“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Januari 07, 2008

Tip atasi masalah persaingan adik-beradik

BUKAN sesuatu yang luar biasa apabila anak sulung akan berasa terpinggir apabila anda melahirkan anak kedua. Apatah lagi jika perbezaan usia mereka tidak jauh.

Kebanyakan anak sulung akan berasa tidak gembira apabila dia mendapat adik. Dia seperti hilang segala keistimewaan dan berasa tidak disayangi lagi. Dia selalu cuba mendapatkan perhatian dengan menyakitkan adik. Ia memang menjengkelkan apatah lagi jika dia cuba mendapat perhatian waktu si adik memerlukan tumpuan.

Bagaimanapun, sebagai ibu anda seharusnya jangan cepat marah. Cuba fahami keadaan anak. Paling penting, persiapkan anak sulung sebelum kehadiran orang baru.

Berikutan adalah antara tip menangani masalah persaingan adik beradik:

Ø Cuba menjarakkan kelahiran. Ibu akan mengambil masa dua tahun ke atas untuk pulih sepenuhnya selepas melahirkan.

Ø Tiga atau empat bulan sebelum anak kedua lahir, beritahu anak sulung secara jujur dan terus terang mengenai kelahiran si adik. Waktu itu adalah masa yang terbaik untuk membuat dia faham kerana perut anda juga sudah cukup besar dan dia tentu percaya ada bayi di dalamnya. Beri kesempatan untuknya menyentuh perut anda. Dia akan dapat merasa bagaimana bayi di dalam perut menendang dan bergerak.

Jika anda beritahu terlalu awal, waktu perut masih kecil, dia mungkin tidak percaya atau dia mungkin akan terlupa.

Ø Beri dia hak untuk membuat keputusan yang kecil. Misalnya, memilih warna cat untuk bilik adik atau memilih perabot yang bakal diletakkan dalam bilik itu. Gunakan pertanyaan mudah seperti di mana abang rasa sesuai untuk kita letak katil adik? Atau, kakak rasa selimut apa yang cantik untuk adik, gambar Barney atau gambar Spiderman?

Ø Jika anda perlu menukar rutin anak misalnya memindahkan ke bilik lain, lakukan beberapa bulan sebelum kelahiran bayi supaya dia tidak rasa dipinggirkan.

Ø Terangkan kepadanya apa akan terjadi apabila anda bersalin. Beberapa minggu sebelum tarikh bersalin, sediakan dirinya tentang 'kehilangan' anda untuk beberapa hari. Terangkan kepadanya apa dan mengapa.

Dia mungkin berasa kecewa tidak bersama anda untuk beberapa hari. Jika boleh, beritahu suami untuk membawanya melawat anda di hospital supaya dia merasakan dia adalah sebahagian yang penting dalam keluarga.
Ambil gambarnya bersama bayi baru.

Ø Babitkan dia dengan tugas menjaga bayi. Dia mungkin akan mengejutkan anda dengan apa yang mampu dia lakukan. Misalnya, jika menyalin lampin, minta dia ambilkan lampin. Jika sedang memandikan bayi, beri dia kesempatan menyabunkan kaki bayi. Atau minta dia ambilkan bantal untuk adik. Tanya pendapatnya, abang rasa adik patut pakai baju warna biru atau kuning? Kakak nak nyanyikan lagu untuk adik?

Bagaimanapun, jika anak sulung tidak mahu membantu, jangan paksa dia. Ada kalanya anak sulung sengaja tidak mahu mengambil tahu mengenai adik kecilnya untuk selama yang dia boleh. Jadi jangan paksa dia. Itu akan hanya membuatkan dia berasa jauh hati.

Ø Memang semula jadi untuk anak berasa cemburu kerana selepas untuk beberapa lama dia menjadi anak 'tunggal', dia kini terpaksa berkongsi kasih sayang, perhatian, mainan dan sebagainya dengan adik. Jadi jangan memarahinya. Luangkan sedikit masa untuk melakukan sesuatu untuknya misalnya membacakan buku atau bermain dengannya.

Ø Tunjukkan gambarnya sewaktu dia masih bayi dan ceritakan kepadanya bagaimana anda menjaga dia ketika masih bayi.

Ø Jangan cepat marah kepadanya jika dia mencubit adik atau memeluknya dengan kuat. Beritahunya mengapa dia tidak boleh berbuat demikian. Ketika bersendirian dengannya, galakkan dia bercakap mengenai perasaannya. Biarkan dia meluahkan isi hatinya sama ada dia marah atau cemburu. Beritahunya itu semua perasaan semula jadi dan ia tidak bermaksud dia jahat. Beritahunya perbuatan cuba menyebabkan kesakitan pada adik adalah salah.

Ø Jika dia agresif, jangan hukum atau malukan dia. Dia akan membalas dendam terhadap anda dengan mencederakan si adik. Beritahunya secara baik, tindakan itu tidak betul tetapi anda perlu lebih berhati-hati dan jangan tinggalkan dia dengan adiknya bersendirian.

Paling penting, ingatkan diri sendiri masa berjalan dengan pantas. Tanpa anda sedar si adik sudah akan bermain-main dengan abang/kakak. Apabila mereka tidak lagi bersaing untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang, ikatan kasih sayang sesama mereka akan berkekalan sepanjang hayat.

Butiran selanjutnya ...

Cacar air, si manja anda & anda

Cacar air dianggap sebagai lumrah kehidupan dan sesuatu yang perlu dilalui oleh setiap kanak- kanak tetapi tahukah anda penyakit ini boleh mendedahkan anda kepada jangkitan kedua apabila dewasa?

Ruam merah mula muncul di seluruh badan anak anda. Beberapa hari kemudian, bintik-bintik seperti jerawat ini menjadi lepuhan bercecair. Anak anda demam, hilang selera makan dan meragam. Dia terperap di dalam rumah dan tidak dapat pergi ke tadika. Doktor memberi amaran untuk memastikan anak anda tidak menggaru ruamnya (walau segatal mana pun) kerana menggaru boleh menyebabkan jangkitan bakteria pada kulit. Malah anda terkejut apabila doktor menerangkan kemungkinan berlakunya komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis (radang otak). Sebelum ini, anda menganggap cacar air hanyalah jangkitan biasa yang ringan. Bukankah semua orang dijangkiti sekali seumur hidup dan pulih sepenuhnya?

Tidak lama kemudian, gejala yang sama mula muncul pada adiknya. Anda tiada pilihan lain kecuali mengambil cuti kerja untuk menjaga mereka. Tanggungjawab menjaga dua anak kecil yang sakit memang meletihkan, lebih-lebih lagi jika anda sudah mengandung tiga bulan.

Mengenai cacar air

Cacar air ialah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus Varicella-zoster yang amat mudah berjangkit dan boleh merebak menerusi sentuhan fizikal dan melalui udara daripada titisan bersin atau batuk. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh menyebarkan virus dua minggu sebelum ruam muncul dan sehinggalah semua lepuhan menjadi kering.

Selagi anak anda sihat, kesan jangkitan cacar air biasanya bersifat ringan dan akan hilang dalam masa dua minggu. Namun begitu ia lebih berbahaya di kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imun lemah, menghidap ekzema atau mengambil ubat steroid (contohnya penghidap asma).

Anda perlu mencegah anak anda daripada menyebarkan penyakit dan memastikan dia tinggal di rumah dan tidak menghadiri kelas tadika. Malangnya, adalah lebih sukar untuk mengelakkan anggota keluarga lain daripada dijangkiti. Risikonya sangat tinggi kerana mereka berada berdekatan dengan satu sama lain. Cuba jauhkan anak anda daripada wanita hamil dan sesiapa yang belum pernah menghidap cacar air atau belum diberi vaksin.

Antara langkah untuk merawat cacar air termasuk menegah anak anda menggaru dan mencegah jangkitan sekunder, menggalakkannya minum banyak air dan memastikan pengambilan khasiat pemakanan secukupnya dan mengawasi sebarang komplikasi serius. Sejenis agen antivirus yang dinamakan acyclovir akan mengurangkan tahap keterukan penyakit tetapi ubat ini perlu diberikan pada peringkat awal jangkitan.

Kehidupan selepas menghidap cacar air. Selepas jangkitan cacar air, virus Varicella-zoster ‘menyorok’ dalam keadaan tidak aktif dalam urat saraf individu. Virus in boleh aktif semula beberapa tahun kemudian apabila anak anda sudah dewasa atau jika sistem imunnya lemah. Turut dikenali sebagai herpes zoster, kayap ialah sejenis ruam menyakitkan yang boleh menyebabkan neuralgia postherpetik, sejenis penyakit yang mengakibatkan kulit terasa sakit selama berbulan atau bertahun walaupun ruam sudah hilang.

Mencegah anak anda daripada dijangkiti cacar air

Hanya melalui vaksin boleh mencegah cacar air ialah menerusi imunisasi. Vaksin dihasilkan dengan menggunakan virus Varicella-zoster yang lemah dan diberikan kepada kanak-kanak berusia 1 dan 12, dewasa serta remaja yang belum pernah dijangkiti cacar air. Walaupun vaksin ini boleh mencegah jangkitan cacar air bagi kebanyakan kanak-kanak, sebilangan kecil masih boleh dijangkiti. Namun begitu jangkitan tersebut adalah lebih ringan dengan tanda-tanda yang tidak begitu serius dan parutan kulit yang berkurangan.

Seperti semua vaksin lain, vaksin cacar air boleh mendatangkan kesan sampingan – paling umum ialah kemerahan, kesakitan dan bengkak di tempat suntikan. Bincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksin ini.

Cacar air & kehamilan anda

Oleh kerana cacar air boleh menjangkiti semua orang pada sebarang peringkat usia – baik kanak-kanak kecil mahupun remaja, dewasa dan warga tua – risiko wanita hamil bertemu dengan penghidap virus Varicella-zoster adalah sangat tinggi. Keadaan ini amat membahayakan jika anda belum pernah menghidap cacar air.

Bahaya kepada anda. Cacar air semasa dewasa mungkin membahayakan dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis, walaupun keadaan sedemikian jarang berlaku. Kesan parut pada orang dewasa juga lebih teruk.

Bahaya kepada bayi anda. Jangkitan cacar air yang berlaku pada peringkat awal kehamilan menyebabkan kecacatan semasa lahir, berat lahir yang rendah atau kecacatan anggota pada janin. Jika anda dijangkiti seminggu sebelum melahirkan anak atau dalam tempoh sepuluh hari selepas beranak, jangkitan tersebut boleh mengancam nyawa bayi baru lahir.

Mengurangkan risiko jangkitan

Jika anda hamil dan belum pernah menghidap cacar air, bincanglah dengan doktor tentang risiko anda dan janin anda. Minta suami dan anak-anak anda (walaupun mereka sudah mencapai usia remaja) untuk mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko mereka menghidap penyakit tersebut dan menjangkiti anda. Vaksin cacar air untuk dewasa meliputi 2 dos yang diberikan dalam selang masa 4 minggu.

Oleh: Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Runding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Positive Parenting. Program Positive Parenting diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www. mypositiveparenting.org

Sumber: UtusanOnLine – 6 Jan 2008

Butiran selanjutnya ...

Hubungan kelamin selepas bersalin

Oleh: PROF. MADYA DR. SHAH REZA JOHAN NOOR (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Di kalangan wanita Kelantan, lazimnya mereka tidak melakukan hubungan kelamin selama 100 hari selepas bersalin. Apabila ditanya kenapa, tidak ada jawapan khusus kerana ianya hanya amalan turun-temurun dari emak kepada anak. Walaupun tidak melakukan hubungan kelamin, mereka tidur bersama suami. Kecekalan serta daya tahan ini memerlukan dedikasi yang padu dan dari segi perancangan keluarga, ini amat memberangsangkan. Lain bangsa lain pula amalan mereka dan tiada pula bukti yang menyokong kenapa setiap amalan diteruskan.

Walau bagaimanapun, tempoh sebegini boleh dikatakan bagus sebab wanita sempat mengembalikan kecergasan fizikal selepas penat bersalin dan mengandung selama 40 minggu. Suami sepatutnya lebih arif serta memahami tugas serta tanggungjawab baru sebagai seorang bapa. Hubungan suami isteri kini bukan hanya melibatkan hubungan kelamin semata-mata, ianya lebih dari itu!

Walaupun hubungan kelamin semasa mengandung yang kerap, aktif dan menyeronokkan TETAPI lain pula selepas bersalin. Hubungan kelamin bukanlah agenda utama sekarang dan ini akan berlarutan untuk beberapa julat masa yang agak lama kelak.

Proses kelahiran merupakan aktiviti fizikal yang amat meletihkan. Bayangkan isteri terpaksa menahan kesakitan serta kontraksi rahim untuk berjam-jam lamanya, sama seperti pelari maraton semasa menyertai Sukan Olimpik!

Tentulah isteri akan keletihan serta kelesuan, apatah lagi apabila diberi ubat penahan sakit jenis narkotik semasa proses kelahiran. Kemuncak emosi berlaku apabila melihat bayi yang dilahirkan sihat serta selamat.

Badan isteri (kini ibu) akan mengambil masa untuk pulih kembali, terutamanya selepas mengalami beberapa perubahan hormon semasa mengandung. Adaptasi serta fokus isteri kini bertumpu sebagai seorang ibu dan mula menampakkan keanggunan paling menyerlah seorang wanita.

Tempoh selepas bersalin dikenali sebagai “POSTPARTUM” dan kehadiran ‘si sayang’ baru menambahkan lagi keberkesanan perhubungan serta komunikasi suami dan isteri.

Kemaskini cara berkomunikasi bersama sebelum agenda hubungan kelamin dimulakan kembali. Suami tentu faham akan tanggungjawab masing-masing terhadap si kecil dan juga sesama sendiri.Kerana kesibukan tanggungjawab baru, mungkin seorang ibu terlupa akan tanggungjawab isteri dalam hubungan kelamin.

Ingat, penyusuan badan merendahkan hormon estrogen dari ovari dan ini menyebabkan suasana dalaman faraj kering. Jadi sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan, pastikan cecair pelincir digunakan, mungkin juga isteri serta suami boleh melambatkan hubungan kelamin (zakar-faraj) dengan meningkatkan aktiviti sentuhan atau cumbuan. Mungkin isteri juga akan perasan yang garis pusat faraj serta kontraksi otot-otot di sekitarnya tidak sekuat sebagaimana sebelum bersalin.

Jangan runsing kerana dengan penyusuan badan serta latihan senaman khusus di bahagian pinggul dan perineum akan mengembalikan struktur asal faraj dengan lebih berkesan. Sekiranya isteri masih tidak berpuas hati, boleh juga berjumpa dengan doktor untuk nasihat lanjut.

Nasihat doktor

Hubungan kelamin mempunyai kebaikannya tersendiri. Hormon yang dikeluarkan semasa hubungan kelamin dapat mencepatkan lagi proses penyembuhan setelah bersalin. Begitu juga dengan penyusuan melalui payudara yang dapat mengembalikan rahim kepada saiz asalnya dengan lebih cepat.

Ada doktor yang menasihatkan supaya berehat dari hubungan kelamin selama enam minggu tetapi sebenarnya nasihat ini tidak mempunyai bukti kukuh bagi menyokongnya.

Ada pula doktor yang nasihatkan supaya berehat di antara tiga hingga enam minggu, bergantung kepada tempoh:

  • Berhentinya pendarahan dan discaj selepas bersalin.
  • Penyembuhan luka dari episiotomi (guntingan) di faraj semasa proses kelahiran.
  • Penyembuhan dari pembedahan caesarean.

Beberapa sebab lain juga boleh menyebabkan keinginan hubungan kelamin menurun seperti:
  • Keletihan dan kelesuan dari tanggungjawab baru; setiap kelahiran merupakan pengalaman baru.
  • Ketegangan dan rasa tidak selesa; mungkin kesakitan dari tempat jahitan episiotomi dan juga di abdomen dari kelahiran caesarean.
  • Menyusu badan; menyebabkan cairan lubrikasi (pelincir) di faraj menurun sehingga faraj menjadi kering dan berasa sakit ketika hubungan kelamin. Cecair pelincir tiruan (alternatif) yang boleh didapati di farmasi boleh digunakan untuk mengelakkan kekeringan.
  • Beranggapan bentuk badan sekarang tidak menarik; berat badan bertambah dan kulit pula menampakkan belang-belang di bahagian abdomen (selalunya berlaku di kalangan orang Malaysia kerana mempunyai pigmen warna kulit yang lebih banyak).
  • Cemas dan waswas tentang peranan sebagai ibu; akibat melihat si comel yang begitu lemah serta sensitif.
  • Fokus terganggu dengan bunyi tangisan si comel; langsung mengganggu aktiviti kelamin.
  • Suami juga dipengaruhi oleh faktor-faktor sama dengan isteri; suami mungkin tidak bersyahwat dan langsung tidak berupaya untuk hubungan kelamin. Jangan bimbang, sama-samalah berbincang dan hadapi setiap hari bersama.
  • Takut ‘termengandung’; isteri serta suami mungkin tidak bersedia untuk seorang lagi si comel dalam masa terdekat.
Banyakkan minum air serta makan makanan yang berkhasiat. Senaman ringkas khas untuk mereka selepas bersalin juga boleh mengurangkan ketegangan.

Sekiranya ibu menyusu badan secara 100 peratus (tidak amalkan susu formula), proses ovulasi mungkin berlaku selepas tiga bulan. Bagaimanapun, sekiranya pengenalan susu formula dilakukan bertindih dengan penyusuan badan, ovulasi mungkin berlaku hanya selepas tiga minggu. Sekiranya penyusuan badan tidak dilakukan sepenuhnya, haid isteri mungkin akan kembali pada minggu keempat. Secara langsung, mungkin diamati sebagai darah dari proses bersalin yang tidak lagi berhenti dan tiba-tiba jumlahnya banyak dari biasa.

Jadi isteri perlu berbincang dengan suami akan kaedah terbaik kontraseptif (perancangan keluarga) atau berjumpa dan bertanyakan doktor atau jururawat semasa lawatan susulan bayi. Penggunaan kondom adalah cara terbaik untuk peringkat ini memandangkan isteri sedang menyusu badan.

Sekiranya isteri ingin mengambil ubat kontraseptif, pil yang mengandungi progesteron sahaja yang terbaik sebab ianya tidak mengurangkan jumlah susu. Untuk alat dalam rahim pula, pastikan terlebih dahulu yang saiz rahim telah kembali ke saiz seperti sebelum mengandung.

Untuk seketika selepas bersalin, paras hormon estrogen serta progesteron akan jatuh dengan mendadak. Ibu akan mengalami keadaan seperti putus haid terutamanya pada kawasan sekitar faraj. Kadar pH faraj pula akan meningkat dan sel-sel yang melindungi faraj dari iritasi juga berkurang. Ini akan menyebabkan ibu terdedah pada gangguan serta iritasi dari sabun atau cecair pencuci faraj lain. Jangkitan kuman pada faraj juga mudah berlaku pada waktu ini, apatah lagi dengan kehadiran darah dan juga lelehan. Jadi berhati-hatilah dengan bahan pelincir ataupun jenis kondom yang digunakan.

Penjagaan perineum amat penting selepas kelahiran kerana perineum adalah bahagian tubuh wanita yang berada di antara faraj dan dubur. Kawasan ini perlu sentiasa bersih dan kering bagi mempercepatkan lagi proses penyembuhan dan mengelakkan sebarang jangkitan.

Tangan juga perlu dibasuh setiap kali menukar tuala wanita dan memastikan kawasan ini kekal kering dengan menyapu dari depan ke belakang menggunakan tuala atau tisu bersih. Penjagaan rapi dapat mengelakkan kuman dari bahagian dubur daripada merebak ke kawasan luka. Jahitan yang dibuat pada episiotomi ketika melahirkan anak biasanya akan hilang dalam masa dua minggu jika tiada sebarang jangkitan kuman.

Dalam pada itu, ada juga ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi selepas bersalin yang turut menyukarkan hubungan kelamin. Kemurungan akan dibebankan lagi dengan tanggungjawab baru sebagai seorang ibu sementara perubahan masa serta perubahan hubungan dengan suami serta anak.

