Hak Wanita Dalam Islam
Pada tahun ini, Maulidur Rasul telah disambut pada 9 Mac 2009. Sambutannya pada kali ini lebih istimewa kerana ia telah diraikan sehari selepas Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mac saban tahun.
Sambutan Hari Wanita Sedunia telah dimulakan di Amerika Syarikat pada awal abad ke 20 bagi memperingati kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam perjuangan golongan feminis mendapatkan hak yang saksama kepada wanita dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.
Namun, kedudukan dan hak yang sewajarnya bagi wanita dalam kesemua aspek kehidupan ini sebenarnya telah dijelaskan dalam Islam sejak 14 abad yang lalu. Ad-Deen yang agung ini tidak langsung memandang kepada jantina, warna kulit atau rupa paras dalam hal peribadatan dan ganjaran di akhirat. Semua penganut agama ini dinilai atas dasar pertimbangan yang sama iaitu iman dan amal soleh.
Antaranya telah disebut dalam firman Allah SWT surah An-Nisaa ayat 124 yang bermaksud,
“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”
Allah SWT telah mengiktiraf kelebihan fizikal kaum lelaki lantas meletakkan ke atas bahu mereka tanggungjawab untuk memastikan segala hak kemanusiaan wanita ini disempurnakan dengan sebaik mungkin. Sewajarnya, tugas menjadi pelindung kepada kaum wanita ini dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan keprihatinan oleh golongan Adam bagi menyahut seruan Allah SWT dalam surah An-Nisaa ayat 34 yang bermaksud, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka...”
Nabi Muhammad SAW sendiri telah menegaskan perihal pentingnya kaum wanita dilayan dengan baik serta penuh lemah-lembut dan kasih sayang. Pesanan Rasulullah SAW disabdakan dalam Khutbah Wida’ baginda yang disampaikan di Padang Arafah, pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’:
“…Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia….”
Andai kita menyoroti seerah, maka kita akan mendapati bahawa kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. begitu sarat dengan kisah-kisah dan contoh-contoh bagaimana mereka meledani ahli keluarga mereka dengan begitu baik dan penuh kesabaran. Masing-masing berusaha bersungguh-sungguh agar tiada hak yang diabaikan dan tiada tanggungjawab yang dicuaikan. Kemuncaknya, maka wujudlah suasana damai dan bahagia dalam masyarakat yang hanya dapat dikecapi apabila setiap individu memenuhi tuntutan hak dan tanggungjawab atas dasar mencari keredhaan Allah SWT.
Wanita Dan Dakwah
Satu pesanan yang tidak patut dialpakan adalah perintah Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang mengarahkan para suami agar memastikan isteri-isteri dan ahli keluarga mereka terlindung dari siksaan azab di akhirat, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarnya: Manusia dan batu (berhala)...”
Usaha memelihara ahli keluarga daripada api neraka ini sebenarnya tidak terbatas pada memastikan pelaksanaan ibadat-ibadat khusus sahaja. Masyarakat kini sedang mengalami kemelut keruntuhan akhlak dan kemerosotan nilai kemanusiaan yang begitu meruncing. Tiada individu yang tidak terkena tempias dari kesan ledakan jahiliah moden yang sedang melanda umat.
Lantaran itu, seluruh alam begitu mendambakan limpahan rahmat dari syariah Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi dalam zaman ini yang ketiadaan khilafah Islam dan syariat Islam yang dipinggirkan, maka tuntutan dakwah menjadi keutamaan amalan untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada kemusnahan di dunia dan siksaan balasan api neraka di akhirat. Justeru itu, setiap ketua keluarga perlulah menggerakkan sepenuh usaha untuk menyediakan sebaik mungkin prasarana dan suasana yang kondusif agar kesemua ahli keluarganya dapat menyempurnakan tuntutan dakwah ini.
Dakwah sentiasa didalangi oleh seribu satu macam cabaran dan ranjau berduri. Segala halangan dakwah hanya akan dapat diatasi dan dipenuhi sekiranya kaum Adam dan Hawa saling berganding bahu melaksanakannya seperti yang disebut dalam surah At-Taubah ayat 71 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Bersegera Mengerjakan Kebajikan
Para suami harus sentiasa memberikan galakan dan sokongan yang berterusan kepada para isteri untuk terlibat dengan masyarakat. Kreativiti wanita dalam melaksanakan dakwah wajar dipupuk dan dikembangkan dengan memberi mereka ruang serta kebebasan meneroka potensi dalam diri mereka.
Tanggungjawab kaum wanita untuk melaksanakan tugas dakwah yang suci dan murni di luar rumah tidak seharusnya disekat. Mengapa perlu meletakkan syarat tertentu kepada para isteri apabila mereka ingin melangkah jauh ke dalam masyarakat? Mengapa tidak dijadikan penglibatan kaum wanita dalam mengislahkan masyarakat ini satu usaha yang melibatkan seluruh keluarga agar manfaatnya dirasai semua walaupun para isteri yang lebih ke hadapan dalam dakwah berbanding suami?
Ummu Muhammad, Rasha, isteri kepada pemimpin HAMAS Al-marhum Abdul Aziz Rantisi, yang syahid dibunuh oleh Israel pada 24 April 2004, telah ditanya mengenai tanggungjawab wanita dalam Islam. Dengan penuh bersemangat, wanita gigih ini menegaskan bahawa muslimat tidak sepatutnya menumpukan seluruh kehidupan mereka semata-mata kepada suami dan anak-anak. Tanggungjawab di luar rumah mesti juga diberi penumpuan oleh kaum wanita kerana kemusnahan masyarakat yang berlaku di sekitar kita turut membawa kesan negatif kepada ahli keluarga dalam rumah juga. Tanpa teragak-agak beliau juga menambah bahawa setiap ahli keluarganya masing-masing berlumba-lumba berusaha untuk mencapai syahid sebagaimana yang telah dinikmati oleh suaminya.
Marilah kita meneladani wanita ini dan membebaskan diri kita dari ikatan dunia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Tidak ragu-ragu lagi bahawa kita mesti menyahut seruan Allah SWT sebagaimana dalam surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud, “...oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Kaum muslimat harus menggarap segala peluang dan kesempatan yang wujud serta perlu bijak memanfaatkan semua bentuk prasarana dan teknologi untuk melangkah lebih jauh dalam dakwah. Begitu banyak ruang teknologi maya yang boleh diterokai bagi memastikan tiada wanita muslim yang tercicir dari arena dakwah. Sudah tiada alasan lagi untuk setiap wanita yang menganut ajaran Islam untuk tidak melaksanakan kewajipan berdakwah.
“Tepuk dada tanyalah iman.”
Sumber : Prof Madya Dr Roohaida Othman di JENDELA HiKMAH. Penulis merupakan Timbalan Ketua Wanita JIM Selangor dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo. com.
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Selasa, April 21, 2009
Wanita Harus Manfaatkan Kebebasan Untuk Berdakwah
Susunan :
Bawang Goreng
pada
4/21/2009 08:55:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...