PAGE

Rabu, April 11, 2012

Herba Tarragon




Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Apakah tarragon? Pertama kali menyebutnya, Laman-Seri berasa nama ini seperti nama seekor naga yang garang... Iya, tarragon dalam bahasa Inggeris berasal dari perkataan Perancis iaitu esdragon, yang bererti 'naga kecil'.


Tarragon atau nama botaninya artemisia dracunculus digelar ‘raja’ herba oleh orang Perancis. Terdapat sebab mengapa herba ini digelar demikian. Ia kerana tearragon merupakan perasa utama dalam kebanyakan sos yang membentuk asas hidangan klasik Perancis.


Apabila tarragon digunakan dalam masakan, sebaiknya tambahkan ia pada akhir masakan kerana haba panas cenderung untuk mengurangkan rasanya. Tidak seperti kebanyakan herba lain, tarragon hilang keberkesanannya apabila dikeringkan. Keadaan ini jugalah yang membuatkan tarragon selalunya diawet di dalam cuka kerana cuka mengumpul pati tarragon dan mencipta perisa yang boleh digunakan dalam kuah salad dan bahan pengilat mengganti kepada wain.


tarragon Perancis



Terdapat dua jenis tarragon yang ditanam untuk tujuan masakan iaitu tarragon Perancis dan tarragon Rusia. Tarragon Perancis boleh dikenali melalui daunnya yang berwarna hijau tua dan lebih licin serta mempunyai rasa tarragon asli. Tarragon Perancis berasal dari selatan Eropah, manakala tarragon Russia pula berasal dari Siberia dan mempunyai daun berwarna hijau muda dan kurang licin. Rasanya pula kurang unik seperti tarragon Perancis.


Herba saka ini tergolong dalam keluarga composite, iaitu keluarga sama bagi Daisy. Tarragon mengandungi tannin, coumarin dan flavonoid. Selain itu, tarragon juga mengandungi sehingga 70% methyl chervicol yang beracun dan berkemungkinan karsinogenik. Bahagian herba yang digunakan untuk tujuan perubatan adalah daun dan akar tarragon.


tarragon yang dikeringkan



Tingkatkan stamina


Pada zaman pertengahan, herba ini dikatakan digunakan untk meningkatkan stamina tubuh. Dikatakan ramai penghijrah meletakkan tangkai daun herba ini ke dalam kasut mereka sebelum memulakan perjalanan.


Walaupun kegunaannya telah berubah dan banyak digunakan dalam hidangan eksklusif, namun begitu masih ada juga yang menggunakan tarragon sebagai ubat bagi menyembuhkan sedu, sakit gigi, cacing dalam badan, masalah pencernaan, reumatisme, hilang selera makan, haid yang tidak tetap dan pengumpulan air berlebihan dalam badan.


Perangsang ketenangan (reumatisme)


Tarragon juga diketahui memiliki sifat penenang lembut. Secara tradisi, teh seduhan tarragon digunakan untuk mengubati hiperaktif. Caranya adalah dengan merendam satu hingga setengah sudu teh daun kering dalam satu cawan air panas. Tapis air sebelum diminum.


Bantu rawat insomnia


Tarragon juga dikatakan digunakan dalam ubatan Perancis lama terutamanya sebagai penghilang insomnia. Teh tarragon digunakan untuk menghilang insomnia. Caranya adalah dengan merendam satu hingga setengah sudu teh daun kering dalam satu cawan air panas. Tapis air sebelum diminum.


Membantu pencernaan


Pengamal herba menyatakan bahawa tarragon boleh digunakan sebagai "tonik pencernaan" untuk meringankan masalah pencernaan. Tarragon mengandungi enzim yang membantu dalam mencerna daging dan protein. Hal ini juga dikatakan memiliki sifat diuretik lembut yang membantu sistem kami untuk menyingkirkan racun yang keluaran selama pencernaan daging dan protein lain.


Bagi menghilangkan masalah berkaitan pencernaan, tarragon yang telah dijadikan sebagai cuka dikatakan boleh digunakan sebagai ubat. Caranya adalah meminum cuka tarragon ini sebanyak satu sudu besar sebelum makan.


Ubat sakit gigi dan gigitan


Tumbuhan ini juga telah digunakan oleh masyarakat Greek kuno sebagai ubat sakit gigi. Kajian yang dilakukan kini telah mendapati bahawa tarragon mengandungi bahan kimia anesthetic iaitu eugenol, yang merupakan bahan utama dalam minyak anesthetic yang digunakan sebagai pelega sakit sementara. Selain itu, masyarakat Greek kuno juga dikatakan telah menggunakan tarragon sebagai ubat bagi menyembuhkan gigitan ular dan gigitan anjing gila.


Rangsang selera makan


Herba tarragon yang telah dijadikan sebagai minyak pati pula, juga dikatakan mampu digunakan untuk tujuan ubatan. Kandungan antiseptik dan antispasma dalam minyak tarragon dikatakan mampu merangsang selera dan berkesan kepada sistem pencernaan. Caranya adalah dengan meminumnya setelah dicampurkan dengan air ataupun dengan cara menggosokkan minyak tersebut pada bahagian yang bermasalah.


Masalah haid


Bagi masyarakat Indian, untuk tujuan perubatan, akar tarragon digunakan sebagai bahan membantu masalah ginekologi terutamanya bagi mengurangkan haid berlebihan semasa kitaran haid berlaku serta membantu dalam proses sukar melahirkan bayi.


Daun tarragon pula dikatakan dikunyah bagi mengatasi masalah jantung berdebar-debar. Akar tarragon juga dikatakan boleh digunakan sebagai bahan dalam air mandi untuk memberi kekuatan kepada kanak-kanak dan sebagai air mandi wap bagi orang dewasa. Selain itu, losen yang dihasilkan daripada tarragon pula digunakan bagi merawat luka.


Walaupun terdapat pelbagai kegunaan ubatan tarragon, namun begitu perlulah mendapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya untuk tujuan perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Sumber : MW#1347, OrganicSoul dan En.Wikipedia ~ Tarragon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...