PAGE

Ahad, Januari 15, 2012

Anak anda cukup tidur?


Mengantuk boleh sebabkan bayi cepat meradang, kerap menangis

TIDAK kira bayi, kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga tua memerlukan tidur yang cukup mengikut usia masing-masing bagi memastikan perjalanan hidup mereka lebih teratur dan selesa sepanjang hari.

Ada orang yang memang sukar untuk tidur atas pelbagai sebab. Namun, tanpa tidur yang cukup bukan saja prestasi di tempat kerja atau sekolah akan terjejas, malah kita juga akan merasa letih, berasa tertekan dan cepat marah. Tidak mustahil, mengapa sering kali kita lihat juga, bayi atau kanak-kanak yang kurang tidur menyebabkan mereka cepat meradang dan kerap menangis.

Justeru, berapa banyak tidur perlu dan dianggap mencukupi? Apakah risiko bakal dihadapi kepada bayi dan kanak-kanak yang kurang tidur. Kajian saintis Belanda, kanak-kanak kurang tidur lebih berisiko menjadi gemuk. Menerusi kajian ke atas 250 kanak-kanak, mereka yang tidak cukup tidur berisiko untuk menambah indeks jisim badan (BMI). Kurang tidur akan meningkatkan selera makan, mengubah tindak balas badan terhadap insulin dan hormon yang dikaitkan dengan kebolehan badan untuk menyimpan lemak.

Apa yang nyata isu tidur ini berbeza kepada setiap orang dan ia mengikut usia. National Sleep Foundation, mengesyorkan jadual bilangan jam yang patut diamalkan oleh seseorang mengikut usia.

Bayi:
* (0-2 bulan) - 10 hingga 18 jam
* (2-12 bulan) - 14 hingga 15 jam

Kanak-kanak:
* (12-18 bulan) - 13 hingga 15 jam
* (18 bulan- 3 tahun) - 12 hingga 14 jam
* (3-5 tahun) - 11 hingga 13 jam
* (5-12 tahun) - 9 hingga 11 jam

Cadangan menggalakkan kanak-kanak tidur:

Jadikan tidur sebagai rutin.

Seperti juga orang dewasa, rutin tidur perlu untuk kanak-kanak. Pastikan kanak-kanak tidak mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal sebelum masuk tidur atau makan makanan bergula. Aktiviti menenangkan termasuk membaca, mandi, minum susu dan memberikan pelukan dan ciuman.

Pastikan jadual tidur yang konsisten.

Untuk tidur yang baik, tetapkan waktu yang tepat dan konsisten supaya mudah bangun awal. Sebagai ibu bapa, rancang rutin mengikut jadual setiap hari, khususnya waktu malam.

Pastikan semua seisi keluarga patuhi rutin tidurIbu bapa juga sebagai model terbaik untuk anak. Mereka juga perlu hadkan aktiviti seperti menonton televisyen sehingga larut malam bagi mengelak turut ikut jejaknya.

Jangan gunakan tidur sebagai hukuman.

Ibu bapa tidak sepatutnya menghukum anak jika gagal mengikut perintah, terus keluarkan arahan mahu anak masuk tidur.

Elakkan tidur dengan anak

Sesetengah ibu bapa mempunyai kecenderungan untuk berbaring di atas katil dengan anak untuk membantu mereka tidur. Amalan itu tidak bagus, anda mungkin tidak akan sentiasa ada di rumah atas hal tertentu atau tugas luar.

Ajarkan tidur sendiri.

Adalah penting untuk kanak-kanak belajar tidur sendiri. Sebagai contoh, ibu bapa perlu meletakkan kanak-kanak untuk tidur apabila mereka dalam keadaan tenang dan bukan menunggu sehingga mereka tertidur. Anda boleh menyanyi atau membacakan buku di tempat tidur, kemudian beransur-ansur meninggalkan bilik sebelum mereka tertidur.

Berikan barang atau objek tertentu.

Anak akan lebih rasa tenang dan selesa jika ada objek atau barang seperti patung permainan, bantal dan selimut sebagai teman dari segi psikologi. Dengan cara ini, ibu bapa tidak perlu berada sentiasa di sisi anak sebelum mereka masuk tidur.




Petikan : BH 06/09/2011

1 ulasan:

  1. Untuk menggalakkan anak-anak tidur awal, ibu-bapa perlu turut tidur awal bersama-sama mereka. Perkara inilah yang sukar untuk dipraktikkan...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...