“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, April 21, 2009

Poligami dalam hukum Islam

Oleh Hajjah Nik Noriani Nik Badli Shah (ahli SIS)

Kini nampaknya terdapat banyak minat dalam masyarkat kita mengenai isu poligami dan hukum Islam, misalnya surat kepada Berita Harian bertarikh 31 Januari 2007 berjudul “Kenyataan Sisters in Islam Dipertikai”, serta kenyataan Mahasiwa Islam yang membuat tuduhan dalam surat mereka “Poligami : SIS Ingin Mengubah Hukum Allah”.

Saya amat kesal bahawa terdapat orang Muslim zaman sekarang ini yang begitu mudah membuat tuduhan kesat terhadap orang Muslim lain, tanpa memahami apakah yang sebenarnya dimaksudkan. Saya juga hairan kenapa ramai orang Muslim dalam masyarakat Melayu kini begitu mementingkan poligami sebagai suatu institusi umat Islam, seolah-olah hukum Allah menggalakkan atau menganjurkan poligami, dan sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan melencong aqidah ke atas orang Muslim lain yang cuba menjelaskan ketidakadilan dalam amalan poligami masakini.

Aqidah Islam, adalah berasaskan tauhid iaitu larangan mempersekutukan Allah SWT.

• Asas ini jelas daripada Surah al-Ikhlas, surah ringkas yang nilainya sama dengan satu pertiga kitab suci Al-Qur'an keseluruhannya, jauh lebih tinggi nilainya daripada ayat-ayat yang merupakan panduan mengenai hal mu'amalat sesama kaum manusia.

• Aqidah Islam juga jelas dalam dua kalimah shahadah yang dipertuturkan oleh setiap orang Muslim, “Saya naik saksi bahwa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah”.

• Rukun Iman yang enam mengasaskan kepercayaan kepada Allah, Kitab-KitabNya, Malaikat-MalaikatNya, Rasul-RasulNya, Hari Qiamat, dan Qada' serta Qadar atau Kekuasaan Allah SWT. Rukun Islam yang lima mengasaskan dua kalimah shahadah, amalan solat, puasa, zakat dan haji.

Tuduhan yang menyamakan perbincangan mengenai ketidakadilan dalam amalan poligami masakini sebagai melencong aqidah seolah-olah menyamakan kepercayaan kepada keindahan poligami dengan kepercayaan kepada rukun Iman dan amalan poligami sebagai sebahagian daripada amalan dalam rukun Islam.

Terdapat juga orang Muslim masakini yang keliru dan nampaknya menganggap poligami sebagai kurniaan Allah SWT kepada umat Muslim lelaki, seolah-olah ayat mengenai poligami diwahyukan untuk membenarkan poligami di kalangan masyarkat yang sebelumnya monogami.

Padahal, ayat mengenai poligami, Surah al-Nisa' 4 : 3 telah diwahyukan selepas peperangan Uhud yang telah mengorbankan ramai lelaki, dan dalam masyarakat yang sebelumnya mengamalkan poligami tanpa had dan tanpa syarat. Latarbelakang sejarah serta asbab al-nuzul Surah al-Nisa' 4 : 3 mengenakan had dan syarat untuk membataskan amalan poligami yang berleluasa di kalangan masyarakat Jahiliyah.

Jika dikaji lagi keadaan pada zaman itu, semasa turunnya ayat tersebut, terdapat lelaki Muslim yang mempunyai lebih daripada empat orang isteri, dan mereka terpaksa memilih hanya empat orang di kalangan isteri-isteri sedia ada mereka. Hanya Rasulullah SAW dibenarkan mengekalkan semua isteri baginda. Terdapat juga riwayat dalam Ibn Hajar al-Asqallani (m.852 H) yang menyatakan: “Menikah lebih seorang perempuan bagi lelaki adalah halal, ketika tidak melebihi empat orang perempuan, namun ia juga boleh dilarang ketika mengakibatkan kemudharatan di masa mendatang”.

Mengenai larangan Rasulullah SAW terhadap hasrat Saidina Ali r.a. untuk berpoligami, alasan bahawa larangan baginda adalah kerana calon isteri itu adalah anak Abu Jahal tidak boleh diterima. Ini kerana ia bertentangan dengan akhlak Rasulullah SAW yang tidak mengaitkan seseorang dengan kesalahan ibu bapa atau keluarganya, dan juga begitu pemaaf terhadap bekas musuh yang memeluk Islam. Perkahwinan di antara keluarga dan sahabat Rasulullah SAW dengan mereka yang keluarganya sebelum itu pernah memusuhi dan memerangi umat Muslim memang berlaku pada zaman Rasullulah SAW. Oleh itu, jelaslah bahawa alasan Rasulullah SAW melarang Saidina Ali RA berpoligami adalah kerana Siti Fatimah r.a. tidak memberi persetujuannya.

Syarat mengenai persetujuan isteri sedia ada kini diperuntukkan dalam undang-undang keluarga Islam di Maghribi:

-Lelaki yang hendak berpoligami memerlukan persetujuan isteri sedia ada dan keizinan hakim. Bolehlah dikatakan bahawa syarat mengenai keadilan merangkumi persetujuan isteri, tetapi tidaklah memadai setakat mendapat persetujuan isteri sahaja.

-Hakim masih perlu mempertimbangkan sama ada lelaki itu benar-benar mampu berlaku adil, kerana mungkin juga persetujuan isteri itu diperolehi secara tidak adil.

“jika khuatir tidak dapat berlaku adil, kahwinlah seorang sahaja”, ~ Surah an-Nisaa'

Terdapat juga sebilangan para ilmuwan Muslim pada masakini, termasuk di Indonesia, Tunisia dan Maghribi yang mengemukakan hujah bahawa menghadkan bilangan isteri kepada empat orang lebih 14 kurun yang lalu merupakan langkah revolusioner yang dipelopori oleh hukum Islam, dan oleh kerana Surah al-Nisa' dan kini tiba masanya untuk menghadkan bilangan isteri kepada seorang sahaja.

Mereka juga membuat kiasan dengan amalan memiliki hamba abdi. Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW tidak mengharamkan pemilikan hamba abdi, tetapi mengenakan had dan syarat untuk membataskan amalan tersebut, dan memerintahkan tuan hamba agar melayan hamba abdi dengan belas kasihan atau membebaskan mereka. Kini amalan perhambaan telah dihapuskan – adakah umat Islam semuanya telah melencong aqidah kerana hukum Allah SWT dalam al-Qur'an dan Sunnah menyekat perhambaan tetapi tidak menghapuskannya?

Saya juga khuatir bahawa sikap segolongan Muslim masakini yang membela amalan poligami dalam Islam dengan begitu keras sekali mungkin pula melencong daripada hukum Allah SWT. Ini kerana poligami yang tidak adil dan memudharatkan kesejahteraan keluarga adalah diharamkan oleh Allah SWT. Dengan begitu keras sekali membela poligami orang Muslim secara keseluruhannya, sehingga sanggup menuduh orang Muslim lain sebagai melencong aqidah, dan hendak merubah hukum Allah hanya kerana membantah amalan poligami yang tidak adil, mungkin mereka yang membuat tuduhan itulah yang sebenarnya melencong aqidah. Ini kerana mereka seolah-olah hendak mengubah hukum Allah SWT yang mengharamkan poligami yang tidak adil.

Adakah orang Muslim yang begitu ghairah mempertahankan poligami dan mengaitkannya dengan aqidah Islam ingin kembali ke zaman Jahiliyah di mana amalan poligami dibenarkan tanpa syarat yang sebenarnya bertujuan menjamin keadilan dan kesejahteraan keluarga?

Astaghfirullahalazim.

Sumber : SiS

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails