PAGE

Sabtu, Mac 17, 2012

Rangsang minat membaca



Wujudkan pelbagai aktiviti bersama si manja seawal usia

IBU bapa mana yang tidak bimbang, apabila melihat anak kesayangan masih lagi gagap dalam pertuturan apatah lagi sukar untuk membaca. Sedangkan rakan seusia mereka sudah bijak mengeja dan petah berkata-kata.

Apabila berada dalam situasi begitu, ramai ibu bapa mengambil jalan mudah dengan ‘memeras’ anak mereka yang masih kecil untuk terus membaca dan mengeja tanpa menggunakan kaedah yang betul yang hingga akhirnya mendatangkan tekanan buat si kecil.

Keupayaan dan perkembangan kanak-kanak berbeza, walaupun mereka berada di peringkat usia yang sama. Sesetengah kanak-kanak mampu bertindak pantas dalam mengawal kebolehan mereka dan sesetengah juga terpaksa berhadapan dengan kesukaran bergantung kepada waktu dan pertumbuhan yang dilalui anak itu sendiri.

Jadi, sebelum ibu bapa mengambil keputusan drastik untuk membantu perkembangan anak dalam membaca, mengeja ataupun bercakap, mereka haruslah terlebih dulu mengkaji keupayaan dan masalah yang dilalui si manja memandangkan di samping sekolah, rumah adalah tempat terbaik untuk anak belajar dan berkembang.

Ibu bapa ibarat guru pertama dalam kehidupan anak yang sedang membesar. Di rumah, mereka mendengar dan melihat dan belajar untuk bertutur dan memberi tindakan terhadap setiap perkara yang berlaku kepada diri mereka. Maka lebih banyak bahasa yang digunakan, lebih cepat anak menyerap dan menggunakannya sebagai alat berkomunikasi.

Sehubungan itu, seawal kanak-kanak belajar untuk menyebut perkataan pertama mereka, tindak balas yang diberikan secara tidak langsung mendidik mereka mengenai erti dan penggunaannya. Pada masa sama, perlahan-lahan mereka belajar menggunakan setiap perkataan dikembangkan menjadi perkataan hingga tahu bertutur secara sempurna.

Di samping itu, lakukan proses bacaan dengan anak-anak menggunakan penerapan kaedah harian mereka. Ibu bapa perlu tahu bagaimana untuk menarik perhatian anak tatkala melakukan aktiviti bacaan bersama mereka. Lakukan dengan penuh berhemah dan tepat namun menerapkan elemen yang menyeronokkan sesi itu.

Komunikasi antara dua pihak memainkan peranan yang penting supaya keupayaan kanak-kanak untuk menyebut dapat diasah. Biarkan anak belajar dan membaca dengan senang mengikut peringkat bacaan dan kebolehan. Ibu bapa juga boleh menyuruh anak mereka untuk bercerita kepada mereka apabila anak sudah mula tahu membaca bahkan pelbagaikan bahan yang digunakan dalam mendidik mereka.

Selain membaca buku berita dan kaedah komunikasi, teknik membaca boleh dimulakan dengan mempelajari huruf terutama anak yang berusia antara enam ke 12 tahun. Lakukannya dengan menggunakan gambar rajah dan ulangi mengikut minggu. Kaedah ini adalah antara cara terbaik untuk memori anak.

Dalam mendidik minat anak untuk membaca, salah salah satu cara terbaik didik minat membaca dan biarkan mereka sendiri memilih bahan bacaan yang di ingini. Bawa mereka ke perpustakaan mahupun kedai buku untuk melakukannya secara bebas. Buku yang menarik minat mereka akan memukau hasrat anak dalam meneruskan aktiviti itu.

Ibu bapa juga perlu memberikan motivasi positif terhadap anak dengan menunjukkan minat dalam mentelaah tidak kira sama ada ia daripada majalah, akhbar mahupun novel. Ini secara tidak langsung mewujudkan persoalan dan akhirnya mencipta minat buat anak dalam menjalani proses pembelajaran seperti ibu bapa mereka.

Lakukan juga jadual bacaan seperti waktu pagi selepas sarapan atau petang sebelum keluar bermain dan malam sebelum tidur. Setiap bahan yang digunakan hendak berbeza dan menarik. Biarkan anak anda rasa senang dengan alat bantuan belajar yang digunakan.

Akhir sekali, minta maklum balas anak anda. Penilaian dan perbincangan adalah sebahagian penting daripada pengalaman yang positif membaca buku. Tanya soalan seperti adakah mereka menggemari buku yang dibaca itu, mengapa, siapa watak kegemaran dan seiring dengannya. Jangan pula nanti anda yang terkejut jika mereka mahu baca semula buku yang sama sekali lagi. Ini bermakna anda melakukan tugas anda dengan baik dalam memupuk sikap membaca.

Kesimpulannya, dalam mendidik anak, ibu bapa seharusnya tahu dan jangan terlalu menekan hanya kerana rasa tercabar melihat anak jiran boleh membaca dan bertutur lebih fasih dari anak anda.

Dekati anak dan cuba mencari puncanya, jika ia tiada kaitan dengan masalah pembelajaran, lakukannya dengan tenang dan berperingkat dalam masa sama bekalkan kaedah yang menyeronokkan buat anak-anak anda.

Lima langkah sesi bacaan lebih menarik dan berkesan:

* Membaca bahan bacaan dengan kuat.

Membaca dengan nada yang kuat adalah cara efektif untuk mengesan perkembangan kanak-kanak berbanding dilakukan secara senyap. Ia juga antara cara untuk membina perbendaharaan kata, kemahiran perhatian dan kefahaman serta keyakinan kanak-kanak,

* Sentiasa membawa buku bersama.

Lakukan aktiviti membaca tiap kali mempunyai masa lapang. Sama ada sedang menunggu bas atau menantikan hidangan yang dipesan di restoran kegemaran anak anda.

* Hidupkan penceritaan.

Jadikan penceritaan kepada realiti. Jika anak-anak anda didedahkan dengan bahan bacaan yang berkaitan dengan haiwan atau lain-lain supaya dapat melihat dan mengalami pengalaman yang sebenarnya.

* Jadi rakan pembaca anak anda.

Laungkan masa bersama. Cari waktu yang tepat untuk duduk di sisinya membiarkan mereka melakukan pembacaan sambil anda mentelaah buku kegemaran anda.

* Jadikan buku sebagai bahan asas.

Sentiasa kemas kini senarai bahan bacaan anda dan juga anak-anak nada. Pasti mereka sentiasa didedahkan dengan bahan bacaan yang menarik dan segar.




Sumber : Fatin Hafizah Mohd Shahar di BHarian 06/09/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...