“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, April 18, 2009

Suami ‘surirumah’ sepenuh masa?

Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Kenyataan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah bahawa kemungkinan ramai lelaki terpaksa menjadi surirumah jika fenomena pelajar perempuan menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) dibiarkan berlarutan menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak.

Sungguhpun fenomena suami bergelar surirumah telah semakin diterima di Barat namun hal yang sama tidak kurang berlaku di negara kita, Malaysia biarpun ia bertentangan dengan norma dan adat masyarakat kita.

Wartawan Zuarida Mohyin dan jurufoto, Nazeri Abu Bakar menemubual pensyarah Jabatan al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Selangor, Mohammad Nidzam Abdul Kadir bertanya fenomena ini dari sudut pandangan Islam.

MEGA : Dengan nisbah antara pelajar lelaki dan perempuan ialah 40:60, adakah ini menjadi alasan kukuh bahawa negara kita akan menghadapi fenomena di mana isteri keluar bekerja dan suami menguruskan rumahtangga?

Mohammad Nidzam : Secara peribadi, saya tidak menganggap ini sebagai satu alasan kukuh untuk fenomena ini berlaku. Dalam Islam, lelaki bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Walaupun lelaki kurang tinggi pendidikannya dan kurang pendapatannya, namun tanggungjawab tetap tanggungjawab.

Kalau dikaji surah at-Talaq, di sana terdapat isyarat jelas tentang tanggungjawab lelaki sebagai pencari nafkah. Contohnya dalam ayat 6, lelaki diperintahkan menyediakan tempat tinggal menurut kemampuannya kepada isteri yang diceraikan sepanjang tempoh masa idah. Jika wanita itu hamil, nafkah berpanjangan hingga selamat bersalin. Kemudian tanggungjawab susuan anak adalah tanggungjawab lelaki sebagai bapa. Maka jika perlu kepada upah orang menyusukan anaknya, maka itu tanggungjawab ayah.

Begitu juga sebelum perkahwinan, lelaki dikehendaki memberi mas kahwin kepada wanita. Dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari juga disebutkan bahawa seorang lelaki adalah penjaga atas ahli keluarganya, manakala wanita/isteri adalah penjaga atas rumah suaminya dan anak-anaknya.

Diceritakan dalam hadis sahih Bukhari bahawa adalah menjadi keharusan bagi isteri untuk mengambil duit suaminya jika pemberian nafkah daripada suami tidak mencukupi walaupun pengambilan itu tanpa pengetahuan suami. Maka boleh difahami bahawa duit suami, duit isteri juga. Walau bagaimanapun, duit isteri adalah duit isteri.

Oleh itu, lelaki yang bergelar suami dan ayah sebenarnya insan pertama dalam keluarga bertanggungjawab keluar bekerja mencari nafkah.

MEGA : Kalau begitu, adakah Islam melarang lelaki menjadi surirumah?

Mohammad Nidzam :
Bagi saya, Islam tidak melarang lelaki/suami menjadi surirumah dalam makna membantu isteri melakukan kerjarumah. Inilah sunah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan rumahtangga Baginda. Imam Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya hadis bernombor 5,363 bahawa Aishah r.ha. menceritakan bahawa Rasulullah SAW sentiasa dalam khidmat kepada ahlinya. Apabila Rasulullah SAW mendengar azan, maka Baginda pun keluar.

Maka berdasarkan hadis sahih ini, tidak salah untuk suami membasuh baju, memasak, menyidai pakaian, menjaga keperluan barang dapur dan sebagainya. Maka sikap suami yang enggan menolong isteri di rumah atau di dapur adalah bertentangan dengan roh dalam sunah Rasulullah SAW. Ada suami yang hanya melepak membaca akhbar atau menonton televisyen sedangkan isteri bertungkus-lumus memasak sambil memegang anak. Tidakkah dapur yang panas dengan api gas dan sebagainya boleh membahayakan anak kecil? Maka amat wajar lelaki turut sama menjadi surirumah separuh masa.

Namun jika surirumah sepenuh masa dalam erti kata bahawa hanya isteri bekerja manakala suami menguruskan rumahtangga, maka ini nampaknya sudah terbalik daripada sistem asal yang digariskan dalam Islam. Namun mungkin ada pengecualian tertentu. Contohnya, isteri yang keluar negara menyambung pengajian. Maka suami berkorban dengan sanggup bercuti dan mengikut isteri. Maknanya suami menjadi surirumah. Mungkin juga jika suami sakit, maka isteri perlu bekerja.

MEGA : Islam sentiasa menekankan aspek pencarian ilmu tanpa mengira perbezaan gender. Adakah wajar kuota khas kepada lelaki agar fenomena lelaki sebagai surirumah boleh dielakkan?

Mohammad Nidzam : Dasar Islam adalah jelas tanpa membezakan gender khususnya dalam soal menuntut ilmu. Walau bagaimanapun, terdapat juga hadis-hadis palsu yang merendahkan kedudukan wanita dalam soal ini. Antaranya gesaan satu hadis agar wanita tidak diajar kaedah penulisan. Ini satu contoh hadis palsu.

