Firman Allah SWT:
"WAHAI orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 172)
Huraian
Islam menggesa umatnya supaya menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang bersih dan halal sahaja. Mereka dilarang memakan makanan yang kotor dan haram kerana boleh menjejaskan kesihatan.
Sebagai ibu dan bapa yang juga hendaklah mengambil berat terhadap pemakanan anak-anak serta ahli keluarga yang lain. Pastikan makanan yang diberi bersih dan halal daripada sumber rezeki yang halal juga. Bukan hasil daripada pekerjaan haram seperti mencuri, berjudi dan sebagainya.
Setiap orang hendaklah prihatin terhadap kesucian makanan yang dimakan kerana ia mempunyai hubung kait dengan amalan dan ibadah mereka. Apabila mereka memakan sesuatu yang haram, ia akan memberi kesan rohani kepada diri. Mereka akan berasa sukar mendidik jiwa dengan sifat-sifat mahmudah kerana pintu hati telah tertutup untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.
Justeru, sebagai seorang yang beriman dan bertaqwa hendaklah sentiasa berhati-hati menentukan pemakanan. Dengan mengambil berat soal kebersihan dan kesucian makanan.
Ini kerana unsur-unsur tersebut amat besar pengaruhnya dalam pertumbuhan diri manusia sama ada dari sudut jasmani mahupun rohani.
Kesimpulan
Seorang Islam hendaklah prihatin dalam menjaga pemakanan mereka dengan memakan makanan yang bersih dan halal. Mereka dilarang memakan makanan yang diharamkan demi menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Sebenarnya pengharaman sesetengah jenis makanan itu ada hikmah dan rahsia di sebaliknya. Bukanlah diharamkan itu kerana suka-suka tetapi bertujuan menghindarkan diri daripada pelbagai kemudaratan seperti penyakit, keracunan, buta mata hati dan sebagainya.
Oleh itu, makanlah makanan yang halal melalui sumber yang halal juga di samping sentiasa bersyukur kepada Allah SWT atas limpahan rezeki yang melimpah ruah itu.Sumber : Utusan 06/04/2009
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...