Sumber : MW#1478
Tekanan tidak ditangani sejak kecil boleh melarat sehingga dewasa
ANAK anda berusia 10 tahun tetapi sikapnya panas baran. Bukan setakat mengeluh, mengucap dan berbuih mulut anda menasihatinya tetapi sikapnya tetap sama. Bukan setakat itu saja, malah dia mudah naik angin, merosakkan barang dan menangis.
Persoalannya, apakah ia sesuatu normal?
“Tidak,” ringkas jawapan Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, yang mengaitkannya masalah yang menjurus kepada tekanan.
“Sekiranya anak-anak didapati tidak dapat mengawal tekanan, ibu bapa perlu mencari penyelesaian dengan mengenal pasti punca berlakunya tekanan kepada anak-anak dan memahami tanda yang menunjukkan anak tertekan.”
Ini boleh dilakukan dengan bantuan psikiatri. Kanak-kanak yang tidak dibantu mengawal tekanan, boleh mendorong berlakunya masalah tingkah laku yang mungkin dibawa hingga ke dewasa. Jika keadaan berlarutan dan semakin teruk, anak-anak boleh dirujuk kepada ahli psikologi klinikal atau doktor psikiatri di wad kanak-kanak. Perlu diingatkan, merujuk psikiatri bukan bererti anak berhadapan masalah terlalu besar, sebaliknya langkah awal menangani dan mengetahui punca.
Apa juga perkataan atau ejaannya, tekanan atau ‘stres’ memiliki maksud yang sama. Setiap individu darjah tekanan berbeza, sama ada banyak atau sedikit dan dikawal dengan baik atau sebaliknya.
Untuk dewasa, tekanan dialami mungkin boleh dikurangkan menerusi aktiviti bersukan dan berbual-bual dengan teman. Kanak-kanak yang masih kecil, berharap sepenuhnya kepada ibu bapanya, tidak banyak boleh dilakukan selain daripada menangis dan mohon simpati bagi meraih perhatian. Bagi ibu bapa yang tidak dapat memahami erti tekanan dialami si kecil, mereka kerap kali melabelkan bahawa mereka ‘degil’, mengada-gada atau buat perangai.
Tekanan membawa maksud sama bagi orang dewasa, tetapi orang dewasa ‘tidak melihat sesuatu tekanan berlaku di kalangan kanak-kanak’ sebaliknya melihat tabiat seperti menangis dan merajuk itu adalah ‘perangai biasa kanak-kanak’. Tekanan juga tidak ada sempadan usia.
Satu kajian mengenai kaitan antara tekanan dengan perkembangan otak mendapati hormon stres cartisol ada ketika kandungan berusia 17 minggu. Ia boleh terjadi menerusi pendedahan stres yang dialami oleh ibunya. Bila ibunya berasa tertekan yang teramat sangat, ia akan menghasilkan hormon cortisol berkenaan. Buruknya, kesan tekanan itu kerana ia boleh memberikan kesan kepada saraf dalam otak janin yang boleh menyebabkan perkembangan kecerdasan atau IQ menjadi rendah. Sebab itulah orang selalu kata ibu hamil tidak boleh tertekan sebab ia boleh beri kesan pada kandungan.
Apabila otak bayi menerima stimulasi berlebihan terhadap stres dan apabila otak yang menerima input fizikal dan emosi diabaikan (iaitu dengan membiarkan bayi menangis sendirian berulang kali), bayi berpotensi menghadapi Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) 10 kali ganda berbanding bayi biasa. Malah kajian juga mendapati kesihatan intelektual dan sosial bayi tidak berkembang dengan sihat manakala ahli neurobiology pula mendapati hormon ini dapat mempengaruhi perkembangan minda bayi.
Apa punca stres? Stres boleh disebabkan pelbagai faktor. Sama ada dianggap kecil oleh orang dewasa seperti lapar, terkencing dalam seluar atau yang besar seperti perceraian ibu bapa, berpindah sekolah atau kawasan tempat tinggal baru dan sebagainya.
“Asal saja ia menimbulkan rasa tidak selesa atau tidak menyeronokkan, ia adalah punca berlaku tertekan dalam diri kanak-kanak. Sayangnya ibu bapa mungkin tidak menyedari sesuatu itu membawa rasa tertekan kepada anak-anak, sebaliknya dianggap biasa. Lebih malang apabila ibu bapa beranggapan anak degil dan tidak mahu mendengar kata,” katanya.
Tanda-tanda tekanan pula, adalah pelbagai kerana tidak menunjukkan perubahan nyata. Namun, perubahan sikap daripada pendiam kepada kuat bercakap atau sebaliknya, kerap sakit perut dan sakit kepala, mengigau ketika tidur adalah antara tanda-tanda jelas. Jika anak mengadu berkaitan perkara itu, ibu bapa perlu mengambil tindakan segera bertanya kerana kanak-kanak mungkin tidak tahu bagaimana untuk menerangkan masalah dihadapi itu.
“Saya pernah berhadapan dengan kes seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang berhadapan masalah kencing malam. Sukar mengorek cerita daripada mulut kanak-kanak itu. Akhirnya si ibu bertanya sendiri dengan kawan baik anaknya. Rupa-rupanya anaknya berhadapan masalah dibuli dan apabila masalah itu selesai, anaknya tidak lagi kencing malam,” katanya.
Persekitaran baru termasuk memasuki Tahun 1 contohnya juga boleh juga menimbulkan tekanan pada si kecil. Apabila secara tiba-tiba persekitaran menjadi serba baru. Kalau sebelum ini mereka hanya berada di tadika sekerat hari, tiba-tiba bila masuk sekolah dirasakan waktu persekolahan terlalu lama.
“Mereka mungkin terfikir kenapa buka mata saja kena sekolah? Kena berdisiplin. Mereka boleh tertekan dengan perubahan itu tetapi kebanyakan ibu bapa memikirkan masuk sekolah Tahun 1 adalah sesuatu yang biasa dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan satu masalah. Kerana mungkin ibu bapa mereka juga dulu tidak pernah bercerita mengenai hal berkenaan (suasa baru di sekolah). Lebih daripada itu sebahagian besar kita mengambil berat mengenai hal ehwal psikologi itu sendiri dan berharap sebarang perubahan yang baik itu diketahui anak itu sendiri tanpa diberitahu, sedangkan kanak-kanak perlu diberitahu,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, ibu bapa mungkin boleh melukiskan peta ringkas perjalanan dari rumah ke sekolah. Menceritakan keadaan bersekolah dan berhadapan kawan baru.
Mengambil contoh di negara maju United Kingdom, kebanyakan tadika akan melakukan ‘waktu peralihan kelas’ pada bulan terakhir persekolahan sebelum sesi baru bermula bagi kanak-kanak yang akan memasuki Tahun 1. Menegaskan mengenai kepentingan psikologi, kanak-kanak yang mengalami stres dan tidak ditangani dengan baik, atau membiarkan mereka hidup dalam tekanan boleh menyebabkan mereka mengalami masalah tingkah laku termasuk masalah disiplin termasuk vandalisma atau nakal.