Persoalan ini tidaklah mempunyai nas khusus dalam Quran mahupun hadis yang sahih. Ia termasuk dalam urusan kehidupan dunia. Oleh itu, perkara seumpama ini perlu kepada perbincangan atau syura.

Aspek yang penting ialah keadilan. Adakah kuota lelaki akan menjejaskan keadilan? Bagaimana nasib pelajar wanita yang keputusannya lebih baik berbanding lelaki? Islam amat menitikberatkan persoalan adil.

Jika wujud keadilan dan kebaikan, itulah yang dikehendaki oleh Islam. Inilah yang ditekankan dalam satu kaedah fiqh bahawa tindakan kerajaan terhadap rakyat mestilah berdasarkan maslahat.

MEGA : Pernah tidak fenomena yang sama atau hampir sama berlaku sama ada pada zaman Rasulullah atau para sahabat?

Mohammad Nidzam : Sekadar pengetahuan saya, lelaki sebagai surirumah sepenuh masa tidaklah berlaku zaman Rasulullah SAW atau para sahabat. Cuma lelaki bekerja dan wanita juga bekerja. Khadijah r.ha. sendiri adalah usahawan yang berjaya.

MEGA : Bagaimana perkara ini dilihat dari sudut agama, adakah Islam membenarkan, melarang atau ada kelonggaran dan atas alasan apa untuk menyokong hujahan ustaz?

Mohammad Nidzam : Perkahwinan adalah kontrak antara suami isteri. Berdasarkan al-Quran dan hadis, jelas bahawa suami bertanggungjawab memberi nafkah sara hidup kepada isteri dan anak-anak.

Namun pemikiran manusia telah berubah dengan kemajuan dunia. Bagaimana jika suami hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan isteri berkelulusan sarjana? Kebiasaannya tentulah pendapatan isteri lebih besar.

Adakah di sini wajar isteri tidak bekerja manakala suami seorang yang bekerja atau sebaliknya? Sudah tentu dalam dunia hari ini, peranan seorang anak juga telah berubah. Seorang wanita ada kemungkinan juga perlu memberi bantuan kewangan kepada ibu dan ayahnya. Begitu juga seorang lelaki.

Maka dalam hal seumpama ini, walaupun al-Quran dan hadis menyebut bahawa lelaki bertanggungjawab memberi nafkah sara hidup, adakah kalau suami menjadi surirumah maka ia satu perkara yang haram? Persoalan halal dan haram adalah besar dalam Islam. Oleh itu, kefahaman yang menyeluruh dan mendalam amat diperlukan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Nas Quran yang utama dalam masalah ini ialah firman Ilahi dalam surah an-Nisaa’ ayat 24. Jelas dalam nas ini bahawa lelaki yang perlu membelanjakan harta dalam rumahtangga. Kalau suami sebagai surirumah sepenuh masa, maka ada kemungkinan besar semangat ketua keluarga akan hilang.

MEGA : Seharusnya bagaimana kita mendepani situasi sebegini dari sudut Islam?

Mohammad Nidzam : Situasi ini bukanlah satu perkara yang mudah diubah. Trend biasanya akan berubah. Jika trend di mana lelaki sebagai surirumah telah berlaku dan diterima baik di negara maju, tidak mustahil ia juga akan diterima oleh masyarakat Muslim.

Ini ternyata dalam hadis bahawa umat Islam akan mengikut sunah orang sebelum mereka sedikit demi sedikit hingga jika mereka masuk lubang dhob, maka umat Islam akan mengikutnya.

Pendidikan adalah perkara penting. Keluarga mestilah menerapkan falsafah suami sebagai ketua keluarga. Suami bertanggungjawab terhadap ekonomi dan kewangan keluarganya. Selain itu, pendidikan formal kepada anak lelaki juga mestilah ditekankan agar mereka juga boleh menjejakkan kaki ke menara gading.

MEGA : Apakah kesannya sekiranya fenomena ini berleluasa? Adakah keluarga akan menjadi pincang dengan alasan ia amat bertentangan dengan agama dan fitrah kehidupan manusia?

Mohammad Nidzam : Kepincangan keluarga berpunca daripada banyak faktor. Faktor ekonomi dalam rumahtangga, faktor pendidikan, faktor masa yang dihabiskan bersama keluarga, pengaruh masyarakat dan persekitaran, pengaruh filem dan hiburan serta pelbagai faktor.

Kebimbangan itu satu perkara yang baik demi kebaikan keluarga dan masyarakat.

Namun kalau hanya faktor suami sebagai surirumah dijadikan kayu ukur bahawa keluarga akan menjadi pincang, ia satu perkiraan yang boleh difikirkan semula. Berapa ramai keluarga yang juga pincang ketika si ayah bekerja dan isterinya sebagai surirumah sahaja.

MEGA : Apakah rumusan yang boleh disimpulkan?

Mohammad Nidzam : Suami juga perlu menjadi surirumah separuh masa. Kalau suami sebagai surirumah sepenuh masa, ia memerlukan kajian yang lebih mendalam. Suami tidak sewajarnya bergantung sepenuhnya dengan isteri tetapi mestilah bertindak aktif sebagai pencari rezeki.



Sumber : Utusan 28/08/2007

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails