“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Februari 05, 2012

Selawat ke atas Rasulullah SAW



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sempena Maulidur Rasul 1433H/2012M ini, Laman-Seri kongsikan info berkenaan selawat ke atas Rasulullah SAW.

Perkataan Selawat atau Salawat (Bahasa Arab: الصلوات) diambil dari perkataan solat (Bahasa Arab: الصلاة), beerti doa, pujian. Menurut istilah Kamus Bahasa Melayu, selawat ditakrifkan sebagai; “doa kepada Tuhan supaya dilimpahkan rahmat atas Nabi Muhammad.”

Ibnu Kasir berkata dalam tafsirnya: Telah berkata Al-Bukhari: Telah berkata Abu ‘Aliyah: Salawat Allah subhanahu wata`ala ialah pujian-Nya di sisi para Malaikat.
Dan Salawat Malaikat ialah doa. Dan Salawat orang Mukmin ialah memohon rahmat daripada Allah ke atas Nabi Muhammad.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi (Muhammad). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: 56)

Terdapat berbagai lafaz selawat yang boleh dipelajari, namun yang biasa dilafazkan ialah : اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ (Allahumma salli ‘ala muhammadin wa‘ala ali muhammad, sumber an-Nasa'iy no. 1292, dinilai sahih). Ada juga lafaz yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu memuji Nabi SAW seperti صلى الله عليه مُحَمَّدٍ وسلم صلى الله عليه (shall Allāhu ʿala Muhammad, shall Allāhu ʿalay-hi wa-sallam). Untuk lafaz selawat yang lainnya boleh dirujuk di Ms.Wikipedia ~ Selawat.

Tingkat-tingkat selawat

1. Selawat daripada Allah kepada Nabi dan Rasul-Nya terutama Nabi Muhammad SAW

Selawat ini bermakna Allah memberi rahmat kepada Rasulullah. Ini tidak pula bermakna bahawa Rasulullah itu lebih tinggi daripada Allah. Sebenarnya Allah memberi puji-pujian dan keutamaan kepada Rasulullah kerana baginda merupakan makhluk-Nya yang paling taat dan berakhlak mulia. Sepertilah seorang ibu memuji-muji dan terkenang-kenangkan anaknya yang begitu baik dan berbudi kepadanya. Di dalam ayat tadi, Allah memberitahu kita manusia bahawa Dia berselawat kepada Rasulullah supaya kita juga turut melakukannya. Allah juga ada memuji-muji nabi-nabi yang lain serta orang-orang yang soleh yang terdahulu daripada Nabi Muhammad di dalam al-Quran. Allah sebenarnya mahu mengajar kita supaya memuja dan memuji orang-orang yang taat kepada-Nya, lebih daripada tokoh-tokoh negara atau personaliti-personaliti glamor yang banyak melanggar perintah-Nya.

2. Selawat daripada malaikat kepada para Nabi dan Rasul.

Para malaikat merupakan makhluk Allah yang sangat taat. Mereka selalu berselawat kepada para nabi dan rasul. Walaupun malaikat adalah makhluk yang suci yang diciptakan daripada cahaya, namun darjat para nabi dan rasul adalah lebih tinggi daripada mereka. Mengapa? Kerana malaikat sememangnya diciptakan tanpa nafsu (yang sering mengajak manusia melakukan kejahatan dan kemungkaran), oleh itu adalah mudah untuk mereka melakukan ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah. Tetapi manusia diciptakan dengan nafsu. Bermakna, manusia yang boleh menundukkan nafsunya untuk melakukan taat kepada Allah adalah lebih hebat dari keseluruhan para malaikat.

3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad.

Selawat kita umat Muhammad kepada nabi kita merupakan permohonan kita kepada Allah supaya memberikan keutamaan dan kemuliaan kepada baginda. Dengan berselawat, kita juga mengakui kerasulannya dan mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh baginda. Sebenarnya Nabi Muhammad tidak memerlukan selawat-selawat daripada kita yang memohon Allah memberi keutamaan dan kemuliaan kepada baginda. Beliau sudahpun disebut sebagai manusia dan rasul yang paling utama. Tetapi dengan berselawat, kitalah yang akan mendapat manfaatnya. Kita akan mendapat pahala dan keberkatan serta dapat mendekatkan hati kita kepada baginda.