“Perbincangan dalam keluarga amat perlu kerana kanak-kanak hari ini suka bertanya. Ada ibu bapa mengadu kandang-kala anak-anak terlalu kerap bertanya sampai dia sendiri malas menjawabnya apatah lagi bila baru saja pulang daripada kerja. Tetapi janganlah sampai begitu. Sebaliknya jelaskan kepada anak-anak, Mama penat baru balik kerja, kita berbincang sekejap lagi. Dengan itu kanak-kanak akan faham. Yang penting kita perlu didik dan beritahu kerana kalau tidak, anak-anak akan menganggap ibu bapanya tidak sayang kepada dirinya,” katanya.
INFO: Urus tekanan
KELEBIHAN didik anak urus tekanan sendiri bukan saja memudahkan anda, sebaliknya membentuk mereka menjadi insan lebih bahagia dan kurang stress. Kerja sekolah yang semakin banyak, peperiksaan selain hubungan bersama rakan sebaya adalah cabaran yang tidak dielakkan daripada dihadapi. Apabila kanak-kanak sedari kecil dapat mengawalnya dengan baik, besar kemungkinan mereka menjadi anak-anak cemerlang dalam hidup.
* Bernafas - Tarik nafas adalah pelega paling baik dalam mengawal rasa tertekan selain mengelak daripada berhadapan dengan masalah dalam cara yang akan mewujudkan tekanan tambahan untuk diri mereka sendiri atau orang sekeliling.
* Melukis - Melukis boleh jadi cara si kecil menyampaikan maklumat. Ia turut bertindak mengalih perhatiannya untuk jadi lebih tenang.
* Komunikasi - Bertanya dan ajak si kecil bercakap mengenai masalah dihadapi itu. Jangan buat tidak endah sebaliknya lihat matanya ketika bercakap.
* Bersukan - Bersukan turut menguatkan otot dan ia amat disenangi anak-anak. Bermain lari-lari umpamanya bukan saja lebih sihat sebaliknya mengelakkan daripada rasa tertekan.
* Sentuhan - Urutan bahagian belakang badan dapat melegakan sesiapa saja, tidak terkecuali si kecil. Urut bahagian belakangnya sudah cukup menyerlahkan sisi ambil berat dalam diri anda terhadap dirinya.
* Makanan - Makanan bergula serta makanan ringan yang mempunyai MSG menyebabkan kanak-kanak mempunyai tenaga berlebihan dan selalunya kanak-kanak kerap diberikan makanan sebegini lasak. Bila mereka disuruh duduk diam mereka akan memberontak atau stres.
* Optimis - Stres antara cabaran hidup dan manusia tidak dapat lari darinya, tetapi individu perlu tahu menanganinya dengan cara yang betul dan optimis. Galakkan di kecil untuk bertahan dan mengambil risiko kerana ia boleh membantu mereka membesar menjadi orang dewasa yang gembira dan sihat.
ANDA ada masalah dengan anak atau ada sikapnya yang membimbangkan? Kongsi masalah anda bersama Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-Kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis. Hantar soalan anda ke e-mel bhnita@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Unit Ratu, Berita Harian, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Petikan : BHarian 14/02/2012
Usah pandang remeh pening, loya muntah selepas jatuh
LAPORAN kematian akibat terjatuh dalam bilik air, khususnya membabitkan warga emas, termasuk wanita bukanlah asing. Ada yang mengaitkan kejadian itu dengan faktor usia lanjut manakala tidak kurang yang mengaitkannya sebagai takdir.
Itu sudah pasti, tetapi apakah kita akan membiarkan insiden yang boleh dielak atau lebih dipandang remeh, begitu saja tanpa menyelami apa sebenarnya punca kematian? Malah, apakah benar warga tua saja yang berisiko maut akibat terjatuh?
Hakikatnya, insiden terjatuh baik dalam bilik air atau di lokasi mana pun yang berlaku secara tiba-tiba boleh menimpa sesiapa saja, tanpa mengira usia. Dan kejadian terjatuh yang membawa kematian sudah pasti dikaitkan dengan satu punca yang dikenal pasti menjadi penyebab maut termasuk mempunyai penyakit kronik.
Lebih menghairankan, ada pula kes yang mana mangsa kelihatan sihat selepas terjatuh tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian. Mengapa berlaku sedemikian?
Pakar Bedah Otak dan Saraf KPJ Ampang Puteri, Dr Abdul Muin Ishak, menjelaskan keadaan seperti terjatuh di dalam bilik air seharusnya tidak dijadikan alasan kerana jatuh di mana-mana pun boleh mengakibatkan kematian. Apa yang penting ialah mengetahui punca sebenar dan kesan yang dialami selepas itu.
“Jika terjatuh disebabkan oleh punca yang jelas seperti bilik air licin, terlanggar bendul, terpijak kulit pisang dan sebagainya, pasti tiada soalan untuk dipertikaikan. Dan jika mengalami kecederaan, boleh segera dapatkan rawatan doktor. Tetapi, apa yang membimbangkan ialah jatuh secara tiba-tiba tanpa diketahui punca yang jelas. Jika seseorang jatuh tiba-tiba, pengsan sebentar dan tidak berupaya mengingati apa yang berlaku ke atasnya, dia seharusnya mendapatkan pemeriksaan lanjutan kerana khuatir ada pendarahan dalaman terutama bahagian kepala jika terhentak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di KPJ Ampang Puteri.
Katanya, mereka yang jatuh secara tiba-tiba boleh berpunca sama ada menghidap sawan atau tidak, angin ahmar peringkat sederhana (mild stroke) atau pun salur darah dalam otak pecah secara tiba-tiba.
“Sawan boleh berlaku dalam pelbagai jenis bukan saja yang mengeluarkan buih daripada mulut. Ada sesetengahnya yang mengalami pengsan sekejap-sekejap sejak dari kecil dan kadang-kadang ada yang sampai memorinya kosong secara tiba-tiba walau pun sebentar saja. Selain itu penyakit angin ahmar. Sebenarnya ramai yang mengatakan angin ahmar terjadi disebabkan oleh terjatuh secara tiba-tiba.”
“Tanggapan itu salah kerana pesakit biasanya menghidap penyakit angin ahmar terlebih dulu tanpa disedari terutama kepada penghidap kencing manis dan darah tinggi disebabkan oleh 80 peratus salur darah tersumbat di dalam otak,” katanya yang memberi peringatan kepada semua supaya tidak mengambil ringan mengenai masalah ini.
Ujarnya lagi, bagi kes salur darah dalam otak pecah pula, ia boleh berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan. Kes seperti ini banyak berlaku kepada mereka yang berusia 40 hingga 60 tahun.
Selain itu, ‘arterio venous malformation’ iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah. Ia biasa terjadi kepada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun.
“Bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas pula, mereka boleh mengalami keadaan ‘chronic subdurel hemetoma’ iaitu berlakunya pendarahan dalam kepala selepas terjatuh dan ia akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu. Kesan yang dialami oleh golongan ini ialah sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur,” katanya.
