“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Khamis, Oktober 23, 2008

Rawatan bagi wanita putus haid

Oleh Shukri Matt Ali (bhnita@bharian.com.my)

Kajian terkini buktikan terapi penggantian hormon selamat bagi wanita baru menopaus

PADA 2002, ramai wanita dan juga pengamal perubatan mengelak daripada penggunaan terapi penggantian hormon (HRT) apabila laporan Kajian Kesihatan Wanita di Amerika Syarikat menyifatkan rawatan itu mungkin membahayakan wanita yang sudah lama putus haid atau menopaus. Bagaimanapun, satu kumpulan pakar antarabangsa membuat kesimpulan bahawa bagi wanita yang berada pada tahap awal menopaus, terapi penggantian hormon (HRT) dapat memberikan kelegaan dan selamat, malah wanita terbabit memperoleh manfaat tambahan seperti peningkatan kekuatan tulang.

Kesimpulan itu dikemukan pada sidang kemuncak Pertubuhan Menopaus Antarabangsa yang pertama mengenai isu-isu berkaitan menopaus, baru-baru ini.

"Wanita sihat yang berada di ambang menopaus tidak perlu takut menggunakan HRT," kata Dr Roger Lobo, profesor obstetrik dan ginekologi di Columbia University, New York City, yang juga antara pengarang laporan mengenai HRT dan menopaus yang dikemukakan dalam sidang kemuncak itu.

Laporan berkenaan turut disokong ketua bahagian kesihatan wanita di Pusat Perubatan Universiti Pittsburgh dan juga profesor perubatan, obstetrik dan ginekologi di pusat sama, Dr Melissa McNeil.

“Wanita perlu tahu bahawa terapi hormon ketika peringkat awal menopaus adalah selamat dan cara paling efektif untuk mengurus transisi menopaus," katanya.

Kedua-dua pakar itu memberi reaksi yang menyanggah keputusan laporan Kajian Kesihatan Wanita 2002. Antara lain, laporan itu menyatakan bahawa penggunaan HRT meningkatkan risiko barah payu dara terhadap diri pengguna dan yang lebih mengejutkan, risiko penyakit jantung.

Menurut laporan itu lagi, wanita yang lebih tua dinasihati agar segera menghentikan pengambilan hormon, malahan wanita yang baru memasuki peringkat menopaus dinasihatkan agar tidak menggunakan HRT.

Bagaimanapun, 'kecacatan' laporan itu dapat dibuktikan apabila kedua-dua profesor itu mendapati wanita yang terbabit dalam kajian 2002 itu adalah mereka yang sudah putus haid selama 10 tahun ketika mula mengambil HRT.

Selain itu, satu pertiga daripada jumlah responden itu mempunyai masalah obesiti, lebih satu pertiga pula mempunyai darah tinggi, dan lebih separuh daripadanya sama ada perokok atau bekas perokok. Semua faktor itu dengan sendirinya meningkatkan risiko penyakit jantung.

Bagi menilai kesan HRT di kalangan wanita muda, lebih 40 pakar seluruh dunia mengkaji semula data yang diperoleh itu mengenai keselamatan dan keberkesanan HRT dengan memberi tumpuan kepada empat bahagian utama iaitu kesihatan kardiovaskular, isu payu dara, kesihatan tulang dan kognisi.

Penyelidik merasakan peningkatan risiko barah payu dara akibat terapi hormon adalah kecil, terutama apabila dibandingkan dengan faktor risiko yang lain, seperti obesiti (kegemukan).

Begitu pun, laporan terbaru itu turut menyatakan wanita yang tidak dibenarkan mengambil HRT ialah mereka yang sudah mempunyai penyakit jantung, barah payu dara dan ketulan darah beku dalam kepala.

Prof McNeil berkata, beliau tidak menyarankan HRT bagi wanita yang mempunyai faktor berganda risiko penyakit jantung, seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau perokok.

"Wanita yang sihat, tetapi mempunyai simptom seperti masalah kekeringan pada faraj dan sedang melangkah ke peringkat menopaus, akan memperoleh beberapa faedah terhadap kualiti kehidupan mereka daripada HRT," katanya.

Antara kesan perlindungan itu dapat dilihat pada kesihatan tulang dan risiko kardiovaskular sebagai faedah tambahan bagi mereka yang menggunakan hormon bagi tujuan kelegaan simptom.

"Dalam tempoh lima tahun pertama terapi, tiada sebarang peningkatan risiko barah payu dara dan bagi pesakit yang mempunyai tahap risiko normal, tiada peningkatan risiko penyakit kardiovaskular. Jadi, wanita akan berasa lebih selesa kerana simptom mereka dapat diuruskan dengan berkesan," katanya.

INFO

Hasil penemuan yang dibentangkan di Kongres Menopaus Sedunia di Madrid, Sepanyol:


  • Percampuran estrogen dan progesteron tidak meningkatkan risiko penyakit jantung bagi wanita berusia 50 hingga 59 tahun.

  • Terapi estrogen semata-mata mengurangkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita berusia antara 50 dan 59 tahun.

  • Terapi penggantian hormon membantu mengekalkan kesihatan tulang.

  • Terapi hormon juga mungkin membantu mencegah penurunan daya kognitif dalam kumpulan umur antara 50 hingga 59 tahun.

  • Penggunaan bercampur estrogen dan progesteron mungkin meningkatkan risiko barah payu dara selepas lima tahun menggunakannya; terapi estrogen semata-mata tidak membawa peningkatan risiko barah payu dara selepas sekurang-kurangnya tujuh tahun menggunakannya.

  • Sumber: BHarianOnLine 23/10/2008

    0 KOMEN:

    Catat Ulasan

    Kongsikan komen anda di sini...

    Related Posts with Thumbnails