PAGE

Ahad, Mac 22, 2009

MUSYKiL: Ketaatan yang dituntut/wajib


Assalamualaikum warahmatullah,

Beberapa hari yang lepas dalam grup yang saya sertai, hangat dibincangkan ketaatan yang diwajibkan ke atas isteri kepada suaminya. Rata-rata maklumbalas dari kaum lelaki memang menuntut taat yang tidak berbelah bagi tanpa kompromi, tetapi kaum wanita pula ada alasan masing-masing untuk tidak taat kepada sesetengah perkara yang masih boleh dibangkang. Jelas, ini bertentangan dengan firman Allah SWT, mafhumnya, “…Dan para wanita mempunyai
hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya….” (QS 2:228)

INGAT, tidak taat tidak bermakna rasa hormat kepada suami terhakis begitu saja. Saya telah mengumpulkan beberapa persoalan yang menyinggah hati dan telahpun mengirimkan email berkenaan kemusykilan saya ini kepada beberapa individu yang saya fikir layak untuk dirujuk. Berikut isi kandungan email yang saya kirimkan.

Assalamualaikum wbt,

Saya mohon maaf jika kehadiran email ini mengganggu dan menambahkan lagi kesibukan tuan/puan. Oleh kerana kemusykilan ini sangat mengganggu hati yang selalu ditenggek syaitan, maka saya gagahkan juga menulis email ini kepada yang arif, agar mendapat sedikit pencerahan tentang kemuskilan ini. Jika tuan/puan dapat meluangkan masa menjawap, saya mohon diberitahu jawapannya melalui email/laman web yang boleh saya layari.

Taat isteri boleh dilihat dari hadis-hadis yang banyak diriwayatkan, seperti:
  1. Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
  2. Al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)
  3. Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)
  4. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
  5. Dan banyak lagi....

Tuan/Puan tentu lebih arif tentang hadis-hadis di atas.

Seperti yang kebanyakkan orang sedia maklum, isteri wajib taat kepada suami, selagi kehendak suami tidak melanggar syarak. Begitu banyak hadis Rasulullah SAW yang menuntut ketaatan isteri terhadap suami, maka tidak hairanlah, bukan sedikit lelaki yang mendabik dada menyatakan, "Isteri WAJIB taat kepada suami."

Menggunakan hadis-hadis ini juga, bukan sedikit suami menggunakan sepenuh kuasa memperlakukan isteri sewenang-wenangnya. Dalam kursus perkahwinan pun, kebanyakkannya menekankan isteri wajib itu wajib ini, malangnya tidak ramai yang menekankan tugas/tanggungjawap suami sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

Saya percaya, Allah SWT tidak zalim kepada hamba-Nya, tidak kiralah sama ada pada hambanya yang lelaki ataupun perempuan. Bagi saya, taat kepada suami tidak bermakna taat semata-mata (membabi-buta) atau tiada kompromi langsung. Dalam setiap rumahtangga, suami dan isteri mempunyai hak perkongsian 50-50 (saya masih ingat kata-kata Dr Juanda tentang ini), jadi taat isteri sebenarnya bukanlah secara mutlak/veto tanpa boleh disanggah/bangkang oleh isteri. Saya juga ada mengikuti artikel Pn Suzana tentang ketaatan dalam artikel taatkan-suami-bukan-mutlak dan
Mas kahwin hutang: wajar tak layan suami. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang kurang didedahkan kepada wanita bergelar isteri. Saya harap dapatlah kiranya puan menulis secara lebih terperinci lagi tentang sempadan ketaatan seorang isteri pula.

Menurut Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz pula [artikel
Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak dalam BH 5 Mac 08], seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan, walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri. Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri. Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam. Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Persoalan saya:
  1. Apakah ciri-ciri suami yang LAYAK ditaati?
  2. Jika benar menurut kenyataan Datuk Abu Hasan Din (yang bergaris tulisan merah), maka wujudlah suami yang tidak layak ditaati. Apakah ciri-ciri suami yang TIDAK LAYAK ditaati?
  3. Menurut kenyataan Datuk Abu Hasan Din, suami yang tidak memenuhi hak isteri tidak layak ditaati. Apa pendapat tuan/puan tentang ini?
  4. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Adakah ini bermakna, suami yang melakukan maksiat kepada Allah (seperti tidak menunaikan sembahyang, puasa atau tidak menunaikan tanggungjawap sebagai seorang suami yang sepatutnya dll), tidak boleh ditaati oleh isterinya? Betulkan saya jika saya tersilap tafsir.
  5. Apakah sempadan ketaatan yang wajib bagi seorang isteri seperti yang dinyatakan oleh Datuk Abu Hasan Din?
  6. Dalam QS 4:34, Allah SWT berfirman mafhumnya, “…Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka…”

    Jika dilihat pada seluruh ayat yang sebenarnya bermula dengan menyebutkan bahawa lelaki yang bergelar rajul adalah pelindung wanita disebabkan rajul mempunyai kelebihan di atas wanita disebabkan lelaki rajul membelanjakan dari pendapatannya untuk wanita. Ini bererti bukan sebarang lelaki yang mempunyai kelebihan di atas wanita tetapi lelaki yang mempunyai sedikit kelebihan adalah lelaki yang memberi nafkah kepada wanita (isterinya). Kenyataan ini dirujuk dari entry Kenapa pukul? Kenapa aniaya?. Mengikut fahaman saya, suami yang culas berikan hak isteri, maksudnya yang tidak bertanggungjawab dalam nafkah zahir dan batin, BUKAN seorang rajul. Jika suami BUKAN seorang rajul, layakkah dia ditaati isteri? (updated 16 Jun 2010)


Jika berkesempatan, saya mohon tuan/puan mengulas tentang perkara ini. Terlalu banyak buku-buku ilmiah menuntut ketaatan isteri, tetapi hampir tidak pernah saya jumpa, suami yang bagaimanakah wajib ditaati? Jika ada di pasaran, saya mohon diwar-warkan kepada saya, supaya saya boleh mendapatkannya.

Usaha/masa yang diluangkan oleh tuan/puan sangat-sangat saya hargai, Allah SWT sahaja yang membalasnya.


Jazakallah khairan khatiran.

Saya masih menunggu jawapan daripada individu yang saya tujukan kemusykilan di atas. Setakat ini, saya telah menerima maklum balas daripada Puan Suzana Ghazali, seorang
Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie. Beliau meminta saya merujuk kepada artikel di blog beliau [RESiPi HiDUP - BERSAMA SUZANA] :

1. Layakkah-anda-dihormati-sebagai-suami?
2.
Siapa suami yang layak dihormati?

3. 04/16 - feedback daripada
ustaz Ahmad Baei di entry FiKRAH iSLAMiAH : Suami yang layak ditaati isteri. Jika ada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari blog di atas.

Insya Allah, saya akan update entry ini lagi sekiranya saya telah menerima maklum balas daipada individu yang lain pula.

Semoga ada manafaatnya.

Dikemaskini pada : 16 April, 2009



Capaian entry berkaitan :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...