Menjelaskan lagi, katanya, apabila seseorang itu didapati pengsan dalam tempoh beberapa minit akibat terhantuk di kepala, ahli keluarga terdekat perlu memastikan adakah ia pengsan yang merunsingkan atau tidak kerana sangat berbahaya hingga boleh menyebabkan kematian.
“Pengsan boleh terjadi dengan dua sebab iaitu ‘cerebral concussion’ iaitu berlakunya gegaran pada otak tetapi tidak membabitkan kerosakan pada fungsi otak. Ia akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam selepas itu. Kesannya, seseorang itu akan pengsan sekurang-kurangnya beberapa minit hingga ke setengah jam, pening, sakit kepala, loya, muntah sekali dan mengantuk. Ia tidak memudaratkan dalam tempoh berkenaan melainkan kesan itu berpanjangan. Apabila itu berlaku, besar kemungkinan berlaku pendarahan dalam kepala,” katanya.
Dr Abdul Muin berkata, keadaan lebih teruk apabila individu itu berulang-ulang muntah, sakit kepala berterusan dan sangat mengantuk. Jika ia berterusan melebihi dalam tempoh enam jam sehingga membawa kepada kesan ‘confusion’ iaitu meracau, besar kemungkinan terdapat pendarahan di dalam kepalanya.
“Sekiranya berlaku, segera lakukan pemeriksaan di klinik atau hospital. Doktor akan melakukan pemeriksaan di bahagian mata dan sekiranya terdapat pendarahan dalaman anak mata akan membengkak sebelah jika di suluh dengan lampu picit serta tidak reaktif disebabkan oleh tekanan tinggi di dalam otak,” katanya.
Tetapi untuk memastikan seseorang itu bebas sepenuhnya daripada pendarahan di dalam otak akibat keretakan adalah tidak mudah kerana besar kemungkinan boleh berlaku ‘delayed haemorrhage’ iaitu pendarahan yang berlaku selepas beberapa jam kecederaan kepala. Mereka akan mengalami kesan seperti sakit kepala dan loya sedikit, selepas itu kembali normal seperti biasa.
“Dalam tempoh beberapa jam selepas itu, mereka akan muntah-muntah dan berasa sangat mengantuk yang disebabkan oleh keretakan pada tulang tengkorak. Ini juga boleh membawa kepada kematian. Tengkorak kepala yang mengalami keretakan akan mengeluarkan sedikit demi sedikit darah pada peringkat awal. Tetapi dalam tempoh beberapa jam tanpa disedari, ia menjadi semakin besar dan otak akan menjadi mampat dan kematian akan berlaku,” katanya.
Selain itu, Dr Muin turut menjelaskan lebih membimbangkan jika perkara ini terjadi ke atas kanak-kanak kerana mereka mempunyai saluran darah yang lebih banyak. Katanya, adalah lebih baik membawa anak kecil yang terjatuh untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dalam tempoh 24 jam kerana ia lebih selamat, tidak kira sama ada berlaku keretakan atau pun tidak.
“Kalau mereka muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya adalah lebih baik masukkan mereka ke hospital untuk pemerhatian dan jika makin teruk, lakukan imbasan untuk melihat sama ada berlaku pendarahan atau pun tidak. Sebenarnya, ramai kanak-kanak meninggal dunia berpunca daripada ini. Mana tidaknya, kanak-kanak tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kesakitan mereka. Ibu bapa pula tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesan akibat terjatuh dan terhantuk di kepala. Lihat saja anak mereka sudah diam dan tidur, mungkin sudah elok. Tetapi sebenarnya tidak, tahu-tahu saja anak mereka sudah meninggal dunia,” katanya.
Sebenarnya, walau apa pun langkah pencegahan yang dilakukan, jika hendak terjatuh di mana-mana saja boleh berlaku dan semuanya terpulang kepada mereka untuk lebih berhati-hati dan elakkan daripada terhantuk di kepala. Ambil langkah yang tepat supaya tidak kehilangan orang tersayang.
INFO: Risiko jatuh
* Pantau gejala atau perkembangan mangsa selama 24 jam
* Jika ada sebarang keganjilan seperti lupa apa yang menimpanya, mangsa perlu dibawa ke hospital bagi pemantauan dan rawatan berkaitan.
Gejala/simptom perlu perhatian
* Mangsa berulang-ulang muntah
* Sakit kepala berterusan
* Sangat mengantuk
* Jika ia berterusan melebihi enam jam dan meracau, besar kemungkinan ada pendarahan dalam kepala.
Impak jatuh:
1. Kanak-kanak
* Muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya
* Perlu dibawa dan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemerhatian
* Imbasan perlu dibuat untuk melihat sama ada berlaku pendarahan yang menjadi punca ramai kanak-kanak meninggal dunia.
2. Individu berusia 20 hingga 30 tahun
* 'Arterio venous malformation' iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah
3. 40 - 60 tahun
* Salur darah dalam otak pecah.
* Berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan.
4. 60 tahun ke atas
* 'Chronic subdurel hemetoma' atau pendarahan dalam kepala selepas terjatuh.
* Pendarahan itu akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu.
* Antara simptomnya sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur.
Petikan : Saadiah Ismail [saadiah@bharian.com.my] di BHarian 09/02/2012.
Sikap kurang peka ibu bapa terhadap radang paru-paru boleh ragut nyawa anak
SABAN tahun, serangan radang paru-paru atau pneumonia membunuh kira-kira 1.4 juta penduduk dunia terutama kalangan kanak-kanak yang turut menjadi penghidap utama penyakit itu. Angka berkenaan menunjukkan kehilangan nyawa akibat pneumonia adalah melebihi kematian yang disebabkan penyakit berbahaya lain seperti AIDS, malaria dan tuberkulosis atau tibi. Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan membuktikan, pneumonia berada pada kedudukan kelima penyakit pembunuh tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.
Pneumonia adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru seseorang dan biasanya, ia banyak dihidapi golongan kanak-kanak dan tua. Awalnya, selepas dijangkiti virus, kuman atau bakteria, seseorang akan mengalami simptom-simptom pneumonia seperti batuk serta selsema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan menyerang paru-paru.
Pakar Perubatan Kanak-Kanak, Dr Yong Junina Fadzil, berkata penyakit itu perlu dikesan dan dirawat secepat mungkin bagi mengelaknya menjadi serius sehingga boleh meragut nyawa. Bagaimanapun, katanya, di negara ini, kesedaran masyarakat terutama golongan ibu bapa berhubung penyakit berkenaan adalah masih terlalu rendah ekoran tiada kefahaman meluas seperti dalam konteks memahami simptom, kepentingan rawatan dan langkah pencegahan.
“Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahaya penyakit berkenaan atau kepentingan mendapatkan rawatan awal, sekali gus meningkatkan jumlah kematian tahunan akibat masalah kesihatan itu. Pneumonia mempunyai banyak simptom antaranya demam panas, batuk berkahak atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat, sering merengek (bayi dan kanak-kanak), pernafasan laju, susah bernafas, muntah dan cirit-birit. Jika anda atau ahli keluarga anda mengalami satu atau lebih daripada simptom ini, ia mungkin pneumonia. Usah bertangguh, sebaliknya segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan rawatan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan ‘Meningkatkan Kesedaran Masyarakat Di Negara Ini Berhubung Pneumonia,’ bersempena Hari Pneumonia, baru-baru ini. Usaha itu diperkenalkan Gabungan Global menentang Pneumonia Kanak-Kanak yang dianggotai 125 badan bukan kerajaan, pertubuhan amal, institusi akademik, agensi kerajaan dan beberapa yayasan bagi menggalakkan tindakan masyarakat dunia di dalam usaha menentang, merawat serta mengelakkan jangkitan penyakit berkenaan.
Dr Yong Junina berkata, pengalamannya mengendalikan kes Pneumonia dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sikap ibu bapa yang menganggap simptom dialami anak mereka itu tidak berbahaya, menjadi punca pesakit tidak dapat dirawat awal sehingga menemui kematian.
“Kebanyakan ibu bapa yang membawa anak mereka ke klinik saya tidak tahu dan tidak menunjukkan kebimbangan apabila saya memberitahu anak mereka diserang pneumonia. Malah mereka menganggap ia masalah kesihatan ringan. Ada kes yang mana seorang penghidap kanak-kanak yang baru saja hampir sembuh selepas menerima rawatan, kembali kritikal dan meninggal dunia apabila ibu bapanya mengambil tindakan sambil lewa dengan tetap menghantarnya ke tadika, walaupun dia sepatutnya diberi rehat mencukupi terlebih dulu.”
“Perlu diingatkan yang penyakit ini disebabkan banyak faktor seperti persekitaran kotor, lokasi terlalu sesak, tempat berhabuk, cuaca buruk, ketahanan sistem imunisasi tubuh rendah atau penyakit dibawa individu sekeliling, jadi pesakit perlu 'dikuarantin' dari semua keadaan ini sehingga benar-benar sembuh,” katanya.
Jelas Dr Yong Junina, dari kaedah rawatan, ada beberapa cara berkesan yang akan digunakan pegawai perubatan dalam mengatasi penyakit dihidapi.
“Bagi pneumonia yang disebabkan virus, doktor hanya akan memberikan ubat pil dan penghidap harus rehat dan minum air secukupnya kerana sistem imunisasi badan akan memainkan peranan dalam merawatnya. Jika penyakit dialami tidak serius dan disebabkan bakteria, doktor akan membekalkan antibiotik dan ubat tetapi sekiranya jangkitannya serius, penghidap akan diberikan ubat melalui suntikan,” katanya.
Namun, bagi kes lebih serius, penghidap akan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan bantuan rawatan lanjut seperti bekalan oksigen dan antibiotik. Baginya, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati,’ usaha untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini adalah paling penting berbanding merawatnya.
Bagi tujuan itu, masyarakat perlu menjalani gaya hidup sihat, mengutamakan kebersihan diri, mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi, tidak berada di kawasan sesak, menutup hidung ketika cuaca buruk apabila keluar rumah dan sentiasa mementingkan kesihatan sekeluarga.
“Sekiranya anda, ahli keluarga atau anak anda mengalami simptom pneumonia, segera dapatkan nasihat atau rawatan doktor bagi memastikan tahap kesihatan anda tidak menjadi semakin buruk,” katanya.
“Lebih penting, pada waktu yang diperlukan atau dinasihatkan doktor seperti jika anda ingin melancong atau pulang dari sesebuah lokasi luar negara, dapatkan vaksin seperti Pertussis (Tibi), Vaksin Measles (Demam Campak), Vaksin Influenza atau Vaksin Pneumococcal.
“Vaksin ini berupaya meningkatkan sistem imunisasi tubuh anda bagi mencegah sebarang jangkitan penyakit,” katanya.
INFO Pneumonia
Golongan berisiko:
* Kanak-Kanak terutama pada usia lima tahun dan ke bawah
* Dewasa terutama pada usia 65 tahun dan ke atas
* Mempunyai tahap sistem ketahanan badan rendah seperti pembawa HIV/Aids
* Penghidap masalah kesihatan yang kronik
* Individu di kawasan sesak atau kotor
* Masyarakat atau penduduk di kawasan tidak membangun atau miskin
Simptom
* Demam panas
* Batuk berkahak atau tanpa kahak
* Sakit dada
* Tiada selera makan
* Rasa tidak sihat
* Sering merengek (bayi dan kanak-kanak)
* Pernafasan laju atau tercungap-cungap
* Sukar bernafas
* Muntah
* Cirit-birit
Antara langkah pencegahan:
* Menjalani gaya hidup sihat
* Mengutamakan kebersihan diri
* Mengamalkan penyusuan susu ibu
* Elak di kawasan sesak
* Menutup hidung ketika cuaca buruk.
Sumber : Faizatul Farhana Farush Khan [bminggu@bharian.com.my] di BHarian 20/11/2011
Rasa seperti selalu ingin membuang air kencing atau tiba-tiba terkencing? Sukar membuang air kecil? Kencing tidak lawas? Sukar mengawal air kencing atau anda kerap bangun malam untuk membuang air kecil? Jika jawapannya ya, anda perlu bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan segera kerana berkemungkinan anda mengalami gangguan pembuangan air kecil.
Masalah kencing tidak lawas akibat pembesaran kelenjar prostat adalah lazim di kala ngan lelaki berusia. Sebenar nya anda tidak keseorangan. Ini kerana pembesaran prostat boleh menjejaskan sehingga 50% kaum lelaki yang berusia 50 tahun dan ke atas. Semakin bertambah usia seseorang lelaki, maka semakin tinggi risiko untuk mendapat masalah seperti ini.
Mereka biasanya terlalu kerap berasa hendak membuang air kecil sedangkan air kencing yang keluar hanyalah sedikit. Dalam situasi lain pula, pesakit mungkin tidak puas ketika membuang air kecil kerana merasakan masih ada baki air kencing yang tidak keluar. Ini menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama di dalam tandas ataupun jika ingin terus beredar akan sentiasa bimbang kemungkinan baki air kencing itu menitik atau mengalir tanpa disedari sehingga membasahi pakaian.
Adalah dicadangkan agar pemeriksaan doktor dibuat untuk memastikan kencing tidak lawas yang dialami sememangnya ber punca daripada pembesaran kelenjar prostat yang tidak bersifat kanser.
Mereka biasanya terlalu kerap berasa hendak membuang air kecil sedangkan air kencing yang keluar hanyalah sedikit. Dalam situasi lain pula, pesakit mungkin tidak puas ketika membuang air kecil kerana merasakan masih ada baki air kencing yang tidak keluar.
Makanan tambahan
Makanan tambahan seperti saw palmetto telah lama digunakan oleh jutaan lelaki untuk meringankan gejala kencing akibat pembesaran prostat yang bukan bersifat kanser. Keberkesanannya dipercayai kerana kebolehannya merencatkan penukaran testosteron menjadi dihidrotestosteron, hormon yang dikaitkan dengan pertumbuhan tisu prostat.
