Oleh Amran Zakaria
Pekerja curi masa ketika di pejabat, buat kerja peribadi akan diperhitung di akhirat
MENJALANKAN kerja yang halal bermakna membawa rezeki diberkati untuk menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Jauhilah daripada kerja haram dan subahat kerana kelak pintu keberkatan rezeki akan tertutup.
Daripada Anas bin Malik meriwayatkan, seorang lelaki daripada kaum Ansar datang menemui Rasulullah SAW dan meminta sesuatu kepada Baginda. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya lelaki itu: "Adakah sesuatu di rumahmu? Jawabnya: Ada, ya Rasulullah. Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu, saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami guna untuk minum."
Rasulullah SAW meminta lelaki itu membawa barang berkenaan dan menyerahkannya kepada Baginda. Setelah barang diterima, Rasulullah SAW melelongnya kepada sahabat yang hadir pada saat itu, Baginda menawarkan pada siapa yang mahu membeli.
Salah seorang sahabat menawar kedua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah SAW menawarkan kepada mereka barangkali ada yang sanggup membeli lebih daripada satu dirham. Kemudian ada yang menawarkan dua dirham dan Rasulullah SAW menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan menerima wangnya.
Wang itu lalu Baginda SAW serahkan kepada lelaki Ansar berkenaan, seraya berkata: "Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini." Tidak lama kemudian lelaki itu kembali menemui Rasulullah SAW dengan membawa kapak.
Rasulullah SAW melengkapi kapak itu dengan membuatkan gagangnya terlebih dulu, lantas berkata, "Pergilah mencari kayu bakar, lalu hasilnya kamu jual di pasar dan jangan menemui aku sampai dua pekan." Lelaki itu taat melaksanakan apa yang disaran Rasulullah SAW.
Selepas dua pekan berlalu lelaki itu menemui Rasulullah SAW melaporkan hasil kerjanya. Dia memberitahu Rasulullah SAW bahawa selama masa itu dia berjaya memperoleh wang sebanyak sepuluh dirham. Sebahagian perolehan digunakan untuk membeli makanan dan pakaian.
Selepas mendengar kata-kata lelaki Ansar itu, Rasulullah SAW bersabda: "Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat."
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan untuk belanja mengisi perut bahkan bertujuan memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan. Islam menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri.
Seorang yang bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan bertambah martabat serta kemuliaannya. Sebaliknya, mereka yang berat tulang dan lebih selasa menganggur, memberi imej buruk dan negatif pada pandangan serta penglihatan orang lain.
Diceritakan pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab melihat Zaid bin Maslamah sedang menanam tanaman di tanahnya, maka berkatalah Saidina Umar kepada Zaid: "Benar sekali perbuatanmu itu. Engkau tidak menggantungkan hidupmu kepada orang lain adalah cara terbaik untuk memelihara agamamu dan amat mulia untuk menjaga martabat dirimu."
Saidina Umar juga pernah memberitahu: "Sesungguhnya aku memandang seorang pemuda, maka aku kagum kepadanya. Lantas aku bertanya kepadanya apakah pekerjaan yang dilakukannya. Lalu dijawab tidak, maka jatuh nilai pemuda itu pada pandanganku."
Memang benar kehidupan sebagai buruh sangat berbeza dengan kehidupan eksekutif. Secara umumnya buruh dilihat memerah keringat sementara eksekutif bertungkus-lumus memerah dan mengeluarkan idea.
Jika semuanya itu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah nescaya ia akan menghasilkan produk yang sangat bermanfaat dari segi masa, kos dan tenaga sementara ruang lingkup kehidupan pula akan lebih sejahtera.
Di samping itu, kita hendaklah mengetahui setiap tugas atau kerja yang diberi Allah SAW kepada seseorang itu adalah menurut kemampuan mereka seperti firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah , ayat 286)
Ayat itu menegaskan tidak ada sebab bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Seseorang pekerja itu boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya, melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu menunaikan tanggungjawabnya.
Bagi pekerja yang punya prestasi kerja tinggi, komited, menjaga akhlak, masa dan bermatlamat jelas untuk kepentingan keluarga, agama dan majikan, wajar dihargai serta disanjung tinggi. Islam memandang tinggi kepada golongan pekerja seperti ini.
Apalagi banyak antara mereka yang melakukan kerja dari subuh hingga larut malam bagi tujuan memenuhi keperluan keluarganya. Atas niat yang betul, mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Pekerja mahu pun majikan wajib mentaati dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah. Seorang buruh wajib bekerja sesuai dengan akad yang disepakati bersama begitu juga majikan memastikan pekerja mendapat haknya.
Jangan sekali-kali kita lupakan bahawa bekerja mengikut kaedah Islam adalah berbeza mengikut pendekatan Barat. Dalam Islam, pekerjaan halal yang dipilih akan meletakkan status pelakunya pada tahap yang tinggi sehingga pahala diperoleh seperti pahala orang yang berjihad di jalan Allah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah." (Hadis riwayat Bukhari)
Kita hendaklah insaf dan sedar bahawa setiap kegiatan dan pekerjaan di dunia ini akan dihitung di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang sudah diperbuatnya." (Surah al-Muddaththir, ayat 38)
Kita tidak boleh mengambil peluang mencuri masa dengan membuat kerja peribadi dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak kerana kita akan dihukum di akhirat kelak walaupun terlepas hukuman di dunia.
Sebaliknya, berbahagialah kita di dunia dan akhirat jika kita melaksanakan tugas menurut tuntutan Islam dan bergembiralah mana-mana pekerja yang mendapat keredaan Allah dengan ganjaran pahala.
Islam benci kepada mereka yang layak bekerja tetapi menjadi pengemis atau penganggur sementara yang mempunyai tanggungjawab perlu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya dan amanah kerana Allah SWT.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)
Sumber : BHarian 2009/04/30
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...