Kepentingan selawat

Kita sangat digalakkan berselawat kepada Nabi SAW. Malah ia begitu penting sehingga doa kita tidak diterima oleh Allah jika kita tidak berselawat. Perkara ini merupakan satu hakikat kerana ia disampaikan sendiri oleh Nabi Muhammad menerusi sebuah hadisnya, “Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi SAW.” (Hadis riwayat ad-Dailami)

Begitu sekali Allah melihat kepentingan selawat. Ini ialah kerana kebanyakan kita melakukan banyak dosa dan kemungkaran setiap hari. Lebih-lebih lagi kita yang hidup jauh daripada zaman Nabi SAW. Begitu lemahnya iman dan amalan Islam kita sehingga iman kita diibaratkan senipis kulit bawang dan iman kita pula diibaratkan seperti iman orang yang munafik. Memang sepatutnya sekiranya Allah tidak terima permintaan daripada orang-orang yang banyak melakukan dosa seperti kita.

Tetapi, Allah itu bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia kasihankan kita, maka Dia bagi jalan keluar. Dia suruh kita berselawat kepada Nabi SAW dahulu. Apabila kita berselawat, barulah doa kita akan didengar-Nya. Barulah ada peluang untuk ia dikabulkan pula. Kalau awal-awal lagi sudah ditolak, sudah tentu tidak ada peluang untuk diterima sama sekali.

Berselawat kepada Nabi ibarat kita dapat ‘recommendation’ daripada baginda. Tamsilannya beginilah. Katakanlah kita hendak memohon sesuatu pekerjaan di sebuah syarikat. Kita tahu ramai orang lain yang bersaing dengan kita untuk mendapatkan kerja tersebut. Tetapi apabila kita jumpa pengurus dan cakap pada dia, “Saya kenal baik Encik Rustam, pembantu kanan tuan.” Pada masa yang sama pula, Encik Rustam tu ‘recommend’ kita untuk mendapatkan pekerjaan tersebut. Maka, menjadi mudahlah untuk kita diterima untuk menjawat jawatan tersebut.

Begitulah tamsilan kita berselawat kepada Nabi SAW. Bila kita berselawat, nabi pun akan menjawab selawat kita. Selawat baginda kepada kita itulah doa untuk kita. Dan doa para nabi itu sangatlah makbul, lebih-lebih lagi Nabi Muhammad SAW yang mendapat gelaran kekasih Allah. Ini yang dikatakan ‘recommendation’ tadi.

Selain selawat ini penting untuk menyampaikan doa kita kepada Allah SWT, ia juga penting untuk pelbagai hal yang lain.

Kelebihan berselawat

1. Mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.”

Nasib kita di akhirat memang tidak pasti. Kalau dilihat pada diri kita umat akhir zaman yang banyak cacat cela dan kekurangan ini, rasa-rasanya kita adalah lebih layak untuk masuk neraka daripada masuk ke syurga. Oleh itu kita sangat memerlukan syafaat Nabi Muhammad untuk menolong kita di akhirat nanti.

Syafaat Nabi di akhirat nanti ada 5 jenis

i) Syafaat Nabi untuk membebaskan ummat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar.
ii) Syafaat Nabi untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan apa pun.
iii) Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumnya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu.
iv) Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa, dari azab neraka.
v) Syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.

2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi SAW (dengan izin Allah jua)

“Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan al-Khatib)

3. Mendapat keampunan dosa dari Allah

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Hadis riwayat Ahmad, Nasai dan al-Hakim)

“Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.” (Hadis riwayat ad-Dailami)

4. Diberi pahala dari Allah SWT

“Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku 'Azzawajalla maka dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari ummatmu, Allah SWT mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya.” (Hadis riwayat Ahmad, Nasai dan al-Hakim)

5. Mendapat ketenangan jiwa

“Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa dan penghapus dosa) bagimu.”

6. Mendapat rahmat dari Allah SWT

“Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

7. Mendapat hajat dunia dan akhirat

“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk dunia.” (Hadis riwayat Ibnu Majar dari Jarir r.a.)

8. Digembirakan dengan syurga

“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka dia tidak akan matt sehingga dia digembirakan dengan syurga.” (Hadis riwayat Abus Syaikh dari Anas r.a.)