Di samping itu, biji labu juga telah lama digunakan kerana manfaatnya bagi kesihatan prostat. Biji labu yang kaya dengan asid lemak tidak tepu dan kandungan zink yang tinggi membantu kesihatan reproduksi lelaki. Kombinasi suplemen saw palmetto dan biji labu membawa manfaat dalam pengurusan kesihatan prostat.
Cara kurangkan ketidakselesaan
Antara amalan yang boleh diamalkan untuk mengurangkan ketidakselesaan anda termasuklah:
• Hadkan pengambilan minuman waktu malam. Ini dapat membantu mengurangkan kekerapan keperluan ke bilik air pada waktu malam. Ini juga akan membantu mengurangkan gangguan tidur anda.
• Kurangkan jumlah penggunaan alkohol dan kafein. Alkohol, kopi, teh, coklat dan minuman ringan mempunyai kesan diuretik yang boleh menambahkan kekerapan buang air kecil.
• Elakkan makanan dan minuman berasid. Makanan atau minuman yang menyebabkan pH air kencing lebih rendah (asidik) juga perlu dielakkan. Ini termasuk buah-buahan sitrus seperti anggur, oren, lemon dan tomato. Minuman bergas juga perlu dielakkan kerana kandungan karbon dioksida yang tinggi dalam minuman tersebut. Sayur bayam, rhubarb, coklat dan merokok juga perlu dielakkan kerana mengandungi asid oxalik.
• Amalkan secawan yogurt atau minuman yogurt sehari. Ini dapat menggalakkan pembiakan bakteria baik (Lactobacillus acidophilus) dalam sistem urinari manusia seterusnya bertindak sebagai pertahanan yang baik untuk badan. Ini sangat penting terutamanya jika anda sedang mengambil antibiotik untuk rawatan jangkitan kuman kerana antibiotik biasanya membunuh bakteria termasuk bakteria yang baik untuk badan.
• Gunakan setiap kesempatan untuk ke bilik air. Cuba kosongkan dengan sepenuhnya pundi kencing anda dan elakkan penundaan proses ini kerana ia akan meregangkan pundi kencing.
• Anda juga boleh mencuba teknik buang air kecil dua kali. Setiap kali anda selesai buang air kecil, berdiri dan duduk semula dan cuba untuk buang air kecil sekali lagi. Teknik ini dipanggil ‘double voiding’.
• Latihan pundi kencing. Amalan yang tetap dan teratur untuk buang air kecil akan membantu memperbaiki frekuensi dan keinginan kencing yang teruk.
• Cuaca dingin atau berada dalam per sekitaran sejuk akan meningkatkan frekuensi keinginan untuk kencing. Oleh yang demikian, mengelakkan berada dalam persekitaran sejuk sedikit sebanyak akan melegakan anda.
• Anda juga boleh mencuba senaman otot pelvis atau dikenali juga sebagai ‘Kegel exercise’. Langkah pertama yang perlu anda ikuti adalah mengenalpasti otot yang betul. Bayangkan anda sedang menahan kentut, otot yang bekerja untuk mengawal gas daripada keluar ini adalah otot yang sama yang mengawal anda untuk membuang air kecil. Terdapat juga cara lain untuk mengenalpasti otot ini. Ketika anda sedang membuang air kecil, cuba untuk berhenti membuang air kecil. Ini juga merupakan cara yang baik untuk anda mengenalpasti otot pelvis yang betul. Apabila anda telah mengenal pasti otot pelvis yang betul, cuba untuk ulang kerja otot tersebut selama 5 saat diikuti oleh rehat selama 10 saat. Lakukan senaman ini selama beberapa minggu.
Rawatan
Selain pembedahan, masalah kawalan pundi kencing kata boleh dirawat secara perlahan melalui gaya hidup yang sihat. Hentikan merokok atau mengambil minuman keras (bagi mereka yang berbuat demikian). Amal kan diet yang seimbang, elakkan atau kurang kan minuman berkafein dan bersenam mampu membantu mengatasi masalah ini.
Rawatan awal lebih baik kerana pesakit boleh mengawalnya dengan lebih mudah. Pesakit juga boleh mengamalkan jadual membuang air kecil mengikut tempoh tertentu bagi melaraskan kembali keadaan tersebut.
Terdapat juga rawatan perubatan yang mampu membantu seperti ubat yang mengan dungi antikolinergik, antikemurungan trisilik, serotonin, hormon antidiuritik dan terapi estrogen setempat.
Sumber : MW#1440 dan Cyberclinics.org.
Farahvina Kaur tertekan, degupan jantung rendah gara-gara mahu langsing
“USIA saya hanya 14 tahun apabila rakan sekolah dan saudara mara menegur peha saya besar dan ejek muka saya bulat. Saya tertekan dan berasakan diri tidak sempurna. Setiap kali memandang cermin, saya benci melihat imej badan yang terpampang. Ketika itu, bermulalah keinginan melampau untuk kurus dan melakukan apa saja demi mencapainya. Saya muntahkan makanan dan mula menghukum diri jika gagal menurunkan berat badan.”
Begitulah trauma Farahvina Kaur, 21, ketika berkongsi derita anoreksia dialaminya sejak tujuh tahun lalu, dalam satu pertemuan dengan SIHAT. Anoreksia - masalah tabiat makan celaru yang bukan setakat membabitkan aspek pemakanan tetapi turut menyentuh sudut psikologi penghidapnya.
Mengimbas kembali episod suram itu, Farahvina berkata kerana tidak tahan sering menjadi bahan ejekan, dia berubah menjadi rendah diri dan berasakan diri serba tidak sempurna. Rutin hariannya - mencubit bahagian berlemak di tubuh dan mengukurnya. Bayangkan sejak usianya masih belasan tahun dia sudah mula berjinak-jinak dengan pelbagai cara untuk menghilangkan berat badan tetapi tidak berjaya kerana kurang pengetahuan mengenai cara paling mudah dan berkesan.
“Keadaan bertambah teruk apabila menyertai Latihan Khidmat Negara. Selama tiga bulan, saya memilih untuk mengelak nasi sebaliknya makan empat keping biskut setiap kali waktu makan menyebabkan berat badan turun mendadak daripada 46 kilogram kepada 38 kilogram sejurus tamat latihan,” katanya turut melakukan senaman secara kerap serta hanya memakan gula dalam kuantiti kecil bagi membekalkan tenaga saja.
“Apabila pulang, kulit saya terkena selaran matahari yang teruk membuatkan saya berasa lebih hodoh dan terus hilang selera makan. Saya mula membeli alat penimbang berat badan dan memantau berat setiap masa sehingga mencapai berat paling rendah iaitu 33 kilogram ketika berusia 18 tahun sedangkan ketinggian saya melebihi lima kaki. Sejak itu keluarga dan kawan-kawan mula memberi komen saya terlalu kurus tetapi saya sudah tidak nampak semua itu. Setiap kali sasaran berat badan tercapai, saya rasa saya perlu hilang lebih banyak lagi (berat badan). Entah bagaimana, saya mula menyedari apa yang berlaku sudah tidak normal dan harus menamatkannya. Untuk seketika saya berasa lebih sihat dan berat badan saya meningkat kembali kepada 38 kilogram,” katanya.
