Oleh Lokman Ismail
Islam mementingkan keseimbangan hidup bertetangga dan individualistik elak permusuhan
HAK kebebasan individu dan keluarga diperakui serta dihormati dalam masyarakat kerana perkara ini penting bagi menjamin keselesaan hidup dinikmati dengan bebas tanpa gangguan. Bagaimanapun, kebebasan itu perlu difahami serta diamalkan dengan baik.
Islam melarang campur tangan terhadap kebebasan orang lain. Haram melakukan perbuatan yang mendatangkan kesusahan terhadap orang lain.
Begitu juga Islam mementingkan adab kejiranan dan menekankan aspek hak asasi individu, keadilan sosial serta keselamatan dalam kehidupan sehari-hari. Aspek itu penting bagi mengelak perpecahan, dengki, bermusuhan dan khianat.
Kemantapan dan keutuhan kejiranan bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Melalui adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan individu menikmati keselesaan hidup untuk dirinya, serta tidak mengganggu ketenteraman orang lain. Dirinya membawa kebaikan, kedamaian dan keselamatan kepada individu lain.
Islam bererti damai dalam segala bentuk kehidupan. Individu Muslim mesti menterjemahkan kedamaian itu dalam dirinya dan masyarakat. Jangan lakukan perbuatan mengganggu individu lain secara fizikal, mental ataupun emosi.
Menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Apa yang penting, kita berusaha melakukan perbuatan yang tidak menggugat ketenteraman dan kebahagiaan orang lain.
Islam menggariskan beberapa peraturan hidup berjiran dan bermasyarakat. Antara perkara yang ditekankan ialah adab bertamu. Rumah adalah kawasan peribadi pemilik dan ahli keluarga yang tinggal di dalamnya. Dalam Islam, peraturan menghormati kuasa tuan rumah sudah tercatat dalam al-Quran. Ini membuktikan satu peraturan hidup penting yang mesti dipatuhi setiap individu Muslim.
Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, supaya kamu ingat." (Surah an-Nur, ayat 27)
Sambungan dalam surah yang sama, menjelaskan kita perlu meninggalkan rumah yang dikunjungi jika pemiliknya tidak mahu menerima tetamu. Kita tidak perlu mempersoalkan tindakan pemiliknya. Perbuatan itu (meninggalkan rumah) lebih baik kerana banyak hikmah di sebaliknya.
Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu tidak menemui seseorang pun dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: Kembalilah, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah an-Nur, ayat 28)
Islam menitik-beratkan hubungan kejiranan kerana ia satu keperluan. Hidup kita tidak terlepas daripada mempunyai jiran. Hubungan baik dengan jiran dapat mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh." (Surah an-Nisa, ayat 36)
Jiran yang perlu dihormati tidak terhad kepada jiran beragama Islam. Wajib menghormati dan menjaga hak jiran bukan Islam, termasuk berkaitan kepercayaan dan amalan agama mereka. Sikap toleransi terhadap jiran bukan Islam penting kerana ia juga sebahagian daripada dakwah.
Tindakan itu memberi imej baik berkaitan Islam. Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan menghina daripada penganut agama lain.
Rasulullah SAW amat mementingkan hubungan dengan jiran dan menekankan perkara sama kepada sahabat. Perkara itu dijelaskan Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya (pusaka)." (Hadis riwayat Bukhari)
Sebagai umat Nabi Muhammad, apa yang ditunjukkan Baginda mesti diamalkan dalam kehidupan seharian. Apa yang dilakukan adalah untuk tujuan kebaikan diri sendiri. Fikirkan jika kejiranan kita dalam keadaan tidak selamat, musibahnya akan terkena kepada kita juga.
Tidak dinafikan, usaha mewujudkan kerukunan hidup berjiran masa kini menghadapi sedikit kesulitan. Bilangan individu mementingkan diri dan keluarga semakin bertambah. Lihatlah, kawasan rumah kebanyakannya berpagar menggunakan tembok sehingga tidak dapat melihat apa yang berlaku di dalam kawasan itu.
Sikap tidak bergaul dengan jiran tetangga melahirkan masyarakat yang ego. Tetamu yang datang hanya di kalangan rakan dan saudara mara dari jauh. Jika ada kenduri kendara pun, tetamu yang dijemput bukan jiran yang tinggal di sekelilingnya.
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan kita kerana apa juga perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.
Firman Allah yang bermaksud: "Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 2)
Fenomena yang berlaku dalam kejiranan sekarang banyak buruknya. Pertama, kita hilang nikmat hubungan kejiranan, berasa hidup dalam penjara di rumah sendiri. Keluarga dan jiran tidak lagi memberi nilai positif kepada diri untuk berdepan suasana lebih luas.
Kurang interaksi dengan jiran menyebabkan kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak, jati diri, budaya dan percambahan fikiran tidak berkembang dengan baik. Ini memberi kesan kepada keseluruhan hidup. Paling ketara berlaku kepada anak apabila mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Fitrah manusia memerlukan hubungan dengan individu atau keluarga lain. Budaya membina tembok konkrit sebagai pagar kawasan rumah mesti diubah. Sudah memadai jika dibuat pagar kawat atau besi untuk tujuan keselamatan.
Untuk menjaga hubungan baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.
Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis serta dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Jiran sepakat membawa berkat.
Peraturan berjiran memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit masyarakat. Cuba kita muhasabah diri berkaitan hubungan kita dengan jiran. Jangan kita berasa sudah sempurna iman disebabkan kerap berulang alik ke masjid kerana masih banyak perkara lain perlu dijadikan ukuran.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." (Hadis riwayat Muslim)
Sumber : BHarian 2009/04/10
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...