“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, Ogos 09, 2008

Munakahat - Bab 6: Walimah Al-Urus

Bab 6: Walimah Al-Urus

PENGERTIAN WALIMATUL ‘ARUS

  • Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
  • Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat keuntungan duniawi.

    PENSYARI‘ATAN WALIMATUL ‘ARUS

  • Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam.
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“’Abdul Rahman bin ‘Awf melakukan perkahwinan, maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”
(Al-Hadith)


TUJUAN WALIMATUL ‘ARUS

  • Tujuan mengadakan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

  • Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita untuk membezakan antara adat dengan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara‘.
  • Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan menggariskan beberapa syarat seperti berikut:

    1. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.

    2. Nyanyian dan muzik yang tidak menimbulkan nafsu.
    3. Tidak melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah subhanahu wata‘ala.

    4. Senikata nyanyian tidak mengandungi perkataan-perkataan yang cabul atau tidak sopan.

HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing".

HUKUM MENGHADIRINYA

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit atau sebagainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAT WAJIB KE MAJLIS KENDURI KAHWIN APABILA DI UNDANG

i) Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang yang kaya sahaja.

ii) Di dalam majlis walimah tersebut, tidak ada seorang pun terdiri dari musuhnya.

iii) Didalam majlis walimah itu, tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan joget.

iv) Tiada bercampur gaul didalam majlis itu dengan perempuan-perempuan yang bukan mahramnya.

v) Tiada bersamaan atau bertembung dalam majlis tersebut dengan tetamu yang bukan Islam.

vi) Peralatan makan dan minum tidak daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera.

vii) Tidak diketahui akan wang perbelanjaan itu dari yang haram.

viii) Jika dijemput datang pada majlis walimah tersebut selama 2 hari berturut-turut, maka hanya wajib datang 1 hari sahaja.

ix) Yang menjemput itu dan yang dijemput itu adalah beragama Islam.

Sumber: http://al-azim.com/


Butiran selanjutnya ...

Munakahat - Bab 7: Mereka Yang Enggan Berkahwin

Bab 7: Mereka Yang Enggan Berkahwin

Kahwin adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Sunnah para Nabi-nabi, dan fitrah yang sesuai dengan naluri manusia. Mereka yang tidak mahu berkahwin dan enggan berkahwin adalah bermakna mereka telah mensia-siakan hidupnya di dunia yang telah disediakan Allah untuk hambanya-Nya menikmati segala pengurniaan-Nya.

Islam adalah melarang ummahnya hidup membujang - tanpa berkahwin dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari menikmati kesedapan berkelamin dan kesenangan hidup didunia serta mengelakkan diri dari menikmati kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu mempunyai keturunan.

Dalam Islam berkahwin adalah merupakan suatu perkara yang digalakkan, kerana dengan perkahwinan itu akan berkembang biak ummah Nabi Muhammad s.a.w., dimana baginda adalah merasa bangga dan bergembira dengan sebab banyak ummatnya. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas :

"Berkahwinlah kamu Maka sesungguhnya aku dihari qiamat kelak akan bergembira dengan sebab banyak ummahku. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang - orang Nasrani bertapa - hidup membujang".

Mereka yang enggan berkahwin, Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik, katanya : Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. menanyakan tentang 'ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga orang sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda, mereka merasa bahawa 'ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat Rasullah s.a.w. adalah terlalu sedikit dan sangat-sangat "kurang."

Mereka berkata sesamanya: "Bagaimana 'ibadat kita? Padahal Baginda adalah orang yang ma'shum - tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?. "Maka salah seorang dari mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang lain akan berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." Dan seorang yang lain lagi berkata: "Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)" Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:

Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang enggan berkahwin (hidup membujang) seumur hidupnya, padahal mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya zahir dan batin, maka bermakna mereka telah mengharamkan sesuatu perkara yang halal ke atas diri mereka, dan mereka itu adalah juga orang yang menentang hukum Allah dari Sunnah Rasul-Nya.

Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: "Sahabat Rasulullah s.a.w bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah al- Ma'iddah:87)

Sehubungan dengan ini, diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas:

Seorang lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai orang yang membujang (tidak berkahwin) selama-lamanya, katanya: " Bolehkah aku berkasi?" Baginda menjawab dengan sabdanya:

Tidak ada dalam agama kita orang yang berkasi. (Riwayat Tabrani)

Dalam masalah ini, Sa'ad bin Waqqas berkata:

Rasulullah s.a.w. telah melarang sahabatnya 'Uthman bin Maz'un hidup membujang (tanpa berkahwin). Andainya Baginda mengizinkan 'Uthman bin Maz'un membujang (tanpa berkahwin), tenteulah kita "harus" berkasi. (Riwayat Bukhari)

Sumber: http://al-azim.com/

Butiran selanjutnya ...

Munakahat - Bab 4: Wanita-wanita Yang Haram Dikahwini

Bab 4: Wanita-wanita Yang Haram Dikahwini

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:

i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.

2. Sebab-sebab haram dikahwini:

i. Haram dengan sebab keturunan.
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan. ( Musyaharah )

3. Haram dengan sebab keturunan:

i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas.
v. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas.
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah.
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. - Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu ".
( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

4. Haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.

Sumber: http://al-azim.com/


Butiran selanjutnya ...

