PAGE

Ahad, Mac 18, 2012

Jatuh maut

Strok, sawan dan salur darah pecah antara risiko bahaya akibat tersembam

Usah pandang remeh pening, loya muntah selepas jatuh

LAPORAN kematian akibat terjatuh dalam bilik air, khususnya membabitkan warga emas, termasuk wanita bukanlah asing. Ada yang mengaitkan kejadian itu dengan faktor usia lanjut manakala tidak kurang yang mengaitkannya sebagai takdir.

Itu sudah pasti, tetapi apakah kita akan membiarkan insiden yang boleh dielak atau lebih dipandang remeh, begitu saja tanpa menyelami apa sebenarnya punca kematian? Malah, apakah benar warga tua saja yang berisiko maut akibat terjatuh?

Hakikatnya, insiden terjatuh baik dalam bilik air atau di lokasi mana pun yang berlaku secara tiba-tiba boleh menimpa sesiapa saja, tanpa mengira usia. Dan kejadian terjatuh yang membawa kematian sudah pasti dikaitkan dengan satu punca yang dikenal pasti menjadi penyebab maut termasuk mempunyai penyakit kronik.

Lebih menghairankan, ada pula kes yang mana mangsa kelihatan sihat selepas terjatuh tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian. Mengapa berlaku sedemikian?

Pakar Bedah Otak dan Saraf KPJ Ampang Puteri, Dr Abdul Muin Ishak, menjelaskan keadaan seperti terjatuh di dalam bilik air seharusnya tidak dijadikan alasan kerana jatuh di mana-mana pun boleh mengakibatkan kematian. Apa yang penting ialah mengetahui punca sebenar dan kesan yang dialami selepas itu.

“Jika terjatuh disebabkan oleh punca yang jelas seperti bilik air licin, terlanggar bendul, terpijak kulit pisang dan sebagainya, pasti tiada soalan untuk dipertikaikan. Dan jika mengalami kecederaan, boleh segera dapatkan rawatan doktor. Tetapi, apa yang membimbangkan ialah jatuh secara tiba-tiba tanpa diketahui punca yang jelas. Jika seseorang jatuh tiba-tiba, pengsan sebentar dan tidak berupaya mengingati apa yang berlaku ke atasnya, dia seharusnya mendapatkan pemeriksaan lanjutan kerana khuatir ada pendarahan dalaman terutama bahagian kepala jika terhentak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di KPJ Ampang Puteri.

Katanya, mereka yang jatuh secara tiba-tiba boleh berpunca sama ada menghidap sawan atau tidak, angin ahmar peringkat sederhana (mild stroke) atau pun salur darah dalam otak pecah secara tiba-tiba.

“Sawan boleh berlaku dalam pelbagai jenis bukan saja yang mengeluarkan buih daripada mulut. Ada sesetengahnya yang mengalami pengsan sekejap-sekejap sejak dari kecil dan kadang-kadang ada yang sampai memorinya kosong secara tiba-tiba walau pun sebentar saja. Selain itu penyakit angin ahmar. Sebenarnya ramai yang mengatakan angin ahmar terjadi disebabkan oleh terjatuh secara tiba-tiba.”

“Tanggapan itu salah kerana pesakit biasanya menghidap penyakit angin ahmar terlebih dulu tanpa disedari terutama kepada penghidap kencing manis dan darah tinggi disebabkan oleh 80 peratus salur darah tersumbat di dalam otak,” katanya yang memberi peringatan kepada semua supaya tidak mengambil ringan mengenai masalah ini.

Ujarnya lagi, bagi kes salur darah dalam otak pecah pula, ia boleh berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan. Kes seperti ini banyak berlaku kepada mereka yang berusia 40 hingga 60 tahun.

Selain itu, ‘arterio venous malformation’ iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah. Ia biasa terjadi kepada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun.

“Bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas pula, mereka boleh mengalami keadaan ‘chronic subdurel hemetoma’ iaitu berlakunya pendarahan dalam kepala selepas terjatuh dan ia akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu. Kesan yang dialami oleh golongan ini ialah sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur,” katanya.

Menjelaskan lagi, katanya, apabila seseorang itu didapati pengsan dalam tempoh beberapa minit akibat terhantuk di kepala, ahli keluarga terdekat perlu memastikan adakah ia pengsan yang merunsingkan atau tidak kerana sangat berbahaya hingga boleh menyebabkan kematian.

