KISAH seterusnya bukan sekadar; "Nabi Muhammad kemudiannya dijaga oleh bapa saudara, Abu Talib Bin Abdul Mutalib selepas kematian datuk kesayangan baginda!" Ini kerana baginda lebih banyak menghabiskan usia mudanya bersama Abu Talib, iaitu sejak berusia lapan tahun sehinggalah baginda menginjak dewasa dan mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun dengan wanita terkemuka Arab pada masa itu, Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid.
Tentunya sepanjang di bawah penjagaan Abu Talib ini, merupakan kesinambungan satu sirah nabi yang menjanjikan pelbagai lagi inti pati pengajaran kepada umat Islam.
Abu Talib, adalah abang kepada bapa Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib. Nama sebenar beliau ialah Imran dan digelar Abu Talib kerana anak sulungnya bernama Talib iaitu hasil perkahwinannya dengan Fatimah binti Asad. Mereka dikurniakan anak-anak yang lain iaitu, Jaafar, Ali dan Aqil serta dua anak perempuan, Fakhitah dan Jumanah (Ummu Hani) binti Abu Talib.
Abdullah Al Khazini dalam bukunya, "Abu Thalib (Talib) Mukmin Quraisy - Paman, sekali gus Pengasuh, Pelindung dan Pembela Rasulullah SAW (Darul Fikir, 1978) menulis, Abu Talib yang juga mendapat julukan Abdul Manaf dikatakan menerima wasiat daripada bapanya, Abdul Mutalib akan tanggungjawabnya untuk memelihara Nabi Muhammad dalam satu bentuk syair, yang berbunyi;
Ku wasiatkan pada mu wahai Abdul Manaf sepeninggalanku,
Akan anak yatim, yang ditinggal ayahnya sendirian.
Ku wasiatkan pada orang yang ku juluki Abdul Manaf
Dialah orangnya yang memiliki banyak pengalaman
Akan anak kekasih, kerabat paling mulia
Anak yang ditinggalkan ayahnya hidup sendiri
Wasiat ini dipikulkan kepada diri Abu Talib
Tempat tinggalnya yang kukuh dan ia menyukainya
Jangan kau wasiat aku dengan keharusan dan kewajiban
Kerana ku dengar keajaiban yang sangat mengkagumkan
Dari semua orang yang berilmu dan cerdik cendekiawan
Hingga jelaslah dengan puji Allah dan ucapan Rahib itu
Wasiat tersebut dilafazkan ketika detik-detik kematian kian menghampiri Abdul Mutalib yang dikatakan meninggal dunia pada usia 120 tahun. Lalu dijawab oleh Abu Talib; "Aku menerimanya. Demi Allah, Dialah yang menjadi saksinya".
Walaupun tidak memiliki kekayaan harta benda yang lumayan dan melimpah, namun kecerdasan dan daya kepimpinan yang tinggi adalah kekayaan yang dimiliki oleh bapa saudara Nabi ini.
Kepimpinan yang jitu ditunjukkan oleh Abu Talib dalam mengambil alih tugas bapanya iaitu sebagai pemberi makan dan minum kepada jemaah yang datang ke Kaabah untuk mengerjakan haji. Sebagai penjaga Telaga Zamzam, Abu Talib akan melemparkan buah kurma dan kismis ke dalam telaga itu supaya air Zamzam terasa manis lagi menyegarkan untuk para jemaah yang menempuh perjalanan jauh dan panas. Apatah lagi melalui padang-padang Sahara yang kering lagi tandus itu.
Jatuh miskin
Namun pada suatu ketika, Abu Talib benar-benar jatuh miskin yang boleh menggugat kemampuannya untuk terus membantu para jemaah itu. Namun bapa saudara Nabi ini tidak sanggup meninggalkan kemuliaan tugas itu hanya kerana kemiskinan.
Demi meneruskan usaha bapanya, Abu Talib kemudiannya menemui saudaranya yang yang lebih kaya dan berharta, iaitu al Abbas. Tanpa segan Abu Talib meminjam wang 10,000 dirham daripada saudaranya itu bagi membolehkan beliau terus menunaikan kewajipannya kepada para jemaah.
Jelas sekali Abu Talib menggambarkan satu daya kepimpinan yang tinggi namun jasa beliau yang sangat dikenang oleh penduduk Mekah dapat kita ikuti melalui satu peristiwa.
Pada satu ketika Mekah benar-benar ditimpa musibah yang amat perit untuk ditanggung oleh para penduduknya apabila berhari-hari tidak hujan menyebabkan berlakunya musim kemarau yang paling buruk.
Ibnu Assakir dalam satu riwayat daripada Julhamah bin Arthafah yang menceritakan Julhamah yang datang ke Mekah yang mendapati penduduk di situ begitu sengsara. Seorang daripada penduduk berkata; "Marilah kita bersandar (memohon pertolongan) kepada Lata dan Uzza (berhala)!" Sementara seorang lagi pula berkata: "Marilah kita bersandar kepada Manat (berhala)," Namun seorang lagi pula berkata: "Mengapa kalian menjadi lemah akal, sementara di tengah-tengah kalian masih ada yang mewarisi keturunan Ibrahim (Nabi) dan Ismail (Nabi?)!"
Lalu mereka berkata; "Nampaknya, orang yang kamu maksudkan adalah Abu Talib!"
"Benar!" jawab si polan yang ketiga tadi.
Lalu mereka terus menuju ke rumah Abu Talib dan berkata; "Wahai Abu Talib, wadi-wadi yang ada telah mengering, tanah serta ladang semakin gersang. Oleh kerana itu, mintakanlah supaya hujan turun supaya kami dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala!"
Sambil tersenyum tanda sedia membantu, Abu Talib pun keluar dari rumahnya dengan membawa seorang kanak-kanak, iaitu anak saudaranya, Nabi Muhammad.
Awan gelap
Sejurus mereka melangkah keluar awan yang tebal dan gelap terus berkumpul di langit yang sebelum ini begitu cerah tanpa segumpal awan pun.
Setibanya mereka di Kaabah, Abu Talib pun merapatkan badan anak saudaranya itu ke dinding Rumah Allah itu dan mereka bersama-sama memohon kepada Allah supaya bumi yang gersang itu akhirnya dibasahi hujan.
Ditakdirkan Allah, tidak lama kemudian hujan pun turun dengan mencurah-curah sebagaimana yang diminta oleh penduduk Mekah itu.
Lembah Mekah pun kembali subur dan tiada lagi keperitan untuk ditanggung.
Peristiwa ini seperti yang disebut oleh Abi Talib dalam syairnya;
Si Putih yang diminta hujan dengan berkat wajahnya
Ketua anak-anak yatim dan pelindung balu-balu!
Kejadian ini juga menyuntik lagi kekuatan kepada Abu Talib untuk menjaga anak saudaranya itu kerana kini semakin nampak mengenai kedudukan Nabi Muhammad sebagaimana yang sering diucapkan oleh bapanya sebelum ini. Keperibadian Nabi Muhammad benar-benar tidak sebagaimana anak-anak yang lazimnya.
Apa yang dilihat oleh Abu Talib, anak saudaranya itu tidak sahaja memiliki segala kesempurnaan dan kelebihan tetapi beliau yakin Nabi Muhammad akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tentangan. Ini menyebabkan Abu Talib akan mempertahankan anak saudaranya itu walau terpaksa bergalang dengan nyawanya sendiri.
Namun dalam satu peristiwa lain, Abu Talib pernah cuba hendak meninggalkan Nabi Muhammad dalam jagaan orang lain. Ini semata-mata beliau tidak mahu anak saudaranya itu terdedah kepada sebarang ancaman keselamatan ketika beliau bersama beberapa pedagang Quraisy yang ingin memulakan perjalanan untuk berniaga di Syam (Syria).
Namun ketika kafilah-kafilah yang membawa pelbagai dagangan itu hendak mulakan perjalanan yang jauh itu, Abu Talib memalingkan muka dan alangkah terkejutnya beliau apabila melihat dengan jelas anak saudaranya itu sedang menyapu air mata yang jatuh membasahi pipi. Rupa-rupanya Nabi Muhammad sangat sedih untuk berpisah dengan dengan bapa saudaranya itu.
"Pakcik, kepada siapakah kau hendak tinggalkan aku sementara ketiadaanmu di sini? Sedangkan aku tidak mempunyai baik ayah mahupun ibu," kata si anak saudara dalam sedu dan sedan.
Wajah sedih dan kata-kata Nabi Muhammad itu membangkitkan rasa hiba Abu Talib dan tidak semena-mena beliau sendiri merasakan tidak sanggup meninggalkan anak saudaranya itu.
Lalu dipeluknya anak saudaranya yang ketika itu dikatakan dalam usia 12 tahun sambil berkata; "Demi Allah, aku akan membawa kau pergi bersamaku. Kau tidak akan berpisah dengan aku dan aku tidak akan meninggalkan engkau lagi wahai anak saudaraku!"
Berdagang
Nabi Muhammad yang dalam rangkulan bapa saudaranya itu kemudiannya turut dibawa untuk berdagang ke Syam itu. Satu perjalanan getir lebih-lebih lagi terpaksa menempuh padang pasir yang kering dan kontang yang tentunya tidak sesuai untuk anak yang semuda Nabi itu.
Namun Abu Talib mendapati bahawa perjalanan kali ini berbeza, tidak ada kepayahan kecuali yang menyenangkan tanpa sebarang ancaman yang boleh mengganggu perjalanan mereka.
Mereka berjaya melewati Madian, Lembah Qura, negeri Tsamud sehinggalah daripada jauh mereka dapat menyaksikan keindahan matahari yang sedang terbit dari arah Syria. Sungguh indah sehinggakan mereka semakin bersemangat untuk sampai ke negeri itu walaupun telah berhari dan berbulan dalam perjalanan ini.
Namun telah menjadi kebiasaan kepada mana-mana kafilah yang hendak mengunjungi Syam, mereka mesti terlebih dahulu singgah di Busra. Ini kerana di tempat itu, semua kafilah-kafilah dagang yang berhenti mesti mengunjungi sebuah biara yang padanya terdapat seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira.
Mereka mesti bertemu Buhaira untuk mendapatkan barakah! Namun sesetengah riwayat menyebut bahawa Busra sekadar destinasi kepada kafilah untuk mereka berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Syria.
Justeru apakah yang berlaku apabila Pendeta Buhaira ini berjaya 'menangkap' sesuatu pada Nabi Muhammad, yang menyebabkan Abu Talib semakin tersentak! Ikuti pada keluaran seterusnya!
Sumber : Utusan
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...