Munakahat - Bab 5: Pengertian Maskahwin

Bab 5: Pengertian Maskahwin

1. PENGERTIAN MASKAHWIN ( MAHAR ).

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang ,barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )

2. BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR :

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3. HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH:

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

4. WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau menghalang suami dari menyetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari menyetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

5. GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya , maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

6. MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". (Riwayat Al-Tarmidzi)

7. MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. ( Surah Al-Ahzab ayat 49)

Sumber: http://al-azim.com/


Butiran selanjutnya ...

Munakahat - Bab 3: Khiar Dalam Perkahwinan

Bab 3 : Khiar Dalam Perkahwinan

1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.

2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.

3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:

a) Gila.

b) Jazam. ( penyakit kusta )

c) Barash. ( penyakit sopak )

d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.

e) 'Unnah ( mati pucuk )

4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:

a) Gila.

b) Jazam. (penyakit kusta)

c) Barash (penyakit sopak)

d) Rutaqa' (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)

e) Qurana' (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)

5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.

6. 'Unnah ( mati pucuk ) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat.Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.

Sumber: http://al-azim.com/


Butiran selanjutnya ...

Munakahat - Bab 2: Kufu Dalam Pernikahan

Bab 2: Kufu Dalam Pernikahan

1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.

2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud :

"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ".

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".

5. Kufu berpunca daripada lima sebab :

  • Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
  • Merdeka bukan hamba .
  • Keturunan.
  • Pekerjaan.
  • 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )
Sumber: http://al-azim.com/


Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Ogos 08, 2008

Munakahat - Bab 1: Pernikahan

Info untuk yang belum nikah (bakal pengantin) dan revision untuk yang dah berumahtangga.

Bab 1 : Pernikahan

1. Takrif Nikah :

i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :

  • Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

    "Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )

  • Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

    "Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )


  • Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.


Butiran selanjutnya ...

Q&A: Isteri enggan dedah kisah lampau


SOALAN :


SEORANG isteri pernah melakukan perkara yang tidak disukai suami sebelum berkahwin, tetapi isteri sudah meninggalkan perkara terbabit sebelum perkahwinan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

Selepas berkahwin, suami ada berkata pada isteri, sekiranya dia tahu isteri pernah melakukan perkara yang tidak disukai itu sebelum berkahwin, dia akan memaafkan tetapi tidak mahu bertemu isteri lagi. Suami mengungkapkan kata-kata itu dalam nada bersahaja. Isteri terus merahsiakan perkara lalu itu kerana tidak mahu merosakkan hubungan. Padanya yang berlalu hanyalah sejarah sebelum bergelar isteri dan dia tidak akan mengulanginya.

Dia tidak faham maksud kata-kata suami ‘tidak mahu bertemu lagi’ sama ada bermaksud cerai atau tidak kerana ketika menyebut perkataan itu kelihatan bersahaja.

Isteri takut bertanya lebih lanjut kepada suaminya. Apakah ini membabitkan talak tanpa sengaja? Perlukah isteri berterus terang, tetapi dia takut suami akan berpisah dengannya hanya kerana sejarah lama itu.

NOORLINA, Batu Pahat, Johor.


JAWAPAN :


KITA tidak digalakkan membuka aib sendiri dan aib orang lain kepada orang lain termasuk suami. Aib diri sendiri dan orang lain hendaklah ditutup agar tidak ketahui ramai. Mencari-cari aib orang lain juga salah. Dengan itu, isteri tidak perlu berterus terang mengenai sejarah lalu kepada suami. Jadikan ia sebagai pengajaran dalam menempuhi perjalanan hidup.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Wahai sekalian orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum masuk ke dalam hatinya. Janganlah kalian mengghibah kaum muslimin dan jangan mencari-cari atau mengintai aurat (aib) mereka. Kerana orang yang suka mencari-cari aurat kaum muslimin, Allah akan mencari-cari auratnya. Dan siapa yang dicari-cari auratnya oleh Allah, nescaya Allah akan mem bongkarnya di dalam rumahnya (walaupun ia tersembunyi dari manusia).” (Ahmad 4/420, 421, 424 dan Abu Daud, no 4880) (man haj-salafi-membuka-aib-sesama-muslim)

Mengenai kata-kata suami yang kurang difahami itu, anda bolehlah bertanya kepadanya dengan lebih lanjut, meminta penjelasan daripadanya supaya kekeliruan dapat diatasi.

Dalam hubungan berumah tangga, seboleh-bolehnya elakkan daripada sebarang percakapan atau tindakan yang boleh mengeruhkan perhubungan suami isteri. Masing-masing sepatutnya berusaha ke arah mewujudkan suasana rumahtangga yang harmoni. Kisah lampau sepatutnya tidak diungkit.




Sumber : HMetro 2008/08/08

Butiran selanjutnya ...

Kaki kuntum teratai terakhir

Mujur saya dilahirkan di China....


Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


Li Ye Ping, 80 menunjukkan kaki kuntum teratai miliknya.