Tetapi, malangnya tahun ini, keadaan kembali huru-hara apabila penuntut bidang Pengurusan dan Pemasaran sebuah kolej terkemuka di ibu kota ini tidak berpuas hati dengan berat badannya yang meningkat 43 kilogram.
“Saya sangat tertekan dan mula obses untuk kurus sehinggakan mengikut apa saja teguran orang. Saya jadi orang yang terlalu negatif dan mula membeli buku khusus kalori, semata-mata untuk mengira jumlah kalori diambil setiap hari. Ini termasuklah menyertai laman sembang anoreksia dan obses dengan semua nasihat dan panduan yang diberikan laman web berkenaan. Dalam fikirsan saya tulang adalah satu simbol kecantikan dan lemak adalah lambang kegagalan,” katanya.
Pernah pada satu tahap kronik, Farahvina membuang semua cermin di rumahnya dan mula menghukum diri dengan mencalarkan peha, melakukan senaman berat keterlaluan, melompat, menari dan berlari serta hanya makan sebiji epal, lobak merah dan minuman diet, setiap hari. Makanan yang diambil itu pula biasanya dimuntahkan dan jika boleh, dia cuba mengelak makan. Di kolej pula dia lebih rela menaiki tangga sehingga tingkat 10 setiap hari, tanpa menggunakan lif bagi memastikannya semua lemak badannya dibakar.
“Hanya orang yang mengalami tekanan perasaan dan gangguan mental akan menyeksa tubuhnya begini dan akibatnya saya pernah pengsan di kolej akibat kadar degupan jantung yang rendah. Titik tolak bagaimana saya benar-benar berubah adalah bila orang mula menuding jari menyalahkan ibu bapa saya dengan pelbagai tuduhan. Padahal merekalah orang pertama yang mencuba pelbagai cara untuk memulihkan saya sehinggalah saya bersetuju untuk menjalani rawatan terapi pakar psikologi.”
Selepas dua bulan menjalani rawatan Farahvina merasa gembira, lebih sihat dan berkeyakinan diri. Malah berat badannya pada Julai lalu 28 kilogram kini meningkat 31.15 kilogram.
“Nasihat saya kepada remaja di luar sana, sayangilah diri anda dan lakukan sesuatu yang anda gemar dan kelilingi diri anda dengan insan-insan yang anda sayangi. Remaja masa kini lebih suka menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan, ia merbahaya kerana silap langkah anda yang akan menerima padahnya. Kepada ibu bapa, jadilah sahabat dan juga pembimbing kepada anak-anak, peka dengan perubahan anak-anak dan ambil berat jika anak mula memberi banyak alasan untuk bersendirian serta suka berahsia. Jangan terlalu mendesak mereka dan terimalah mereka seadanya.”
‘Haid terjejas, buah pinggang gagal’
SEPERTI anoreksia, masalah bulimia atau bulimia nervosa juga antara masalah kesihatan akibat tabiat makan yang bercelaru. Pesakit bulimia akan makan makanan kegemaran dalam jumlah banyak dan kemudian memuntahkannya semula.
Malangnya, bukan saja makanan tetapi asid perut turut dimuntahkan bagi memastikan tiada makanan tersisa. Lazimnya penghidapnya bertindak menjolok anak tekak atau menggunakan pelbagai cara seperti julap dan diuretik (buang air besar atau kecil). Ini dilakukan kerana terlalu ingin mengurangkan berat badan dan pada masa sama masih boleh memakan makanan kegemaran mereka.
Menurut Perunding Psikiatri & Hipnoterapi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, bulimia ada beberapa kriteria seperti episod makan berulang-ulang dan berlebihan daripada biasa, dalam jangkamasa singkat).
“Kedua, timbul rasa menyesal selepas makan yang membawa kepada perbuatan memuntahkan semula makanan dengan menjolok anak tekak dan melakukan senaman keterlaluan dan juga berpuasa secara keterlaluan.”
“Ketiga, pesakit bulimia menilai diri, kehidupan dan kecantikan diri hanya berasaskan kepada penampilan, berat badan dan makanan. Mereka hanya memikirkan cara bagaimana untuk mengurangkan berat badan kerana di fikiran diri sentiasa gemuk dan tidak menarik. Keempat, aktiviti harian terganggu kerana gaya hidup yang terlalu berahsia, suka menghilangkan diri kerana mahu memuntahkan makanan menyebabkan mereka kurang bersosial dan kurang berkawan. Malah pesakit ini sanggup mengubah dan menyesuaikan gaya hidup mengikut tabiatnya yang suka memuntahkan makanan,” jelas Daniel ketika ditemui.
Menurutnya, pesakit bulimia boleh dikenali kerana tabiat pemakanan yang celaru memberi kesan paling jelas pada gigi dan mulut. Akibat kerap muntah, berlaku hakisan pada enamel gigi, kerosakan gigi dan jangkitan pada gusi. Tabiat kerap muntah juga menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan garam dalam tubuh (elektrolit). Ia boleh menyebabkan kekejangan dan degupan jantung yang tidak teratur.
“Bulimia akan memberi kesan buruk kepada seluruh tubuh seperti tidak datang haid, cenderung untuk sembelit dan dehidrasi akibat penyalahgunaan diuretik dan laksatif, tinggi kalori dan nutrien dari makanan seperti kek, kuih muih, ais krim dan makanan segera. Kulit kering dan berkedut, kekurangan zat, rambut dan kuku mudah pecah. Malah kekurangan mineral dan vitamin juga boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang.”
Seperti masalah psikologikal lain, bulimia tidak disebabkan oleh satu faktor sebaliknya gandingan beberapa faktor termasuk budaya penjenamaan sosial yang sering dipaparkan media cetak dan elektronik seperti tubuh langsing dan kulit cerah yang dilabelkan sempurna dan ideal.
“Ia membawa pula kepada faktor pencetus yang kerap menimpa peragawati, model dan artis ternama. Ini termasuklah remaja yang baru memasuki usia akil baligh yang sangat rapuh jati diri dan masih mencari identiti. Bayangkan apa kesan komen bersahaja ibu, bapa, rakan atau saudara seperti “peha awak besarlah,” atau “muka awak bulatlah.” ke atas mereka.
Faktor memudaratkan iaitu gemuk adalah hodoh dan kurus adalah cantik, faktor genetik dan faktor gangguan imej tubuh (lebih kepada anoreksia) juga memberikan kesan psikologi kepada pesakit.
Jika dibandingkan dengan aneroksia (pesakit mengelak dari menjamah makanan) bulimia lebih mudah untuk dipulihkan. Pakar psikologi bukan saja perlu menjalankan terapi kepada pesakit tetapi keluarga pesakit juga perlu diberi pengetahuan dan disedarkan mengenai masalah mental yang dilalui pesakit dan bagaimana untuk menghadapinya.
