Berbanding lelaki, terdapat ramai di kalangan mereka yang mereka-reka hadis palsu yang tentunya bertujuan memfitnah Rasulullah.
"Namun perkara ini tidak ditemui di kalangan tokoh-tokoh wanita sebagai perawi hadis," Felo Penyelidik dari Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Dr. Mohammad Akram Nadwi.
Justeru jika kita hendak mempersoalkan individu-individu tertentu mengenai integriti sesuatu ilmu itu, maka orang itu sepatutnya lelaki. Wanita lazimnya sentiasa menyampaikan sebarang pengetahuan apatah lagi melibatkan kesucian agama dengan jujur dan benar.
Fakta itu antara yang menarik perhatian hadirin yang mengikuti syarahan awam yang disampaikan oleh tokoh akademik anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Namun Dr. Mohammad Akram mempunyai fakta-fakta menarik lain ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Peranan Wanita dalam Gerakan Hadis itu'.
Tsiqqah
Satu tajuk yang tidak sahaja menjelaskan bahawa wanita turut berperanan mengembang dan menyebarkan hadis-hadis Rasulullah. Malah ketokohan mereka membuktikan kaum hawa juga berperanan menentukan bentuk undang-undang dan hukuman yang bakal dijatuhkan di zaman masing-masing. Ini bererti mereka sangat tsiqqah (boleh dipercayai).
Ini juga bermakna, tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan jika hadis itu merupakan hasil riwayat seorang wanita. Sebabnya kualiti dan kekuatan hadis sama ada yang diriwayatkan perawi lelaki atau perempuan adalah sama dan kedua-duanya boleh diterima asalkan sahaja masing-masing telah memenuhi segala kriteria dan syarat sebagai perawi hadis yang sahih atau hasan.
Lalu, mengapa tidak kita memberikan satu perspektif baru bahawa penglibatan wanita sebagai perawi hadis adalah sama penting seperti lelaki?
Sebagaimana yang disebut oleh Imam Hakim Naisaburi: "Satu perempat daripada khazanah ilmu agama kita bergantung kepada apa yang disampaikan oleh golongan wanita. Tanpa sumbangan dari mereka, kita mungkin kehilangan suku dari khazanah tersebut."
Menurut Dr. Mohammad Akram, umum mengetahui mengenai kebijaksanaan yang dimiliki oleh isteri Rasulullah, Siti Aishah yang banyak meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Bukhari. Walaupun Siti Aishah tidak pernah melahirkan anak tetapi beliau sering disifatkan sebagai ibu kepada semua perundangan Islam.
Selain Siti Aishah, kita sebenarnya mempunyai ramai tokoh wanita Islam dari zaman silam yang terkenal kerana meriwayatkan sesuatu hadis. Malah hadis yang diriwayatkan oleh mereka adalah yang terkenal dan paling terpakai.
Hadis mengenai mengambil kewajipan air sembahyang, wuduk misalnya, telah diriwayatkan oleh seorang wanita dari zaman Rasulullah, iaitu Rubiyya binti Muawidh ibn Afrah, yang ahli keluarganya ramai yang terkorban dan syahid di peperangan di Bukit Uhud.
"Beliau adalah perawi hadis yang hebat apabila hadis berkenaan boleh ditemui dalam koleksi ramai periwayat hadis terkemuka yang lain termasuk Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah," ujar Dr. Muhammad Akram.
Sumber perundangan mengenai wajib berwuduk itu hanya diambil dari hadis Rubiyya apabila wanita ini menceritakan bagaimana tertib dan peraturan yang ditunjukkan oleh Rasulullah semasa mengambil wuduk sebagaimana yang beliau saksikan sendiri.
Anak murid wanita ini termasuklah Abdullah ibn Abbas yang merupakan seorang lagi tokoh yang banyak mengingati ayat-ayat al-Quran serta hadis dan sunnah Rasulullah malah salah seorang saudara terdekat, iaitu sepupu Rasulullah.
Abdullah tidak pernah mempertikaikan Rubiyya atau berkata: "Mengapa saya mesti belajar dari wanita ini, sedangkan saya sendiri berasal dari ahli keluarga Rasulullah malah saya juga seorang yang menghafal al-Quran."
Seorang lagi tokoh wanita dalam gerakan hadis dari generasi selepas zaman Rasulullah yang harus kita kenali, iaitu Amrah Abdur Rahman. Beliau seorang pakar perundangan malah bertaraf mufti dan yang lebih penting wanita ini menguasai bidang hadis.
Khalifah Islam terkenal, Umar Abdul Aziz pernah berkata: "Jika kamu hendak mempelajari hadis, pergilah belajar dengan Amrah."
Imam Zuhri, tokoh yang terkenal kerana berjaya mengumpulkan hadis dengan sistematik pernah berkata: "Pergilah kepada Amrah, ilmu hadis yang beliau miliki umpama sebesar kapal."
Antara kehebatan Amrah itu diceritakan melalui satu kisah apabila seorang hakim di Madinah hendak menjatuhkan hukuman potong tangan terhadap seorang pencuri yang berasal dari Syria dan beragama Nasrani (Kristian). Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan Amrah, lalu beliau terus meminta anak muridnya segera menemui hakim itu supaya menarik balik hukuman itu.
Kata Amrah, lelaki Syria itu tidak layak dijatuhkan hukuman potong (pergelangan) tangan kerana nilai barang yang dicuri itu kurang daripada nilai satu keping wang emas (dinar). Sebaik sahaja hakim itu mendengar pendapat Amrah, beliau terus memerintahkan agar pencuri itu dibebaskan dengan baik!
"Hakim itu tidak sedikit pun mempersoalkan bidang kuasa yang dimiliki oleh Amrah atau meminta pendapat kedua dari orang lain selain pendapat dari Amrah.
"Kejadian ini ada tercatat dalam kitab Al Muwatta oleh Imam Malik yang beliau jadikan sandaran atau sumber hukum bagi kes yang sedemikian rupa," kata Dr. Muhammad Akram.
Seorang lagi wanita yang menjayakan gerakan hadis, merupakan satu lagi nama besar dalam ilmu hadis, iaitu Ummu Darda al Kubra.
Walaupun sebagai wanita tetapi Ummu Darda berjaya membuktikan beliau juga merupakan seorang tokoh ilmuwan sebagaimana Islam membenarkan agar kaum wanita supaya mempunyai kekayaan dalam ilmu pengetahuan dan bertanggungjawab untuk menyebarkannya kepada orang lain.
(Ummu Darda adalah seorang tabiiyyah (mereka yang tidak sempat menemui Rasulullah tetapi hanya berjumpa dengan para sahabat-sahabat besar baginda. Beliau adalah isteri kepada Abu al Darda, sahabat Rasullullah. Suaminya itu lewat memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya terkenal kerana mempunyai keimanan yang kuat terhadap Allah selepas peristiwa patung berhala di rumahnya dimusnahkan oleh rakan baiknya sendiri)
"Ummu Darda merupakan seorang ulama wanita yang sentiasa dirujuk oleh ramai anak murid apabila beliau mengajar di dua buah masjid, iaitu Masjid Umayyad (Umawi) di Damsyik dan di Baitul Maqdis.
"Kelas pengajian beliau sentiasa dipenuhi oleh anak-anak murid tanpa mengira latar belakang tinggi dan rendah termasuklah para imam, ahli perundangan dan guru-guru hadis," katanya Dr. Muhammad Akram.
Malah Khalifah Abdul Malik Marwan sendiri dikatakan banyak belajar hadis dan lain-lain ilmu daripada Ummu Darda.
Malah, dikatakan ketika mengajar Ummu Darda yang pada masa itu telah begitu lanjut usianya, akan menyandarkan badannya ke bahu Abdul Malik dan Khalifah sendiri akan memimpin Ummu Darda untuk pulang ke rumah atau hendak mendirikan solat.
Beliau pernah menegur Abdul Malik selepas dikatakan khalifah itu mengherdik seorang pelayan istananya kerana pelayan itu terlambat menyahut panggilannya.
Ummu Darda berkata: "Aku dengar semalam kamu mengutuk pelayanmu sedangkan aku pernah dengar Rasulullah bersabda yang maksudnya: Orang-orang yang biasa mengutuk (orang lain) tidak akan mendapat syafaat dan tidak layak menjadi saksi pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim)
Dr. Muhammad Akram terus menarik perhatian hadirin dengan kisah seorang lagi tokoh wanita dalam gerakan hadis iaitu Fatima binti Ibrahim Ibni Jowhar dari abad ke 8 Masihi.
"Fatima merupakan guru terkenal kepada pengumpul hadis terkemuka, Al Bukhari yang terkenal dengan hadis sahih Bukhari, iaitu hadis yang memenuhi segala peraturan dan mempunyai sanad hadis yang sempurna atau mutawatir," katanya.
Dikisahkan sebaik sahaja mendapat tahu wanita ini mengunjungi Madinah, orang ramai meminta Fatima ini mengajar di Masjid Nabawi.
Ibnu Rushayd al Subki yang mengembara dari Marrakesh, Maghribi menceritakan suasana apabila Fatima mengajar di masjid itu: "Fatima akan duduk di bahagian kepala makam Rasulullah dan kadang kala wanita ini akan menyandarkan badannya ke makam baginda dan beliau akan mengurniakan ijazah kepada anak murid yang berjaya mengikuti pengajian hadis darinya."
Dr. Muhammad Akram membuka pemikiran yang selama ini menganggap peranan wanita cukup sekadar di dapur tetapi dengan menyebut dua, tiga lagi tokoh wanita termasuk kehebatan Aishah Abdul Hadi yang dilantik oleh sultan sebagai Guru Hadis malah bagaimana tokoh hadis terkenal, Hajar Al Asqalani belajar hadis dari 100 buah buku yang diajarkan oleh Aishah ini.
Beliau juga menyebut satu lagi nama besar, iaitu Fatimah Al Juzdani, ilmuwan yang hebat dari Isfahan. Beliau menguasai hadis-hadis daripada 37 buku kitab hadis terkenal, Al Mu'jam Al Kabeer karangan Imam At-Tabarani.
Namun terdapat kisah yang lebih menarik membabitkan seorang lagi tokoh yang dikenali sebagai Fatimah Al Samarqandiyya. Iaitu bagaimana dari Fatimah, suaminya, Imam Kasani beroleh ilmu sehingga dapat menulis kitab muktabar, Badaya Al Sanaya.
Begitupun untuk lebih lanjut mengenai sumbangan tokoh-tokoh wanita Islam dalam pelbagai khazanah ilmu termasuk hadis boleh diperolehi melalui buku karangan Dr. Muhammad Akram yang begitu terkenal, iaitu al-Muhaddithat: the Women Scholars in Islam (terbitan Interface Publication, Oktober 2006).
Buku ini mengandungi hampir 40 volum hasil kertas kerja yang melibatkan hampir 8,000 tokoh wanita Islam sejak dari zaman Rasulullah.
Jelas sekali, perbuatan menyimpan wanita hanya diceruk-ceruk dapur mahupun loteng rumah dengan tujuan menafikan hak mereka untuk menuntut dan menyebarkan ilmu maka ia merupakan perbuatan yang paling tidak bertamadun.
Komen BawangGoreng : Waaa... aku musti dapatkan buku inih!!! ... :)
Sumber : Utusan
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...