Peradaban dan budaya berkaki kecil sehingga tiga inci di China berakhir dengan tinggal hanya 100 pewaris

PERUBAHAN zaman membawa definisi baru kepada tradisi membengkung kaki di China. Satu ketika dulu, adat membengkung kaki adalah terjemahan kepada kewanitaan dan keayuan. Tanpa kaki kecil bersaiz tiga inci itu, tiada lelaki akan masuk meminang.

Bagaimanapun, hari ini ia disifatkan sebagai penyeksaan dan kezaliman yang tidak terhingga kepada wanita. Walaupun diharamkan sejak 1912, masih ada keluarga yang melakukannya secara rahsia. Hinggalah apabila komunisme menerajui pentadbiran negara itu, Dr Sun Yat Sen berjaya memansuhkan tradisi itu sepenuhnya pada 1930.

Hari ini, wanita berkaki kecil bersaiz tiga inci atau popular dirujuk sebagai 'kuntum teratai tiga inci' masih boleh ditemui hampir di seluruh pelusuk China. Tahun lalu, kajian media tempatan mendapati masih ada 100 wanita berkaki kecil tinggal di Luiyicun, kampung kecil di selatan Wilayah Yunnan. Bulan lalu, wakil media asing menemui enam lagi wanita berkaki kecil di Kampung Tuanshan, di barat daya Wilayah Yunnan. Semua mereka berusia 70 tahun ke atas.

Walaupun hari ini kaki kecil yang berbengkung dilihat sebagai tinggalan peradaban dan kebudayaan masyarakat China, tetapi bagi wanita yang berkaki kecil, jika boleh mereka tidak mahu melakukannya.

Membengkung kaki bermula pada usia muda. Sebaik saja kanak-kanak perempuan mencecah usia lima atau enam tahun, ibu atau nenek sudah mula membengkung kaki mereka.

Kaki kecil dikatakan melengkapkan kesempurnaan seorang wanita.

Bayangkan kesakitan yang ditanggung gadis kecil apabila jari-jari kaki dipatahkan dan dilipat ke bawah tapak kaki. Selepas itu ia dibalut dengan kain sepanjang 10 inci.

Kain pembalut yang panjang menyebabkan anak-anak kecil ini sukar membasuh kaki. Kerana kesukaran itu, mereka hanya membasuh kaki sekali dalam dua minggu menyebabkan baunya sangat busuk. Malah bau busuk juga terjadi kerana tiada darah yang dapat mengalir ke kawasan itu. Ia menyebabkan kematian tisu dan tulang (necrosis). Apatah lagi kaki yang dibengkung perlu diketatkan dari semasa ke semasa.

Walaupun menyakitkan dan busuk, apabila dilakukan secara kerap ia tidak lagi menjadi persoalan. Apatah lagi tulang kanak-kanak masih lembut dan mudah dimanipulasi. Malah ia sudah menjadi kebiasaan hinggakan kaki yang dilipat bertahun-tahun akan menjadi sangat sakit jika cuba dibentuk semula seperti asal.

Ada juga keluarga yang bertindak ekstrem dalam mendapatkan bentuk yang kecil dan cantik. Mereka memasukkan pecahan porselin dalam balutan kaki untuk menyiat daging. Tindakan ini bagaimanapun ada kalanya menyebabkan kaki menjadi luka, bernanah dan akhirnya terpaksa dipotong.

GAMBAR (kiri): Empat jari kaki yang dilipat dan sukar di bentuk semula. (kanan) Saiz kaki sebesar kotak rokok.

Bagaimanapun semua kesakitan dan kepayahan itu tidak dipedulikan untuk meraih darjat. Di zaman feudalisme yang mementingkan status, membengkung kaki adalah satu-satunya lesen untuk wanita golongan bawahan melompat status. Ia peluang besar untuk mereka berkahwin dengan golongan kaya.

Kaki berbengkung dilihat sebagai simbol kecantikan, kemurnian dan sopan santun. Ia juga menjanjikan jodoh yang baik buat si gadis.

Dalam sejarah masyarakat China dicatatkan, ibu mentua memilih calon menantu melalui kasut. Kaki kecil simbol kepatuhan kepada keluarga suami manakala tenunan dan sulaman pada kasut adalah lambang kerajinan si gadis.

Bagaimanapun di kalangan lelaki golongan diraja dan aristokrat yang menyimpan gundik, kaki yang dibengkung sebenarnya mekanisme untuk menghalang si gundik lari daripada mereka! Malah di kalangan lelaki waktu itu tidak dinafikan kaki yang berbengkung sebenarnya lambang erotik dan seksualiti.

Kaki yang berbengkung bermaksud si gadis tidak boleh bergerak secara sempurna. Manakala di kalangan gundik, dengan kaki yang kecil dan tarian yang lemah gemalai kerana kurang keseimbangan, ia disifatkan sebagai 'keayuan'.

Kaki yang berbengkung dilihat sebagai bahagian tubuh paling indah dalam anatomi wanita. Apatah lagi apabila memakai kasut cantik buatan sendiri bermanik dan berloceng.

Tradisi membengkung kaki dikatakan bermula pada Dinasti Sung. Walaupun awalnya ia diamalkan di kalangan golongan diraja dan aristokrat, ia menjadi amalan hampir semua masyarakat ketika itu. Lelaki hanya akan memilih wanita berkaki kecil sebagai isteri.

Bagi wanita yang mengahwini golongan bangsawan atau menjadi perempuan simpanan, berkaki kecil mungkin satu kelebihan. Mereka tidak perlu membuat kerja rumah dan hanya melayan maharaja. Malangnya, bagi kebanyakan wanita lain di kampung yang hanya berkahwin dengan golongan kebanyakan, mereka masih perlu kerja di ladang. Justeru, bayangkan azabnya dengan saiz kaki yang tidak seimbang dan terpaksa juga mengendong anak di belakang.

Kaki kecil dianggap simbol erotik, seksualiti

Permulaan tradisi membengkung kaki sebenarnya penuh kontroversi dan ada pelbagai versi mengenai asal usulnya. Antara versi popular adalah tradisi ini dikatakan bermula ketika Dinasti Sung. Seorang maharaja dinasti itu dikatakan jatuh cinta dengan gundik berkaki kecil.

Gundik itu membalut kaki kecilnya dengan sutera cina. Apabila dia menari, pergerakan tarian yang lemah gemalai dan terhad kerana ketidakseimbangan antara tubuh dan saiz kakinya. Namun, pergerakan itu disifatkan maharaja sebagai 'lemah gemalai'. Sejak itu, semua wanita sempurna diwajibkan membengkung kaki.

Satu lagi versi mengatakan ia bermula apabila seorang anak gadis maharaja Dinasti Sung lahir dengan kecacatan pada kakinya. Kecacatan itu ditutup dengan membalutnya dengan sutera. Justeru bagi mengelak malu, si maharaja mengisytiharkan hanya wanita berkaki kecil bersaiz tiga inci paling ideal untuk diperisterikan.

Zaman feudalisme di China juga menyaksikan kedudukan wanita yang sangat rendah berbanding lelaki. Wanita dilihat sebagai pelengkap kehidupan lelaki. Wanita tidak dibenarkan keluar rumah, patuh pada bapa dan abangnya, suami, selepas berkahwin dan anak lelaki jika dia janda. Malah, ketika itu masyarakat berpendapat tidak bijak memberi pendidikan pada wanita.

Justeru, tradisi membengkung kaki dilihat sebagai cara untuk mengawal wanita dan mengawal moralnya.

Tradisi itu kekal dalam budaya masyarakat China hingga abad 20. Pemimpin Manchu dari Dinasti Qing, bagaimanapun tidak mengekalkan budaya ini tetapi tidak berjaya juga untuk menghentikannya. Ketidakupayaan itu sekali lagi dikaitkan dengan simbol kaki kecil tiga inci itu sendiri - erotik dan seksualiti.

Pada akhir 1800, pengaruh barat dan kemodenan menyedarkan masyarakat mengenai kezaliman tradisi membengkung kaki. Golongan feminisme antara mereka yang kuat menentang amalan ini. Antara penggerak penentangan ini adalah Dr Sun Yat Sen yang akhirnya menyaksikan tradisi membengkung kaki diharamkan sepenuhnya di China.

INFO: Bengkung kaki

  • Amalan membengkung kaki dipercayai bermula pada zaman Dinasti Sung
  • Ia dilakukan sebaik saja kanak-kanak perempuan mencecah usia lima atau enam tahun
  • Kaki akan direndam dalam rebusan suam campuran herba dan darah haiwan. Jari kaki akan dipatahkan kecuali ibu jari dan dilipat ke bawah tapak kaki
  • Ia dibalut dengan kain sutera atau kapas yang basah berukuran kira-kira tiga meter dan lima sentimeter lebar
  • Ritual itu akan diulang setiap dua hari dengan kain pembalut yang baru
  • Selepas dilakukan berulang-ulang, kanak-kanak ini tidak lagi berasa sakit dan kaki hanya akan dicuci setiap dua minggu.
  • Kaki yang dibengkung mesti mencapai ukuran enam sentimeter bagi golongan aristokrat dan 12.7 sentimeter untuk masyarakat bawahan.
  • Amalan penindasan ini diharamkan sepenuhnya pada 1930 selepas komunisme menerajui China.

Butiran selanjutnya ...

Khamis, Ogos 07, 2008

Malaikat, Haiwan dan Manusia

Renungan 1

Malaikat: diberi kepadanya akal, tidak diberi nafsu.

Haiwan: diberi nafsu, tidak diberi kepadanya akal.

Manusia: diberi kepadanya akal dan diberi kepadanya nafsu.

Kalau akal manusia dapat mengalahkan nafsunya, maka naiklah manusia ke darjat malaikat, bahkan melebihi malaikat jika dia kuat beramal ibadat kepada Allah. Tetapi jika dia tunduk kepada nafsunya, maka turunlah dia kepada darjat haiwan.

Untuk mengatasi nafsu:
  1. hendaklah melawan nafsu dari bertindak semua-muanya
  2. hendaklah memberati dengan beban ibadat yang banyak.
  3. Hendaklah memohon bantuan Allah, minta diselamatkan dari bahaya nafsu
    angkara jahanam yang mencabar.
  4. Minta diteguhkan iman dan taqwa, supaya dapat melawan nafsu.

Renungan 2

Bersedekah

  • Bersedekah menutup 10 pintu kejahatan
  • ..menolak bala dan memanjangkan umur.
  • ..harta yang halal akan diampunkan dosanya, dilepaskan dari neraka dan masuk ke syurga

* Bersedekahlah dengan sebaik-baik barang yang ada pada kita

  • Jangan kamu menolak orang yang mula-mula meminta padamu itu kerana kadang-kadang datang kepadamu itu bukan manusia ……..

Sedekah ada 10 kepujian – 5 di dunia dan 5 di akhirat

5 DI DUNIA

  • MENCUCIKAN HARTA
  • MENCUCIKAN BADANNYA
  • MENOLAK BALA DAN PENYAKIT
  • MENGGEMBIRAKAN ORANG MISKIN DAN MENGGEMBIRAKAN ORANG MUKMIN (AMALAN YANG SANGAT MULIA)
  • BERKAT HARTANYA DAN DILUASKAN ALLAH REZEKINYA

5 DI AKHIRAT

  • dinaungkan dia dari panas akhirat
  • ringan hisabnya
  • berat timbangan amalannya
  • mudah melalui titian siratulmustakim
  • bertambah darjatnya di dalam syurga.

Renungan 3

Mengapa Amal Ibadat Kita Ditolak?????

Walaupun amalan yang dibuat begitu banyak dan tekun namun…..malaikat yang menjaga pintu-pintu langit akan menolak amalan kita atas arahan yang diberikan kepadanya.

  1. Di langit pertama: amalan orang yang suka mengumpat akan dihempaskan
    ke mukanya.
  2. Di langit ke dua: amalan orang yang bermegah dengan kebendaan akan
    dipukulkan semula ke mukanya.
  3. Di langit ketiga: amalan orang yang takabbur akan dipukulkan ke mukanya
  4. Di langit keempat: amalan orang yang 'ujub (merasa bangga kerana banyak
    amalan hingga menghairankan dirinya) akan dipukulkan amalannya ke belakang dan perutnya
  5. Di langit kelima: amalan orang yang hasad dengki akan dipukulkan ke mukanya semula.
  6. Di langit keenam: amalan orang yang tidak bersifat rahim ( cth mentertawakan orang yang dalam kesusahan) akan dipalukan ke muka tuannya.
  7. Di langit ketujuh: amalan orang yang ria' akan dipalukan amalannya ke muka dan segala anggota badannya dan…….
  8. Di langit kelapan: amalan orang yang tidak benar-benar ikhlas akan dilaknati oleh Allah………

…..petikan Fazilat Rejab, Syaaban dan Ramadan oleh Bubiman Radzi…..…..

PERHATIAN!! PERHATIAN!! PERHATIAN!!

  1. 5 perkara racun dan 5 perkara penawar:
    1. Dunia itu racunnya dan zahid itu ubatnya
    2. Harta itu racunnya dan zakat itu ubatnya
    3. Perkataan yang sia-sia itu racunnya dan zikir Allah itu ubatnya.
    4. Seluruh umur itu racunnya dan taat itu ubatnya.
    5. Seluruh tahun itu racunnya dan Ramadan itu ubatnya.
  1. Sabda Nabi S.A.W: akan datang kasih mereka 5 perkara dan lupa mereka 5 perkara:
    1. Kasih mereka kepada hidup – lupa mereka kepada mati
    2. Kasih mereka kepada harta – lupa mereka kepada hisab
    3. Kasih mereka kepada mahligai – lupa mereka kepada kubur
    4. Kasih mereka kepada dunia – lupa mereka kepada akhirat
    5. Kasih mereka kepada makhluk - lupa mereka kepada Allah.
  1. Apabila hampir mati seseorang hamba Allah maka terbahagilah dia kepada lima bahagi:
    1. hartanya untuk warisnya.
    2. Nyawanya untuk Malaikal Maut
    3. dagingnya untuk ulat-ulat
    4. tulangnya untuk tanah
    5. amalan dan kebajikannya untuk orang yang dianiayainya

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, Ogos 01, 2008

Tugas IMAM

Orang yang menjadi Imam mempunyai beberapa tugas sebelum solat, begitu pula dalam bacaannya dan pada rukun-rukunnya dan seterusnya sesudah memberi salam. Tidak boleh menjadi imam jika sekalian makmumnya membencinya atau tiada bersetuju dengannya. Jangan ke depan juga kalau di belakang ada orang yang lebih faqih' daripadanya, kecuali jika orang itu enggan ke depan, ketika itu bolehlah dia menjadi Imam. Dalam hal ini, makruh masing-masing tolak menolak untuk menjadi Imam.


Menjaga waktu-waktu solat dengan menunaikan tiap-tiap solat pada permulaan waktunya, agar diperolehi keredhaan Allah Ta'ala. Permulaan waktu itu diutamakan dari pengakhirannya samalah seperti mengutamakan kehidupan akhirat dan penghidupan dunia ini. Imam tiada harus melewatkan solat kerana mengganggu orang ramai datang, melainkan hendaklah ia melekaskannya agar memperoleh keutamaan permulaan waktu, kerana yang demikian itu adalah lebih afdal daripada ramainya orang yang berjemaah (tetapi lambat), dan daripada bacaan surah-surah yang panjang.