“Pengsan boleh terjadi dengan dua sebab iaitu ‘cerebral concussion’ iaitu berlakunya gegaran pada otak tetapi tidak membabitkan kerosakan pada fungsi otak. Ia akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam selepas itu. Kesannya, seseorang itu akan pengsan sekurang-kurangnya beberapa minit hingga ke setengah jam, pening, sakit kepala, loya, muntah sekali dan mengantuk. Ia tidak memudaratkan dalam tempoh berkenaan melainkan kesan itu berpanjangan. Apabila itu berlaku, besar kemungkinan berlaku pendarahan dalam kepala,” katanya.

Dr Abdul Muin berkata, keadaan lebih teruk apabila individu itu berulang-ulang muntah, sakit kepala berterusan dan sangat mengantuk. Jika ia berterusan melebihi dalam tempoh enam jam sehingga membawa kepada kesan ‘confusion’ iaitu meracau, besar kemungkinan terdapat pendarahan di dalam kepalanya.

“Sekiranya berlaku, segera lakukan pemeriksaan di klinik atau hospital. Doktor akan melakukan pemeriksaan di bahagian mata dan sekiranya terdapat pendarahan dalaman anak mata akan membengkak sebelah jika di suluh dengan lampu picit serta tidak reaktif disebabkan oleh tekanan tinggi di dalam otak,” katanya.

Tetapi untuk memastikan seseorang itu bebas sepenuhnya daripada pendarahan di dalam otak akibat keretakan adalah tidak mudah kerana besar kemungkinan boleh berlaku ‘delayed haemorrhage’ iaitu pendarahan yang berlaku selepas beberapa jam kecederaan kepala. Mereka akan mengalami kesan seperti sakit kepala dan loya sedikit, selepas itu kembali normal seperti biasa.

“Dalam tempoh beberapa jam selepas itu, mereka akan muntah-muntah dan berasa sangat mengantuk yang disebabkan oleh keretakan pada tulang tengkorak. Ini juga boleh membawa kepada kematian. Tengkorak kepala yang mengalami keretakan akan mengeluarkan sedikit demi sedikit darah pada peringkat awal. Tetapi dalam tempoh beberapa jam tanpa disedari, ia menjadi semakin besar dan otak akan menjadi mampat dan kematian akan berlaku,” katanya.

Selain itu, Dr Muin turut menjelaskan lebih membimbangkan jika perkara ini terjadi ke atas kanak-kanak kerana mereka mempunyai saluran darah yang lebih banyak. Katanya, adalah lebih baik membawa anak kecil yang terjatuh untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dalam tempoh 24 jam kerana ia lebih selamat, tidak kira sama ada berlaku keretakan atau pun tidak.

“Kalau mereka muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya adalah lebih baik masukkan mereka ke hospital untuk pemerhatian dan jika makin teruk, lakukan imbasan untuk melihat sama ada berlaku pendarahan atau pun tidak. Sebenarnya, ramai kanak-kanak meninggal dunia berpunca daripada ini. Mana tidaknya, kanak-kanak tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kesakitan mereka. Ibu bapa pula tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesan akibat terjatuh dan terhantuk di kepala. Lihat saja anak mereka sudah diam dan tidur, mungkin sudah elok. Tetapi sebenarnya tidak, tahu-tahu saja anak mereka sudah meninggal dunia,” katanya.

Sebenarnya, walau apa pun langkah pencegahan yang dilakukan, jika hendak terjatuh di mana-mana saja boleh berlaku dan semuanya terpulang kepada mereka untuk lebih berhati-hati dan elakkan daripada terhantuk di kepala. Ambil langkah yang tepat supaya tidak kehilangan orang tersayang.

INFO: Risiko jatuh

* Pantau gejala atau perkembangan mangsa selama 24 jam
* Jika ada sebarang keganjilan seperti lupa apa yang menimpanya, mangsa perlu dibawa ke hospital bagi pemantauan dan rawatan berkaitan.

Gejala/simptom perlu perhatian

* Mangsa berulang-ulang muntah
* Sakit kepala berterusan
* Sangat mengantuk
* Jika ia berterusan melebihi enam jam dan meracau, besar kemungkinan ada pendarahan dalam kepala.

Impak jatuh:

1. Kanak-kanak
* Muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya
* Perlu dibawa dan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemerhatian
* Imbasan perlu dibuat untuk melihat sama ada berlaku pendarahan yang menjadi punca ramai kanak-kanak meninggal dunia.

2. Individu berusia 20 hingga 30 tahun
* 'Arterio venous malformation' iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah

3. 40 - 60 tahun
* Salur darah dalam otak pecah.
* Berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan.

4. 60 tahun ke atas
* 'Chronic subdurel hemetoma' atau pendarahan dalam kepala selepas terjatuh.
* Pendarahan itu akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu.
* Antara simptomnya sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur.




Petikan : Saadiah Ismail [saadiah@bharian.com.my] di BHarian 09/02/2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...