PAGE
▼
Sabtu, Januari 07, 2012
Ðidik anak ucap terima kasih
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Ucapan terima kasih amat menyenangkan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tidak kiralah jika emosi orang yang mendengarnya beraqda dalam keadaan marah sekalipun. Pasti terubat sedikit amarahnya.
Kalimah yang amat besar impaknya ini perlu dititipkan dalam diri anak-anak agar kehidupannya tersulam dengan budi pekerti yang mulia. Cita-cita untuk melihat anak-anak membesar menjadi orang yang hebat akhlak dan pekertinya perlu bermula daripada keprihatinan ibu bapa dalam mendidik.
Anak-anak kita fitrahnya indah dan suci. Tidak terpalit walau sedikit pun titik hitam sehinggalah didikan dan persekitaran yang memandunya ke arah itu. Pembinaan tassawur (perceptual expecience) hidupan yang bermula sedari usianya dua tahun harus diisi dengan contoh-contoh yang baik dan boleh diteladani.
Ucapan penghargaan ‘terima kasih’ perlu dilatih dan dimulakan di rumah. Contohnya setelah anak menyelesaikan satu perkara yang diminta, ucapkan terima kasih kepadanya. Ucapan ini perlu disertakan dengan senyuman agar anak tahu bahawa ucapan yang dituturkan oleh ibu atau bapanya itu merupakan pujian.
Secara tidak langsung, memberi galakan kepadanya untuk mengulangi perkara yang dilakukan tadi untuk menerima ucapan tersebut lagi. Ði sini, kita telah memberitahu anak bahawa ucapan terima kasih itu bermaksud penghargaan. Maka anak juga akan menggunakannya untuk tujuan yang sama.
Alunan penghargaan
Selain penggunaan yang kerap menyenangkan hati anak-anak, kekerapan tadi juga mewujudkan program baru dalam minda bawah sedar anak-anak iaitu sebagai tanda penghargaan ucapkan terima kasih.
Jadi apabila program ini sudah terpateri dalam minda mereka, hati kita akan sentiasa berbunga mendengarkan alunan penghargaan ini meniti di bibir mereka. Cara penerapan yang berlaku spontan ini akan menjadi kebiasaan dan rutin harian mereka sehingga tidak terasa berat untuk dilaksanakan apabila kena pada tempat dan waktunya.
Walau bagaimanapun, maklumat tentang mengapa perlu berterima kasih dan maksud perkataan itu perlu juga diberikan kepada mereka agar kefahaman mereka sangat jitu untuk perkara yang diminta lakukan.
Kefahaman ini akan menjadikan perbuatan yang dilakukan lebih bermakna. Contohnya, jika kita pulang ke rumah dengan membawa permainan baru untuk mereka, tanyakan perasaan mereka semasa menerima permainan tersebut.
Setelah mendengar jawapannya, arahkan kefahaman tentang penghargaanb seperti, “Jika kakak seronok terima permainan itu, kita perlu ucapkan terima kasih. Bila kakak ucapkan terima kasih, mama rasa seronok macam yang kakak rasa semasa terima permaian baru. Jadi, sebagai tanda penghargaan kepada orang yan gmemberi kegembiraan pada kita, kita perlu ucapkan terima kasih.”
Ðari contoh ini, kita merangsang perkembangan minda logiknya dengan kefahaman yang kita cuba beri padanya. Apabila anak sudah faham apa yang diminta lakukan, dia akan melakukannya dengan senang hati dan penuh rela.
Begitu juga dengan penghargaan kepada Pencipta. Pemahaman mengenai ini juga perlu dilakukan seiring. Bentuk kefahaman mereka tentang nikmat dan perkara-perkara baik yang Allah telah lakukan untuk dirnya dan kita.
Jangan terlalu sukar
Minta respons daripadanya tentang nikmat tersebut, bagaimana perasaannya menerima segala kebaikan yang diberikan oleh Allah. Tanyakan juga pendapatnya perlu atau tidak kita berterima kasih pada Allah.
Setelah dia menjawab, jelaskan padanya bahawa kita perlu berterima kasih pada Allah dan cara melakukannya. Setelah anak kita faham tentang perkara ini secara tidak langsung, fakulti akalnya berkembang mengenali Tuhannya dan tujuan syukur pada-Nya. Pemahaman akidah yang ditaman sejak kecil amat penting agar pembinaan tasawurnya tidak lari daripada landasan Islam yang sebenar.
Praktikalnya jangan terlalu sukar untuk difahami. Ambillah contoh-contoh pemberian yang dekat dengan dirinya, boleh dilihat dan dirasai contohnya anggota badannya. Ambil tangannya dan minta dia sentuh hidungnya, minta responsnya tentang keindahanhidungnya, matanya, bibir, tangan dan sebagainya.
Terangkan bahawa ini semua pemberian Allah kepada kita. Apa yang berlaku jika hidung tidak ada pada tempatnya, minta anak bayangkan dan berikan respons. Nyatakan padanya oleh kerana Allah beri semua kemudahan ini, maka kita perlu berterima kasih kepada-Nya. Beritahu juga padanya, ada banyak cara terima kasih dengan Allah antaranya ucapkan Alhamdulillah, buat apa yang Allah suruh dan jauhi apa yang dilarang dan berikan contoh kepadanya.
Kefahaman yang diberikan haruslah bersifat ringan dan mudah difahami. Kehadiran ibu dan bapa secara langusng dalam mendidik memberi impak yang amat besar dalam diri anak-anak kerana kitalah orang kepercayaannya. Jadi, mulkan ucapan terima kasih sekarang, pasti anak kita akan melazimkannya!
Sumber : Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia di MW#1460
Capaian entry berkaitan :
❀ Mengajar anak mengucapkan kata ‘maaf’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...