Pernah Rasulullah SAW terlambat daripada menunaikan solat fajar (subuh) dalam salah satu pelayarannya; iaitu kerana sebab taharah (pensucian) dan baginda tiada menunggu, malah disuruhnya Abdul Rahman bin Auf untuk menjadi Imam pada solat itu, kemudian baginda menjadi makmumnya, padahal Imam sudah masuk pada rakaat kedua, lalu baginda bangun mencukupkan satu rakaat lagi kerana terlambat itu. Para sahabat merasa kasihan kerana berlakunya hal itu, tetapi Rasulullah SAW pun bersabda: Kamu telah membuat yang betul. Begitulah hendaknya selalu kamu lakukan.


Sekali peristiwa, Rasulullah SAW sedang sibuk mendamaikan antara sesuatu kaum, sehingga terpaksa lambat untuk menunaikan solat zohor. Para sahabat telah menunjukkan Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. untuk menjadi Imam. Kemudian Rasulullah pun tiba, sedangkan Abu Bakar di pertengahan solatnya, lalu baginda pun berdiri di sebelahnya.


Dalam menunaikan solat, Imam tidak perlu menunggu kedatangan muazzin, tetapi muazzin seharusnya menunggu kedatangan Imam, jika terlambat. Bila menjadi Imam, hendaklah ia berikhlas semata-mata terhadap Allah azzawajalla, sebagai seorang yang menunaikan amanat Allah dalam taharahnya dan semua syarat-syarat solatnya. Berikhlas, ertinya: jangan ia mengambil upah dari sebab menjadi Imam itu. Manakala pengertian amanat di sini, ialah pensucian kebatinan dari segala rupa kefasikkan dan ketakabburan ataupun tidak selalu melakukan dosa-dosa yang kecil. Orang yang menjadi Imam itu, hendaklah menjauhkan diri dari segala macam keaiban ini dengan penuh kesungguhan. Sebab tugas Imam itu seperti utusan atau penjamin bagi orang ramai, maka oleh itu hendaklah ia menjadi sebaik-baik manusia.


Syaikh Ibnu Taimiah r.a. berkata: Apa yang diterima dari Baitul-Mal itu bukanlah upah atau gaji, tetapi ia semacam rezeki untuk menolong mendirikan ketaatan. Begitu pula dengan harta yang diwakafkan ke atas pekerjaan-pekerjaan baik, atau harta yang diwaksiatkan atau dinazarkan untuk tujuan-tujuan kebajikan, bukanlah dikira upah atau gaji. Al-Haritsi pula berkata: orang yang menghukumkan terlarangnya mengambil upah atau jenis pekerjaan untuk kebajikan tiada melarang mengambil upah itu dari harta yang diwakafkan untuk tujuan ini.


Demikian pula dengan pensucian kelahiran, iaitu dari segala rupa hadas dan kotoran, sebab mengenai perkara ini tiada seorang yang lebih mengetahui, melainkan dirinya sendiri. Jika sekiranya ia teringat berlaku hadas sedangkan ia di pertengahan solat, ataupun terkentut dalam masa solat itu, maka hendaklah ia jangan merasa malu, bahkan hendaklah ia memegang tangan seorang yang berdekatan dengannya seraya mengisyaratkan untuk menggantikannya.


Sebelum mengangkat takbiratul-ihram, hendaklah ia memeriksa semua saf-saf supaya rata. Mula-mula ia menoleh ke kanan kemudian ke kiri, kalau ada saf yang jarang diperintah untuk dirapat dan diluruskannya.


Ada yang mengatakan meluruskan saf itu, hingga bahu dengan bahu beriringan dan buku lali bersentuhan. Hendaklah ia tidak bertakbir, melainkan sesudah selesai muazzin dari iqamah. Muazzin pula seharusnya melambatkan iqamah dari azan, sekadar masa orang ramai dapat menyediakan diri untuk bersolat.


Keutamaan saf pertama


Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah manusia itu tahu keutamaan azan dan saf pertama, tetapi mereka tidak boleh mendapatkannya melainkan dengan jalan diundi, nescaya mahulah mereka diundi. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan segera pergi solat nescaya mereka akan berlumba-lumba ke sana dan kalaulah mereka tahu keutamaan solat 'Isya dan Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun mereka akan merangkak." (Hadis Sahih Muslim) (Bab - Solat No Hadis - 390)


Dari Sa'id Al Khudri r.a katanya: "Rasulullah pernah memerhatikan para sahabatnya yang suka berada di saf belakang. Lalu baginda bersabda kepada mereka: "Majulah ke depan dan ikutilah aku supaya orang yang di belakangmu dapat pula mengikutmu. Memang ada saja orang-orang yang suka di belakang-belakang, sehingga Allah membelakangkan mereka benar-benar." (Hadis Sahih Muslim) (Bab - Solat No Hadis - 391)


Imam hendaklah menyaringkan suaranya ketika melafazkan takbiratul-ihram, dan seterusnya kepada semua takbir-takbir yang lain. Makmum pula jangan sampai menyaringkan suaranya lebih daripada kadar untuk mendengarkan dirinya saja, dan takbirnya hendaklah sesudah selesai takbir Imamnya, baru dia bertakbir pula.