9. Menjadi orang yang terdekat kepada Nabi SAW di akhirat nanti

“Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku.” (Hadis riwayat An-Nasai dan Ibnu Hibban)

Kelebihan selawat mengikut para ulama

1) Memperolehi limpah rahmat dari Allah.
2) Ditulis sepuluh kebajikan.
3) Dihapuskan sepuluh kesalahan.
4) Diangkat sepuluh darjat.
5) Memperolehi kesempurnaan iman.
6) Menjauhi dari kerugian dan penyesalan.
7) Tergolong sebagai orang-orang yang soleh.
8) Mendekatkan diri kepada Allah SWT.
9) Memperoleh syafaat Nabi SAW.
10) Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi SAW.
11) Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki.
12) Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa.
13) Menghapuskan dosa dan menutupkan aib.
14) Terselamat dari kebingungan di hari kiamat.
15) Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu (orang miskin pun boleh dapat pahala sedekah)
16) Terhindar dari kefakiran.
17) Dipandang sebagai orang yang mencintai Nabi Muhammad SAW.
18) Memperolehi keberkatan dalam hidup.
19) Terhindar dari orang-orang bakhil.
20) Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah SWT.
21) Memudahkan jalan bagi memasuki syurga.
22) Menjadi zakat dan pembersih diri.
23) Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat.
24) Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan langit.
25) Memenuhi hak Nabi sebagai suatu tugas ibadah.
26) Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati.
27) Tergolong dalam orang-orang yang tidak melupai Nabi Muhammad SAW.
28) Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari di Padang Mahsyar.
29) Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Siratul Mustaqim di akhirat.
30) Terkabul segala hajat dan cita-cita.

Marilah kita berselawat dan salam ke atas Nabi

Seperti yang kita ketahui, Imam besar mazhab kita, Al-Imam As-Syafe‘i telah menggariskan bahawa selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian daripada rukun solat. Dalam ertikata lain, ibadah yang terutama dalam hidup kita selepas kita menjadi seorang muslim dengan mengucapkan kalimah tayyibah - la ilaha illAllah, tidak akan sah melainkan dengan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW. Bahkan adalah sepakat ulama bahawa membaca selawat adalah satu amalan sunat yang sangat-sangat dicintai (mustahab).

Seperti yang disebutkan terdahulu firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.” (Surah al-Ahzab : 56)

Ayat ini menjadi dalil bahawa berselawat itu adalah tuntutan dan sangat mustahab pada setiap masa dan ketika. Bahkan, tuntutan yang dinyatakan meminta kepada selawat dan salam yang sempurna dan sebaik-baiknya.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah boleh dibaca selawat selepas solat memandangkan tiada dalil-dalil yang khusus mengenainya. Jawapannya, kesepakatan ulama pada membacanya dalam solat dan sunat lagi mustahab membacanya pada bila-bila masa, menjadi dalil bahawa sudah tentulah ia juga boleh dibaca selepas solat. Seterusnya, sudah disepakati bahawa adalah sunat dan mustahab untuk sekelian umat Islam berdoa selepas solat, sedangkan tidaklah sempurna berdoa itu melainkan dengan berselawat dan salam ke atas Nabi SAW.

Seperti yang disebutkan terdahulu lagi, sabda Rasulullah SAW, “Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi (Nabi Muhammad SAW).” (Hadis riwayat ad-Dailami)

Seterusnya, sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak duduk satu kaum dalam satu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka (Nabi Muhammad SAW) melainkan penyesalan akan menimpa mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, hadis Hasan Sahih; dan riwayat Ahmad)

Sebagaimana yang diterangkan mengikut dalil-dalil ayat dan hadis, bahawa selawat kepada Rasulullah SAW adalah merupakan satu ibadah yang mulia dan amalan yang terpuji. Oleh itu marilah kita bersama-sama cuba istiqamah berselawat ke atas Rasulullah SAW setiap waktu dan ketika yang terluang dengan penuh keimanan dan keikhlasan, kerana ianya mempunyai keutamaan dan fadhilat yang amat besar, insya Allah.

Semoga kita semua beroleh berkat, rahmat dan syafaat dalam mengamalkannya. Amiin.




Rujukan : Ms.Wikipedia ~ Selawat.

Capaian entry berkaitan :
* Mudahnya hidup dengan selawat
* Kelebihan selawat
* Lupa selawat, abai ibu bapa termasuk dalam golongan rugi
* Lapan mesej Haji Wida'

1 ulasan:

  1. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

    Salam Maulidur Rasul untuk Bawang Goreng, Keluarga dan rakan-rakan...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails