Assalamualaikum warahmatullah,
Saya kira ini jawapan kepada email [MUSYKiL: Ketaatan yang dituntut/wajib] yang saya kirimkan kepada beberapa orang yang berkelayakkan untuk menjawap kemusykilan yang saya kemukakan.
Jawapan disediakan oleh Ustaz Ahmad Baei di FiKRAH iSLAMiAH.
Ada orang bertanya, mengapa Rasulullah tidak menyatakan secara jelas ciri-ciri lelaki yang seharusnya dipilih oleh bakal isteri. Hadis secara jelas hanya menyebut ciri-ciri wanita yang lazimnya dicari oleh lelaki iaitu yang beragama selain tiga lagi jika perlu.
Kalau lelaki diberi panduan untuk memilih wanita yang baik, mengapa tidak ada panduan untuk wanita bagi mencari suami. Kata mereka, kalau ada panduan sudah pasti isteri tidak tersalah memilih suami pada masa hadapan.
Memang secara jelasnya Rasulullah tidak sebut kerana lazimnya lelaki sahaja yang mencari wanita. Tetapi sebenar kalau wanita benar-benar hendak mencari bakal suami, mereka boleh ikut sepertimana Khadijah memilih suaminya, Rasulullah.
Pada peringkat awalnya Khadijah menghantar perisik untuk melihat peribadinya secara lebih dekat. Perisik yang adil sudah pasti akan membuat laporan yang betul mengenai apa yang dirisikkan itu. Hasilnya dia berjaya berkahwin Muhammad dan ternyata pilihan itu terbaik.
Antara ciri-ciri yang dapat dikesan pada diri Muhammad pada waktu itu ialah:
1. Jujur lalu tidak mengambil kesempatan
2. Amanah dengan tugas
3. Pemalu dengan wanita
4. Beragama lalu takut kepada Allah
5. Boleh menjadi pemimpin.
Percayalah jika suami mempunyai ciri-ciri ini, pasti disenangi oleh isteri, malah saling hormat menghormati sampai bila-bila masa sekalipun pada usia tua. Suami dalam keadaan itu tidak akan melakukan dosa baik sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT.
Walau bagaimanapun, suami yang mempunyai ciri di atas perlu juga mencari wanita yang beragama bagi membentuk rumah tangga yang damai bahagia. Gabungan inilah yang dikatakan serasi ataupun kufu.
Persoalan sekarang, wujudkah lelaki yang memiliki ciri-ciri di atas pada zaman ini? Bolehkah ditemui lelaki sebegini di tepi jalan, di kebun bunga, di pasar dan seumpamanya? Hanya wanita yang agamanya kurang akan bertemu jodoh di tempat-tempat berkenaan dan yang pastinya lelaki itu juga tidak menepati ciri-ciri di atas.
Inilah realiti yang berlaku pada hari ini, pasangan yang berkahwin dalam keadaan itu, bahagianya pada awalnya sahaja tetapi bermasalah pada pertengahan jalan. Malah beberapa kes yang ditemui, pasangan itu tidak pandai atau tidak mahu melakukan solat.
Jelas di sini, selain lelaki yang perlu mencari isteri yang beragama dan beriman selain kecantikan, berharta dan berketurunan baik, wanita juga perlu pandai memilih bakal suami berdasarkan ciri-ciri di atas. Untuk itu, pihak wanita juga perlu ada kumpulan perisik seperti yang dilakukan oleh Khadijah.
Apabila suami isteri sudah mengikut ciri-ciri di atas mereka perlu mengekalkan kedudukan itu sehingga ke akhir hayat. Selain itu suami isteri boleh mengekalkan kebahagiaan yang dicapai dengan berpandukan hadis berikut: Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila dia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Isteri yang baik menurut hadis di atas ialah dia mesti bersedia mempamerkan persembahan yang terbaik untuk suaminya sewaktu di dalam rumah. Maksudnya, apabila suami pulang rumah disambut oleh isteri dengan senyum mesra. Dia menyediakan air minuman kerana kemungkinan suami dahaga. Suami dalam keadaan itu akan senang hati walaupun mungkin terdapat masalah yang dihadapi sebelumnya. Masalah berat yang ditanggungnya dapat hilang apabila dilayan sedemikian rupa.
Selain itu isteri terus memberi ketaatan kepada suami dalam semua keadaan terutama apabila diminta oleh suami. Isteri itu juga tidak akan membantah kehendak suami selagi perkara yang disuruh itu tidak melanggar syariat.
Sungguhpun begitu, perkara yang penting dalam hal ini ialah isteri tidak membuatkan sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Jadi, semua yang hendak dilakukan isteri, dia akan meminta restu dan pandangan suaminya terlebih dahulu.
Tiga perkara asas ini perlu dijaga oleh isteri dalam berhadapan dengan suami sama ada suami yang memenuhi ciri-ciri di atas atau tidak. Mungkin tidak timbul masalah bila berhadapan dengan suami yang baik, tetapi menjadi cabaran besar bila berhadapan dengan suami sebaliknya. Namun jika isteri dapat mendisiplinkan suaminya, itulah kejayaan yang besar buatnya.
Sebagai contoh, suami melarang isterinya solat atau menutup aurat, dia boleh membantah dengan cara baik. Dia tetap solat dan tetap menutup aurat dengan alasan perintah Allah. Lambat laun suami itu akan faham dan dia juga akan turut melakukan solat secara istiqamah selepas itu.
Jadi, bagi mereka yang baru berkahwin dicadangkan supaya mereka saling menyenaraikan apa yang disukai oleh suami dan isteri, juga apa yang tidak disukai kedua-duanya. Dengan cari ini mereka akan berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai pasangannya.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Khamis, April 16, 2009
FiKRAH iSLAMiAH : Suami yang layak ditaati isteri
Susunan :
Bawang Goreng
pada
4/16/2009 02:35:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...