PAGE

Jumaat, Oktober 10, 2008

Menyingkirkan panas

Khasiat yang terkandung pada teratai menyebabkan ia telah lama menjadi sebahagian bahan dalam masakan orang Cina dan Jepun.

UBI teratai biasanya diambil dalam bentuk diet sup selain dijadikan kuih atau tepung.

Tumbuhan akuatik ini sangat unik. Tiada tumbuhan lain sepertinya. Hidup di dalam air, memekarkan kuntuman bunga yang indah, tetapi kebaikannya bukan sekadar menawarkan suasana romantik bagi pasangan bercinta. Atau simbol kepada kesucian atau digunakan dalam ritual keagamaan.

Ada yang lebih senang memanggilnya lotus dan ada pula yang menggelarnya teratai. Tetapi yang pasti apa jua panggilan anda untuk tumbuhan daripada famili nymphaeaceae, ia sebenarnya menawarkan khasiat perubatan dan kesihatan yang sangat besar.

Daripada daun, bunga dan biji teratai, semuanya mempunyai khasiat tersendiri. Tetapi bahagian rahsianya yang menawarkan khasiat yang lebih pelbagai terletak pada rizom atau ubinya.

Menurut Ong Hean Chooi dalam bukunya Vegetables for Health and Health, rizom segar lotus mengandungi 80 hingga 85 peratus air, 10 hingga 12 peratus karbohidrat, dua hingga tiga peratus protein, 0.5 hingga satu peratus fiber, asid askorbik, riboflavin, kalsium dan thiamine.

Walaupun teratai dikatakan berasal sama ada dari Timur Tengah atau India, yang jelas, kebaikan teratai menyebabkan populariti tumbuhan akuatik itu tersebar ke seluruh dunia. Orang Jepun dan Cina antara yang sudah sekian lama mengeksploitasi nikmat kesihatan teratai.

Buktinya dalam kebanyakan mereka terutamanya sup, teratai menjadi bahan utama. Malah, kini penggunaan ubi teratai itu dipelbagai termasukkan digoreng, diperap masam atau dijadikan tepung.

Dalam buku Vegetables for Health and Health juga menyatakan, daun teratai baik untuk merawat cirit-birit, pening dan demam manakala bunga teratai baik untuk merawar pendarahan dan impetigo (jangkitan kulit kerana bakteria). Tidak kurang menariknya bunga teratai juga didakwa baik untuk kaum lelaki kerana ia merawat ejakulasi pramatang.

Sementara itu, antara khasiat yang diberikan rizom teratai kepada tubuh termasuklah pendarahan usus, kolera, cirit birit, pendarahan hidung dan demam. Kemampuan teratai merawat beberapa penyakit itu dikaitkan dengan fungsinya yang menghilangkan panas dalam tubuh.

Menurut Dr. Setiawan Dalimartha, sifat khas pada teratai ialah menyejukkan tubuh. "Salah satu kegunaan biji dan rizom teratai ini ialah menghilangkan panas dalam tubuh. Tetapi pengambilannya tidaklah boleh terlalu berlebihan kerana ia tinggi dengan protein," kata Setiawan.

SELAIN memberikan pemandangan yang cantik, teratai menawarkan khasiat kesihatan yang pelbagai kepada tubuh manusia.


PETUA dari teratai

Mengatasi insomnia - Gunakan lima hingga 12 gram biji teratai direndam hingga lembut. Kemudian rebus secukupnya. Minum air bersama biji teratai.

Mengurangkan stress - Gunakan 20 butir biji teratai dan 15 gram longan. Direbus dan diminum.

Merawat demam - Ambil 30 gram ubi teratai, 15 gram tebu yang dibuang kulit, sebiji buah pir. Bahan ini dikisar dan diminum.

Merawat cirit-birit - Ambil 50 gram ubi teratai, 10 gram halia. Tambahkan air dan kisarkan. Didihkan jus ini dan tambah sedikit madu.

Sumber: Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...