Merawat pesakit bulimia adalah usaha bersama pelbagai pihak. Pakar perlu meyakinkan pesakit bahawa dia perlu percaya, sanggup bekerjasama dan bersifat terbuka untuk pulih sepenuhnya kerana banyak pembaharuan dan perubahan yang perlu dilakukan membabitkan gaya hidup pesakit dan keluarga. Motivasi pesakit perlu dibangunkan kerana untuk pulih ia masih bergantung kepada disiplin dan kekuatan dalaman pesakit
“Pesakit bulimia terlalu tertekan dan sangat beremosi, jadi mengikut fasa tertentu kami mengajar mereka teknik untuk membina harga diri, bertenang, menilai semula cara senaman mereka dan mengubahsuai cara mereka bersenam selepas mengenalpasti masalah psikologikal lain seperti depresi, kegelisahan dan tahap penyalahgunaan bahan diuretik dan julap.
Petikan : BHarian 2011/09/18
Stigma masyarakat punca ramai mangsa disisih
DETIK awal mendapat tahu beliau dijangkiti virus HIV, Darshini (bukan nama sebenar) hilang kata-kata dan lebih banyak menangis serta mengurung diri di dalam bilik. Lebih menyedihkan, anak kecilnya pula dipisahkan daripadanya oleh keluarga mentua. Namun selepas bertenang dan mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan, dia mendapat kekuatan dan kini meneruskan hidup dengan mengambil ubat-ubatan dibekalkan pihak hospital seperti biasa sambil membesarkan anak perempuannya yang sudah meningkat remaja. Darshini dijangkiti virus yang masih belum ditemui penawarnya itu menerusi mendiang suami yang juga penagih dadah.
Baginya, tiada siapa yang boleh dipersalahkan dan perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah mendidik anaknya menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.
Beliau tidak pernah meminta untuk mewarisi virus yang amat digeruni itu. Berjuang untuk terus hidup adalah apa yang dilakukannya kini di samping membabitkan diri dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyedarkan masyarakat mengenai HIV/Aids.
KISAH Darshini adalah catatan pilu seorang ibu yang disisih hanya kerana berstatus penghidap HIV. Virus penyebab penyakit yang bukan lagi berkisar soal kesihatan, kelangsungan hidup tetapi turut mengheret soal kekeluargaan dan ikatan kasih antara ibu dengan anak. Lebih malang, petaka HIV itu turut hadir dalam bentuk disisih masyarakat andai rahsia penghidap itu diketahui ramai.
Inilah lumrah ‘ganas’ HIV ke atas penghidapnya, terutama wanita. Statistik pada 2010 menunjukkan sebanyak 668 kes baru membabitkan wanita dijangkiti HIV berbanding 553 pada tahun sebelumnya, manakala wanita yang hidup dengan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (Aids) meningkat kepada 167 pada 2010 daripada 119 pada 2009.
Meskipun jumlah berkenaan masih dianggap sedikit jika dibandingkan kes baru lelaki yang dijangkiti HIV pada 2010 iaitu 2,984, kajian menunjukkan kebanyakan wanita yang dijangkiti virus itu berpunca daripada suami atau pasangannya. Lebih menyedihkan, ia berlaku tanpa pengetahuan mereka sedangkan lelaki yang dijangkiti adalah disebabkan perbuatan sendiri seperti penagihan dadah dan hubungan seks rambang.
Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr Masliza Zaid, berkata wanita lebih mudah mendapat jangkitan HIV mahupun Aids kerana perbezaan pada anggota badan seperti alat kelamin.
“Berbanding lelaki, wanita mudah mendapat jangkitan HIV kerana wanita mempunyai bukaan liang yang lebih luas pada bahagian anggota kelamin. Ketika melakukan hubungan kelamin bersama suami atau pasangan masing-masing, organ kelamin wanita iaitu vagina menjadi lebih luas berbanding organ kelamin lelaki menyebabkan mereka lebih pantas terdedah kepada HIV yang sudah menjangkiti suaminya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buluh.
Bagaimanapun, katanya, dalam kebanyakan kes wanita lebih lambat mengesan jangkitan penyakit kelamin dan HIV kerana tiada sebarang tanda yang boleh dijadikan panduan kecuali jika penyakit berkenaan sudah memasuki tahap kritikal.
Lelaki pula, agak sukar dijangkiti penyakit, tetapi cepat dikesan kerana mereka lazimnya akan mengalami luka atau kesakitan pada bahagian anggota kelamin seperti adanya lendir dan pendarahan.
Dr Masliza berkata, kajian mendapati masalah ketara yang menyukarkan pihak hospital mengesan jangkitan di kalangan wanita ialah sikap berdikari dan senang diancam menyebabkan mereka sering menangguhkan rawatan jika mengetahui diri menghidap penyakit.
“Apabila mengetahui mereka dijangkiti HIV, ada juga yang tidak berani untuk bercerita atau berkongsi penyakit mereka dengan pihak hospital. Namun jika ada yang menemani, barulah mereka mempunyai kekuatan untuk membuat pemeriksaan mahupun berjumpa doktor. Bagi pihak hospital pula, kita dapat mengesan wanita dijangkiti HIV melalui pemeriksaan saringan ketika mereka hamil. Perangkaan ini pun diperoleh di klinik dan hospital kerajaan kerana polisi kerajaan yang ditetapkan,” katanya.
Berdasarkan prosedur yang ditetapkan kerajaan, pihak hospital akan memeriksa latar belakang dan profil pesakit, selain suami bagi mengenal pasti punca seseorang wanita itu dijangkiti HIV. Ini membolehkan pihak hospital mengetahui penularan HIV di negara ini, sekali gus dapat membantu mengurangkan jangkitan HIV di kalangan masyarakat.
Selain kegiatan suami yang terbabit dalam penagihan dadah, ada juga suami yang didapati menjalin hubungan heteroseksual dengan individu lain yang mungkin sudah dijangkiti virus berkenaan dan secara tidak langsung menyebabkan jaringan jangkitan semakin meluas.
Dr Masliza berkata, berdasarkan perangkaan terkini menunjukkan peningkatan HIV adalah disebabkan hubungan heteroseksual suami yang berpindah kepada isteri dan anak yang bakal dikandung. Malangnya, katanya, stigma masyarakat yang sering memandang serong terhadap individu yang hidup dengan virus berkenaan menyebabkan ramai wanita yang dijangkiti HIV hidup dalam serba kepayahan apabila dipinggirkan keluarga dan juga masyarakat. Dalam kebanyakan kes juga, katanya, stigma masyarakat adalah antara penyebab utama kenapa wanita tidak ingin tampil mendapatkan rawatan sekiranya mendapati mereka dijangkiti HIV.