Perasaan juga mungkin terganggu dengan perubahan hormon yang berlaku pada badan. Adalah tidak janggal untuk seorang ibu merasakan cemas, kurang tidur, rasa keresahan serta kemurungan sehingga kadangkala mungkin menangis, sedih dan mudah terguris.

Suami harus memahami perubahan yang dilalui oleh isteri. Semua ini adalah normal sekiranya berlaku dalam masa dua minggu pertama dan akan segera hilang apabila penyesuaian dengan persekitaran baru berlaku. Bagaimanapun, jika masih berterusan, berbincanglah dengan doktor untuk nasihat lanjut.

Sumber: UtusanOnLine

Butiran selanjutnya ...

Pil Perancang

PIL perancang terbahagi kepada tiga jenis utama iaitu:

  • Pil berhormon tunggal (progestin sahaja) seperti Noriday, (sesuai utk yg breastfeed)
  • Pil berkombinasi estrogen dan progestin seperti Marvelon, Nordette, Regividon, Loette, Mercilon, Minulet dan Meliane atau
  • Pil yang tidak mengandungi hormon progestin seperti Yasmin.

Pil perancang berhormon tunggal tidak mengurangkan penghasilan susu badan, ia lebih bersesuaian untuk ibu yang memilih untuk terus menyusu badan, namun ia mungkin menyebabkan gangguan haid serta memberi kesan sampingan lain seperti penambahan berat badan.

Pil berhormon kombinasi pula mempunyai banyak kelebihan lain. Antaranya:

- Mengurangkan jumlah darah sewaktu haid. Ini akan mengurangkan risiko anaemia, lantas mengurangkan keperluan rawatan penambahan hemoglobin darah misalnya pil zat besi, suntikan zat besi dan pendermaan darah.

- Menjadikan kitaran haid teratur. Pil perancang ada digunakan sebagai rawatan gangguan kitaran haid, satu keadaan yang sering dialami oleh gadis-gadis sewaktu awal didatangi haid.

- Mengurangkan risiko kanser ovari sebanyak 50 peratus.

- Mengurangkan risiko kanser rahim sebanyak 50 peratus.

- Mengurangkan risiko penyakit benign pada payudara

- Mengurangkan risiko penyakit peradangan pelvis (PID)

- Mengurangkan risiko endometriosis

- Mengurangkan senggugut

Namun, pil perancang berkombinasi juga mempunyai kekurangannya. Kandungan hormon estrogennya dikaitkan dengan risiko pembekuan darah dalam saluran vena yang boleh menyebabkan keadaan venousthromboemboli sm yang membahayakan. Risiko ini bagaimanapun kecil sahaja dan jauh lebih rendah jika dibandingkan jika wanita itu hamil.

Ia tidak sesuai untuk wanita yang disyaki mempunyai risiko penyakit jantung. Kandungan hormon progestin pula berkaitan dengan keadaan air tertahan di dalam badan menyebabkan sedikit penambahan berat badan serta masalah jerawat.

Dengan itu kini, ada jenis pil perancang yang didatangkan dalam dos yang lebih rendah (ultra rendah) bagi mengurangkan kesan sampingan di atas seperti penambahan berat badan dan jerawat.

Bagaimanapun, jenis lain yang sudah lama ada di pasaran juga masih dikategorikan sebagai rendah kandungan hormon.

Jenis berkombinasi tetapi tidak mengandungi hormon progestin seperti Yasmin pula lebih terkini di pasaran. Ketiadaan hormon progestin juga bermakna ia tidak menyebabkan penahanan air di dalam badan dan penambahan berat badan serta masalah kulit berminyak atau berjerawat.

Namun ia masih mempunyai kesan sampingan hormon estrogen seperti di atas. Selain ketiga-tiga jenis di atas, ada satu lagi jenis tambahan yang mengandungi hormon estrogen bersama-sama anti-androgen seperti Diane-35. Ia mempunyai kesan tambahan khas iaitu merawat masalah jerawat dengan berkesan.

Ada berpuluh jenama pil perancang di Malaysia. Ia lebih berupa sistem kafetaria iaitu pilihan jenis banyak tersedia untuk wanita memilihnya mengikut kesesuaian masing-masing. Anda seeloknya berbincang lebih lanjut dengan doktor anda mengenai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Jika jenis A lebih sesuai untuk seseorang, tidak semestinya ia sesuai untuk semua atau orang lain. Selain itu, tidak semestinya pil yang lebih terkini atau lebih mahal bermakna ia lebih baik untuk semua wanita. Ada wanita yang mudah mengalami penambahan berat badan maka dia lebih mementingkan soal penambahan berat badan, manakala ada wanita sudah serasi dengan jenama pil tertentu sejak anak pertama lagi dan mahu meneruskannya selepas kelahiran berikutnya.

Perbezaan harga yang ketara juga memainkan peranan dalam membuat pilihan. Apapun, ketiga-tiga jenis ini selamat digunakan secara amnya kecuali bagi kes-kes tertentu sahaja.

Wanita yang mahu mengamalkan kaedah pil perancang perlu mendapatkan nasihat doktor masing-masing terlebih dulu dan mengambilnya mengikut aturan. Jika seseorang itu kerap terlupa mengambilnya, mungkin dia perlu bertukar kepada kaedah lain yang juga selamat.


Butiran selanjutnya ...

Polycystic Ovary Syndrome (PCOS)

Polycystic ovary syndrome atau PCOS adalah suatu keadaan di mana kilang telur atau ovari pada seseorang wanita menjadi bengkak oleh sebab benih-benih telah terperangkap dalam ovari dan tidak boleh menetas pada waktu subur. Maka apabila berlaku keadaan seperti ini lama-kelamaan ovari akan membengkak dan menimbulkan berbagai jenis masalah pada wanita tersebut.

Kejadian penyakit ini kian meningkat di kalangan wanita-wanita Malaysia ke taraf yang membimbangkan kerana ia menjejaskan kesuburan dan keupayaan mereka untuk hamil dan melahirkan anak.

Wanita yang gemuk, pusingan haidnya tidak teratur dan tumbuh rambut pada kaki, badan atau muka berwaspadalah mungkin anda mengalami masalah kilang ovari bengkak atau ‘polycystic ovary’

Apakah tanda tanda penyakit Polycystic Ovary?

1) Tidak Subur atau mandul - Kebanyakan dari pesakit-pesakit PCOS datang berjumpa doktor pakar sakit puan sebab sukar hendak hamil walaupun telah lama mencuba. Ada yang telah beberapa tahun berkahwin tetapi masih belum medapat zuriat. Ada yang berjaya mendapat anak pertama dan gagal untuk hamil lagi selepas itu. Mereka ini mudah meningkat berat badan mereka dan seringkali peningkatan ini berlaku secara mendadak.

2) Haid tidak teratur - Tanda yang biasa ialah haid yang tidak teratur, biasanya lambat datang haid dan kadang- kadang jarak antara haid menjadi begitu jauh sekali sampai hingga 3 atau 6 bulan barulah datang haid yang berikutnya. Ada setengah wanita pula sampai setahun tidak datang haid.

3) Gemuk - Tanda lain ialah peningkatan berat badan menyebabkan wanita itu gemuk atau obese. Seringkali peningkatan berat badan ini berlaku secara mendadak selepas ia berkahwin dan pada ketika itu pusingan haid pun menjadi lebih tidak teratur dan kesuburan mereka sangat kurang ataupun langsung tidak subur kerana telur tidak dapat menetas.

4) Darah haid sikit atau/dan berpanjangan - Wanita pula mengalami selain daripada pusingan haid yang begitu panjang jangka waktunya, ialah perdarahan haid yang mungkin berlaku dengan sedikit sekali, tidak seperti biasa haid akan keluar dengan sederhana selama seminggu. Tetapi wanita yang mengidap penyakit polycystic ovary akan mengalami haid yang sangat sedikit hanya menitis selama 2 atau 3 hari. Ada juga dikalangan mereka yang mengalami perdarahan yang berpanjangan sampai 15 hari ataupun 30 hari tanpa berhenti.

5) Tumbuh rambut - Setengah wanita pula tanda-tanda lain ialah tumbuh rambut pada kaki, tumbuh misai dan janggut dan juga tumbuh rambut pada bahagian tangan dan ada kalanya di bahagian dada. Ini menandakan peningkatan dalam hormon lelaki dalam darah wanita tersebut. Iaitu satu keadaan yang sering berlaku dikalangan pengidap penyakit polycystic ovary.

Bagaimana Ia terjadi
Sebenarnya punca bagi penyakit ini tidak diketahui. Mungkin satu keadaan semulajadi di mana terdapat kelainan atau gangguan pada enzim yang mengawal pembentukan hormon. Oleh itu biasanya jika dikaji paras hormon dalam darah, kita dapati wanita tersebut terganggu dalam hormon kesuburan mereka iaitu tahap hormon FSH (normal), LH – tinggi, hormon estrogen – tinggi, hormon progesterone – rendah, hormon testosterone (iaitu hormon lelaki) – tinggi. Adalah dipercayai bahawa peningkatan berat badan ada kaitan dengan peningkatan hormon testosterone dengan estrogen dalam darah wanita tersebut.

Mungkin ada ciri atau pengaruh kebakaan atau keturunan dalam penyakit ini. Walau demikian faktor pemakanan iaitu dari segi tabiat dan jenis makanan yang mengandungi banyak karbohidrat dan gula, perisa dan pengawet makan mungkin mempunyai peranan penting dalam kejadian penyakit PCOS.

Faktor stress atau tekanan fizikal dan mental yang timbul dari suasana tegang dalam perkerjaan dan rumah, pergeseran dan konflik di kalangan keluarga atau saudara-mara dan dalam kenderaan ketika memandu mungkin juga ada memainkan peranan dalam kejadian penaykit ini.

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Januari 04, 2008

Q&A: Umpatan yang diharuskan

Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH


SOALAN:

Adakah perbuatan mengata sesuatu yang benar tentang seseorang itu turut dikira mengumpat?

JAWAPAN:

Mengata dan mengumpat bermakna; ‘mencela-cela atau memburuk-burukkan orang lain di belakang’. Dalam takrif yang lain bermaksud: ‘kamu menyebut mengenai saudara kamu perkara yang dibencinya atau mengenainya perkara yang dia tidak suka’. Ini bermaksud apa sahaja yang dikatakan dengan mengaitkan seseorang di belakangnya sama ada perkara baik mahupun yang buruk adalah dikira mengumpat.

Namun ulama telah mengkategorikan ada jenis umpatan yang diharuskan oleh syarak. Imam al-Nawawi mengkhususkan satu bab dalam kitabnya Riyadhu al-Salihin tentang umpatan (atau kata mengata yang tidak disukai di belakang tuannya) yang diharuskan syarak. Beliau menyenaraikan enam sebab umpatan itu menjadi harus:

Pertama: Untuk mengadukan kezaliman. Harus bagi orang yang dizalimi untuk memberitahu pihak yang boleh menolongnya daripada terus dizalimi penzalim.

Kedua: Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran dengan mengadu kepada pihak yang berupaya mengubahnya dan menceritakan (mengumpat) perbuatan salah atau mungkar yang dilakukan.

Ketiga: Meminta fatwa tentang sesuatu hukum agama yang ada kaitan dengan pihak yang diumpat dengan syarat umpatan itu perlu dilakukan untuk memahamkan orang yang diminta fatwa. Jika boleh difahami tanpa umpatan, maka umpatan tidak harus ketika itu.

Keempat: Memberi ingatan dan nasihat kepada orang Islam lain tentang keburukan yang dilakukan oleh orang yang diumpat.

Kelima: Mengumpat orang yang terang-terangan melakukan kefasikan dan maksiat seperti peminum arak, penceroboh, pengumpul harta orang secara zalim (termasuk perasuah), pelaksana kerja-kerja batil dan seumpamanya.

Keenam: Memberi pengenalan seseorang yang mana jika tidak diumpat sedikit maka orang tidak akan mengenalinya, tetapi jika boleh dikenali dengan tidak mengumpatnya, maka mengumpat ketika itu adalah haram.

Imam al-Nawawi juga membawa beberapa hadis sebagai bukti Nabi s.a.w. juga mengumpat dan mengata di belakang jika keadaan mewajarkannya, seperti berikut:

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dengan sanadnya daripada Aishah r.a. bahawa seorang lelaki datang meminta izin untuk keluar daripada baginda (sedangkan keadaan ketika itu tidak membolehkan sesiapa pun berpindah keluar dari Madinah), lalu baginda berkata kepada para Sahabat: “Berilah keizinan padanya! Dia itu seburuk-buruk saudara sekeluarga!”

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan daripada Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah mengata di belakang dua orang lelaki Islam yang tidak berdisiplin: “Aku rasa si polan dan si polan itu tidak tahu apa-apa tentang peraturan agama kita.”

Di dalam kitab Ihya Ulum al-Din, Imam al-Ghazali ada menyenaraikan beberapa keadaan yang membolehkan seseorang itu mengumpat atau mengata, keadaannya adalah seperti berikut:

Pertama: apabila berlaku penganiayaan, seperti seseorang yang dizalimi mengadu kezaliman seseorang kepada hakim, agar hakim dapat mengembalikan haknya daripada orang yang menzaliminya.

Kedua: meminta bantuan orang lain untuk mengubah sesuatu kemungkaran dari seseorang atau mengembalikan seseorang yang melakukan maksiat ke jalan kebaikan.

Ketiga: ketika meminta fatwa atau keterangan sesuatu hukum dalam agama. Contohnya seseorang mengadu kepada kadi dengan berkata: “Ayah saya telah menganiaya saya.”

Keempat: mengingatkan seseorang muslim dengan sesuatu kejahatan. Contohnya: jika anda mengetahui seseorang itu jahat, lalu anda mengingatkan orang lain supaya menjauhkan orang lain dari orang itu.

Kelima: apabila seseorang itu terkenal dengan sesuatu gelaran, atau panggilan yang memang menunjukkan sesuatu kekurangan pada dirinya, seperti mengatakan si polan yang tempang atau yang buta.

Keenam: apabila seseorang itu memang sengaja terang-terang membuat kefasikan dan bermegah-megah dengan perbuatan itu.

Namun tidak harus melihat persoalan mengumpat dengan begitu mudah, keharusan itu masih dalam batasannya. Apa yang diharuskan oleh ulama adalah demi mengembalikan keadaan yang buruk kepada yang lebih baik, menjadikan seseorang itu lebih sempurna sifat islamnya. Keharusan ini tidak bermaksud syarak mengizinkan seseorang itu untuk memburuk-burukkan saudara seagamanya dengan sesuka hati.

Sekiranya sebahagian besar di kalangan kita melihat membuka keaiban orang lain atau keaiban saudara seagamanya harus, ketika itu kita akan lihat tiada yang akan bercerita mengenai kebaikan orang malahan lebih ramai lagi akan berkata mengenai keburukan orang.

Lebih elok kalau kita boleh menjadi pendamai dan pendorong kepada kebaikan dengan mengajak orang kepada kebaikan.

Sumber: UtusanOnLine 04/01/2008

Butiran selanjutnya ...

Q&A: Perkahwinan paksa tidak sah

SOALAN:

SEPUPU saya dipaksa kahwin oleh bapanya dengan orang yang tidak dia kenali. Sepupu saya berkeras tidak mahu mengahwini lelaki pilihan bapanya itu sebab dia mempunyai pilihan hatinya sendiri. Bolehkah dia dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya? Sekiranya dia akur dengan kehendak bapanya, adakah perkahwinan itu sah kerana dilangsungkan tanpa kerelaan hatinya?

- MOHD KHAIRUL NA'IM, Muar, Johor.

JAWAPAN:

Perkahwinan merupakan ikatan antara dua insan yang saling bersetuju untuk hidup bersama sebagai suami isteri. Persetujuan ini amat penting bagi memastikan bahawa perkahwinan tersebut dilangsungkan berdasarkan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati.

Oleh itu, baik menurut ajaran Islam mahupun undang-undang syariah di Malaysia menetapkan bahawa kedua-dua pasangan yang ingin berkahwin agar setuju dan rela akan perkahwinan itu.

Memandangkan saudara tidak menyatakan di mana sepupu saudara tinggal, jadi kami akan menganggap bahawa dia juga tinggal di Johor seperti saudara. Oleh yang demikian, undang-undang yang terpakai kepadanya adalah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Seksyen 13 enakmen yang disebut di atas ada menyebut bahawa, sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen berkenaan melainkan kedua-dua belah pihak lelaki dan pihak perempuan bagi perkahwinan tersebut bersetuju dan rela hati untuk berkahwin.

Berdasarkan Seksyen 13 ini, perkahwinan sepupu saudara, sekiranya dilangsungkan, tidak akan diperakui dan tidak boleh didaftarkan. Perkahwinan itu akan menjadi tidak sah kerana dijalankan tanpa kerelaan pihak perempuan.

Kepentingan persetujuan pihak perempuan dalam melangsungkan sesuatu perkahwinan bukan terdapat di bawah undang-undang syariah Islam semata-mata, malah terdapat juga hadis yang menyebut bahawa pihak perempuan perlu bersetuju untuk diijabkabulkan dengan seseorang lelaki sebelum perkahwinan itu dianggap sah.

Di dalam Sahih Bukhari ada diriwayatkan dua hadis mengenai perkara ini, bahawa wali tidak boleh mengahwinkan seorang anak dara atau wanita yang pernah berkahwin tanpa persetujuannya.

Terdapat juga hadis dalam Sunan Nasai Juzuk II bahawa Rasulullah s.a.w. telah menawarkan untuk membatalkan perkahwinan seorang gadis yang telah dikahwinkan oleh bapanya tanpa persetujuannya. Hadis tersebut berbunyi seperti berikut:

Adalah diriwayatkan oleh Aishah r.a. bahawa seorang gadis telah datang kepadanya dan berkata bahawa bapanya telah melangsungkan perkahwinannya dengan anak saudara bapanya untuk meringankan kemiskinan pemuda itu melalui perkahwinannya.

Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar aduan gadis itu, baginda pun memanggil bapa gadis itu, dan di hadapan bapanya membenarkan gadis itu berkahwin mengikut pilihan gadis itu sendiri. Lalu gadis itupun menjawab: Wahai Rasulullah! Saya menerima pilihan bapa saya. Saya hanya mahu kaum perempuan sedar yang mereka mempunyai hak penuh ke atas diri mereka (dalam hal ini).

Melihat kepada hadis-hadis ini, dapatlah disimpulkan bahawa sepupu saudara tidak boleh dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya sekiranya dia tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut.

Kami di Sisters In Islam menasihatkan agar sepupu saudara berbincang secara baik dengan bapanya tentang hal ini. Ajaklah juga teman lelakinya serta mana-mana ahli keluarga terdekat untuk menyertai perbincangan ini. Moga-moga bapa kepada sepupu saudara menyedari bahawa perkahwinan yang dibuat atas dasar paksaan bukan sekadar melanggar undang-undang, malah bertentangan dengan tuntutan agama.

- Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada

Sisters In Islam di alamat

No 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor,

atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel:telenisa@sistersinislam.org.my

Sumber: UtusanOnLine 04/01/2008

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Januari 02, 2008

Tanggungjawap Lelaki; mana lebih utama?

Yang mana satu... melaksanakan tanggungjawap antara ibu bapa atau isteri dan anak-anak? Ada pepatah yang berbunyi, "Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu, bermula daripada kelahiran kita hinggalah ketika menghembuskan nafas yang terakhir." Dalam erti kata yang mudah, ibu adalah segala-galanya.

Seorang anak lelaki perlu mengutamakan kehendak seorang ibu berbanding kehendak seorang isteri dan anak-anak. Sebagai contoh, jika ibu menginginkan anak lelakinya pulang ke kampung berhari-raya bersama-sama dan pada masa yang sama, isteri kepada anak lelakinya juga menginginkan perkara yang sama, berhari raya bersama ibu dan bapanya di kampung, lelaki yang berada di dalam situasi seperti ini perlu mengutamakan kehendak si ibu. Kenapa? Kerana permintaan si ibu tidak menyalahi kehendak syarak dan syariat.

Melunaskan

Persoalannya, apakah kehendak si ibu yang menyalahi kehendak syariat? Banyak kes di mana suami gagal menjalankah kewajipan dan tanggungjawap sebagai seorang suami dan juga seorang ayah kerana mengikut kehendak ibu, bapa dan adik-beradik sendiri. Ada sesetengah kes, isteri terpaksa mengeluarkan duit hasil pendapatan sendiri semata-mata terpaksa membantu suami melunaskan kehendak dan keinginan keluarga mentua. Secara logiknya, kes-kes seperti ini tidak wajar berlaku jika setiap anak lelaki dan setiap ibu bapa serta sanak-saudara lainnya mengetahui had dan batasan kewajipan dan hak-hak mereka.

Mungkin ada di kalangan kita yang kurang pasti, apakah perbezaan antara kewajipan dan hak. Kewajipan adalah tanggungjawap yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperolehi apabila seseorang menjalankan kewajipan. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak. Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tampahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumah-tangga. Kewajipan weorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu, barulah kewajipan menunaikan hak seorang ibu. Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka.

Bererti, walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumah-tangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini mempunyai keutamaan untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu berbanding hak ibu bapanya atau adik-beradiknya yang lain.

Perlu diingatkan juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan keperluan sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau. Seorang suami berkewajipan menunaikan hak-hak yang patut dan wajar bagi seorang isteri dan anak-anak iaitu:

  1. menyediakan makan minum yang berpatutan dan sederhana
  2. menyediakan tempat tinggal yang sempurna, memadai dapat berlindung daripada panas matahari dan kebasahan hujan
  3. menyediakan pakaian yang mampu menutup aurat
  4. memberikan pendidikan yang dituntut oleh syariat yang merangkumi ilmu-ilmu fardu ain dan fardu kifayah
  5. menyediakan kemudahan untuk isteri dan anak-anak mendapatkan rawatan jika mempunyai masalah kesihatan


Kemewahan

Bermaksud, walaupun seorang lelaki itu mempunyai harta yang tidak menafikan keupayaannya untuk memberikan kemewahan kepada isteri dan anak-anak dan dalam masa yang sama dia mempunyai ibu, bapa dan adik-adik yang juga memerlukan bantuannya untuk menjalani hidup yang sederhana tetapi lebih sempurna, maka di dalam situasi ini, lelaki tersebut wajar dan wajib membantu ibu, bapa dan adik-beradiknya yang memerlukan walaupun perlu mengenepikan tuntutan isteri kerana tuntutan sedemikian bukan lagi menjadi hak yang perlu tetapi adalah sesuatu yang melampau.

Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Hak seseorang juga adalah terbatas tertakluk kepada kepentingan dan keutamaan kewajipan seseorang. Lantas, jalan terbaik ialah bersikap bersedia menerima kesederhanaan, sanggup berkongsi dan bertoleransi.

Kepada para isteri, ingatlah: suami anda adalah anak kepada seorang wanita, juga seperti anda yang akan menjadi mertua kepada seorang wanita lain bila tiba masanya nanti. Kepada para ibu, ingatlah: anak lelaki anda adalah suami kepada seorang wanita yang juga mempunyai hak sebagai seorang isteri sama seperti anda.

Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insya Allah.

Sumber: Resepi Hidup

Butiran selanjutnya ...

Kreativiti, imaginasi anak terhad akibat ditakutkan

My Dania (22 mths) memang takut sangat kalau nampak cicak di syiling. Kecoh je mulut dia menyebut-nyebut "aaaakuuuttt. Akut cicak manem...". Takde sapepun yang ajar dia, memang saya tak suka menakut-nakutkan anak-anak kecil. Takut dah besar nanti dia menjadi seorang yang penakut.




Kreativiti, imaginasi anak terhad akibat ditakutkan
"Abang jangan masuk bilik tu gelap, takut... eii... ada hantu,"

Ungkapan remeh itu asalnya bertujuan menghalang anak degil atau memudahkan tugas keibubapaan, sebaliknya memiliki kesan psikologi yang tidak remeh pada anak. Ia bukan saja membuat mereka sentiasa takut pada gelap dan hantu tetapi membuat mereka lambat 'pulih' dari imaginasi hantu atau momok. Malah mengehadkan kreativiti dan imaginasi.

Pakar Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Kampung Baru, Dr Noor Aziah Mohd Saari, berkata sikap ibu bapa sangat penting dalam membentuk personaliti anak. Pendidikan yang berbentuk ancaman dan menakut-nakutkan anak dengan hantu atau momok akan membuatkan mereka gentar mencuba sesuatu.

"Perasaan takut itu boleh terbawa-bawa hingga dewasa dan membuat mereka menjadi kurang yakin untuk mencuba pengalaman baru," katanya.

Tidak dinafikan, perasaan takut adalah fitrah semula jadi manusia. Ia bersifat mempertahankan diri (self defence) dalam situasi yang dianggap bahaya atau mengancam keselamatan.

Sifat ini berkembang pada usia enam hingga sembilan bulan. Awalnya, bayi akan tersenyum dan suka semua orang yang mendekati dan membelainya. Hinggalah ketika usia mencecah enam bulan, bayi sudah mula menyedari perbezaan antara mama dan ayah dengan orang lain di sekelilingnya. Apabila usia meningkat, perasaan takut itu berkembang mengikut imaginasi dan juga persekitaran. Jika dia kerap ditakutkan dengan hantu, dia akan terasa hantu itu sebahagian dari hidupnya.

"Perasaan takut bagaimanapun, akan hilang dengan sendirinya ketika kanak-kanak berusia dua tahun. Jika dia berusia setahun tetapi tidak takut pada orang asing misalnya, itu mungkin petanda perkembangannya terlewat kerana pada usia ini dia sepatutnya ada rasa 'stranger anxiety'," kata Dr Noor Aziah.

Apabila kanak-kanak berusia dua tahun, sepatutnya, dia sudah mula ada keyakinan diri. Dia kurang takut pada persekitaran dan orang asing. Bagaimanapun, bagi sesetengah kanak-kanak ketakutan itu akan beransur-ansur hilang pada usia antara tiga hingga lima tahun. Kanak-kanak memiliki personaliti sendiri sejak hari pertama mereka dilahirkan. Justeru, kematangan sosial yang bergantung kepada personaliti anak bukanlah bahan ukuran kepandaian atau IQ keseluruhan tetapi hanya sebahagian daripada sudut IQ saja. Sebabnya mungkin personaliti anak itu sendiri yang pendiam, pemalu dan peramah membentuk sikapnya.

Secara umum, kebanyakan kanak-kanak akan menunjukkan tindak balas sedikit sebanyak yang menunjukkan dia tidak selesa dengan orang asing.

"Kanak-kanak yang dididik di pusat jagaan misalnya, punyai persekitaran yang mendedahkannya untuk belajar bergaul lebih awal. Dengan kematangan sosialnya mungkin lebih cepat berbanding kanak-kanak yang dididik di rumah oleh ibu.

Begitupun, jika si ibu kerap membawanya bersiar-siar, bersantai dan bertemu ramai orang, anak itu juga akan memiliki persekitaran sosial yang baik," katanya.

Ketakutan yang tidak terkawal boleh bertukar kepada fobia jika ia terlalu ekstrem. Fobia mungkin disebabkan anak itu mengalami trauma atau pengalaman pahit terhadap sesuatu perkara hingga dia tidak boleh bertoleransi terhadapnya. Misalnya, mungkin dia pernah berhadapan kebakaran rumah atau digigit serangga hingga terasa sangat sakit. Fobia tidak normal. Ia mesti diatasi tetapi bukan hanya membabitkan kanak-kanak itu saja tetapi ibu bapa dan pakar psikologi.

Jenis ketakutan yang mungkin dialami anak

a) Kekacauan kebimbangan keterlaluan
Keadaan ini sangat jarang berlaku tetapi kerap berkait rapat dengan pengalaman buruk yang pernah dialaminya. Kanak-kanak secara umumnya takut dengan pelbagai perkara setiap hari, tetapi tidak termasuk di dalam kategori ini jika tidak keterlaluan.

b) Panik
Kanak-kanak yang cepat panik akan menyebabkan dada mereka sesak, nafas pendek, sakit perut dan kepala terasa pusing. Misalnya panik menghadapi peperiksaan.

c) Bimbang pada orang asing
Bayi selalunya akan berhadapan dengan ketakutan dengan orang asing atau yang tidak dikenalinya.

d) Bimbang berpisah

e) Kekacauan tekanan post-trauma
Mereka akan merasainya selepas berhadapan dengan bencana misalnya rumah terbakar. Memori itu sangat jelas.

f) Fobia
Ia terjadi apabila mereka rasa takut yang keterlaluan pada sesuatu perkara seperti serangga, kilat atau berjumpa orang baru. Pada sesetengah kanak-kanak ia sangat ekstrem dan sukar dikawal.


Belailah anak anda buang perasaan takut

Apa yang ditakuti kanak-kanak? Terdapat beberapa jenis ketakutan yang dialami anak anda. Untuk itu, sebagai ibu bapa anda harus bijak mengendalikan masalah anak ini supaya ketakutan itu tidak berpanjangan.


1. Takut berpisah

Pada usia 10 hingga 18 bulan, kanak-kanak mula berasa takut berpisah dengan ibu bapa. Ia mengecewakan dan menakutkan jika mereka terpaksa berpisah dengan ibu bapa atau orang yang mereka sayang (ia tidak semestinya ibu kandung sebaliknya kakak, nenek, ayah atau siapa saja). Anak-anak kecil akan cepat berasa cemas, menangis, panik atau marah apabila ibu bapa cuba meninggalkannya malah mungkin kerap mengigau atau susah tidur.


Cara mengatasinya: Jelaskan pada si kecil, mengapa ibu harus pergi atau bekerja. Begitu juga penjelasan mengenai waktu meskipun belum mengerti sepenuhnya berdasarkan usianya.



2. Takut masuk ‘sekolah’

Bukan mudah melepaskan anak di tadika atau sekolah. Mereka harus beradaptasi dengan lingkungan barunya sedangkan ada sesetengah orang tua tidak rela melepas anaknya ke sekolah kerana bimbang anaknya terjatuh ketika bermain.

