Ibu bapa hebat pasti ada perancangan hadapi tahun baru
MEMPERUNTUKKAN lebih masa bersama anak atau menambah rezeki keluarga dengan melakukan kerja sampingan? Mungkin ini antara azam segelintir ibu bapa menjelang tahun baru. Sama ada selepas menempuh tahun lalu yang mungkin sedikit suram atau ‘biasa-biasa’ saja untuk menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
Biar apapun azam tertanam dalam diri, anda adalah ibu bapa hebat sekiranya merencanakan hal berkaitan pembangunan keluarga dalam kalendar 2012 nanti. Harus diingat, perencanaan keluarga adalah antara agenda penting, lantaran kehidupan manusia di dunia ini berlandaskan tanggungjawab untuk beriman dengan Allah SWT, bukannya sekadar suka-suka. Malah, anak juga bukan sekadar zuriat sebaliknya amanah yang perlu dijaga dan ibu bapa memainkan peranan penting mencorakkan kehidupan anak serta keluarga.
Ibu bapa tak boleh gadai prinsip
Justeru perencanaan atau susun atur hidup kekeluargaan secara menyeluruh, dari pelbagai segi termasuk nafkah, persekolahan dan sebagainya perlu diutamakan. Bercakap pada Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 baru-baru ini, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abd Rahman, berkata Islam turut menempatkan keluarga sebagai pusat pendidikan yang melahirkan generasi berpekerti mulia dan profil tinggi.
“Pelayaran sebuah keluarga tidak boleh dibiarkan mengikut arus, sebaliknya hendaklah dipandu dengan nilai dan asas kecemerlangan tamadun Islam yang kita warisi. Ketua keluarga harus faham betapa besarnya peranan sebagai nakhoda dalam memastikan keluarganya bukan sekadar satu persinggahan sementara tetapi sebahagian daripada sistem hidup Islam atau gagasan umat yang menyeluruh. Demi memastikan ‘projek’ itu berjaya, ketua keluarga harus faham peranannya dalam mewariskan agama, pemangkin akhlak dan peradaban, menerapkan keperibadian yang unggul dan kekuatan fizikal dan mental,” katanya.
Lebih penting lagi, kata Abdullah Zaik, peranan institusi keluarga bukan sekadar tanggungjawab fizikal berbentuk penyediaan makan dan pakai anak saja tetapi lebih besar menjuarai sifat unggul yang menjadi sebahagian daripada identiti keluarga.
“Dulu keluarga saya dikenali sebagai berani dan menjaga maruah. Biarpun keluarga kami miskin, ‘pantang datuk nenek’ untuk kami menggadai prinsip dalam keadaan apa sekalipun. Saya berbangga menjadi sebahagian keluarga ini kerana maruah dan keperibadiannya walaupun kami miskin.”
“Pembentukan keluarga moden kini sudah tidak lagi mengambil kira aspek keunggulan pekerti dan keperibadian. Nilai yang diutamakan ialah menjadi kaya. Siapa nama bapa atau asal-usul mana tidak siapa kisah. Mungkin yang akan diperkatakan ialah dia anak orang kaya.”
“Dulu orang sebut dalam profil peribadi, ia dilahirkan dalam keluarga ulama, berkeperibadian tinggi, keturunan pejuang, keluarga yang pemurah dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dijaga, generasi masa depan akan kehilangan profil yang baik,” katanya yang menegaskan keluarga yang bijak membuat perancangan atau agendanya akan dapat merubah profil anak.
Malah, mereka juga pasti bangga dengan keluarga yang mereka miliki. Lebih utama, rasa kasih dan bangga kepada keluarga adalah suatu unsur penting mengawal anak daripada menjadi liar dan terjebak dalam pelbagai salah laku. Peranan ibu bapa untuk memastikan persekitaran keluarga sebagai tempat yang selesa dan anak mendapat sepenuh kasih sayang dan tunjuk ajar.
“Masyarakat Islam berhadapan dua cabaran besar iaitu mempertahankan keutuhan institusi kekeluargaan sebagai satu unit daripada komponen pembentukan masyarakat dan memastikan pembentukan sebuah keluarga yang dapat menjamin kesinambungan nilai kehebatan diri dan penyambung kepada keluhuran peradaban bangsa.”
“Keruntuhan institusi keluarga adalah antara sebab utama berleluasanya fenomena keruntuhan masyarakat hari ini. Hak dan tanggungjawab dalam keluarga Islam membabitkan pemilikan harta, kewajipan nafkah atas bapa, kewajipan isteri mentaati suami dan kewajipan anak terhadap ibu bapa,” katanya.
Wujudkan kesefahaman, semai kasih sayang dan perhatian bagi mengeratkan hubungan dalam institusi keluarga
Suami stabil, keluarga terampil
TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, menegaskan lelaki atau suami berketrampilan, berjiwa dan bersemangat tinggi serta bersifat kelelakian yang sebenar adalah kunci keluarga Muslim berjaya.
Melihat kepada realiti masyarakat sekarang yang lebih tertarik kepada kegiatan berbentuk individualistik seperti permainan video berbanding memenuhi masa bersama keluarga, beliau menggesa bapa supaya merancang keluarga yang ada matlamat, mengutamakan agenda Islam serta menjadi contoh baik bagi keluarga.
Beliau berkata, seorang bapa perlu mengambil teladan daripada sahabat Nabi Muhammad SAW dalam membentuk keluarga Muslim dengan prinsip agenda keluarga yang jelas, dipenuhi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah.
“Mendidik anak, bapa sepatutnya terbabit dalam aktiviti keluarga, beri perhatian kepada setiap anak, ambil tahu perkembangan mereka kelemahan, kekuatannya, membudayakan amalan syura dan menjadi pendengar yang baik. Tidak mengenepikan pendidikan isteri dengan cara Islam yang pada asalnya bermula sejak pemilihan isteri berasaskan pegangan Islam supaya sentiasa bersederhana dalam kehidupan dunia,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya berbincang mengenai masalah atau gejala sosial remaja, masyarakat lebih gemar menuding jari ke pelbagai pihak mencari alasan tanpa mengetengahkan jalan penyelesaian.
“Jarang kita kaitkan cabaran atau masalah yang berlaku pada hari ini, kembali kepada pembinaan dan status individu dan keluarga. Memandangkan keluarga adalah satu daripada unit kecil dalam masyarakat, keluarga yang sejahtera dan kukuh akan menjadikan masyarakat sejahtera dan kukuh seterusnya negara yang kuat dan selamat. Ukuran digunakan untuk menentukan perkara ini bukan bersandarkan kepada kebendaan seperti tubuh badan sihat, rumah mewah dan taraf sosial yang tinggi, tetapi ia mesti diukur dengan sejauh mana anggota keluarga itu berpegang teguh dengan Islam dari akidah, ibadat, akhlak dan muamalahnya,” katanya.
Tegasnya, setiap suami dan isteri ada tanggungjawab masing-masing, namun Islam meletakkan tanggungjawab yang amat berat kepada lelaki sebagai ketua keluarga.
“Kelebihan dan penghormatan kepada lelaki ini bukan datang secara percuma, malah ia dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan amanah yang perlu dipikul. Lelaki bergelar bapa adalah tonggak utama sesebuah keluarga yang berperanan sebagai pemimpin dan memandu keluarga. Suami mempunyai kemantapan akal, kekuatan pemikiran, kestabilan jiwa dan ketenangan perasaan mampu menjadikan ikon kepada seisi keluarga,” katanya.
INFO : Tip bapa hebat
PANDUAN oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, untuk membina keluarga dengan agenda mantap, keazaman tinggi, komitmen berterusan dengan kekentalan jiwa dan ketenangan fikiran dalam membangunkan sebuah keluarga Muslim:
❀ Bermula dengan perancangan masa depan yang jelas dengan langkah realistik. Pastikan kita faham matlamat dan objektif dan memberi tumpuan serius dalam hal pembangunan keluarga berpaksikan objektif berkenaan. Masukkan dalam agenda masa depan ini perancangan bagaimana kesinambungan kerja untuk Islam dan umat dapat diwarisi dan diteruskan oleh generasi akan datang.
❀ Mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan seterusnya beriltizam menjadi contoh terbaik kepada isteri dan anak dari segi keteguhan pegangan terhadap Islam, menunaikan tanggungjawab, berdisiplin dan berakhlak dengan akhlak Islam.
❀ Pemilihan calon isteri adalah kritikal dalam membantu mendirikan keluarga yang ada agenda. Utamakan pegangan agama, bukannya paras rupa dan kedudukan atau harta.
❀ Didik isteri dalam meletakkan keutamaan dalam kehidupan bersama. Kejayaan agenda masa depan umat Islam bergantung kepada kejayaan membangunkan keluarga Muslim yang mantap. Ia memerlukan pengorbanan besar serta berterusan.
❀ Besarkan anak dengan cara Islam supaya menjadi unsur yang kuat untuk masyarakat. Amalan sunnah diajar dan dipraktikkan di rumah dari bangun pagi hingga tidur. Babitkan secara aktif, tidak menyerahkan kesemua hal tarbiyah kepada isteri atau orang tertentu saja.
❀ Beri perhatian serius kepada setiap anak dengan mengambil kira potensinya. Setiap anak adalah seorang ‘juara’ yang dianugerahkan Allah kepada kita. Salurkan potensi anak ini dengan memupuknya supaya boleh bermanfaat untuk Islam dan masyarakat. Didik anak menjadi berani, mempunyai keyakinan diri, cintakan jihad dan tidak mementingkan diri sendiri.
❀ Utamakan kepentingan Islam dan umat Islam dengan meletakkan agenda Islam di depan dalam kehidupan seharian supaya anak terbiasa dengan hal berkenaan. Dahulukan orang Islam dan memenuhi hajat dan hak saudara seIslam dititikberatkan agar mereka faham dan sedar akan perkara pokok berkenaan. Sematkan dalam hati dan perasaan mereka kasih sayang kepada saudara seIslam dan tanggungjawab yang berkaitan.
❀ Mengambil berat hal ehwal pelajaran dan pendidikan anak-anak. Kenal pasti kekurangan dan kelemahan mereka dan ditangani dengan memberi mereka peluang untuk belajar mengatasi kekurangan diri. Beri sokongan dalam mengatasi kelemahan mereka atau mengkritik dengan kritikan yang tidak membina. Dedahkan mereka dengan ilmu kemahiran hidup dan kemahiran berkomunikasi.
❀ Hidupkan amalan syura (bermesyuarat) dengan isteri dan anak-anak dengan pengamalan adab-adab syura dalam Islam. Jadi pendengar yang baik dan didik anak-anak berhujah dengan penuh adab serta rasa hormat kepada ahli mesyuarat yang lain.
Petikan : BHarian 27/12/2011
Capaian entry berkaitan :
❀ Perihal Amanah
❀ Jadikan anak sebagai amanah
❀ Bukan hak milik, tetapi anugerah....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...