“Masyarakat sering menganggap HIV adalah virus yang mudah dijangkiti menyebabkan mereka segera menyisih individu yang hidup dengan virus berkenaan walaupun hakikatnya ia hanya boleh dijangkiti melalui tiga kaedah, berkongsi jarum suntikan yang sama, melalui cecair badan iaitu darah dan proses bersalin atau menyusu badan membabitkan ibu/anak. Malah, jangkaan masyarakat bahawa jangkitan HIV melalui air liur atau bersentuhan, juga tidak berasas. Namun masyarakat sewenang-wenangnya membuat kesimpulan individu yang hidup dengan HIV/AIDS perlu dijauhi. Stigma inilah yang membuatkan individu berkenaan tidak mahu mendedahkan diri dan menolak rawatan kerana tidak mahu diketahui masyarakat,” katanya.
Dua kaedah rawatan bantu mangsa jalani kehidupan
MESKIPUN sehingga kini penawar HIV/Aids belum ditemui, ada dua dua cara dilakukan kerajaan bagi mengawal jangkitannya andai pesakit datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan. Antaranya, kaedah metadome dan pertukaran picagari yang diperkenalkan kerajaan.
Metadome ialah kaedah mengawal penyakit melalui pengambilan ubat-ubatan manakala pertukaran picagari ialah bagi menyedarkan penagih dadah supaya tidak berkongsi jarum suntikan. Menerusi kaedah itu, ketika penagih datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan jarum suntikan, pihak berkaitan akan mendapatkan maklumat dan akan cuba memberi kaunseling supaya mereka mahu mendapatkan rawatan untuk mengatasi masalah ketagihan.
Menurut Dr Masliza Zaid, individu yang dijangkiti juga akan diberi ubat-ubatan yang kini ditawarkan bagi mengurangkan perkembangan virus berkenaan, sekali gus memberikan kehidupan bermutu kepada individu terbabit.
“Pengambilan ubat-ubatan boleh membantu individu yang dijangkiti berada dalam keadaan sihat dan menjalani hidup selesa dengan syarat mereka tidak mengabaikan pengambilan ubat, mengikut jadual pengambilan ubat secara berterusan dan sentiasa mendapatkan khidmat nasihat doktor. Gambaran individu yang menghidap Aids seperti yang dilihat di kaca televisyen adalah tidak benar dan itulah yang menjadikan stigma masyarakat terhadap HIV/AIDS semakin menebal serta menjadikan masalah lebih besar kepada individu terbabit sekiranya masyarakat mengetahui masalah mereka,” katanya.
Bagi Dr Masliza sendiri, beliau juga mengalami masalah yang sama ketika mula-mula menjalankan tugas sebagai pakar perubatan di bahagian Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh.
“Keluarga ada bertanya kepada saya kenapa saya memilih bidang ini, namun apabila diterangkan mengenai HIV/AIDS, mereka faham dan tidak lagi mempunyai stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV/AIDS. Masyarakat perlu memahami dan tidak wajar menjadikan stigma sebagai hukuman terhadap pesakit kerana pesakit juga perlu menjalani hidup seperti biasa. Mereka boleh berkahwin dan memiliki anak, namun perlu ada persefahaman dengan pasangan selain sentiasa merujuk kepada pihak hospital dan klinik terhadap apa saja kemusykilan mengenai HIV/AIDS dalam kehidupan rumah tangga mereka,” katanya.
Petikan : BHarian 02/02/2012
Capaian entry berkaitan :
* Laporan khas: 10 positif HIV setiap hari
* Melayu paling ramai hidap HIV/AIDS
* Awas suri rumah!
* Kadar jangkitan HIV tertinggi di Kelantan
* Laporan Khas: Remaja perlu miliki ilmu seks elak ditipu
* Kaunseling : Gadis hadapi dugaan tunang HIV
Kaedah dikesan tak selamat, risiko sebar penyakit berjangkit
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak pernah memberi kelulusan kepada pusat kesihatan menjalankan kaedah perubatan melalui penggunaan lintah kerana keberkesanannya tidak dapat dibuktikan secara saintifik.
Sehubungan itu, orang ramai dilarang menggunakan lintah sebagai kaedah rawatan yang dikesan tidak selamat dan mampu membawa risiko penularan penyakit berbahaya yang berjangkit melalui darah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata penyebaran penyakit berbahaya itu boleh menular apabila lintah sama yang menghisap darah pelanggan iaitu pembawa kuman, digunakan pula merawat pengguna lain.
“Kita memang tidak benarkan kaedah ini untuk rawatan kerana ia belum terbukti berkesan, termasuk tanggapan lintah menghisap darah kotor juga salah, tiada darah kotor dalam perubatan. Berhubung penyakit tibi, berkemungkinan besar seseorang itu boleh berjangkit kerana duduk bersebelahan ketika menjalankan rawatan itu, tidak semestinya oleh kuman dibawa lintah.”
“Proses rawatan itu memang mampu memindahkan penyakit berbahaya yang berkaitan dengan darah ketika penggunaan lintah itu. Kesan gigitan lintah juga boleh melambatkan darah beku,” katanya ketika mengulas kenyataan Pakar Dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman, kaedah rawatan berkenaan yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit serta mengeluarkan darah kotor, sebenarnya mendedahkan pelanggan kepada sejenis penyakit batuk kering (tibi) ganjil.
Dr Saadiah berkata, setakat ini dua pelanggan sudah berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan susulan selepas dijangkiti penyakit itu akibat terapi terbabit.
Dr Hasan berkata, pada masa sama pengguna diminta memberikan maklumat berhubung pusat rawatan didakwa mampu menyebarkan penyakit terbabit supaya kementerian boleh mengambil tindakan selanjutnya.
“Beritahu kita maklumat di mana pusat rawatan didakwa menyebarkan penyakit tibi itu, kita akan pergi sana untuk ambil tindakan,” katanya.
Petikan : BHarian 08/02/2102
Artikel berkaitan keagamaan, kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Kesemuanya disediakan agar para pelayar dapat dirangsang untuk membaca Al-Quran dengan memahami kandungannya.
Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Sekiranya anda berasa tidak senang hati dengan penulisan berteraskan ajaran Al-Quran, yang mungkin didapati bertentangan dengan ajaran sesetengah ulama anda, maka tinggalkan sahaja laman ini.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.
Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)
Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.
Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini.
My site is worth$23,559.74Your website value?
KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?
QURAN MENJAWAB: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”- Surah al-Ankabut ayat 2-3
KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB:“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”- Surah al-Baqarah ayat 216
KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”- Surah al-Baqarah ayat 286
KITA BERTANYA: KENAPA RASA SEDIH DAN KECEWA (FRUST)?
QURAN MENJAWAB:“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”
- Surah ali-Imran ayat 139
KITA BERTANYA: APAKAH YANG HARUS AKU LAKUKAN?
QURAN MENJAWAB: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di
KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB:“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”- Surah Al-Baqarah ayat 45
KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.....”- Surah at-Taubah ayat 111
KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
QURAN MENJAWAB: “Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”- Surah at-Taubah ayat 129
KITA BERKATA: BAGAIMANA JIKA AKU TIDAK MAMPU BERTAHAN LAGI??!!
QURAN MENJAWAB: “.....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”- Surah Yusuf ayat 12