Adapun tugas bacaan dalam solat ialah tiga macam:

Pertama: Membaca doa Iftitah dan ta'awwudz dengan sirr atau tiada menyaringkan suara, seperti seorang yang bersolat sendiri. Dan baca dengan jahar atau mengangkat suara pada Fatihah dan satu surah sesudahnya pada solat subuh dan dua rakaat yang pertama dari isya', dan maghrib; ini termasuk solat orang perseorangan juga. Membaca jahar perkataan Amiin pada solat-solat jahriah (yang dinyaringkan suara - iaitu subuh, maghrib dan ishak', dan Jumaat) bersama-sama makmum, dan bacaan makmum itu mestilah menyertai Amiin Imamnya serentak bukannya sesudah itu.

Kedua: Hendaklah Imam dalam berdirinya menjaga tiga pemberhentian (berdiam sebentar).

(1) Sesudah melafazkan takbiratul-ihram.

(2) Sesudah membaca Fatihah

(3) Sesudah membaca surah dan sebelum ruku'.

Berdiam itu sebentar saja sekadar untuk memisahkan antara takbiratul-ihram dengan bacaan Fatihah, sebab ada larangan untuk bercepat-cepat di situ. Jangan hendaknya orang yang menjadi makmum itu membaca apa-apa di belakang Imamnya selain dari Fatihah saja. Tetapi kiranya makmum tiada mendengar bacaan imamnya dalam solat-solat jahriah , kerana berada terlalu jauh daripadanya, ataupun kerana solat-solat itu sirriyah, (yang tidak dinyaringkan - iaitu pada zohor dan asar) maka bolehlah makmum membaca surah sendiri di dalam solat itu.

Ketiga: Meringankan solat itu adalah lebih baik, terutama sekali bila jamaah makmumnya ramai sekali, kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

“Apabila seseorang kamu bersolat dengan orang ramai, maka hendaklah meringankan solat , sebab di antara mereka itu ada yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai keperluan. Tetapi jika ia bersolat sendirian, bolehlah ia memanjangkannya menurut kehendaknya.”

Berkata Rasulullah SAW kepada Mu'as pula, “Bacalah surah-surah Sabbihisma rabikal a'laa, Wassamaa'i-Waththaariq atau Wasysyamsi-Wadhuhaaha.”

Adapun tugas-tugas rukun dalam solat ada tiga macam:

Pertama: Hendaklah ia meringankan ruku' dan sujud, jangan ia membaca lebih daripada tiga tasbih saja.

Kedua: Makmum jangan pula melumbai atau mendahului Imamnya dalam ruku' atau sujud, malah hendaklah ia menunggu dan tidak bersujud melainkan sesudah sampai dahi Imam ke tanah.

Begitulah ketika ruku', makmum tiada ruku' melainkan setelah Imam lurus di dalam ruku'nya.

Ketiga: Tidak menambah dalam doa tasyahhud lebih dari doa yang sudah ditentukan, sebab dikhuatirkan menjadi panjang. Dan janganlah ia menentukan doa itu bagi dirinya saja, bahkan digunakan shighatul jam'i (pengertian untuk ramai) supaya doa itu umum untuk ramai. Misalnya dia berkata; “Wahai Tuhan, ampunilah kami sekalian.”

Dan tugas mengakhiri solat ada tiga pula:

Pertama: Ketika memberi kedua-dua salam itu, hendaklah ia meniatkan memberi salam kepada semua orang yang berada di situ dan juga para Malaikat.

Kedua: Hendaklah ia menetap di tempatnya sesudah memberi salam, terutama sekali jika ada makmum-makmum wanita di belakangnya. Dia tiada bergerak dari tempatnya dulu, sehingga sekalian makmum-makmum wanita sudah beredar dari situ.

Ketiga: Jika dia duduk sesudah solat, hendaklah ia berhadapan dengan orang ramai.

Keutamaan Jumaat dan adabnya

Ketahuilah bahawa hari Jumaat itu adalah hari yang dibesarkan oleh Islam dan dikhususkan bagi umatnya, kaum Muslimin. Allah berfirman; “Apabila dipanggil untuk bersolat pada hari Jumaat, hendaklah berusaha berzikir kepada Allah dan tinggalkanlah berjual-beli.” (Surah al-Jumu'ah, ayat 9)

Allah telah melarang bekerja atau berusaha pada saat itu untuk kepentingan dunia, atau untuk sesuatu perkara yang boleh menyebabkan manusia terhindar dari melakukan solat Jumaat. Rasulullah SAW telah bersabda, “Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya ialah hari Jumaat.” Sabda baginda lagi; “Barangsiapa meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur (sebab), Allah akan menutup mata hatinya.”

Keuzuran Jumaat ialah seperti hujan lebat, terlalu lecak, kerana ketakutan, atau kerana sakit, atau menjaga orang yang sakit kiranya si sakit memerlukan penjagaan, dan usur-usur yang lain lagi.

Disunatkan mandi pada hari itu, walaupun sudah hampir waktu solat, supaya kebersihannya lebih dekat dengan waktu melakukan solat itu. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan sebaik-baik pakaian. Disunatkan juga menyegerakan pemergian ke masjid jami'. Dalam perjalanannya ke sana, hendaklah ia dalam keadaan khusyu', merendah diri, menyegerakan kepergiannya bila sudah terdengar azan menyeru solat Jumaat. Bila dalam masjid, janganlah ia melangkah-melangkah kepala orang.

Tetapi jika saf awal masih ada yang kosong, tidak dipenuhi oleh orang-orang yang telah hadir, maka tiadalah dilarang baginya untuk melangkah menuju ke sana sebab mereka itu telah mencuaikan saf-saf mereka dan telah mengabaikan tempat-tempat yang diutamakan. Berkata al-Hassan al-Basri r.a., “Tiada mengapalah untuk melangkah orang-orang yang duduk di pintu-pintu masjid pada hari Jumaat, kerana yang demikian itu tiada haram.”

Apabila masuk masjid, hendaklah ia solat dua rakaat, walaupun ketika itu Imam sedang berkhutbah, janganlah hendaknya ia berjalan di celah-celah orang ramai, malah cukuplah ia duduk di tiang yang terdekat dengannya, ataupun di tembok di situ agar orang ramai tiada melalui di hadapannya ketika ia bersolat nanti, sebab yang demikian itu adalah amat dilarang. Kalau ada orang yang melalui di hadapannya, hendaklah ia menolaknya. Jika ia tiada mendapati tiang, maka hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu barang sejarak satu hasta untuk menjadikan tanda batasan baginya.

Mendapatkan saf awal itu adalah digalakkan sekali, atau duduk berdekatan dengan mimbar Khatib, supaya ia boleh mendengar ucapannya dengan jelas. Dimakruhkan pula bersolat di pasar, ataupun di bahagian luar dari masjid. Bila Khatib Jum'at keluar, hendaklah segera ia memberhentikan pembicaraan, dan terus menjawab azan tukang bang, kemudian mendengar pula khutbah seluruhnya dengan penuh perhatian.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Siapa yang berkata kepada temannya sedangkan Imam masih berkhutbah: Diamlah! Maka dia telah lalai, dan barangsiapa yang lalai pada waktu Imam sedang berkhutbah, maka tiada Jumaat baginya.”

Ini menunjukkan bahawa untuk mendiamkan orang yang berkata-kata ketika Imam sedang berkhutbah, haruslah dilakukan dengan isyarat atau dengan melemparkan batu, tidak boleh dengan ucapan.

Setelah selesai solat Jumaat, kembalilah ia kepada urusannya seraya mengingatkan Allah azzawajalla, memikirkan kebesaran-Nya. Mensyukuri-Nya atas taufiq-Nya, serta merasakan ketakutan kiranya ia telah melakukan sesuatu yang tiada layak.

Rasulullah SAW sendiri sering bersolat dua rakaat lagi dirumahnya sesudah solat Jumaat. Disunnatkan juga memperbanyak salawat ke atas Rasulullah SAW pada hari itu dan pada malamnya. Sayugialah ia memberikan sedekah pula kepada orang-orang yang berhajat, kecuali kepada orang yang meminta-minta dalam masjid pada masa Imam sedang membaca khuthabnya.

Berkata Ibnu Mas'ud: Apabila seseorang itu meminta-minta di dalam masjid, maka sepatutnyalah dia tiada diberi. Yakni, peminta-peminta sedekah di dalam masjid yang melangkah-langkah kepala orang ramai tidak sepatut diberi sedekah. Tetapi kiranya ia meminta dalam berdiri atau duduk di tempatnya, tampatnya, tanpa melangkah-langkah kepala orang ramai, maka bolehlah ia diberikan sedekah itu.

Setengah para Salaf pula tiada memandang wajar membeli air minum di dalam masjid dari tukang jual air untuk diminum, atau dibahagi-bahagikannya kepada orang ramai sebagai sedekah, agar tiada berlaku penjualan di dalam masjid, kerana jual-beli di dalam masjid itu adalah makruh hukumnya. Kata mereka, “Tiada mengapa kiranya dia membayar harganya di luar masjid untuk diminum, atau dibahagi-bahagikan kemudiannya di dalam masjid.”

Sebaik-baiknya juga, seseorang itu menambah amalan-amalan baik pada hari Jumaat, kerana Allah SWT jika mengasihi seseorang hamba didorongkannya untuk membuat amalan-amalan yang baik dalam waktu-waktu yang baik pula.

Sumber: http://www.waktusolat.net/

Butiran selanjutnya ...

Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut


yaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadis Rasulullah SAW menerangkan yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”

Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2

Akan datang Iblis kepada orang yang di dalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang ditakuti seperti, harimau, singa, ular dan kala yang berbisa. Maka apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 3

Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4

Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya.

Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”

Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulama-ulama yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?”

Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.”

Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.”

Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena.

Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.”

Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Berkata Iblis: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.”

Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.”

Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini, Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.

Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Bersesuaian dengan sebuah hadis yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: 'Laailaahaillallaah' .”

Sumber : DarulNu’man

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails