Oleh Halina Mohd Noor
MENGETEPIKAN ketetapan agama sebagai panduan dalam memilih pasangan hidup dan menjadikan runtunan cinta semata-mata dikenal pasti antara punca berlaku perceraian di kalangan pasangan muda hari ini.
Statistik dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan, purata perceraian di kalangan umat Islam lebih tinggi iaitu 16,509 pasangan berbanding, kaum lain berjumlah 3,291 pasangan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Zawanah Muhammad pada Bengkel Kaunseling Peringkat Kebangsaan kali ke 23/2006, berkata pemilihan pasangan berdasarkan cinta semata-mata tidak menjamin kebahagiaan berumah tangga.
"Secara umum, Islam meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan. Namun, pada zaman moden, tidak ramai yang hendak berkahwin termasuk wanita mengutamakan lagi ciri ketetapan agama sebaliknya, sekadar menurut kata hati. Lantaran itu, dapat dilihat pemilihan mereka jauh melencong daripada sepatutnya. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka berdepan konflik kerana pasangan tidak mempunyai ciri disarankan agama tidak mampu membawa mereka ke syurga," katanya.
Dangkal agama juga menyebabkan ramai calon suami tidak memahami tanggungjawab mereka selepas berkahwin seperti dikehendaki dalam Islam.
Perangkaan LPPKN jelas membuktikan hampir kebanyakan punca perceraian akibat suami tidak menjalankan tanggungjawab sebaliknya menyerahkan segala tanggungjawab seperti mencari nafkah anak dan keluarga kepada isteri.
Sehubungan itu, Zawanah menyeru wanita lebih tegas mempertahankan hak yang sepatutnya diperoleh dalam perkahwinan seperti nafkah diri, kasih sayang dan keadilan. "Ramai wanita mengetepikan hak apabila dikuasai rasa cinta dan asmara. Kasih sayang yang membuta tuli membuatkan isteri lupa mengambil kira kemampuan material bakal suami kerana berasa mereka juga berkerjaya. Ini memberi peluang suami mengeksploitasi diri wanita dengan mengatakan, tidak mampu menyara keluarga dan akhirnya, isteri terpaksa mengambil alih tanggungjawab suami," katanya.
Sikap terlalu banyak bersabar dan memendam rasa akhirnya menimbulkan konflik dalam jiwa wanita. Tidak hairanlah sekiranya statistik menunjukkan, wanita lebih ramai membuat aduan di Jawi mengenai masalah rumah tangga masing-masing.
Antara kes aduan isteri mengenai suami :
- Masalah suami panas baran.
- Tidak memberi nafkah mencukupi.
- Malas bekerja.
- Suka menuduh atau memfitnah isteri.
- Mengungkit kisah silam.
- Menjalin hubungan sulit di luar perkahwinan.
- Tidak memberi nafkah batin.
- Berpoligami.
- Melakukan hubungan seks di luar tabii.
- Menghilangkan diri.
- Terbabit dengan dadah dan suka berjudi.
Antara kes aduan suami mengenai isteri :
- Isteri keluar rumah tanpa izin.
- Isteri ada hubungan dengan lelaki lain.
- Tidak taat pada suami.
- Menghina suami.
- Berpoya-poya dan minum minuman keras.
- Ikut ajaran sesat.
- Pukul suami.
- Isteri enggan melakukan hubungan intim.
Merujuk kepada satu kajian yang lain pula, terdapat tujuh faktor telah dikenal pasti sebagai punca utama perceraian di kalangan pasangan suami isteri di Malaysia, antaranya:
- kegagalan memikul tanggungjawab
- asas agama yang rendah
- campur tangan pihak ketiga
- perbezaan budaya
- masalah seksual
- kewangan
- kerjaya.
Malah kajian terbaru yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) mendapati 21% perceraian disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab suami atau isteri. Sebanyak 19.23% lagi kerana tiada sefahaman dan selebihnya disebabkan masalah seperti dadah dan sebagainya.
Sumber: Berita Harian ( 2 Jun 2006 )
Dipetik dari Darulkautsar.com
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...