Cara Mengatasi: Orang tua perlu menghantar anak ke ‘sekolah’ kerana ibu bapa atau sekolah harus bijak menarik perhatian anak.


3. Takut pada orang asing

Pada usia awal, anak memang enggan dekat dengan orang tak dikenali. Bayi selalunya akan berhadapan dengan ketakutan begini. Apabila mereka bertemu orang yang tidak dikenali dia tidak akan jauh dari ibu bapanya.
Namun, pada usia lapan hingga sembilan bulan, ketakutan itu akan hilang secara berperingkat. Ini normal kerana anak hanya mengenali orang terdekat, contohnya, ibu bapanya.

Ketakutan juga boleh disebabkan jarang bertemu mereka atau tidak pernah bertemu. Ada kanak-kanak mengambil masa untuk mesra dengan orang baru. Pada usia dua tahun, kanak-kanak lelaki akan lebih selesa dengan rakan sejantinanya begitu juga kanak-kanak perempuan. Kadangkala rasa tidak selesa dengan jantina lain akan 'pulih' apabila usia masuk akil baligh.

Rasa takut pada orang asing beransur hilang apabila anak cukup pengetahuan untuk menyedari orang asing bukanlah ancaman baginya.


4. Takut pada doktor

Ada doktor kurang peka ketika merawat anak. Layan anak dengan baik seperti orang dewasa. Mungkin bunyinya agak aneh dan remeh, misalnya perlu minta izin untuk membuka baju dan lampin mereka. Tetapi hak mereka perlu juga dihormati. Contohnya, kata-kata lembut, "Doktor buka baju ya, doktor nak periksa, abang sakit ni," mungkin boleh membantu.

Mungkin juga si anak pernah mengalami pengalaman buruk seperti disuntik, anak jadi takut pada hal tertentu. Ibu bapa juga jangan takutkan atau mengancam anak-anak setiap kali anak nakal dengan doktor misalnya berkata, ‘mengancam’ lalu mengatakan; "ha... jangan menangis nanti mama suruh doktor cucuk dengan jarum besar!" atau "Nanti disuntik doktor". Tidakan ini boleh menyebabkan anak-anak fobia dengan doktor.

Cara mengatasi: Izinkan anak membawa benda atau mainan kesayangannya ketika berjumpa doktor sehingga dia rasa aman. Biarkan anak menjalani rawatan doktor bersama boneka sebagai pesakit.


5. Takut hantu dan persekitaran gelap

Takut pada gelap dan hantu bergantung pada imaginasi dan realiti. Jika sebagai ibu, kita mendidiknya 'jangan takut gelap ia disebabkan tiada lampu, bukan ada hantu' kanak-kanak tidak akan takut. Pada usia enam hingga sembilan bulan, perasaan takut sudah wujud dalam diri. Ketika mencecah usia dua hingga tiga tahun, kanak-kanak lebih berkeyakinan.

"Hi, di situ ada hantu. Jangan main di situ!" Kata-kata itu sering menakutkan si anak walaupun secara mental dan fizikal kanak-kanak belum tahu mengenai hantu.

Cara Mengatasi: Jauhkan anak dari menonton cerita hantu. Orang dewasa jangan sekali-kali menakut-nakutkan anak untuk kepentingan diri sendiri.

Kanak-kanak tidak suka suasana persekitaran yang gelap. Takut pada gelap boleh mengundang ketakutan terutama jika si anak pernah dihukum berkurung di bilik gelap.

Cara mengatasi: Ketika tidur malam, jangan biarkan biliknya gelap gelita. Paling tidak, biarkan lampu tidur yang redup menyala. Cara lain, biarkan boneka atau benda kesayangan menemaninya, seolah-olah penjaganya.

Sumber: Virtualpediatrichospital.org dan HarianMetro


Butiran selanjutnya ...

Suami Isteri Bekerja


Ketika sibuk mengemas kini blog dan mencari bahan, saya terbaca sesi soal-jawap yg dikendalikan Ustaz Zaharuddin. Soalannya umum, tapi jawapan ustaz yang menarik perhatian saya untuk dititipkan dikongsi bersama di blog ini.


Sedikit panduan untuk para suami yang isterinya bekerja.


§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§§



Soalan


Salam ya UZAR,

Saya bersetuju 100% dengan pendapat Uzar berkenaan isu wanita bekerja ini. Dan saya juga merupakan seorang wanita bekerjaya dan memiliki akademik yang membanggakan. Namun apa yang membimbangkan saya adalah keadaan yang memaksa wanita zaman sekarang untuk sama-sama 'turun padang' mencari rezeki demi keteguhan ekonomi keluarga.

Tambahan pula, saya (belum berkahwin) adalah daripada 6 org adik beradik yang kesemuanya adalah perempuan. Tanggungjawab untuk membantu ibu bapa yang sudah tua juga salah satu faktor yang 'memaksa' kami adik beradik untuk bekerja selain membalas jasa kedua orang tua kami. Namun demikian, saya tidak nafikan saya ingin benar 'kembali kepada fitrah' ajaran islam yang suci yang mana menggalakkan wanita untuk duduk dirumah menguruskan perihal keluarga dan anak-anak bila tiba masanya kelak (berkahwin).


Hakikatnya, calon-calon suami zaman sekarang juga mengenakan syarat untuk mendapat calon-calon isteri yang bekerja bagi membantu mereka meningkatkan ekonomi keluarga dan ada juga yang beralasan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung keluarga pada zaman ini (walaupun ada yang berpendapatan RM3,000). Saya kesal sekali dengan keadaan ini dengan tiada sokongan dan peluang untuk saya 'kembali kepada fitrah' ajaran Allah.

Bagaimana pula pandangan UZAR dan rakan-rakan group?


kiriman : ~azlina~


Jawapan


Salam...


Jika isteri bekerja dengan tujuan membantu ekonomi keluarga dan pada masa yang sama, suami juga bekerja, sudah tentu ia adalah harus selagi menjaga tatasusila Islam semasa di tempat kerja dan juga mampu melaksanakan kewajibannya sebagai ibu dan isteri.


Jika terdapat mana-mana bakal suami membuat syarat demikian, bagi saya ia masih boleh diterima jika : -


  1. kedua-dua mereka mempunyai 'planning' sebaiknya maksud saya ia adalah bagi tempoh beberapa tahun awal selepas kahwin disebabkan kos hidup yang tinggi bagi pasangan berkahwin, dan pasangan masih muda.
  2. bertujuan membantu suami atau keluarga di kampung yang benar-benar terdesak.
  3. berbentuk 'temporary' sementara tiada anak sebagai persiapan ekonomi untuk beranak pinak dalam keadaan yang lebih selesa.
  4. memberikan isteri pengalaman kerja di peringkat awal agar jika sesuatu berlaku kepada suami, isteri sudah berpengalaman, boleh dan mampu berdikari dengan lebih berkesan.
  5. menamatkan perjanjian kerja dengan majikan atau kerajaan akibat perjanjian biasiswa dahulu.


Adapun, menjadikannya syarat seperti 'syarat yang paling utama' serta mengharapkan isteri untuk terus membantu selama-lamanya, bagi saya secara peribadi ia sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan sang suami. Saya yakin mesti ramai suami dan sebahagian isteri yang tidak berpuas hati dengan kenyataan seperti ini, terpulang. Cuma fikir semula sebelum bantah secara total. Bagi saya apapun hakikat dan realiti di hadapan anda, menyuruh atau mengharap isteri bekerja dan pada masa yang sama mengharap isteri :


  • didik anak dengan hebat dan berkesan
  • layan suami dengan baik,
  • senyum melebar setiap kali bertemu suami yang 'penat' bila balik,
  • tempat suami mengadu masalah dan dapatkan sokongan,
  • memberikan buah fikiran yang baik kepada suami yang buntu di tempat kerja
  • in-charge untuk menjaga berak kencing anak,
  • basuh baju,
  • gosok baju,
  • sidai dan angkat baju,
  • urut badan suami,
  • masak sedap,
  • basuh pinggan,
  • sapu dan buang sampah,
  • kemas rumah,
  • cuci tandas,
  • tangani karenah anak dengan baik
  • ajar anak mengaji
  • tak membebel,
  • tak mahu dengar anak menangis dan harap isteri berperanan,
  • tak muncung dan lain-lain


Menuntut perkara di atas dan pada masa yang sama menyuruh isteri kerja adalah bertentangan dengan fitrah yang ditentukan oleh Allah kepada wanita. Adalah tidak adil sama sekali bagi seorang suami 'demand' hal sedemikian untuk disempurnakan oleh isteri dalam masa yang sama diharapkan income isteri untuk pembiayaan rumah dan kereta dan barang dapur.


Jika suami ingin isteri membantu ekonomi (yang sepatutnya tanggungjawab utama sang suami), maka sebahagian senarai kerja di atas patut di ambil alih oleh suami sebagai timbal balik kepada jasa isteri itu. Jika tidak mahu, mereka perlu mengambil pembantu rumah yang boleh diharap 'cover' sebahagian kerja-kerja teknikal tadi.


Kesimpulannya, suami yang bekerja perlu berilmu cara mengawal rumah tangga dan anak-anak akibat isteri bekerja. Sebarang kekurangan dalam rumah tangga akibat kedua-duanya bekerja adalah di bawah tanggungjawab suami. Jangan salahkan isteri yang bekerja sebagai gagal melaksanakan tangunggjawab di rumah, kerana suami yang 'beri' dan 'minta' isterinya bekerja from the very begining atas sebab-sebab yang disebutkan di atas.


Justeru, bagi saya suami kena kontrol jenis kerja isteri, tempoh masa, suasana sekeliling isteri, jika kecemasan bagaimana, keletihan isteri yang bekerja ini setakat mana, apakah perkaar yang terpaksa dikorbankan disebabkan kerja isteri dan lain-lain. Tatkala itu, suami perlu cari apakah jalan penyelesaiannya terbaik. Panjang ceritanya ini , ringkasannya, suami must be a good planner, manager and he is just like a CEO.


Saudari menyebut, isteri terpaksa 'turun padang' demi keteguhan ekonomi rumah tangga. Soalan saya, mana yang lebih penting "keteguhan ekonomi" atau "keteguhan hubungan rumahtangga" ? Ada orang, rumah dah ada cuma kecil sedikit.. cuma nak di tambah 'teguh'kan dengan membeli yang lebih besar, kerana itu perlukan isteri bekerja??? Kereta dah mampu beli VIVA, cuma untuk 'keteguhan ekonomi' iaitu beli Camry, isteri bekerja. Apakah tanda aras keteguhan ekonomi? Sampai bila mampu tercapai? Akhirnya kebahagiaan rumahtangga tergadai dan bercerai kerana asyik mencari 'keteguhan ekonomi'.


Wallahu'alam.


Jawapan disediakan oleh: Zaharuddin Abd Rahman,

Sumber http://www.zaharuddin.net/



Butiran selanjutnya ...

Mutaah kepada isteri yang diceraikan

FIRMAN Allah SWT: Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang makruf, sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum-Nya) supaya kamu memahaminya. (al-Baqarah: 241-242)

Syeikh Sya’rawi berkata: “Kami telah mengetahui daripada ayat-ayat terdahulu berkenaan dengan perkara yang ajaib dan Allah SWT ketika memberi peringatan kepada akal untuk menerima hukum dengan pemikiran.

“Justeru jadilah akal semata-mata kalau ditaujihkan fikrahnya kepada kajian sebab-sebab tajuk ini maka tiadalah berkesudahan kecuali kepada hukum ini. Yang demikian didapati bahawa Allah meninggalkan sebahagian perkara dalam urusan perhubungan dan juga kesannya ketika pergaduhan supaya keluar daripada hukum yang disyariatkan Allah pada perkara mana-mana yang terdahulu kemudian dikenakan kepada masyarakat perkara yang lebih buruk daripada pertelingkahan. Justeru menguatkan lagi hikmah kenapa Allah mensyariatkannya”.

Firman Allah SWT: Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang makruf, sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa.

Ibnu Kathir meriwayatkan: Daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam katanya: “Apabila Allah menurunkan ayat 236 daripada surah al-Baqarah yang berkenaan dengan “hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka yang diceraikan itu iaitu suami yang senang menurut ukuran kemampuannya.” Lantas lelaki berkata: “Jika aku mahu aku berihsan dan melakukan kebaikan dan jika aku mahu aku tidak melakukannya.” Lantas turunnya ayat ini.

Al-Baghawi berkata: “Sesungguhnya Allah menyebut dengan mengulangi kalimah mutaah di sini untuk menambahkan lagi makna. Yang demikian itu pada yang lainnya menerangkan hukum bagi perempuan yang tidak disentuh. Dalam ayat ini menerangkan hukum semua perempuan yang diceraikan berhak mendapat mutaah.”

Sayyid Qutub berkata: “Ayat yang pertama menjelaskan bahawa perempuan yang kematian suaminya itu berhak mendapat wasiat daripada suaminya dan membolehkannya tinggal di rumah suaminya dan hidup dengan perbelanjaan selama setahun genap, tanpa keluar dan tanpa berkahwin jika ia dapati perasaannya dan keadaan-keadaan di sekelilingnya membolehkannya tinggal selama masa itu.

Namun demikian ia bebas keluar dari rumah suaminya selepas empat bulan 10 hari seperti yang telah diterangkan oleh ayat yang silam.

“Menjalani idah itu suatu kefarduan yang diwajibkan ke atasnya dan kemudahan tinggal di rumah suami selama setahun itu merupakan suatu hak baginya. Setengah ulama berpendapat bahawa ayat ini telah dimansuhkan dengan ayat tadi. Tetapi sebenarnya tidak perlu kepada andaian bahawa ayat ini mansuh kerana kedua-keduanya mempunyai tujuan yang berlainan mengikut pendapat kami. Ayat ini bertujuan menjelaskan hak yang diberi kepadanya dan andainya ia suka ia boleh menggunakannya, dan ayat yang silam bertujuan menjelaskan kewajipan yang diwajibkan ke atasnya dan tidak boleh dielakkan olehnya.”

Al-Maghari berkata: “Kesimpulannya perempuan yang diceraikan dibahagikan kepada empat bahagian:

  1. Perempuan yang diceraikan dan telah bersama dengannya maka dia berhak mendapat mas kahwin yang penuh.
  2. Perempuan yang diceraikan tanpa bersama dengannya dan tidak ditentukan maharnya, maka suami hanya wajib memberi mutaah atau saguhati mengikut kemampuannya dan tidak perlu kepada mahar.
  3. Perempuan yang diceraikan yang ditentukan maharnya dan belum lagi bersama dengannya, maka perempuan ini berhak mendapat separuh mahar dan tanpa idah.
  4. Perempuan yang diceraikan yang telah bersama dengannya tetapi belum ditentukan maharnya, maka hendaklah diberikan mahar secara mithil atau seumpama mahar kerabatnya dan keluarganya.

Sayyid Qutub berkata, “Sesetengah ulama berpendapat ayat ini (al-Baqarah: 241) juga telah dimansuhkan dengan hukum-hukum yang telah lalu, sedangkan sebenarnya tidak perlu ayat-ayat itu diandaikan sebagai masuk kerana bayaran saguhati berlainan daripada bayaran nafkah. Di antara penjelasan yang selaras dengan saranan-saranan al-Quran ialah penjelasan mengenai bayaran saguhati kepada setiap perempuan yang ditalak sama ada yang telah disetubuhi atau belum. Sama ada yang ditentukan kadar mas kahwinnya atau belum. Ini kerana bayaran saguhati itu dapat membasahkan suasana talak yang kering itu dan dapat menyukakan hati yang kesunyian kerana bercerai. Ayat ini merangsangkan kesedaran takwa dan menghubungkan persoalan ini dengan takwa dan takwalah satu-satunya jaminan yang kuat.”

Ibnu Kathir berkata: “Ayat ini menjadi dalil sebahagian ulama berkenaan wajibnya mutaah bagi setiap perempuan yang diceraikan sama ada diserahkannya atau difardukannya atau yang diceraikan sebelum disentuh atau sesudah itu.”

Inilah pendapat Imam Syafi’e juga Sa’id bin Jubair dan sebahagian ulama salaf dan inilah yang dipilih oleh Ibnu Jurair.

Firman Allah SWT, “Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum-Nya) supaya kamu memahaminya.”

Imam Nasafi berkata: “Dikehendaki dengan mutaah di sini iaitu bagi yang tidak dicerai yang telah disebut dengan cara sunat.”

Sayyid Qutub berkata: “Demikianlah penjelasan hukum-hukum yang telah silam, iaitu penjelasan yang kemas, halus dan membawa saranan-saranan yang berkesan.

“Demikianlah Allah menghuraikan ayat-ayat-Nya kepada kamu untuk membimbing kamu supaya kamu fikir dan meneliti ayat itu, juga memikirkan hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik ayat itu dan seterusnya supaya kamu berfikir tentang nikmat yang nampak jelas dalam ayat itu, iaitu nikmat kemudahan dan toleransi tetapi tegas dan nikmat kesejahteraan yang melimpah ke atas kehidupan mereka.”

Sekiranya manusia berfikir dan merenung agama Allah dengan teliti tentulah mereka memilih sikap yang lain terhadapnya iaitu sikap taat, menyerah, reda serta menerima dan tentulah mereka mendapat kesejahteraan yang melimpah di dalam roh dan akal mereka.

Al-Sonhaji berkata: “Apa yang menjadi kewajipan suami terhadap isteri dan segala hukum-hukum Allah telah diterangkan-Nya dengan perantaraan Muhammad SAW sebagai keterangan dan bukti di dalam kitab-Nya. Mudah-mudahan kamu fikirkan keterangan-keterangan tersebut, kerana ia mengandungi kemaslahatan kamu dan keselamatan agama kamu.”

Hamka berkata: “Kesempatan pada kita sekarang ialah memikirkan ayat-ayat Allah ini, iaitu peraturan yang telah diturunkan terutama hubungan suami-isteri dalam rumahtangga yang mana ditanam benih yang akan melahirkan umat yang baik, yang akan menjadi tauladan dalam beribadat kepada Allah. Sia-sialah pergaulan suami-isteri sekiranya rumah tangga dan hubungan mereka hanya kerana ingin berkahwin sahaja, kalau bercerai hanya asal cerai sahaja. Demikian jugalah sesudah suami meninggal sehingga setahun Islam mewasiatkan agar keluarga memelihara jandanya dengan sebaik mungkin.”

Maka sekiranya suatu masa berlaku kacau bilau dalam masyarakat Islam, sehingga hancur keperibadiannya sehingga dia dipijak oleh bangsa lain, pasti akan bertemu salah satunya iaitu kerana tidak mempedulikan ayat-ayat Allah dalam memelihara pembangunan institusi sebuah keluarga.

Seperti apa yang pernah dikata oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani: “Kemajuan bangsa lain ialah setelah mereka tinggalkan peraturan agamanya. Dan kemudian kaum Muslimin ialah setelah mereka meninggalkan peraturan agamanya”.

Iktibar Ayat:

  1. Bagi perempuan yang diceraikan mempunyai banyak jenis dan bahagiannya di mana setiap jenis mempunyai hukum yang tersendiri.
  2. Allah menerangkan ayat-ayatnya supaya manusia berfikir dan mengamalinya.
  3. Kelebihan orang yang berakal boleh memahami ayat-ayat Allah seterusnya menjadi hamba-Nya.

Sumber: UtusanOnLine 02/01/2008

Butiran selanjutnya ...

Petua Memikat Hati Isteri

Berikut adalah petua ilmiah bagaimana anda boleh memenangi hati wanita kekasih anda. lanya dipetuakan oleh para bijak pandai setelah mengkaji apakah kesukaan wanita yang memang sentiasa mahukan perhatian. Tapi ingat, ia khas untuk suami isteri:


1. Bila saja anda pulang ke rumah, carilah dia dahulu sebelum anda lakukan perkara lain dan peluklah dia.

2. Tanya kepadanya soalan-soalan yang tertentu menunjukkan anda sedar apakah yang dia rancang untuk lakukan hari ini.

3. Latihlah diri anda untuk mendengar serta bertanya soalan kepadanya.

4. Bentengi diri anda untuk menyelesaikan masalahnya, tapi tunjukkan sifat memahami anda.

5. Berikan padanya perhatian yang sebenar tanpa menunggu dia memintanya selama setengah jam setiap hari.

6. Bawakan kepadanya hadiah yang mengejutkannya pada bila-bila masa lebih-lebih lagi pada tarikh atau perayaan yang bermakna.

7. Rancanglah masa untuk bersamanya beberapa hari sebelum itu, jangan menunggu hingga malam Jumaat kemudian bertanya pula apakah yang dia hendak buat.

8. Jika pada suatu malam, dia merasa letih atau terlalu sibuk untuk memasak, tawarkan diri anda untuk memasak pula.

9. Selalulah memujinya dari segi kecantikan dan keanggunan rupa parasnya.

10. Akui perasaannya bila dia merasa marah.

11. Tawarkan bantuan kepadanya bila dia merasa letih dan penat.

12. Jadualkan mana-mana perjalanan lebih awal agar dia tidak kelam kabut membuat persediaan.

13. Sekiranya anda terlewat, jangan lupa untuk menelefon dia dan beritahu dia tentang hal itu.

14. Bila dia mahukan sokongan anda dengan bertanya mengenai sesuatu perkara, katakan ya atau tidak. Jangan jadikan dirinya rasa bersalah kerana bertanya.

15. Semasa perasaannya tersinggung, berikan padanya rasa simpati anda dan nyatakan kepadanya 'Saya kasihan awak tersinggung'. Kemudian diamlah, biarkan dia dapat merasakan bahawa anda memahami yang dia tersinggung. Jangan cuba jelaskan pula kenapa rasa tersinggungnya itu bukan salah anda.

16. Bila anda perlukan masa untuk bersendirian akibat gusar, katakan padanya anda akan pulang dan anda perlukan sedikit masa untuk berfikir mengenai sesuatu.

17. Sekiranya perasaan anda telah reda dan anda pulang ke rumah, bercakaplah dengannya apakah dia yang menggusarkan anda dengan cara yang hormat dan tidak menyalahkan dia. Dia perlu tahu agar dia tidak menyangka yang bukan-bukan.

18. Bila cuaca sejuk, eloklah rapatkan diri anda kepadanya dan biarkan kehangatan tubuh anda dapat menghangatkan jiwanya.

19. Pada masa dia mahu berbincang dengan anda, letakkan buku, majalah atau akhbar yang sedang anda baca, dan tutup TV. Berikan perhatian sepenuhnya.

20. Sekiranya selalunya dia yang membasuh pinggan, sesekali bantu dia untuk membasuh pinggan pula, terutamanya jika dia letih. Bantulah dia menggosok bekas yang sukar atau kerja membasuh yang sukar.

21. Pastikan bila dia letih atau marah, tanya dia apa yang dia hendak buat dan tawarkan bantuan anda dengan melakukan beberapa kerja yang akan dilakukannya.

22. Bila anda hendak keluar rumah, tanya dia adakah barang yang patut dibeli, dan jangan lupa pula membelinya.

23. Beritahu padanya bila anda mahu tidur atau mahu keluar.

24. Berikan dia lima kali pelukan setiap hari. Satu waktu subuh, satu zohor, asar, maghrib dan isya'. Jika tidak berkesempatan, himpunkan dua atau tiga pelukan pada waktu yang terluang.

25. Telefon dia semasa anda bekerja dan bertanya khabar atau kongsikan sesuatu yang menarik, atau hanya katakan 'Aku cinta padamu'.

26. Katakan 'Aku cinta padamu' sekurang-kurangnya sekali sehari.

27. Bantu dia untuk mengemaskan katil dan membersihkan bilik tidur.

28. Letakkan pakaian yang sudah patut di basuh ke bakul yang dikhaskan.

29. Selalulah periksa sama ada tong sampah sudah penuh dan tolong buang sampah. Kemudian tolong letakkan plastik sampah dalam tong itu.

30. Bila anda hendak berjalan jauh, telefon dia, biar dia tahu anda selamat sampai dan berikan nombor telefon tempat itu.

31. Basuhkan kereta yang dipakainya.

32. Bersihkan diri anda dan pakai wangi-wangian sebelum jima' jika itu yang dia suka.

33. Bila dia merasa marah kepada seseorang, eloklah anda menyebelahi isteri anda. Kalau anda tidak bersetuju dengan caranya, itu boleh diselesaikan kemudian.

34. Selalulah tawarkan diri anda untuk mengurut belakang, tengkuk dan kakinya.

35. Jadikan tabiat merangkulnya dan mengasihinya yang bukan bertujuan
untuk jima'.

36. Sabarlah bila dia mahu berkongsi pendapat dengan anda. Jangan mengalihkan pandangan anda pada benda lain, atau melihat jam.

37. Tunjukkan kasih sayang anda ketika bersamanya walau di khalayak ramai.

38. Bila anda memegang tangannya, jangan pula jadikan tangan anda kaku
dan lumpuh.

39. Ambil tahu apakah makanan atau minuman yang dia suka agar anda boleh suruh dia memilih apa yang dia memang gemar.

40. Sarankan beberapa restoran yang baik, jangan bebankan padanya untuk menentukan di mana hendak makan.

41. Luangkan masa anda untuk pergi bersamanya ke tempat yang dia suka pergi, selama mana tempat itu adalah tempat yang baik atau diharuskan.

42. Wujudkan masa bila mana anda boleh memakai pakaian bersama-sama.

43. Cuba memahami bila dia lewat atau tiba-tiba mahu menukar pakaiannya.

44. Berikan perhatian yang lebih kepadanya daripada orang lain ketika anda berada di khalayak ramai.

45. Jadikan dia lebih penting dari anak-anak anda. Biarkan anak-anak anda menyaksikan bahawa isteri mendapat perhatian anda yang lebih utama dan lebih awal sebagai contoh kepada mereka.

46. Belikan dia hadiah-hadiah kecil dan comel.

47. Belikan untuknya pakaian. Pastikan anda tahu saiz tubuhnya serta warna, fesyen dan corak yang lebih digemarinya. Atau anda boleh belikan kain untuk dijahit emudiannya.

48. Ambillah gambarya pada waktu-waktu keramaian atau di tempat-tempat yang mahu dijadikan kenangan.

49. Luangkan masa bersendirian dengannya untuk melakukan sesuatu yang romantik.

50. Biar dia tahu bahawa anda bawa gambarya dalam dompet anda dan menggantikan ia dengan gambar terbaru bila sudah sampai masanya.

51. Biarlah anda yang memandu ketika berjalan jauh. Pandulah dengan selamat, tidak terlalu laju hingga mengecutkan hatinya dan tidak pula terlalu perlahan sedangkan anda boleh laju.

52. Perhatikan bagaimanakah perasaannya dan berikan komen yang menunjukkan anda ambil berat seperti 'Awak nampaknya gembira hari ini' atau 'Awak nampak letih' dan kalau boleh tanya sebabnya agar anda tahu apa yang mengembirakannya dan sebaliknya.

53. Bila anda keluar bersamanya, anda sendiri perlulah tahu arah tujuan anda agar dia tidak terasa tertekan memandu arah kepada anda.

54. Solat bersama dan berdoa bersama.

55. Kejutkan dia dengan puisi atau nota cinta.

56. Layanilah dia sebagaimana anda melayani semasa awal-awal dahulu.

57. Tawarkan diri untuk membaiki sesuatu di rumah. nyatakan anda ada masa untuk itu. Tapi jangan pula tawarkan diri melakukan perkara yang tidak mampu anda lakukan dengan baik. Tolong asah pisau. Gunakan gam yang baik untuk melekatkan sesuatu yang telah pecah. Tolong gantikan lampu yang telah terbakar.

58. Bacakan dengan kuat sesuatu ruangan akhbar yang menarik minatnya.

59. Tuliskan dengan kemas apa-apa pesanan untuknya yang anda terima
melalui telefon.

60. Pastikan bilik mandi bersih dan kering bila anda sudah mandi.

61. Bukakan pintu untuknya. Tawarkan diri untuk membawa barangan yang dibawanya. Tawarkan untuk bawakan barangan yang berat. Jika hendak berjalan, letak dan barangan yang hendak dibawa di kereta.

62. Bila dia memasak, pujilah masakannya.

63. Sewaktu anda mendengar dia berkata, pandanglah ke matanya. Tunjukkan bahawa anda berminat dengan menyatakan 'Betul kata awak'. Di masa yang sesuai, pegang dia dengan tangan anda bila anda berkata kepadanya.

64. Tunjukkan minat anda pada apa yang dia buat hari ini, pada buku yang dia baca, dan pada orang lain yang dia hubungi.

65. Bersedialah untuk masuk tidur bersama dan masuklah ke kamar seiring dengannya.

66. Berikan dia ciuman dan berikan salam atau kata selamat tinggal bila anda mahu keluar rumah.

67. Ketawalah pada jenaka dan senda guraunya.

68. Katakan terima kasih bila dia buat sesuatu untuk anda.

69. Rancanglah untuk makan angin bersamanya.

70. Berbincanglah dengan cara yang menunjukkan kepadanya bahawa anda mahu dia dapat apa yang dia kehendaki dan anda juga mahu apa yang anda kehendaki. Ambil berat, tapi jangan berat sebelah.

71. Bila anda berjauhan darinya, beritahu padanya bahawa anda rindu padanya.

72. Belikan untuknya makanan yang dia gemari.

73. Minta pandangannya tentang sesuatu dan hargai pandangannya.

74. Ramai lelaki menganggap yang penting bila bersama wanita ialah melakukan perkara-perkara besar saja tetapi sebenarnya yang akan memenangi hati wanita ialah bila lelaki melakukan hal-hal kecil untu membantunya dan menunjukkan anda ambil berat padanya.

75. Dengan cara ini wanita akan merasa dirinya dicintai. Bila dia merasa dicintai, dia akan cinta pada anda tanpa berdolak-dalik.

76. Anda juga akan dapati bahawa melakukan kerja-kerja kecil untuk wanita akan mengubati hati anda. Bila dia gembira anda akan turut gembira. Anda akan merasa lebih berguna dan berjasa kerana isteri anda telah memperolehi perhatian yang dia perlukan.

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails