul di tempat awam,” katanya.
Laman-Seri : Lagi beberapa hari lagi kita akan melangkah ke tahun 2012. Jika mereka yang tidak berkenaan ini masih membanjiri Malaysia, apakah kesudahan program 6P???
Petikan : BHarian 28/12/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...